" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Thursday, February 02, 2006

Taqwim Hijri : Syiar Yang Terpinggir
Oleh : Ust. Mohd Hasrizal Abd Jamil
Assalamulaikum Wa Rahmatullahi wa Barakatuh.
Di zaman pra Islam, kaum Arab menggunakan taqwim yang berasaskan kepada sistem lunar (Qamariah). Walau bagaimanapun, mereka banyak mencampur adukkan perbuatan melewatkan tarikh, mengawalkannya sehingga kiraan menjadi caca merba. Mereka menjadikan peristiwa-peristiwa besar sebagai penamaan kalendar.

Misalnya mereka menamakan tahun 1871S.M. dengan mengambil sempena pembinaan Kaabah, banjir besar pada tahun 120S.M. dan tahun Gajah pada 571M serta tarikh-tarikh yang lain.Walau bagaimana pun, golongan Arab Jahiliah pra Islam telah meminda kalendar yang mereka gunakan itu semata-mata untuk memenuhi kehendak hawa nafsu. Mereka telah menjadikan di dalam satu tahun sebanyak 13 bulan lantas menjadikan bulan Muharram itu sebagai Safar.

Hal ini diterangkan oleh al-Imam at-Tabari di dalam suatu riwayat oleh Abu Malik, ketika menghuraikan maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran, Surah at-Taubah ayat 36:"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan. Sebagaimana yang termaktub di dalam Kitab Allah (wahyu dan Sunnatullah - peraturan Allah terhadap kejadian alam), iaitulah sebagaimana hari Allah menjadikan langit dan bumi. (Daripada dua belas bulan itu) terdapat empat bulan yang Haram.

Demikian itu adalah Deen yang benar dan lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu di dalam bulan-bulan (yang Haram) itu"Turunnya ayat ini adalah dengan tujuan membetulkan kembali penyelewengan yang dilakukan oleh Arab Jahiliah. Mereka berasa berat disebabkan oleh musim haji yang ada kalanya berlaku pada musim sejuk. Ini menyukarkan agenda perniagaan mereka lantas mereka mengubah bilangan bulan dalam setahun semata-mata dengan tujuan untuk menjatuhkan musim haji pada waktu yang selesa dengan kepentingan diri. Begitu juga, mereka sukar hendak menahan diri daripada melakukan gencatan senjata, mengelakkan pertumpahan darah pada tiga bulan Haram yang berturut-turut iaitu Dzulkaedah, Dzulhijjah dan Muharram, lantas perubahan bilangan bulan dilakukan.

Perbuatan karut ini dipelajari oleh kaum Arab daripada Yahudi dan Nasrani yang menggunakan kalendar berasaskan sistem solar iaitu setiap hari adalah bersamaan dengan 365 1/4 hari. Pada setiap empat tahun mereka akan menambah satu hari menjadi 366 hari dan setiap 120 tahun, sebulan ditambah daripada bilangan induk lantas menjadi 13 bulan bagi tahun berkenaan. Ini dinamakan sebagai Kabisah.

Namun pada tahun 1582M, Pope Gregory telah menyedari kecacatan pada kalendar mereka lalu memasukkan satu hari tambahan bagi setiap empat tahun itu pada bulan Februari lantas menjadikannya 29 hari pada setiap empat tahun.Ketika Haji Wida', Nabi SAW telah membacakan firman Allah di atas dan menetapkan kembali pengiraan bulan dalam setahun. Oleh yang demikian, Haji Wida' Nabi SAW itu jatuh tepat pada bulan Dzulhijjah sedangkan Haji yang dilakukan oleh Abu Bakr RA pada tahun sebelumnya, adalah jatuh pada bulan Dzulkaedah.
[Lihat Tafsir al-Kasyaf oleh al-Zamakhsyari 2/38].

Di zaman Rasulullah SAW dan era Khulafa' Rashideen yang awal, umat Islam menentukan pengiraan tarikh dari setahun ke setahun. Mereka menamakan tahun pertama Hijrah sebagai Tahun Keizinan sebagai merujuk kepada keizinan berperang. Tahun kedua Hijrah pula dikenali sebagai Tahun Qital kerana berlakunya peperangan Badr al-Kubra dan demikianlah dari setahun ke setahun sehingga kewafatan Nabi SAW.Era kepimpinan Abu Bakr as-Siddiq, tidak memberikan kesempatan kepada umat Islam untuk menyemak hal ini disebabkan oleh tempoh yang pendek dan kesibukan umat Islam berhadapan dengan peperangan terhadap golongan Murtad.

Sehinggalah pada tahun 17 selepas Hijrah, Umar al-Khattab yang menjadi Khalifah ketika itu melihat kepada perlunya umat Islam mempunyai suatu kalendar yang teguh untuk menjadi rangka masa pengurusan kehidupan seharian mereka serta pembinaan tamadun Islam itu sendiri. Lantas beliau mengumpulkan umat Islam dan bermesyuarat dengan mereka.

Di peringkat awalnya, umat Islam cenderung kepada menjadikan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai permulaan kalendar mereka. Namun hal ini tidak mencapai persetujuan kerana umat Islam tidak sepakat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi SAW di antara 8 dan 12 Rabiul Awwal tahun 571M. Begitu juga, kelahiran Nabi SAW bukanlah merupakan signifikasi terbesar terhadap Baginda. Hal ini berlainan dengan orang Nasrani yang menyembah Isa AS dan mengangkat Baginda sebagai tuhan. Maka sudah tentulah kelahiran Isa itu yang dianggap sebagai peristiwa terpenting.

Akhirnya umat Islam bersetuju menjadi peristiwa Hijrah sebagai permulaan hitungan kalendar mereka. (Al-Bidayah wa an-Nihayah oleh Ibnu Kathir 2 / 259)Ini merujuk kepada betapa besarnya kesan yang terhasil daripada peristiwa Hijrah itu. Ia mengubah daripada Islam yang lemah, ditindas dan terkongkong oleh tekanan, kepada Islam yang gagah, memerintah dan berjaya tegak sebagai suatu sistem yang teguh dan sempurna.

Para sahabat juga sepakat di dalam membuat penentuan kepada tarikh berlakunya Hijrah Nabi SAW. Oleh yang demikian, pada hari Rabu 20 Jumada Akhirah tahun 17 Hijrah, Umar al-Khattab dan umat Islam seluruhnya telah melancarkan Taqwim Hijri ini. Dengan itu, perhitungan terhadap Taqwim Hijri memperolehi sepakat bahawa 1 Muharram tahun pertama Hijrah jatuh pada hari Jumaat 16 Julai 622M bersamaan tahun 4382 bagi kiraan Ibrani, 933 pada kalendar Alexander the Macedon dan 1375 pada kiraan Roman dan 338 pada kiraan Qibtiah Mesir.

Semenjak itu umat Islam terus menerus menggunakan Taqwim Hijri sebagai asas ketamadunan mereka. Ia amat serasi dengan kehidupan umat Islam dan menjadi perlambangan yang penting kepada mensyiarkan Islam sebagai agama Fitrah. Taqwim Hijri yang berasaskan lunar (sistem bulan), menjadikan musim puasa dan haji jatuh awal kira-kira 11 hari setiap tahun atau sekitar 1 bulan setiap tiga tahun.

Ini menjadikan ibadah berkenaan berlaku pada pelbagai musim dan ia memberikan kesejahteraan kepada umat Islam untuk beribadah. Bagi umat Islam yang menetap di Hemisfera Selatan seperti Australia, New Zealand, Argentina, Chile, Afrika Selatan dan sebagainya, mereka tidaklah terpaksa sentiasa berpuasa pada musim panas yang menyaksikan waktu siang yang amat panjang. Setiap umat Islam mendapat bahagian mereka secara adil dan saksama.

Sesungguhnya Taqwim ini amat bersesuaian dengan fitrah manusia. Benarlah menurut pendapat sesetengah bijak pandai, bahawa kehidupan manusia adalah lebih banyak berkaitan dengan bulan berbanding matahari!Namun, penggunaan Taqwim Hijri yang menjadi syiar penting umat Islam ini merosot sedikit demi sedikit, selari dengan kemerosotan dominasi dan penguasaan Islam itu sendiri.

Perancis terus menerima pakai kalendar Gregorian yang cacat cela itu sebaik sahaja ia diisytiharkan oleh Pope Gregory pada tahun 1582M. England menerimanya pada tahun 1752M, Jepun pula pada tahun 1872M, Mesir pada tahun 1875M, China pada tahun 1912M, Greece (Yunan) pada tahun 1913M, Soviet Union pada tahun 1923 dan akhirnya selepas pembubaran Khilafah Othmaniyyah pada tahun 1924M, Taqwim Hijri telah dimansukhkan oleh Ataturk pada tahun 1926M. Lantas berbondong-bondonglah umat Islam serata dunia mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani hingga bersama mereka memboloskan diri ke lubang biawak.

Apabila disebutkan bahawa usia Nabi SAW semasa wafat adalah 63tahun, maka ramailah umat Islam berusia 60 tahun itu yang menyangka ada lagi tiga tahun sebelum mencecah usia Nabi SAW sedangkan menurut kiraan Hijri, usianya sudah mencecah ke tahap kecemasan. Anak-anak lelaki yang diklasifikasikan sebagai aqil baligh ketika mencecah usia 15 tahun itu juga merujuk kepada kiraan Hijri dan bukannya pada hitungan Gregory.

Lebih malang, hari-hari Allah [surah Ibrahim 14: ayat 5] yang padanya ada fadhilat, ada sejarah, ada hikmah dan ada kebesaran terpinggir dari kehidupan umat Islam lantas anak-anak muda kita lebih ingat kepada 'fadhilat' 14 Februari berbanding 1 Hijrah yang terperosok di celah kokokan ayam jantan Gong Xi Fa Chai tahun ini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.comCheras 560001 Muharram 1427H / 31 Januari 2006

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home