" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, May 15, 2005

Mashitah .. ooh Mashitah di manakah kamu Masih segar dalam ingatan kita bagaimana Mashitah menempelak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan kononnya bertindak kasar terhadap 100 orang yang ditangkap dalam satu pesta arak di Zouk Club Jalan Ampang Selangor tempohari . Mashitah mengemukakan hujjah bagaimana pihak penguatkuasa tidak boleh bertindak kasar dengan pihak yang ditahan justeru ia bercanggah dengan ajaran agama . Saya bersetuju dengan pandangan tersebut . Bahawa Islam mengajar kita adab dan akhlak terhadap orang yang ditahan . Agar tidak berlaku suatu tindakan diluar kewarasan dan kewajaran seperti mencederakan , memalukan , menjatuhkan maruah dan seumpamanya . Tetapi soalnya dimanakah Mashitah ? apabila Adik Ahmad Hafizal - 18 tahun - digari tangannya sebelum dibawa ke penjara , apabila ia memilih penjara kerana tidak mampu untuk menjelaskan wang denda sebanyak RM 600.( sebelum ianya dijelaskan oleh pihak kerajaan Perlis ) Apakah kesalahan gagal hadhir Program Latihan Khidmat Negara sama dengan kesalahan merogol , merompak dan meragut sehingga ianya mesti digari ? atau Mashitah tidak berani membuat teguran apabila ia melibatkan dasar kerajaan ? atau sememangnya Mashitah seorang yang hipokrit ?

Wednesday, May 11, 2005

Pemuda tawar khidmat guaman percuma untuk peserta PLKN Wednesday, May 11 @ 13:12:15 MYT Oleh Roy Rasul KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) Tidak kira orang Umno ataupun PAS, Dewan Pemuda PAS Pusat bersedia untuk memberi khidmat guamannya secara percuma kepada peserta-peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menghadapi tindakan undang-undang.Setiausaha Lajnah Undang-undang PAS yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS, Hanifa Maidin berkata, pihaknya akan tampil untuk membela mereka ini sekiranya ada yang memerlukan. Malah katanya, perkara ini telah pun dimaklumkan kepada umum. Sehubungan itu katanya, mana-mana peserta yang menerima surat pendakwaan kerana gagal menyertai PLKN boleh menghubungi Pemuda PAS. "Pemuda PAS akan cuba memberi bantuan kepada mereka kerana kita percaya dalam kes seperti itu sekiranya dibicara terdapat beberapa persoalan yang boleh dibangkitkan antaranya dari segi pemilihan peserta itu sendiri," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini. Bagaimanapun katanya, dari segi undang-undang sekiranya peserta yang dikenakan tindakan mahkamah dan terus mengaku bersalah pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa. Memetik laporan media hari ini, Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret, Kangar, kerana tidak mampu membayar denda RM600 atas kesalahan gagal menghadiri PLKN pada Julai tahun lalu. Beliau juga adalah remaja pertama negara ini yang dituduh mengikut Seksyen 18 (1) Akta Khidmat Negara 2003 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali. Hafizal juga tidak diwakili peguam dan beliau bekerja mengambil upah membuat bendang untuk menanggung keluarganya dan memilih untuk menjalani hukuman penjara. Mengulas kes Hafizal, Hanifa berkata, mungkin tertuduh tidak mengetahui apa yang ditawarkan oleh Pemuda PAS. Malah katanya, dalam kes Hafizal, beliau sendiri yang mengaku bersalah dan dari segi undang-undang pendakwaraya berkuasa dan boleh mendakwa sesiapa yang dikehendaki. "Cuma remaja tersebut mengaku bersalah jadi tidak boleh ditimbulkan diskriminasi tetapi jika beliau tidak mengaku bersalah dan diwakili peguam boleh dibicarakan," katanya.

Remaja di Penjara kerana gagal hadir PLKN : Kerajaan Bertanggungjawab Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal dengan tindakkan keterlaluan pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menyebabkan seorang remaja di Kangar, Perlis dipenjarakan hari ini. Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, menjadi remaja pertama dihukum atas kesalahan tidak menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Julai tahun lalu. Beliau yang tidak diwakili peguam telah dibicarakan dengan menggunakan Akta 628 Seksyen 18(1) Akta Khidmat Negara 2003; 18. (1) Mana-mana orang yang tidak menghadirkan dirinya bagi latihan khidmat negara seperti yang dikehendaki supaya dibuat olehnya menurut kuasa pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Majlis di bawah subseksyen 17(2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Majistret Wan Norzanuar Wan Ahmad telah menjatuhkan hukuman penjara 14 hari kepada beliau setelah beliau gagal membayar tawaran denda sebanyak RM 600 ekoran kemiskinan yang dialami oleh beliau dan keluarga. Dalam rayuan yang dikemukakan, Beliau, yang tinggal di Kampung Titi Serong, Jalan Kuala Perlis telah memaklumkan mahkamah bahawa beliau gagal hadir ke PLKN ekoran kesempitan hidup yang memaksa beliau bekerja dibendang untuk membantu menyara keluarga. Pihak DPPWP tidak mempersoalkan tindakkan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman, tetapi tindakkan kerajaan BN melalui Jabatan Peguam Negara amat keterlaluan kerana perkara sebegini boleh diselesaikan diluar mahkamah. DPPWP mempersoalkan, adakah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kementerian Pertahanan Malaysia telah benar – benar menjalankan langkah – langkah yang betul bagi memastikan semua remaja yang gagal menghadiri program ini dapat dihubungi. Adakah pihak JLKN ada menghantar pegawai untuk memaklumkan beliau atau menyiasat punca – punca beliau gagal hadir ke program tersebut. Adakah pihak Kerajaan membuat penyiasatan terhadap latar belakang remaja ini sebelum membawa kes beliau ke Mahkamah. Seharusnya pihak Kerajaan membantu keluarga beliau dan bukannya membebankan beliau dengan sesuatu perkara yang beliau tidak boleh lakukan dalam satu masa yang sama iaitu bekerja untuk menyara keluarga dan menyertai PLKN. Program PLKN selama 3 bulan yang menawarkan elaun bulanan sebanyak RM 100 adalah tidak memadai untuk beliau menanggung keluarga beliau setiap bulan. Seharusnya pihak Kerajaan menawarkan bantuan kewangan yang lebih kepada remaja seperti beliau agar mereka boleh menyertai PLKN tanpa rasa risau terhadap masalah kewangan keluarga beliau. Pihak DPPWP dimaklumkan bahawa pihak JLKN membayar RM 80 – RM 150 sehari bagi setiap jurulatih dan Fasilitator yang bertugas dalam PLKN. Kebanyakkan jurulatih dan fasilitator tersebut adalah dari kalangan mereka yang sudah bekerja dan mendapat pelepas bergaji dari majikan mereka untuk menjalankan tugas Negara. Keadaan ini jauh berbeza dengan apa yang diperolehi oleh peserta PLKN, iaitu RM 100 sebulan dan juga kakitangan Kerajaan yang lain. Kerajaan tidak perlu menambahkan elaun tersebut kepada semua peserta PLKN, tetapi Kerajaan perlu menggunakan geran bantuan dari Jabatan Kebajikkan Masyarakat untuk membantu remaja yang mempunyai masalah seperti beliau. Kenyataan bahawa beliau tidak hadir ke PLKN lantaran masalah ekonomi keluarga perlu dipertimbangkan. Hukuman penjara yang beliau hadapi hanyalah menambahkan beban kepada beliau. Tindakkan tersebut sekaligus, telah menyamakan beliau dengan penjenayah yang lain dan status banduan bakal menghantui hidup serta masa depan beliau selepas ini. Justeru itu pihak DPPWP berharap agar pihak Kerajaan menilai semula tindakkan yang diambil agar tidak merosakkan masa depan remaja ini. Di sudut yang lain, DPPWP mengesa agar Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis mengambil langkah – langkah segera dan yang bersesuaian untuk membantu remaja ini. Disamping itu, DPPWP juga bersedia untuk menawarkan khidmat Guaman kepada mana – mana remaja yang tidak berkemampuan seperti beliau agar perkara sebegini dapat diadili dengan sebaiknya dan memastikan nasib orang - orang seperti beliau mendapat pembelaan yang sewajarnya. Selain itu, DPPWP juga berharap agar cara perlaksanaan modul - modul PLKN dikaji semula agar ianya dapat menjaminkan keberkesanan dalam mendidik akhlak remaja. DPPWP berharap agar masalah percampuran remaja lelaki dan perempuan yang terlalu bebas dapat diatasi. Program – program PLKN sebenarnya jauh berbeza dengan apa yang cuba ditiru oleh Malaysia dari Negara lain seperti Singapura dan Korea. Di Malaysia PLKN hanya sekadar program latihan yang menyamai program – program Biro Tatanegara (BTN) yang lain dan tiada apa – apa yang luar biasa. Bila mana pelajar – pelajar ini berjaya memasuki Universiti, mereka akan dipaksakan pula menghadiri program BTN dan semua ini hanyalah bertujuan untuk mengindoktrinasikan mereka agar patuh kepada Kerajaan BN dan bukannya pada Agama dan Negara. Herman Samsudeen Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Sunday, May 08, 2005

Ucap Tema Muktamar DPPN Pahang Kali ke 23

Ucap Tema Muktamar DPPN Pahang Kali ke 23 KEPERKASAAN MENJANA KEMENANGAN OLEH : Ust Nasrudin Hassan At Tantawi (Ketua DPP Pahang) MUQADDIMAH Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah s.w.t , kerana dengan limpah hidayah, qudrah dan inayahNya , diberikan keizinan untuk kita bermuktamar pada hari ini. Perhimpunan ini , di samping sesekali menoleh ke belakang, ke kiri dan ke kanan, mencari iktibar , hikmah dan pengajaran, kita harus memfokuskan bola mata kita jauh ke hadapan untuk merenung arah tuju perjuangan. Sesungguhnya pertemuan hari ini membawa kita menyingkap kembali pertemuan lebih 1400 tahun lalu , yang berlansung diantara golongan Muhajirin dan Ansar berasaskan nilai ukiran iman dan taqwa . Pertemuan yang menyaksikan bagaimana Baginda Rasul saw. mempertautkan gandingan mantap dikalangan mereka , berteraskan Ukhuwwah Islamiyyah dan semangat memperjuang serta mempertahankan Islam , sekaligus membentuk dan membina ummah yang bermartabat dan syariat yang berdaulat. Kehebatan baginda Rasulullah S.A.W ini telah memberikan impak yang bukan sedikit dalam proses perjuangan Islam sepanjang zaman, sehingga lahirnya individu-individu Rabbani yang mampu memberikan sumbangan tidak ternilai kepada Islam. Kesinambungan tugas memperjuangkan kesucian Islam ini telah diteruskan oleh Khulafa’ Ar –Rasyidin, para ulama dan auliya’ tanpa mengenal erti kesusahan , sehinggalah kepada rangkaian gerakan Islam di seluruh dunia dan kita PAS , alhamdulillah turut menjadi sebahagian daripada mereka yang menyambung lidah perjuangan Baginda Rasul saw. Sedarilah wahai sahabat-sahabat sekalian Bahawa tugas yang kita pikul ini adalah tugas yang besar dan berat , iaitu menyambung tugas para nabi dan rasul as. Justeru itu hendaklah dilakukan tugas ini dengan bersungguh - sungguh dan dijadikan ia sebagai agenda utama dalam gerakkerja perjuangan kita. Sementara matlamat utama perjuangan Islam yang kita dokong ini adalah untuk mendapat redha dan cinta Ilahi. Sejurus itu , marilah kita merenungi bagaimana syarat dalam penyata wahyu untuk mendapatkan redho dan cinta ilahi. Firman Allah swt. dalam surah As-Shaff ayat 4, “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agamaNya, berjuang dalam satu Saff yang teratur rapi ,seperti mereka adalah sebuah bangunan yang tersusun kukuh”. Ayat ini melampirkan syarat yang dikehendaki oleh Allah swt. untuk mendapatkan redho dan cintaNya. Iaitu Perjuangan yang diurus-perkasa secara sistematik ( munazzamah ) , terancang dan professional . Kecintaan Allah kepada kita dan perjuangan yang diurus secara munazzam ini pula, merupakan syarat untuk memperolehi pertolongan dariNya , manakala pertolongan dari Allah pula merupakan syarat untuk kita mencapai kemenangan. Justeru itu Keperkasaan Menjana Kemenangan menjadi tema muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang kali ke 23 , yang berlansung pada hari ini . Sahabat-sahabat yang dihormati sekalian, Hari inilah , peluang untuk kita bermuhasabah dan muraqabah . Menilai dari pelbagai sudut perjuangan dan gerakan ini. Muhasabah yang tidak sahaja menjurus kepada zat individu pimpinan dan anggota Dewan Pemuda semata – mata , tetapi juga terhadap perjalanan dan pengurusan Dewan Pemuda PAS Negeri. Muraqabah yang tidak sahaja tertumpu kepada pengolahan isu semasa dan peluang yang timbul hasil kelemahan musuh semata – mata , tetapi juga terhadap strategi perjuangan, pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang serta pembinaan kekuatan pemuda yang mampu menyaingi cabaran zaman dan ancaman lawan. Demi melayakkan kita menepati syarat yang dimaksudkan dan berkeupayaan menjana kemenangan buat perjuangan ini , penilaian yang dibuat hendaklah secara ikhlas , membina , telus dan seterusnya bersamalah kita bergabung tenaga secara optima untuk memperkasakannya. KESATUAN KEFAHAMAN DAN TINDAKAN Sahabat perwakilan dan pemerhati sekelian : Terlebih dahulu , marilah kita bermula dengan membina wehdatul feqh dan wehdatul amal ( kesatuan dalam kefahaman dan kesatuan dalam tindakan ) yang membentuk amal jamaie atau kerja berpasukan yang menjadi teras pemerkasaan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang selepas kita memiliki kekuatan aqidah dan ibadah. Allah s.w.t berfirman dalam surah Yusuf ayat 108, “ Katakanlah(wahai Muhammad): “ Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah(dari segala I’tikad dan perbuatan syirik): dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”. Ayat ini menegaskan reality haluan perjuangan yang mesti kita tempoh dengan meletakkan diri dan arah tuju hidup diatas manhaj Nabawi secara basirah ( berasaskan kekuatan hujjah dan bukti naqli juga aqli ). Perjuangan yang dibina oleh Rasulullah saw. ini , jelas berorientasikan dakwah ( penerangan ) yang bertunjangkan basirah . Basirah yang menuntut setiap pemuda memiliki kefahaman mendalam terhadap feqh islami ( Islamic knowledge ) yang kemudiannya direalisasikan ( amal islami ) di pentas perjuangan ini. Feqh ( kefahaman ) dan amal ( gerakkerja ) islami yang wujud dalam Dewan Feqh ( kesatuan kefahaman ) yang jitu dan wehdatul amal ( kesatuan gerakkerja ) yang mantap. Kita sayugianya memanafaatkan seluruh jentera Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang untuk memastikan system penggarapan wehdatul feqh dan amal bukan sahaja menjadi kenyataan tetapi meningkatkan prestasi kepimpinan dan kualiti anggota Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang. AKADEMIK KEPIMPINAN PELAPIS Sahabat sidang muktamar yang dihormati . Bagi mencapai nilai garap dan cerna yang maksimum terhadap wehdatul feqh dan amal ini , Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang akan memastikan Akademik Kepimpinan Pelapis akan siap ditubuhkan dan beroperasi dengan segala skima pengkaderan terancang sebelum berakhirnya tahun 2005 ini. ( Insyaallah , kita juga akan up gred operasi Akademik Kepimpinan Pelapis ini dengan perlaksanaan bersepadu bersama Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang. ) Semua peringkat Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang termasuk Jawatan Kuasa Pemuda PAS Cawangan , mestilah bertindak dengan suatu tindakan yang berkuat kuasa serta merta untuk menjayakan Akademik Kepimpinan Pelapis ini , dengan mengambil langkah yang pro aktif seperti :
  • Mengemaskini pengurusan organisasi dan data keanggotaan berasaskan pengamatan dan pengendalian sumber manusia yang efektif , serta menyenaraikan pemuda berpotensi tinggi untuk menggalas taklif kepimpinan parti pada sessi – sessi yang akan datang .
  • Memulihkan attitude ( sikap ) pemuda yang cepat berasa cukup dengan apa yang ada dan prejudis terhadap proses taghyir ( perubahan ) dan tajdid ( pembaharuan) , samaada dalam aspek yang melibatkan individu kepimpinan mahupun pengurusan objektif , jentera perlaksanaan dan arah tuju perjalanan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang.
  • Memisahkan pemuda daripada tradisi tangkap muat dan bidang terjun ( menyandang jawatan pemimpin tanpa melalui proses pengkaderan dan skima pentarbiyyahan ) dalam kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang. Sebaliknya mereka yang layak dengan nilai amanah dan memiliki tahap upaya memimpin yang tinggi sahaja diberi laluan untuk menyandang post kepimpinan ini .
  • Melonjak tahap dan merangsang semangat berkorban harta , tenaga , kepentingan diri , darah , nyawa dan juga emosi .
  • Bersedia untuk ditarbiyyah dan mentarbiyyah , diarah dan mengarah , dipimpin dan memimpin.

KEPERKASAAN PENTARBIYYAHAN Sahabat Perwakilan dan Pemerhati sekelian : Tarbiyyah adalah nadi kepada gerak usaha Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang untuk membina otot perkasa dalam setiap sendi organisasinya , guna mendepani cabaran dan ancaman musuh yang ternyata kian nekad. Menyedari kepentingan tarbiyyah , maka penekanan yang serius wajib diberikan dalam persoalan ini. Menurut Al Imam As-Syahid Hassan Al Banna rhm, usrah merupakan tulang belakang kepada jamaah. Lantaran itu usrah wajib dijana dari peringkat bawahan hingga ke peringkat tertinggi dalam jamaah, dari peringkat taaruf hingga ke peringkat tanfiz dan dari peringkat cawangan hingga ke peringkat negeri. Perlaksanaan usrah juga, selain daripada kita dapat menjana kesatuan kefahaman , kita juga dapat menjana elemen - elemen yang penting dalam jamaah iaitu ukhuwah,kebajikan, perkaderan dan sistem perhubungan yang ringkas tetapi pantas (one button on system). Melalui sistem usrah juga kita dapat menggandakan bilangan ahli jamaah dengan kita melatih setiap ahli usrah supaya menguasai methodology dan mahir pengurusan strategi dakwah. Sewajarnya ahli usrah wajib dilatih supaya mampu berdakwah sekurang-kurangnya secara fardi (dari individu ke individu) dan sebaik-baiknya mampu berdakwah kepada bilangan mad’u yang ramai, seperti memberi kuliyyah atau ceramah. Usrah adalah medan yang bertanggungjawab untuk melahirkan para nuqaba’ berkualiti dan berwibawa guna memimpin jentera perjuangan ini , justeru itu usrah mesti mempunyai manhaj , modul dan silibus secara berperingkat (sistem marhalah) dan menepati keperluan jamaah serta tuntutan ummah . Sistem perkaderan sebeginilah menjayakan hasrat kita untuk melahirkan amilin (petugas Islam) dalam jangka masa yang sesuai dan tepat. Demikianlah objektif dan aktiviti lain dalam skima pentarbiyyahan jamaah samada tamrin, kuliyyah, mukhayyam mahupun ijtimak hendaklah diprogramkan secara berkala, istiqamah dan bersistematik dipelbagai peringkat organ dewan pemuda. UNIT KERJA JAMAAH (UKJ) Persoalannya sekarang kenapakah sistem perkaderan seperti itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik di dalam jamaah kita? Menyedari peri pentingnya sistem perkaderan , dari peringkat cawangan hingga ke peringkat tertinggi, maka Dewan Pemuda Pas Pusat melancarkan Unit Kerja Jamaah. Unit Kerja Jamaah mensasarkan sekurang-sekurangnya 10 orang pemuda setiap cawangan menjelang 2007 dengan menjadikan sekurang-kurangnya 70000 ahli pemuda berdaftar di seluruh negara pada akhir 2007. Ini adalah suatu tindakan yang amat tepat dengan realiti pergerakan pemuda kita. Suansana suram dan malap dalam perkaderan adalah disebabkan Jawatankuasa Pemuda Cawangan (JPC) di kebanyakan cawangan gagal diwujudkan. Kegagalan ini memberi sumbangan kepada kegagalan wujudnya keseluruhan gerakerja di peringkat cawangan yang sepatutnya mengandungi gerakerja usrah, dakwah, kebajikan, sukan dan sebagainya. Kegagalan tersebut kemudiannya menyumbang pula kepada lembabnya tahap pertambahan ahli dan seterusnya memberi kesan negetif kepada keperkasaan gerakerja dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat negeri. KEPERKASAAN DAKWAH - Pertambahan Ahli Lanjutan daripada keperkasaan tarbiyyah , tercetus pula keperkasaan dalam dakwah , sebagai medium terbaik untuk menambah keahlian. Bertolak dari nokhtah ini , kita hendaklah menjadikan dakwah sebagai agenda, baik dalam gerakerja secara berorganisasi mahupun dalam gerakerja secara individu. Sementara gerakerja berorganisasi dipelbagai peringkat , negeri, kawasan mahupun cawangan pula hendaklah berorientasikan pertambahan ahli dan membina kefahaman yang jelas dan jitu terhadap dasar perjuangan. Sahabat – sahabat sekelian : Dakwah tersebut hendaklah digerakkan secara positif dan dinamis . Kursus , bengkel, mahupun seminar pengurusan dakwah sewajibnya diperhebatkan terutamanya oleh Lajnah yang berkaitan. Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang pula selayaknya tampil sebagai jamaah yang agerasif dan efektif terhadap medium dakwah ini , untuk membimbing masyarakat dan anggota parti menuju tahap Khaira Ummah . Dakwah Bil Hal - Akhlak Petugas Islam Seperkara yang amat penting dalam konteks dakwah ialah akhlak pejuang Islam itu sendiri. Dakwah bil hal yang ditunjukkan oleh pejuang Islam melalui akhlaknya akan menjadi daya penarik yang kuat untuk menambat hati masyarakat bagi menyertai perjuangan ini. Penjagaan akhlak para pejuang dan juga anak isterinya dari segi aurat ,gaya pergaulan serta budi bakti yang ditaburkan akan menjadikannya tempat rujukan bagi masyarakat. Lantaran itu , para pejuang juga mesti dibekalkan dengan ilmu dan akhlak yang tinggi dan berkualiti untuk terjun ke dalam masyarakat dan seterusnya menjadi orang penting dalam masyarakat. Justeru itu ilmu kemasyarakatan ( seperti pengurusan jenazah, penyembelihan binatang, menguruskan kenduri-kendara, gotong royong, aktiviti di masjid dan sebagainya – sekadar menyebut beberapa contoh ) mesti dikuasai oleh pejuang Islam. KEPERKASAAN ORGANISASI Allah s.w.t sudah memberi syarat kepada kita dalam surah As-Shaff ayat 4 iaitu untuk membolehkan Allah menyintai kita dalam perjuangan ini hendaklah barisan perjuangan kita berada dalam keadaan teratur rapi sebagaimana bangunan yang tersusun kukuh. Organisasi kita terdapat Ketua, Timbalan, Naib, Setiausaha, Bendahari dan juga lajnah-lajnah. Hari ini marilah kita muhasabah , malah muhasabah ini semestinya dilakukan dari masa ke semasa , Adakah segalanya mampu berfungsi dengan sebaik mungkin ? Adakah ianya menepati satu gandingan sebagaimana bangunan yang kukuh dan mantap ? Adakah organisasi dengan segala gerakkerja yang kita rancang dan laksanakan mampu menyaingi organisasi yang dirancang oleh pihak musuh dengan bilangan ahli yang ramai, kelengkapan jentera kerajaan dan juga gerakerja mereka yang terancang dan bersungguh-sungguh ? Sebagai contohnya perancangan rapi dengan menggunakan jentera kerajaan termasuk perundangan Malaysia dalam menyekat golongan muda daripada mendekati kita dalam projek PLKN (Program Latihan Khidmat Negara), maka sejauh manakah organisasi kita mampu menghadapinya? Sesungguhnya organisasi yang benar tetapi tidak tersusun dengan kemas akan dapat dikalahkan dengan organisasi yang batil tetapi tersusun dengan kemas. Sahabat – sahabat sekelian : Walaupun mereka mempunyai kelengkapan dari jentera kerajaan dengan dana yang berjuta-juta ringgit tetapi kita wajib yakin bahawa Allah membantu kita dalam pertembungan ini. Allah akan membantu kita dengan syarat kita berusaha memenuhi syarat yang ditetapkan olehNya untuk dianugerahkan pertolongan. Justeru itu kita mesti berusaha memperkukuh dan memperkasa organisasi kita. Beberapa aspek perlu diperhatikan, antaranya adakah pembahagian tugas dilakukan secara optima dengan diletakkan setiap ahli bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki? Adakah pula berlaku lambakan jawatan sementara di sudut yang lain pula terdapat ahli mampu yang tidak berperanan dan memegang apa-apa jawatan mahupun tugas dalam jamaah? Seterusnya adakah setiap lajnah yang dibina dalam jamaah dimaksimakan gerakerjanya? Justeru itu setiap lajnah di dalam jamaah wajib diadakan perancangan jangka pendek dan perancangan jangka panjang (tahunan). Setiap lajnah perlu mempunyai aktiviti dalam setahun dan aktiviti tersebut menjadi asas perbincangan dan perlaksanaan dalam setiap kali mesyuarat samada di peringkat negeri, kawasan mahupun cawangan. Sistem pemantauan hendaklah diaktifkan secara telus dan tegas oleh pihak sekteriat Dewan Pemuda PAS Negeri dengan kerjasama yang baik dan telus pula oleh pihak ketua ketua lajnah terhadap semua aktiviti yang telah diputuskan . Hubungan ataupun korelasi antara lajnah-lajnah di dalam jamaah juga hendaklah diwujudkan secara aktif dan mesra aktiviti. Ini adalah kerana kemungkinan ada terdapatnya program yang boleh digabungkan ataupun digandingkan bersama antara satu lajnah dengan lajnah yang lain. Perkara ini adalah penting supaya pertindanan program yang membabitkan pertindanan masa dan penggandaan kos dapat dielakkan. Hasil daripada keperkasaan organisasi akan terjanalah kualiti dalam jamaah yang bakal kita saksikan iaitu: 1. Seluruh ahli pemuda tidak sekali-kali berganjak dari landasan perjuangan memartabatkan Islam yang merupakan satu-satunya wadah yang mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan sejagat. 2. Pemuda akan mengembelingkan seluruh kekuatan yang ada ,menginfakkan setiap auns tenaga, setiap detik masa , setiap inci ruang dan setiap kesempatan yang ada untuk perjuangan Islam. 3. Kepimpinan dan ahli pemuda meletakkan kepentingan jamaah melebihi kepentingan peribadi 4. Pemuda akan mendepani massa ,menggarap ilmu dan kemahiran termasuk kemahiran dalam ilmu pengurusan sumber manusia , kemahiran ICT dan segala kemahiran ‘state of the art’ yang dapat menjurus kepada keperkasaan dan pemantapan jamaah. 5. Pemantapan agenda perkaderan dan dakwah pemuda bagi penambahan ahli tidak akan dapat dibendung lagi oleh musuh walaupun mereka menggunakan segala jentera kerajaan kerana kaedah pergerakan kita adalah melalui akar umbi iaitu sistem usrah dan dakwah yang dapat menyelinap ke setiap urat nadi masyarakat hatta ke dalam jabatan kerajaan itu sendiri. 6. Hasil daripada keilmuan dan pengalaman yang luas , pemuda akan menjadi lebih anjal. Keanjalan amat perlu supaya pemuda lebih relevan dan dapat mendepani semua situasi di era globalisasi ini. AKHIRUL KALAM Apabila kita menginsafi suatu tanggungjawab besar dan berat sedang menanti kita untuk menggerakkan bahtera perjuangan suci ini , sayugialah setiap individu anggota Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang melengkapkan setiap posisi yang diperlukan. Di sinilah kita dapat melihat hubungkait dan koordinasi antara keperkasaan dalam pentarbiyyahan bagi mewujudkan petugas-petugas yang hebat. Petugas –petugas jamaah yang hebat pula akan melahirkan keperkasaan dalam aspek dakwah bagi melahirkan ahli-ahli jamaah yang ramai lagi berqualiti dan seterusnya menyumbang kepada keperkasaan dalam organisasi. Seterusnya keperkasaan dalam organisasi akan membolehkan kita menepati misi Dewan Pemuda Pas Pusat iaitu melahirkan pemuda Hizbullah yang berjuang memenuhi cita-cita jamaah mencapai kemenangan Islam yang mutlak di Malaysia. Manakala organisasi perkasa yang dirancang dengan tersusun akan menepati syarat untuk dianugerahkan pertolongan Allah bagi kemenangan Islam di bumi ini yang menepati visi Dewan Pemuda Pas Pusat iaitu menegakkan daulah Islamiah di Malaysia melalui penglibatan pemuda sebagai elemen terpenting. Akhir sekali untuk kita tidak berganjak dari perjuangan ini marilah kita merenung firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anfaal ayat 15 dan 16, “Wahai orang-orang yang beriman . Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerangmu maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka” “Dan barang siapa yang berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu kecuali ia bergerak ke arah lain(untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya adalah neraka jahanam, sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali.” Sekian.

Wednesday, May 04, 2005

KEBIADABAN LIM KENG YAIK Kerajaan Islam Hadhari , walau apa pun alasan dan helah dikemukakan , ianya tetap dilihat bertanggungjawab terhadap kebiadaban Lim Keng Yaik yang keterlaluan mempersoalkan nilai dan unsur agama di sekolah - sekolah kerajaan . Lim Keng Yaik pastinya tidak berani mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa kepada umum jika Kerajaan Islam Hadhari mempunyai izzah terhadap golongan yang menghina Islam . Saya melihat keberanian Lim Keng Yaik adalah bermula dengan sikap Kerajaan Islam Hadhari yang dilihat terlalu rapuh dalam mempertahankan Islam . Kebenaran ini dapat disaksikan melalui sikap yang diambil oleh Kerajaan Islam Hadhari terhadap golongan Liberalisme Islam seperti Sisters in Islam , IRC , Astora Jabat dan mereka yang sama aqal dengannya. Sikap sambil lewa dan tidak sensitif dengan penghinaan terhadap agama menyebab orang - orang bukan Islam pula berani menghina agama Allah swt. secara terbuka. Kerajaan Islam Hadhari bertanggungjawab penuh di atas segala penghinaan ini. Sementara rakyat yang prihatin terhadap isu agama seperti ini , sewajarnya pula mendidik kerajaan dan kalau perlu menghukumnya dengan menarik balik segala sokongan yang telah diberikan selama ini. Justeru tiada taat kepada makhluk dalam perkara mengingkari Khaliq ( pencipta ).

KEJAYAAN XPDC DAKWAH 1 Mei yang lalu , Saya bersama Al Fadhil Ustaz Idris Hj. Ahmad Timbalan Ketua DPP Pusat telah memimpin siri XPDC Dakwah siri 3 . Lokasi kami kali ini ialah Stadium Merdeka , sempena konsert Fenomena Dangdut Inul Daratista. Sekitar 100 orang petugas , yang turut disertai oleh Tuan Hj. Mohd Nor Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor hadhir untuk menjayakan XPDC Dakwah ini . Risalah bertemakan Kembalilah Kepangkuan Agama diedarkan kepada pengunjung konsert tersebut. Saya juga merakam tahniah kepada Muslimat yang turut hadhir menyertai pasukan petugas kami untuk menyelesaikan XPDC Dakwah siri 3 ini. Pada saya bukan sahaja XPDC ini berjaya dilaksanakan dengan baik , setelah kami berjaya mengedarkan 5000 risalah kepada semua pengunjung yang rata - ratanya terdiri dari masyarakat warga Indonesia . Hanya segelintir dari kalangan masyarakat tempatan dilihat turut mengunjungi konsert Inul yang penuh kontraversi.Tambahan pula , sekitar jam 9 malam hujan lebat menyuramkan suasana . Anggaran saya sekitar 3 - 4 ribu sahaja yang mengunjungi konsert tersebut . Ini adalah kegagalan pihak penganjur untuk mencapai target mereka , 15 hingga 30 ribu pengunjung . Saya tidak mahu berbicara mengenai kegagalan mereka , tetapi apa yang saya nak utarakan ialah kejayaan pelbagai agensi ummah yang terdiri dari Pemimpin Gerakan Islam , para Ulama' , NGO Muslim dan juga individu individu prihatin yang memainkan peranan masing masing untuk menyedarkan masyarakat mengenai risiko dan implikasi sosial malah akhlak dan aqidah ekoran konsert seperti itu. Biarpun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan , seluruh agensi ini begitu teruja untuk menyuarakan pandangan dan mempamerkan sikap serta bantahan terhadap apa jua fenomena hedonisme. Syabas saya rakamkan disini . Tidak saya nafikan halangan yang terpaksa dihadapi tambahan pula konsert hiburan yang sememangnya mendapat kelulusan pihak berwajib seperti Kementerian dan PDRM . Maksudnya , kita bukan sahaja berhadapan dengan kejahilan masyarakat terhadap fenomena seperti ini , tetapi juga kedegilan kerajaan yang masih kelihatan galak menganjurkan program hiburan melampau , serta kelesuan ulama rasmi kerajaan terhadap isu - isu hiburan yang merosakkan akhlak dan moral ummah. Harapan saya agar kesedaran begini terus menguasai semua agensi ummah demi menyaingi arus hedonisme dan liberalisme yang kian marak kini . Juga saya harapkan agar kerajaan segera menginsafi tanggungjawab mereka untuk menyelamatkan masyarakat dan rakyat kita dari penyakit sosial , akhlak dan aqidah yang kian menular pada hari ini dengan kembali Kepangkuan Agama .

Sunday, May 01, 2005

Umat Islam diajak turun bantah Konsert Inul dan pencerobohan Masjid Al Aqsa

Friday, April 29 @ 15:25:51 MYT KUALA LUMPUR, 29 April (Hrkh) -

Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru orang ramai khususnya umat Islam memberi sokongan kuat dengan turun beramai-ramai dalam 'Ekspedisi Dakwah' membantah konsert penyanyi dangdut Indonesia, Inul Daratista pada 1 Mei ini di hadapan Stadium Merdeka.Sementara bagi isu pencerobohan Masjid Al Aqsa oleh rejim Yahudi pula, Pemuda PAS juga merayu umat Islam bersama-sama untuk berdemonstrasi aman di hadapan Masjid Jamek Kuala Lumpur pada 6 Mei ini.

Kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman, sebelum ini pihaknya ada membuat surat bantahan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung konsert Inul, tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang jawapan.

Malah dalam isu yang sama katanya, pihaknya juga ada menulis surat bantahan kepada Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Warisan, tetapi kementerian tersebut enggan membatalkan konsert 'porno' Inul itu.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklumat kepada Harakahdaily pagi tadi semasa wartawan menghubunginya. Justeru kata beliau, atas dasar kepentingan umat Islam, pihaknya akan mengadakan ekspedisi dakwah di hadapan Stadium Negara sebagai tanda protes terhadap usaha kerajaan membenarkan konsert penyanyi seksi Indonesia itu.

Program bantahan bagi konsert Inul akan bermula pada jam 6.00 petang pada 1 Mei, sementara bagi demonstrasi aman selamatkan masjid Al-Aqsa pula pada jam 2.00 petang 6 Mei ini.

Oleh itu, beliau sekali lagi menyeru umat Islam khususnya untuk turut serta menyatakan solidariti terhadap bantahan Pemuda PAS di kedua-dua tempat yang dinyatakan.