" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, June 30, 2008

PROTES 6. 7. 2008
DEMO ATAU KONSERT ?


Tergamam saya melihat poster PROTES yang bakal berlangsung pada 6. 7 . 08’ akan datang . Sangkaan saya , PROTES pada 6. 7 . 08 benar – benar akan mobilisasi kemarahan rakyat untuk mengutuk tindakan zalim kerajaan UMNO dan BN setelah derita dan sengsara dengan kenaikan harga minyak . Tetapi setelah saya melihat poster PROTES di atas , saya ternyata keliru adakah ini DEMONSTRASI atau KONSERT hiburan ?


Saya tidak melihat program dan aktiviti seperti ini wajar dimasukkan sebagai agenda PROTES yang akan berlangsung pada 6. 7 .08 kelak .


Kelak Rakyat bagai dipermain dan dipersenda . Mereka hadhir kerana mahu membantah kenaikan harga minyak dan mahu mendesak agar kerajaan UMNO dan BN memahami derita rakyat lalu menurunkan harga minyak . Mereka bukan datang untuk berhibur !



Rata – rata rakyat di seluruh negara menanti – menanti saat 6 . 7 . 08 untuk turun berdemonstrasi , membawa perasaan yang kesal dan marah terhadap kerajaan UMNO dan BN yang menzalimi rakyat . Itulah demonstrasi ! Tunjuk Perasaan !


Mereka bukan datang untuk berhibur dan melayan perasaan . Sungguh saya tidak bersetuju dengan agenda PROTES yang dilangsungkan pada 6. 7 .08 di Petaling Jaya nanti .


Saya juga tidak percaya ahli – ahli PAS khasnya pemuda – pemuda Islam yang komited dengan akhlak Islami dan syakhsiyyah muttaqin “teringin” untuk turun dan hadhir ke konsert seperti ini .



Benar kita konsisten dalam menentang tindakan kerajaan menaikkan harga minyak ke tahap yang membebankan rakyat , tetapi kita tidak boleh bersetuju cara dan pendekatan seperti ini . Kelihatan PROTES seperti tidak serius dan hanya bermain – main dengan kesengsaraan dan derita rakyat .


DEMO bukan pesta dan hiburan , tetapi DEMO adalah himpunan untuk rakyat bersatu menyatakan sikap , perasaan dan bantahan mereka terhadap pihak kerajaan yang telah merampas hak mereka .


Saya mendesak agar PROTES menggugurkan semua aktiviti yang tidak bermanafaat dan mengarut ini. Ianya sangat tidak sesuai dengan semangat DEMO untuk berhimpun bagi mengutuk tindakan kerajaan BN dan saya juga melihat ia bercanggah dengan semangat PROTES itu sendiri yang membawa maksud membantah .


Mengutuk dan membantah adalah suatu tindakan yang memerlukan kesungguhan , keikhlasan , keseriusan bukan hiburan dan keseronokan . Dan apa yang paling penting , biarpun sehebat mana dan setinggi mana kemarahan kita , sebagai seorang muslim kita tidak boleh menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara .



Gambar - gambar yang saya paparkan ini adalah sebahagian aksi kumpulan artis yang akan di undang dalam Konsert Protes nanti . : Republik of Brickfield ( ROB ) , Caburator Dung )


Di sana ada cara yang benar dan dibolehkan malah di sana juga ada cara yang tidak dibenarkan oleh syarak sekalipun ia boleh mencapai matlamat .


Kenapa PROTES tidak mobilisasi DEMO ini sebagaimana BERSIH tempohari ? mungkin PROTES boleh membuat lebih baik dari BERSIH dengan mengubah strategi yang lain , tetapi bukan menukarnya menjadi KONSERT PROTES .


Kita bukanlah tidak bersetuju dengan hiburan . Masih ada hiburan yang dibenarkan oleh syara’ , tetapi saya berpandangan bahawa DEMO membantah kenaikan harga minyak dengan membawa sejuta perasaan yang mual dan jelek terhadap tindakan kerajaan BN ini adalah suatu yang sangat tidak sesuai dan wajar diseletkan aktiviti hiburan . Tambahan pula kumpulan artis yang diundang sangat tidak sesuai untuk tontonan seorang muslim yang soleh dan muttaqin .


Sebelum ini Dewan Pemuda PAS telah membantah corak hiburan dalam satu konsert yang bakal dilangsungkan sempena sambutan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor . Walaupun itu bukan tindakan yang popular tetapi demi memelihara kemurnian akhlak dan kesucian agama , Pemuda PAS bangkit membantah sebagai satu daripada usaha amar makruf dan nahi mungkar .


Biarpun dikecam oleh pelbagai pihak , demikianlah sunnah perjuangan dalam menentang perkara mungkar di hadapi dengan tabah dan tenang oleh pemuda PAS . Niatnya hanya satu , iaitu selamatkan Pakatan Rakyat ( di mana PAS adalah rakan kongsinya ) daripada diseret jauh ke tengah lembah yang penuh dengan kemurkaan Ilahi.


Saya yakin , Pemuda PAS juga tidak mahu PROTES mengulangi perkara yang sama malah Pemuda PAS turut akan mengambil sikap yang sama andainya hiburan sebegini di teruskan . Sudahlah hiburan itu tidak manis pula di adakan pada majlis yang tidak sesuai .


Pesan saya , kalau nak berjuang , berjuanglah secara serius dan bersungguh – sungguh . Jangan bermain – main dengan perjuangan . Apatah lagi PROTES membawa harapan rakyat .


1001 kali saya tidak percaya , rakyat yang rata – ratanya muslim dan sebahagiannya pula ahli PAS datang bersusah payah , jauh pula perjalanan dengan sebahagiannya memohon cuti hanya untuk berhibur dan menghadhiri perhimpunan yang tidak serius dengan penderitaan rakyat .


Walaupun non muslim , bukan ini saat untuk mereka berhibur . Non muslim juga punya perasaan dan rasa marah terhadap kerajaan yang BN yang zalim ini . Untuk berhibur mereka boleh menghadhiri majlis lain dan ditempat lain . Bukan demontrasi PROTES !


Demo atau Konsert ? ini adalah kekeliruan besar . Melihat pada aktiviti yang tertera pada poster yang tidak ditampal ini ( sebab poster yang ditampal dibuat dalam versi lain yang tidak mengandungi aktiviti detail ) , saya tidak nampak Tuan Guru Mursyidul Am selaku MB kelantan akan hadhir ! demikian juga Tuan Haji Hadi , kalau yang dimaksudkan dengan Tuan Haji Hadi itu ialah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang , saya pasti Tuan Guru juga akan mual untuk menghadhiri aktiviti yang seperti ini .


Malah saya yakin , Tuan Hj. Mahfuz yang saya kenal rapat dengan beliau ( kerana beliau bekas boss saya dulu sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat ) juga tidak mungkin tergamak “bergedik kaki” dan “bergoyang badan” dihadapan para artis yang diundang dalam konsert PROTES itu nanti .


Saya tidak tahu , apakah semua aktiviti berada dalam pengetahuan pimpinan PAS , kerana saya tersangat yakin dengan komitmen pimpinan PAS terhadap amal Islami yang diperjuangkan selama ini akan membuatkan mereka tak senang duduk dengan aktiviti seperti ini di bawa masuk dalam PROTES. Kecuali ia beraa diluar pengetahuan pimpinan PAS terutama Mursyid am dan Presiden .


Saya harap pimpinan PAS dapat menetukan sikap yang jelas dalam perkara ini yang tentu sahaja ahli – ahli dibawah , setelah sekian lama mereka di kaderkan dengan amal Islami melalui usrah dan tamrin , kini berada dalam keadaan resah dan gelisah dengan perkembangan ini .


Sikap saya , ini bukan DEMO tetapi KONSERT hiburan ! terpulanglah kepada saudara untuk hadhir atau tidak , tetapi saya mengesyorkan agar pemuda – pemuda Islam jangan melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan tidak mendatang keinsafan apalagi tidak membawa pulangan pahala dari Allah swt.


Sebagai muslim ,biarlah apa yang kita buat itu menjadi jihad yang mengundang redha Ilahi . seperti BERSIH tempohari , walaupun banyak kelemahan dalam penganjuran , saya yakin Allah redha dan itu menjadi jihad saya dalam menentang penipuan dan penyelewengan SPR .

Sunday, June 29, 2008

KE ARAH MENEPATI PIAWAIAN
JEMAAH ISLAM CONTOH

(petikan dari buku Sheikh Mustafa Mashyur)

Seperti kata-kata Saidina Ali (ra), "Janganlah kamu kenali sesuatu kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya".

Hatta, dengan jemaah juga, seseorang itu harus mengetahui terlebih dahulu ciri-ciri jemaah tersebut sebelum menggabungkan diri kedalamnya.

Artikel ini adalah berdasarkan huraian Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya, 'Contoh Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah' dan 'Dakwah Fardiah'. Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai panduan atau rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat pilihan dan menggabungkan diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan tanggungjawab dakwah yang diwajibkan keatasnya.

Pilihan seseorang itu memerlukan perincian yang halus, hikmah, penjelasan yang terang dan meyakinkan dan tidak terburu-buru. Dalam medan dakwah masakini, terdapat banyak jemaah-jemaah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan huraian ini juga tidak bertujuan untuk menimbulkan perbezaan dan persengketaan antara jemaah yang sedia ada, tetapi sebaliknya mengharapkan ianya dijadikan sebagai titiktolak bagi sesebuah jemaah tersebut untuk kembali kepada hakikat kesatuan ummah sejagat berdasarkan ciri-ciri haraki Islam yang dihuraikan.

Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam Contoh ialah :

1) Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan memiliki segala ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardhatillah). Jemaah ini jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran, kedudukan atau suka menonjol diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari dorongan-dorongan Jahiliyyah seperti taa'sub kelompok (assabiyah), batas-batas geografi atau kenegaraan (nationalisma), dan seumpamanya.

Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawa jemaah ini kearah kegagalan.

2) Jemaah Islam ini hendaklah menggunakan AlQuran dan Sunnah sebagai sumber rujukan, dan menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk dibawah kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi mesej dakwahnya.

3) Jemaah itu dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh dan bersepadu yakni untuk menegakkan agama Allah dibumi ini dengan mendirikan Daulah Islamiah Alamiyyah (Negara Islam Sedunia). Manhajnya (methodologi) adalah berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) untuk mencapai tujuan ini, dan juga apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak atau qias). Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam 'perkara-perkara juzuk' dalam Islam seperti ekonomi, politik, ibadah dan sebagainya.

4) Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh (kesyumulan Islam) dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw), dan bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.

5) Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah) dan tidak tertakluk pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja. (sila rujuk karangan Ustaz Said Hawa, 'Durus Fil Amal AlIslami')

6) Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah), beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli, melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta mengambil kira faktor persekitaran (waqi').

Baginda mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan ibadah, mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi.

Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya, pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).

7) Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah.

Firman Allah swt, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu"

(Surah Hujurat:11-13)

8) Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.

9) Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa sahaja.

10) Jemaah contoh ini jangan sekali-kali meninggi diri serta sentiasa membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama.

Hendaklah dia sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.

11) Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mendirikan Negara Islam.

12) Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang dibawanya.

13) Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan

14) Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa, tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur sedikitpun..

15) Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama- sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam keseluruhannya.

16) Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam, sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.

17) Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt dalam surah AlHadiid: 28,

"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan memberi rahmatNya kepada kamu dua (2) bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan mengampunimu".

18) Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan, ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.

19) Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah, ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

20) Jemaah ini sentiasa menketakutan yang dialami. Mereka ini akan terus beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".

Demikianlah penjelasan yang terperinci mengenai marhalah ini. Apa yang baik itu sesungguhnya bersumberkan dari Allah swt, dan segalakekurangan itu adalah merupakan kelemahan diri saya sendiri.

Friday, June 27, 2008

Rasulullah sudah ramalkan,
Harga Barang Akan Naik.

Sedar atau tidak, kita umat Islam berbangsa melayu ini amat jarang mungkin meneliti amaran, saranan dan ramalan Rasulullah berkaitan keadaan dan kondisi umat pada akhir zaman.

Ramalan Al Quran berkaitan pembakaran minyak di Hijaz, ramalan Rasulullah berkenaan keadaan pengepungan bumi Iraq (economic sanction), gencatan senjata umat Islam dengan bangsa eropah-Amerika, perkembangan system IT dan komunikasi awam dan sebagainya jarang sekali dikupas di masjid-masjid.

Hebatnya Rasulullah iaitu insan wahyu terulung ini. Saya berminat mengambil potongan hadis sahih seperti yang dibawah untuk kita teliti.

Bersabda Rasulullah SAW daripada Auf Bin Malik,

“ Aku menghitung ada enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu; ……kemudian melimpahnya wang (harta) sehingga apabila seseorang diberi gaji seratus dinar maka ia tetap tidak puas….”

( Riwayat al-Bukhari)

Menurut Amin Muhammad Jamaluddin( 2004) , pada zaman Rasulullah satu dinar dapat membeli seekor kambing. Pada hari ini pendapatan 500 dinar tetap tidak mencukupi. Selain nafsu serakah, ia dipengaruhi oleh harga barang dunia yang semakin meningkat akibat salah tadbir ekonomi dan politik, penghakisan dan penyerapan bahan mentah secara wewenang serta sikap monopoli dan eksploitasi mata wang dunia demi kepentingan peribadi (perangai Yahudi).


Jadi Rasulullah sudah nampak akan terjadinya senario hari ini di mana permintaan (demand) melebihi pengeluaran (surplus), inflasi meningkat serta sikap gaya mewah dan berlumba-lumba ke arah kemewahan berlaku. Mari kita letili sedikit fakta di bawah.


Harga kertas dan alatan tulis akan meningkat hingga hujung tahun ini iaitu sehingga 50% ! ( Kata Alexander Lee jurucakap bagi penjual buku Selangor, Pertubuhan Percetakan akhbar wilayah Cina Pusat dan Selangor dalam The Star 22 Jun 2008). Akibatnya, pendidikan akan menjadi perniagaan.


Buku ilmiah akan dikurangkan sebaliknya lambakan bahan picisan dan lucah memenuhi pasaran kerana hanya bahan sebegitu akan menjadi perhatian ramai di dalam suasana bahan pencetakan mahal. Jadi ia boleh mempengaruhi moral sesebuah negara juga.


Kenaikan harga petrol adalah sebayak 41% dan diesel 63%. Akibatnya tarif elektrik naik. Harga barang naik. Gejala sosial dan jenayah akan menigkat. Lihat sahaja pada zaman Jepun sebaik sahaja Jepun memperkenal sistem matawang yang tiada nilai. Inflasi meningkat lebih 100% ! Jenayah meningkat. Jepun ambil tindakan mudah dengan membunuh sahaja pencuri atau dikerah ke Siam dan Burma membuat jalankeretapi maut.


Kenaikan CPI ( Indeks Harga Pengguna) adalah disebabkan;


kenaikan harga minyak
dan krisis kekurangan makanan global.


The Star juga melaporkan 22 Jun 2008 (mukasurat 22) mengenai kegelisahan dan bahana yang menimpa kini terhadap peniaga kecil mahupun peniaga sederhana modal. Akibat kenaikan harga kos (raw material), menyebabkan produk atau perkhidmatan terpaksa naik.


Tetapi peniaga kecil dilarang menaikkan harga. Gaji pekerja kerajaan (awam) tidak segera dinaikan. Gaji pekerja swasta pula mestilah berdasarkan kenaikan gaji pekerja kerajaan kerana kos sara diri di tetapkan oleh kerajaan.

Bayangkan kini kenaikan bahan asas untuk bahan pembinaan adalah sebanyak 15% hingga 20% secara umum. Untuk terperinci sebagai contoh kenaikan harga simen( 21%), pasir ( 14%), steel bar ( 60%) dan lain-lain lagi ( rujukan Master Bulders Assosiation Of Malaysia).


Akibatnya tempat tinggal tiada jaminan. Sedangkan kehendak asasi manusia ialah tempat berlindung, udara, makanan dan pakaian. Ini hak setiap manusia dalam sesebuah negara. Rasuah dan salah moral di kalangan jurutera serta kontraktor akan berlaku. Bahan murah dan banyak akan digunakan.


Akibatnya kes-kes seperti MRR2, Highland Tower dan sebagainya boleh berlaku. Banyak kehilangan nyawa dan kerugian berlaku hanya akibat kenaikan harga melampaui kemampuan individu. Lihat kenaikan harga makanan asasi negara ini di bawah.


Indeks Harga Pengguna Sehingga disember 2007


Sayur sayuran 6.4 %, Makanan diproses 3.8 %, Makanan laut 3.0 %, Daging 3.0 %, Nasi, Roti & Bijirin 2.1 %, Minyak and Lelemak 1.2 %, Gula, Jam, Manisan, Coklat,Biskut1.0 %, Buah-buahan 0.7 %


Senarai Barang Yang Mengalami Kenaikan Ketara


Cili Merah (+) 20.8 %, Tembikai (+) 15.3 %, Tembikai Susu (+) 9.2 %, Kajang Panjang (+) 8.7 %, Bawah Kecil (+) 6.9 %, Tomato (+) 6.3 %, Ikan Indian mackerel (+) 6.2 %, Ikan Hardtail scad (+) 4.9 %, Ikan Round scad (+) 4.7 %, Kailan (+) 4.5 %, Pizza (+) 4.3 % Tepung Gandum 107%, Tepung Beras 110%, Susu Pekat 75%, Telur 35%, Marjerin 64%


Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Mengapa Kenaikan Harga Barang Melampau ( Oleh Dr Shafie Abu Bakar )

Disebabkan oleh faktor-faktor yang dapat kita sebutkan sebagai faktor dalaman dan luaran.


a) Faktor Dalaman


Sebahagian dari faktor dalaman yang penting yang kenaikannya ketara memberi kesan kepada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ialah:


Pengkoporatan, Penswastaan dan Perjanjian Berat Sebelah


Dapat dikatakan kerajaan mengambil langkah silap dengan pengkorporatan dan penswastaan projek-projek lebuhraya secara berterusan, terbuka dan berat sebelah kerana ia lebih mengutamakan syarikat konsesi daripaa kepentingan rakyat.Tinggi pendapatan ialah PLUS sebanyak RM15.91 bilion dikuti Jambatan Pulau Pinang RM1.7 bilion dan Elite RM1.05 bilion. Selain daripadanya keuntungan antara RM990 juta ke RM 300 juta


Harta Negara/Rakyat Menjadi Milik Syarikat

Petronas melonjak dengan keuntungan. Contoh bagi kunci kewangan berakhir 31 Mac 2007 Petronas mendapat untung sebanyak RM46.4 bilion mengatasi keuntungan Mac 2006 sebanyak RM 43.1 bilion (NST March 28, 2007: 4). Bagi tahun Mac 2005 keuntungan sebanyak 35.56 bilion (tertinggi sejak 30 tahun operasi sebelumnya) dan bagi Mac 2004 RM23.66 bilion (UM 1 Julai 2005: 21). Dengan keuntungan tahunan semakin meningkat sejak berpuluh tahun yang lepas (sejak 1970an), Petronas mengungkit ianya telah memberi subsidi kepada rakyat sejak sepuluh tahun lepas berjumlah lebih RM50 bilion (The Star, 28 October 2007: F25).


Jana Kuasa dan Sumber Air


Api dan air adalah keperluan asasi bagi rakyat. Kedua-dua sumber ini perlu dikawal oleh negara untuk mengelak dari eksploitasi dan monopoli pihak swasta. Misalnya TNB turut berhasrat menaikkan tarifnya pada awal 2008 kerana minyak dan gas akan naik (UM, 20 Okt. 2007: 1), padahal bagi kunci kira-kira berakhir pada 31 Ogos 2007 TNB mendapat untung tertinggi 88% berjumlah RM4.06 bilion berbanding tahun sebelumnya hanya sebanyak RM2.16 bilion(The Star Biz, 26 Oct. 2007: 1).


b) Faktor Luaran


Memanglah diakui faktor luaran – dimaksudkan luar negara memberi kesan pada kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti kenaikan harga minyak yang kesannya bersifat global, kurangnya pengeluaran seperti gandum disebabkan kemarau dan bertambahnya populasi dunia. Misalnya walaupun pengeluaran makanan dunia tahun ini terbanyak iaitu 1.66 bilion ton melebihi 89 milion tan dari tahun lepas dan bertambah makmurnya penduduk seperti di Cina dan India yang mampu membayar lebih makanan (The Economist December 8, 2007: 81), dari satu pihak pula terdapat 36 negara dengan jumlah penduduk seramai 854 milion yang kekurangan makanan menyebabkan keperluan makanan masih tidak kecukupan (The Star October 21, 2007: N42).


Bahan makanan yang sepatutnya untuk dimakan, tetapi bertukar fungsi kepada biofuel dan ethanol untuk bahan tenaga alternatif seperti hasil kelapa sawit, soya, jagung dan tebu. Ini menyebabkan harga makanan sedemikian meningkat tinggi. Termasuk inflasi akibat dari turunnya nilai dolar khususnya bagi negeri-negeri yang bergantung nilaian pada mata wang tersebut.

Kenaikan harga barang dunia adalah disebabkan sikap manusia dan akan mempengaruhi sikap manusia juga. Manusia membina dunia menjurus kearah kebejatan, anak cucu manusia juga akan meneruskan nilai kebejatan malah lebih buruk lagi. Yang penting pemimpin yang mengurus ekonomi da politik perlu dididik bukan sekadar menjaga indeks, pengeluaran dan pencairan wang semata-mata.


video


Angkara Kenaikan Harga Minyak

Thursday, June 26, 2008

PAS TIDAK AKAN MENYERTAI UMNO

Oleh YB Hj Mahfuz Omar

TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu.

Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms. Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno.

Tetapi ramai yang memandang jejek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’.

PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari. Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri.

Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri.

Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini.

PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat.

Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat. PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum.

PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama.

PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu. PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party.

Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan. Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC. Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini.

Inilah keterbukaan PAS! Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato’ Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA.

Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak oleh Umno.

Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA. PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir. Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu.

Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah – sebagai tanda berat hati PAS – Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973. Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974.

PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato’ Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar. Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan. Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959.

PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu. Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno.

Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti Pembunuhan Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan. Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu.

Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno.

Mereka mahu PAS renggan dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka. PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila adalah wartawan mengatakan PAS adalah ‘real kingmaker’, Umno merasakan PAS pasti terjerat.

PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya. Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar ‘bernafas’ dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP ini.

Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang lebih ‘mesra kandang babi’ daripada ‘mesra masjid’. Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka. Ada kebenarannya. Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknnya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu.

Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran komitmen semua pihak.

PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS. Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan.

Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati, dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan. Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama senndiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja.

Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini. Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini.

PAS sudah beberapa kali belajar daripada ‘eksploitasi politik’ Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi. Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada.

Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini. Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno.

Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini. Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini.

Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan. Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggungjawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan ‘memuziumkan’ Umno bersama kebobrokannya.

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT MEMBANTAH
INSENTIF YANG MENDERAA RAKYAT MARHAIN.

Berikutan pengumuman kerajaan untuk memberi ganjaran durian runtuh sebanyak RM 1 Juta kepada atlet Malaysia yang memperolehi pingat emas dalam acara sukan Olimpik di Beijing Ogos 2008 nanti adalah suatu penghinaan , penipuan malah penderaan ke atas rakyat marhain.

( Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu juga menyebut, atlet yang mendapat pingat perak dinaikkan RM 300,000 dan pingat gangsa RM100,000. )

Kenapa tidak ? Kerajaan telah berkali – kali mengemukakan alasan bahawa mereka terpaksa mengurangkan kadar subsidi minyak kepada rakyat demi masa depan pembangunan negara dan mengelakkan kerugian besar bagi pihak kerajaan.

Kerajaan sering menyebut bahawa mereka tidak mampu lagi menanggung subsidi minyak yang diberikan kepada rakyat .

Lantaran itu , rakyat terpaksa menerima kenaikan harga minyak petrol yang kini meletakkan RM 2.70 sen untuk satu liter . Nyata kerajaan tegas dengan keputusannya tanpa memperdulikan lagi kesan penderitaan yang terpaksa dialami oleh rakyat .

Persoalannya kenapa kerajaan memberikan insentif yang sedemikian besar dan lumayan hanya kerana mengejar kemasyhuran pingat yang bakal dikalungkan kepada atlet tanpa mereka menyimpan sedikit simpati buat jutaan rakyat .

Bagaimana pula kerajaan mempunyai budget kewangan yang besar dan mencukupi untuk menabur kemewahan kepada para atlet sedang kerajaan bagaikan miskin tidak berkeupayaan untuk memulangkan hak rakyat melalui hasil jualan minyak sehingga rakyat dipaksa membayar harga minyak dengan kadar yang tinggi.


Malah kerajaan sanggup pula menyediakan skim pencen sepanjang hayat kepada atlet RM 5K untuk pemenang pingat Emas , RM 3K untuk Perak dan RM 2K untuk Gangsa.

Suatu limpah kemewahan yang keterlaluan di saat kerajaan meminta rakyat berjimat cermat dan mengelakkan diri dari pembaziran , nyata segalanya hanyalah satu pembohongan dan pendustaan yang sangat besar terhadap rakyat .

Dewan Pemuda PAS Pusat bukan sahaja kesal dengan sikap kerajaan tetapi sekeras – kerasnya membantah dan mencela tindakan kerajaan yang sering membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Dewan Pemuda PAS Pusat tidaklah mempersoalkan insentif yang mahu diberikan kepada para atlet yang berjaya mengharumkan nama negara , tetapi kadar yang dijanjikan oleh Kerajaan adalah terlalu tinggi sementara rakyat masih menghadapi tahap tekanan hidup yang sukar ekoran kenaikan harga minyak dan barangan keperluan baru – baru ini.

Langkah kerajaan ini tidak menampakkan sikap bertanggung jawab terhadap rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan agar penderitaan mereka segera dapat diatasi .

Apakah rakyat tidak bernilai serta tidak pula memulangkan hasil kepada kerajaan sehingga mereka langsung tidak berhak mendapat insentif sebagaimana yang ditabur kepada golongan atlet.

Rakyat mungkin tidak meminta RM 1 juta untuk setiap mereka , tidak juga pencen sepanjang hayat yang hampir menyamai kadar pencen seorang menteri , tetapi cukuplah jika kerajaan menurunkan harga minyak ke tahap harga “mampu bayar” oleh rakyat dan kebajikan mereka dijaga atau dipelihara oleh kerajaan dengan memulangkan atau memberi apa yang telah menjadi hak rakyat .

• Kenaikan Imbuhan Olimpik Individu


Emas: RM1 Juta (RM160,000)
Perak: RM300,000 (RM80,000)
Gangsa: RM100,000 (RM40,000)


Berpasukan (lebih daripada enam)

Emas: RM150,000 setiap seorang
Perak: RM40,000 setiap seorang
Gangsa: RM20,000 setiap seorang

Berpasukan kurang daripada enam atlit berkongsi ganjaran seperti individu

Bayaran pencen


Emas: RM 5,000
Perak: RM 3,000
Gangsa: RM 2,000

• Sepanjang hayat bermula selepas menang pingat

Tuesday, June 24, 2008

Perjuangan Era 80’an : Sebuah Kerinduan.

Terkenang bagaimana detik awal saya menyertai perjuangan suci ini . Kala itu ( 1985 ) usia saya baru mencecah 15 tahun . Selepas menduduki peperiksaan SRP , ayah meminta agar saya mengisi borang keahlian PAS.

Kesedaran awal berputik dari mimbar Masjid Rusila setelah saya mendengar buat pertama kalinya khutbah dan kuliah mingguan yang disampaikan oleh al Fadhil Tuang Guru Haji Abdul Hadi Awang . ( Waktu itu saya ditukarkan ke Sekolah Menengah Marang ( untuk Tingkatan 4 aliran sains ) dan menyewa di rumah allahyarmah Tok De di Rusila. )

Pertengahan 1986 saya melangkah kaki ke Madrasah ad Diniah al Bakriah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pasir Tumbuh meninggalkan sekolah menengah dengan mengikut seorang kenalan ( yang datang berniaga di Rusila ) ke Pasir Tumbuh . Madrasah inilah menjadi saksi bagaimana saya menjalani proses pemulihan fikrah dan terapi spiritual agar kembali menjadi “manusia” yang menepati objektif penciptaannya.

Selain mengambil silibus pengajian di pondok Pasir Tumbuh , saban bulan saya akan menyertai siri tamrin pemantapan fikrah dan qiamulail yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad Kota Bharu . Tamrin ini biasanya dikelolakan oleh al Marhum Ustaz Musthafa Rusdi .

Tokoh – tokoh pimpinan yang biasa diundang untuk memberi pengisian di majlis tamrin tersebut ialah al Fadhil Ustaz Yahya Othman , al Marhum Ustaz Mawardi Tok Kenali , al Fadhil Ustaz Wan Daud , al Marhum Ustaz Nik Abdullah ( Pak Nik Lah ) dan lain – lain yang terdiri kepimpinan pemuda negeri dan pusat .

Dari dalam pondok , saya menyertai gerakan pelajar melalui usrah yang dibentuk . Tokoh yang banyak membantu saya membentuk syakhsiyyah dan fikrah pejuang ini ialah Al Fadhil Ustaz Muhaiyyidin Husain ( Pondok Sungai Durian ) , Al Fadhil Ustaz Mokhtar Senik , al Fadhil Ustaz Asmui Sondeng , al Fadhil Ustaz Ramli Sidom , al Fadhil Ustaz Zaini , al Fadhil Ustaz Abdul Aziz , al fadhil Ustaz Nazri Mansur dan lainnya . Semua mereka adalah guru saya yang bertanggungjawab membawa saya ke pentas perjuangan.

Tentu sahaja ilmu Islam dan asas agama dibawah didikan al Fadhil Tuan Guru Hj. Hashim , al Fadhil Ustaz Rahim , al Fadhil ustaz Abu Bakar , al Marhum Tuan Guru Hj. Atiqullah menjadi pemangkin buat diri saya berubah aliran dari system jahiliyyah kepada Islam.

Sepanjang pengalaman saya bersama PAS , era 80’an adalah era yang kaya dengan pengisian tarbiyyah , pemantap fikrah dan pemerkasaan ruuhiyyah .

Tamrin , mukhayyam , katibah , qiamulial , usrah dan ijtimak adalah aktiviti yang “terhangat di pasaran jamaah “ . Kebanyakan ahli dan pemimpin bercakap soal tarbiyyah . Kalau saja bertemu sesama sendiri , topic yang dibincang selain politik ialah bagaimana pengalaman manis dan seronok menyertai tamrin di sana , mukhayyam di sini dsbnya.

Saya sendiri , apabila pulang ke kawasan pada musim cuti pengajian pasti tidak melepaskan peluang mengadakan mukhayyam bersama rakan – rakan di kawasan . Sehingga kini , apa yang saya ingat sudah lebih seratus cap kehadhiran dan penyertaan saya bersama dengan mukayyam . Dulu memang saya kaki tamrin dan kaki mukhayyam .

Suasana tarbawi sangat dirasai dan ia wujud di mana – mana . Pemimpin yang tidak menyertai atau mengadakan usrah dianggap pelik dan mengaibkan. Buku – buku tarbiyyah adalah bahan bacaan yang “terlaris di pasaran” berbanding buku – buku agama lain. Buku Maza Ya’ni karya ustaz Fathi Yakan , Mabadi’ lil Islam karya al Maududi , Muqaddimah Aqidah Muslimin karya Tuan Guru Hj. Abdul Hadi adalah antara buku yang sering habis dalam pasaran.

Ceramah pimpinan PAS dipelbagai peringkat kebanyakan berkisar soal aqidah perjuangan yang membezakan antara iman dan kufur. Isu politik hanya disentuh 30 atau 20 minit terakhir ceramah mereka . Kuliah agama yang dikelolakan oleh pimpinan PAS tidak ubah seperti pesta terutamanya di Masjid Rusila , Masjid Pulau Melaka dan lainnya.

Setiap kali pimpinan PAS turun berceramah , orang ramai sanggup menumpang belakang lori untuk menghadhiri majlis ceramah . Masih terlalu segar dalam ingatan saya , bagaimana saya mengayuh basikal dari Pondok Pasir Tumbuh ke Kampung Raja Besut untuk menghadhiri satu majlis ceramah yang disampaikan oleh al Fadhil Tuan Guru Hj. Abdul Hadi , al Fadhil Ustaz Awang Bakar , al Fadhil Ustaz Harun Jusoh dan Al Fadhil Ustaz Kassim .

Rata – rata hubungan ahli PAS dengan pemimpin mereka tidak terhenti setakat hubungan antara ahli dengan pemimpin tetapi lebih kepada hubungan murid dengan guru . Hormat ahli kepada pemimpin tidak ubah seperti seorang anak murid menyerah diri kepada guru mursyidnya .

Tidak dinafikan , terkadang ada juga berlaku krisis dan pergeseran , tetapi secara umumnya , ia sedikitpun tidak melunturkan ketaatan , kesetiaan atau wala’ ahli kepada pemimpin mereka . Mereka masih tahu cara menghormati pemimpin dan menjaga maruah jamaah .

Saya cukup merindui suasana dulu . Suasana yang penuh dengan aktiviti amal tarbawi . Dididik , ditegur dan dinasihati oleh naqib usrah adalah satu ke”nikmatan”. Diarah dan disuruh oleh pimpinan pula adalah satu “kepuasan” .

Saya percaya bahawa kenikmatan dan kepuasan itu datang dari suasana pentarbiyyahan yang dilalui secara konsisten. Suasana yang mampu meletakkan saya rasa berdosa dan bersalah apabila gagal melaksanakan tugasan jamaah. Saya merindui kenangan lalu , dikelilingi sahabat dan rakan yang sangat tinggi nilai ukhuwwahnya. Pantang tidak bertemu biar pun 2 atau 3 hari Cuma , pasti sahaja pertemuan segera di atur . Pertemuan akan berlangsung di tepi pantai , di tepi sungai , di kaki bukit , di pulau , di surau atau di markaz . ( hotel belum dikenali pada waktu itu . )

Kalau anggota satu usrah , hubungan kami tak ubah seperti adik beradik kembar . Pakai baju pun nak sama ( masa tu kami tak pandai lagi nak buat uniform berlambang parti atau baju korporat cop bulan ), keluar ke Bandar pun nak sama – sama , pergi program pun nak sama – sama . Kami redah susah senang bersama . Kalau seorang antara kami anggota usrah sakit atau ditimpa kesempitan nescaya yang lain pasti turut berkongsi derita.

Usrah Asy Syabab ! itulah nama usrah saya yang pernah bertahan 12 tahun lamanya . Zaman itu adalah zaman usrah dan zaman tarbiyyah. Saya sungguh merinduinya . Markaz di zaman itu tidak banyak tetapi majoritinya aktif dengan solat jamaah dan usrah . Paling tidak hanya pertemuan biasa sambil berbual mengenai jamaah , bertanya khabar ahli serta isu semasa dan menikmati juadah ringan .

Sungguh saya merindui saat dan detik seperti itu . Apakah ia tidak akan berulang lagi ? Bukan saya tidak suka berprogram dihotel , tidak juga saya menganggap kepimpinan hari ini tidak baik dan tidak lah pula saya mengatakan bahawa hari ini tiada tarbiyyah , tetapi …… saya merindui suasana dulu !

Namun , suatu yang perlu diinsafi tanpa perlu kita menuding kepada sesiapa . Hari ini kalau kita nak dengar perkataan tamrin dalam tempoh satu hari memang susah . Terkadang berlalu bagi tempoh satu bulan tanpa kedengaran perkataan tamrin apalagi programnya , demikian juga mukhayyam atau qiamulail .

Saya memahami betapa perlu kita berkembang mengikut tumbesar zaman dan eranya , tetapi perkara yang bersifat fundamental wajar dipertahan merentas zaman . Saya mungkin bersetuju bentuk aktivitinya boleh berubah mengikut kesesuaian tetapi roh dan semangat program amal tarbawi mestilah dikekalkan.

Saya juga percaya di mana saya tidak bersendirian dalam menanggung rindu seperti ini . Sahabat yang pernah melalaui zaman dan pengalaman seperti saya pastinya turut menyimpan rindu yang mendalam .

Bagi mengubati rindu yang sekian lama memendam rasa , saya mengharapkan rijal – rijal tarbawi yang wujud melata dalam jamaah ini kembali bangkit . Saya dapat merasakan bahawa inilah zaman atau detik kebangkitan semula era gemilang amal tarbawi setelah jenuh kita menyaksikan berlakunya perlecehan terhadap amal tarbawi oleh sebahagian yang tidak menjiwainya bahkan turut disaksi bagaimana agenda politik kepartian seakan mengatasi ruh amal Islami dan apa yang lebih malang ialah berlakunya krisis fikrah dan aqidah perjuangan dikalangan sebahagian anggota jamaah .

Inilah zamannya untuk tarbiyyah kembali dinobat malah didaulatkan sebagai agenda “wajib laksana” di semua peringkat parti bermula dari kepimpinannya yang paling tinggi hinggalah kepada anggotanya yang paling rendah .

Saya yakin , ramai anggota jamaah boleh bersetuju dengan saya apabila saya mengatakan bahawa nilai ukhuwwah fillah dikalangan anggota jamaah ( termasuk pemimpinnya ) mencapai tahap kritikal.

Demikian mutu ketaatan terhadap pimpinan dan kesetiaan terhadap jamaah juga tidak berada pada tahap yang meyakinkan .

Baiah mereka kian longgar dan wala’ mereka pula kian lekang dari hari ke sehari lantaran aktiviti amal tarbawi semakin terpinggir dari agenda utama parti dan suasana tarbawiyyah semakin lenyap dari kehidupan harian anggota parti / jamaah .

Rindu ini kembali terubat andai kita semua Berjaya mengembalikan kegemilangan amal tarbawi di dalam jamaah kita tanpa kita mengabaikan aspek tajdid dalaman parti . Masih ingat kah kita kepada ucapan al marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor agar kita : contemporary dalam tindakan , fundamental dalam berprinsip dan bersikap futuristic dalam merancang atau merencana .

Begitu juga perlu kita mengambil iktibar terhadap apa yang pernah disebut oleh Abu Hasan Ali An Nadwi :

الجمع بين القديم الصالح و بالجديد النافع

Menggabungkan tradisi yang soleh dengan penemuan baru yang bermanafaat .

Demikian jua kenyataan al Imam Malik rhm yang perlu dihayati :

لا يصلح آخر هذه الأمة إلا بما صلح به أولها .

Tidak akan gemilang umat ini melainkan turut melaksanakan apa yang menjadikan umat terdahulu gemilang.

Thursday, June 19, 2008

Pendekatan Siasah Syari’yyah di Malaysia
Khasnya di Negeri Pakatan Rakyat .

Pelbagai pihak kelihatan masih keliru dan curiga terhadap Pendekatan Siasah Syari’yyah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat untuk dilaksanakan di Negara ini , khasnya di negeri – negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat . Lebih malang apabila ia ditempelak dan dibahas tanpa ilmu sebaliknya penuh curiga dan berniat tidak baik terhadapnya.


Saya melihat fenomena ini berurutan dari sindrom Islamphobia yang dialami oleh masyarakat hari ini dan biasnya turut dirasai oleh sebahagian muslim yang bersyahadah . Semakin hari ruang kecurigaan terhadap Islam dan perlaksanaannya semakin lebar , sementara para ulama yang diharapkan untuk mempertahankan kesucian Islam , sebahagiannya lebih memberi tumpuan terhadap isu – isu khilafiah atau persoalan tengek bengek yang sering menimbul ketegangan dan keresahan dikalangan ummah tanpa mendidik mereka dengan ilmu yang jelas dan mencukupi.

Terdapat jua sebahagian pemimpin ummat Islam yang hanya menumpu kepada strategi untuk mengekalkan survival politik mereka dengan tidak memberikan perhatian terhadap strategi bagaimana Islam dapat dipraktiskan malah dihayati secara benar dan jujur sehingga tersingkap segala kecurigaan mahupun salah faham terhadapnya.

Banyak pihak perlu mengambil tanggungjawab dengan tercetusnya fenomena ini .

Pertama :

kepada golongan Islam agar tidak prejudis terhadap agama anutan sendiri . Jua tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan salah tanggap terhadap agama suci ini. Elakkan diri dari terjebak dalam kancah maksiat dan aktiviti yang tidak bermoral dengan membawa palit lumpur lalu mencemarkan kesucian Islam ini.

Pemegang urusan politik ummat Islam pula jangan dilihat hanya mementingkan karier politik mengatasi kecintaan terhadap agama. Membiar Islam dibelasah saban waktu asal cita – cita politik tercapai adalah sikap yang tidak wajar justeru politik ummat Islam tidak seharusnya gelincir dari landasan Islam itu sendiri.

Kedua :

Kepada golongan non muslim yang pastinya tidak memahami secara mendalam bagaimana Islam sebagai cara hidup mestilah terlebih dahulu mendapat pandangan atau maklumat jelas dari para ulama’ Islam sebelum membuat sebarang kenyataan atau dakwaan , apatah lagi berupa kritikan terhadap Islam.

Janganlah membuat kesimpulan mengenai Islam berasaskan apa yang dilihat oleh mata kasar lalu membuat nilaian secara melulu . Tentu sahaja perbincangan atau dialog mampu menenangkan keadaan sekaligus menceritakan betul duduknya yang sebenar.

Tindakan berasaskan dendam politik atau rasa curiga antara satu sama lain pastinya tidak membawa kepada kerukunan hidup bermasyarakat apatah lagi berbeza ideology dan anutan agama. Tiada masaalah yang tidak dapat dirungkai , sementelah pula masaalah itu adalah masaalah agama yang sememangnya agama mengajar penganutnya menjadi insan yang baik .

Nilai kebaikan itulah yang akan menjadi modal untuk membolehkan dialog , muzakarah atau perbincangan dilakukan dengan semangat inginkan kesejahteraan , kedamaian dan ketenteraman antara kaum dan agama dalam Negara ini .

Kerajaan Pakatan Rakyat

PRU 12 telah menyaksikan bagaimana Pakatan Rakyat meraih kemenangan dengan upaya membentuk kerajaan di 5 buah negeri . Tentu sahaja kemenangan itu bermaksud rakyat memberi harapan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional setelah mereka tidak lagi mampu menanggung sengsara berada di bawah system pemerintahan dan pentadbiran Barisan Nasional yang penuh dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Harapan mereka agar Kerajaan Pakatan Rakyat , biarpun parti mana yang dominan di negeri – negeri tersebut membawa sinar keadilan , ketelusan , kesaksamaan , ketenteraman dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat jelata.

Punah dan musnah harapan rakyat andai Pakatan Rakyat gagal membawa sinar baru kepada mereka malah kesal dan kecewalah mereka kerana memberi mandat dan kuasa kepada Pakatan Rakyat yang hanya mengulang sejarah pincang Kerajaan Barisan Nasional .

Dalam erti dan nilai yang lain , mereka tidak mahu menumbangkan kerajaan Buaya dan menegakkan kerajaan Harimau , di mana mereka tetap menjadi mangsa .

Pendekatan Siasah Syari’yyah .

Dewan Pemuda PAS Pusat rasa terpanggil bagi memastikan agar rakyat tidak terus menjadi mangsa kepincangan sebuah pemerintahan setelah mereka sekian lama menderita dan sengsara berada di bawah regim Barisan Nasional yang tidak sudah – sudah mengeksploitasi rakyat yang mereka pimpin.

Bertolak dari keinsafan ini , Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai sayap penting kepada Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) yang pastinya pula Islam menjadi asas perjuangan , ingin mencadangkan satu pendekatan yang boleh diguna pakai dalam system pentadbiran dan pemerintahan Negara amnya dan negeri – negeri Pakatan Rakyat khasnya , agar keadilan , ketelusan , kesejahteraan dan keamanan benar – benar dapat ditegakkan dan rakyat terbela.

Itulah cita – cita murni Dewan Pemuda PAS Pusat dan saya percaya semua pihak bersetuju untuk mewujudkan keadilan , ketelusan , kesaksamaan , kesejahteraan dan keamanan dalam Negara ini walau apa pun anutan agama dan ideology .

Justeru itu , inilah yang mahu dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat melalui cadangan Pendekatan Siasah Syari’yyah dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dikemukakan oleh al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani selaku Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan baru – baru ini .

Saya tidak Nampak ianya perlu dicurigakan apalagi menolak dan mentohmahnya dengan pelbagai tanggapan dan sinis yang tidak wajar terhadap cadangan tersebut . Selain daripada ianya masih diperingkat cadangan , Pendekatan Siasah Syari’yyah perlu diberi peluang untuk dibentang dan dikemukakan dahulu sebelum pihak – pihak tertentu mengkritik dan menghentam sehingga lajaknya sampai mempertikaikan kesucian agama Islam dan peribadi ulama’ – ulama’ Islam yang beramal dengannya.

Atas sifatnya sebagai satu cadangan , selayaknya ia dialu – alukan untuk disemak dan dinilai bahkan dibincang dan dibahas apakah ia boleh diterima atau tidak . Mana – mana negeri yang tidak mahu menerimanya , selain daripada mereka berhak menolak dengan baik tanpa perlu memperlekeh apalagi mempertikai Islam itu sendiri , mereka juga diberi peluang untuk membuktikan dimana kesalahan Pendekatan Siasah Syari’yyah sehingga ia wajar ditolak ?

Islam sendiri tidak pernah memaksa mana – mana pihak non muslim untuk menerima dan menganut Islam sebaliknya sering mengajak agar semua pihak berfikir dengan wajar dan rasional dalam menilai kebenaran. Islam juga mengajar agar kita menerima suatu yang bermanafaat dan menolak suatu yang mengundang mudharat .

Siasah Syari’yyah mempunyai prinsip umum dalam perlaksanaanya , dimana menurut perkiraan Dewan Pemuda PAS Pusat ia wajar dilaksana atau diterapkan dalam pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat . Prinsip – prinsip umum yang saya maksudkan itu seperti :

Sadduz Zaraai’ سد الذرائع
Raf’ul Haraj رفع الحرج
Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة
Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih درء المفاسد أفضل من جلب المصالح

Sadduz Zaraai’ سد الذرائع


Satu prinsip yang membentuk tindakan , peraturan atau undang – undang pencegahan agar tidak berlaku malah tidak mendorong tercetusnya maksiat dan mungkar atau penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Ianya seperti menghalang apa jua unsur yang menyuburkan mungkar tersebut . Prinsip ini menepati kaedah mencegah tentu sahaja lebih baik daripada merawat.

Raf’ul Haraj رفع الحرج


Mengangkat , merungkai atau menyelesaikan apa jua yang menjadi batu penghalang agar undang – undang , peraturan dan apa jua keputusan yang membawa kebaikan kepada masyarakat umum dapat dilaksanakan dengan baik .

Tahqiqul A’daalah تحقيق العدالة


Memastikan keadilan tertegak dan ianya boleh dialksanakan melalui pembentukan satu jawatankuasa khas atau suruhanjaya bebas yang mengawal tindakan kerajaan agar tidak menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Badan – badan seperti Hisbah dan lainnya turut membawa maksud yang sama demi mengawal Kerajaan Yang dibentuk agar tidak terjebak dalam pengkhianatan hak dan amanah rakyat .

Dar ul Mafaasid afdhal min Jalbil Masoolih درء المفاسد أفضل من جلب المصالح

Menolak kerosakan atau kemusnahan terlebih afdhal daripada mengundang kebaikan apabila situasi ini berlaku dalam satu masa yang sama . Justeru menolak kerosakan atau kejahatan itu sendiri adalah satu kebaikan buat ummah . Sebagai contoh , menolak aktiviti – aktiviti tertentu yang menghela ke arah mungkar sekalipun dilihat boleh membawa pulangan ekonomi yang lumayan kepada masyarakat .

Atau juga boleh difahami dengan tumpuan dan peruntukan yang dilabur untuk membenteras dan menghapuskan segala kerosakan , kemungkaran atau kejahatan itu terlebih baik dan wajar walaupun peruntukan dan pelaburan untuk aktiviti kebaikan yang lain menjadi kecil . Lantaran tindakan menghalang atau menghapuskan mungkar dan kerosakan merupakan satu kebaikan yang besar buat rakyat seluruhnya.

Jika ini prinsip dan kaedah yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat melalui Pendekatan Siasah Syari’yyah , sila beritahu kepada saya , dimanakah salah dan silapnya sehingga ada pihak – pihak tertentu berasa curiga dan bimbang .


Lebih malang kalau ada dikalangan pemimpin muslim sendiri yang tidak mahu perkara ini dilontarkan kerana bimbang ianya merugikan politik Pakatan atau bimbang kalau – kalau ia tidak disenangi oleh non muslim .

Persoalannya sampai bila mereka mahu bersikap tidak jujur dalam perjuangan dan politiknya. Menyembunyikan Islam yang diperjuang kerana ingin membeli hati non muslim , inilah satu sikap berpura – pura yang sering mengundang kekeliruan dan rasa curiga dikalangan rakan – rakan non muslim terhadap Islam agama suci ini .

Kenapa tidak dijelaskan kepada mereka hasrat perjuangan dan risalahnya kepada non muslim melalui pendekatan Islam yang benar sebagaimana Nabi saw. tidak pernah menyembunyikan Islam untuk menawan hati non muslim . Sebaliknya Nabi saw berjaya menawan hati non muslim dengan memberikan penjelasan yang tepat mengenai Islam .

Islam bukan agama ciptaan manusia bahkan bukan juga ciptaan Muhammad saw. Ia adalah wahyu Ilahi , tuhan yang mencipta manusia . Berasaskan reality ini pemimpin jamaah Islam sendiri mesti yakin dan optimis terhadap Islam yang diperjuangkan oleh mereka . Sebagaimana Islam yang di dokong itulah Islam yang mesti dikemukakan kepada non muslim secara jujur dan berani . Tidak ada Islam berlainan pakej untuk dikemukakan kepada non muslim .


Saya percaya non muslim akan cepat memahami dan menyedari malah menerima bahawa Islam adalah agama yang benar sekali pun enggan untuk menganut agama Islam , sementara Islam sememangnya tidak memaksa sesiapa pun untuk menganut agamanya.

Seminar Pendekatan Siasah Syari’yyah

Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan seminar khas pada bulan ogos ini untuk membincangkan Pendekatan Siasah Syari’yyah di negeri Pakatan Rakyat yang melibatkan panel dan peserta dari kalangan ulama’ , tokoh – tokoh sarjana Islam , professional , aktivis social dan penganalisis politik sebelum satu dokumen cadangan Pendekatan Siasah Syari’yyah di kemukakan secara rasmi .

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Bagaimana Paradigma Liberalisme
memasuki kosmo hidup umat Islam Malaysia?

Muhammad Nuruddin Bashah
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)

Ancaman liberal di Malaysia dan hakikatnya.

Setiap tamadun di dunia ini selalunya menjadikan agama sebagai substensi atau materi utama bagi pengisian yang menjadi tonggak utama kemandirin tamadun tersebut. Unsur mistik dan teologis-metos banyak digunapakai. Kata Marvin Perry,

“Religion lay at the center of Mesopotamian life. Every human activity-political, military, social, legal, literary, artistic-was generally subordinated to an overriding religious purpose”
[1]

Pada asasnya sekularisasi umat Kristian di barat adalah punca berlakunya budaya liberalisme. Tokoh-tokoh sosial-ekonomis seperti John Locke, Rouueau, Thomas Hobbes dan Descartes (ahli matematik) bersepakat dalam melegitimasikan sekular sebagai penyelesai kongkongan gereja dan monarki beraja.

Pada asalnya liberalisme hanya diperkata dalam hal ekonomi kerana tokoh falsafah barat tersenarai di atas telah mengasaskan satu paradigma baru iaitu kapitalisme. Kapitalisme adalah suatu permikiran yang bertunjangkan liberal (bebas dari kongkongan kerajaan dan gereja).

Bermula juga peperangan terhadap budaya lama, ekonomi lama, politik lama, cara beragama yang lama serta mengkritik beberapa warisan tradisi mereka sendiri. Pada asalnya hanya memandang budaya perhambaan sebagai suatu yang keji, mereka terus mengorak langkah berlebihan iaitu terus memerangi sebarang warisan nenek moyang mereka termasuk agama. Bagi mereka sekular adalah positif. Tokoh Kristian Indonesia Tom Jacobs SJ berkata,

“ Revolusi Perancis bererti mendirikan negara sekular. Seluruh proses ini khususnya sekitar proses revolusi, tidak hanya terang bersifat anti gereja, tetapi juga anti agama. Namun begitu usaha ke arah sekularisasi belum bererti sesuatu yang negatif”.
[2]

Di Malaysia mungkin belum lagi menjadi seperti di Indonesia yang jelas bertuhankan Islam Liberal. Barat mengklasifikasikan ajaran Abdurrahman Wahid dan Nurkholish Madjid sebagai ajaran yang akomondasionisme, Pembaharuan Islam, progresif dan Liberal. Maka muncullah satu aliran rangkaian penganut Islam munafiq yang berteraskan liberalisme.

Ada penulis atau pemikir tertentu yang menentang sistem kapitalis dan ajaran liberalisme agama atas nama menentang liberal sebaliknya seolah mengajak masyarakat ke arah sistem komunis, sosialis dan seumpamanya. Tokoh ala syiah yang pro komunis ditampilkan, tokoh ekonomis haluan kiri dipamerkan. Sedar atau tidak mereka sebenarnya mempromosikan liberalisme! Komunis dan sosialis juga adalah golongan liberal malahan lebih dahsyat lagi.

Mereka kononnya tidak liberal dalam ekonomi kerana menjaga ekonomi dan hak rakyat, sebaliknya mereka menentang agama, kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dunia, serta bertuhankan akal! Bukankah itu Maha Liberal?

Apa itu falsafah liberal?
[3]

Ensiklopedia Britannica 2001 deluxe edition CD-ROM, menjelaskan bahawa perkataan liberal diambil dari bahasa Latin liber,free. Liberalisme secara etimologi bererti falsafah politik yang menekankan nilai kebebasan individu dan peranan negara dalam melindungi hak-hak warganya.

Sejarah liberalisme termasuk juga liberalisme agama adalah tonggak baru bagi sejarah kehidupan masyarakat Barat, kerana itu, disebut sebagai zaman pencerahan. Perjuangan untuk kebebasan mulai dihidupkan kembali di zaman renaissance di Itali. Pemikiran ini muncul ketika terjadi konflik antara pendukung-pendukung negara kota yang bebas melawan pendukung paderi.

Liberalisme lahir dari sistem kekuasaan sosial dan politik sebelum masa Revolusi Perancis berupa feudalisme, dan gereja Roman Katolik. Liberalisme pada umumnya meminimakan campur tangan negara dalam kehidupan sosial. Sebagai satu ideologi, liberalisme bolehlah dikatakan berasal dari falsafah humanisme yang mempersoalkan kekuasaan gereja di zaman renaissance.

Liberalisme , seperti yang diperjuangkan oleh Frederic Bastiat, Gustave de Molinari, Herbert Spencer, dan Auberon Herbert, adalah aliran ekstrim yang dikenali sebagai anarkisme (tidak ada pemerintahan) ataupun minarkisme (pemerintahan yang kecil yang hanya berfungsi sebagai the nightwatchman state).

Liberalisme selalu menentang sistem kenegaraan yang didasarkan pada hukum agama. Oxford English Dictionary menerangkan bahawa perkataan liberal telah lama ada dalam bahasa Inggeris dengan makna sesuai untuk orang bebas, besar, murah hati dalam seni liberal.

Pada awalnya, liberalisme bermaksud bebas dari batasan bersuara atau perilaku, seperti bebas menggunakan dan memiliki harta, atau lidah yang bebas, dan selalu berkaitan dengan sikap yang tidak tahu malu.

Bagaimanapun, bermula pada 1776-1788, oleh Edward Gibbon, perkataan liberal mulai diberi maksud yang baik, iaitu bebas dari perasangka dan bersifat toleransi. Maka pengertian liberal pun akhirnya mengalami perubahan makna dan berkembang menjadi kebebasan secara intelektual, berfikiran luas, murah hati, terus terang, sikap terbuka dan ramah. Prinsip dasar liberalisme adalah mutlak dan bebas yang tidak terbatas dalam pemikiran, agama, suara hati, keyakinan, ucapan dan politik.

Dalam liberalisme budaya, fahaman ini menekankan hak-hak peribadi yang berkaitan dengan cara hidup dan perasaan hati. Liberalisme budaya secara umum menentang keras campur tangan pemerintah yang mengawal sastera, seni, akademik, perjudian, seks, pelacuran, alkohol, ganja. Umum beranggapan bahawa Belanda, dari segi liberalisme budaya, mungkin negara yang paling liberal di dunia.

Sedangkan liberalisme ekonomi mendukung hak pemilikan harta peribadi dan menentang peraturan-peraturan pemerintah yang membatasi hak-hak terhadap harta peribadi. Ideologi ini berpusat pada kapitalisme melalui pasaran bebas.

Sekularisasi Malaysia yang membawa liberal daripada barat.

Siapakah yang mensekularkan budaya di Malaysia? Malaysia bermula dengan adanya tanah Melayu dan Borneo. Penjajahan British yang begitu lama telah meninggalkan kesan terutama melalui medium pendidikan. Apabila budaya sekular mulai memasuki ruang kosmo orang Islam, mereka mula ingin mempersoal ketuanan istana yang pada asalnya menjadi penaung agama Islam dan ulama’.

Mereka mula menganut fahaman kapitalisme dan mula memusuhi budaya ekonomi Islam yang turun temurun. Wang ringgit mula berpusat kepada nilai kertas kosong sejak sahaja kuasa hegemoni British teralih kepada Amerika Syarikat.

Badan-badan hak asasi dan suara hak asasi mula dilaungkan. Walaupun bermanfaat tetapi agenda utama British dan sekutunya pada 1948
[4] adalah mensekularkan umat Islam dengan lebih dahsyat. Kini kader-kader sekular mula bersuara mempertikai hukum Islam dan kuasa sultan dalam melindungi Islam.

Usul Fiqh bagi golongan liberal.

Penulis berhasrat membawa pembaca kepada satu tajuk yang juga penting iaitu apakah dasar dan kaedah utama golongan liberal ini dalam berfatwa? Mari lihat dahulu kaedah usul fiqh bagi umat Islam yang tulen.

Menurut ulama usul fiqh mazhab Hanafi, Maliki, dan Hanbali, usul fiqh adalah kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengeluarkan (istinbath) hukum syariat dari dalil-dalilnya yang terperinci. Sedangkan menurut ulama mazhab Syafie, usul fiqh adalah pengetahuan mengenai dalil-dalil fiqh yang bersifat global, tatacara pengambilan hukum dari dalil-dalil itu, serta keadaan orang yang mengambil hukum
[5]

Dari berbagai definisi itu, topik usul fiqh menurut Muhammad Husain Abdullah
[6], meliputi 4 kajian, iaitu:

1. Kajian tentang dalil-dalil hukum yang bersifat umum (al-adillah al-ijmaliyyah), misalnya al-Qur’an, as-Sunnah, Ijma, Qiyas, dan seterusnya.

2. Kajian tentang hukum syariat (al-hukm asy-syar’î) dan hal-hal yang terkait dengannya, seperti definisi hukum syariat dan macam-macamnya.

3. Kajian tentang cara memahami dalil (fahm al-dalîl) atau pengertian kata (dalalah al-alfazh), misalnya tentang maksud tersurat (manthuq) dan maksud tersirat (mafhum).

4. Kajian tentang ijtihad dan taqlid, termasuk tatacara melakukan tarjih (analisis) untuk memilih yang terkuat dari sekian dalil yang tampak bertentangan (ta’arudh).

Berlatar pada definisi usul dan cakupan kajian di atas, dan diterapkan pada idea-idea usul fiqh fahaman golongan liberal, adakah mereka sebenarnya mempunyai model usul fiqh mereka sendiri?

Seorang pakar dan pengkritik idea liberal, Dr. Busthami Muhammad Said, menyimpulkan bahawa ijtihad dalam usul fiqh di kalangan golongan liberal dimulakan oleh Sir Sayyid Ahmad Khan, Muhammad Abduh, Qasim Amin, Ali Abdur Raziq, Toha Hussain, dan lainnya— tidak lebih dari sekadar teori belaka, iaitu tanpa kenyataan

Karya mereka tidak pernah menerangkan dengan jelas, apa sebenarnya dalil syar’iat (sumber hukum) itu. Contohnya isu menghadiri perayaan hari raya bukan Islam dijadikan dalil bagi bolehnya merayakan hari raya agama selain Islam. Mereka juga tidak pernah menerangkan dengan sempurna, bagaimana kaedah mengeluarkan hukum dari dalilnya, selain mendasarkan bahawa kaedahnya adalah hermeneutika
[7].

Padahal kaedah ini (hermeneutika) asalnya adalah untuk menafsirkan Bible (Perjanjian Lama dan Baru); tentu salah untuk menafsirkan al-Qur’an, kerana Bible dan al-Qur’an sangat jauh berbeza. Tidak aneh jika Norman Daniel (Daniel, Islam and The West: The Making of an Image, hlm. 53) menegaskan,

“Al-Qur’an tidak mempunyai kesejajaran dengan [kitab lainnya] di luar Islam.”

Maka dengan itu, untuk dikatakan golongan liberal mempunyai landasan usul fiqh, amat diragui. Akan tetapi, barangkali ada yang bertanya, bukankah mereka kadang kala menyampaikan gagasan berhubung usul fiqh?

Golongan liberal Indonesia pula kadang menggembar-gemburkan usul fiqh baru. Nurcholish Madjid dan kawan kawan, misalnya, pernah mendakwa mengikuti metode usul fiqh Imam asy-Syatibi dari kitabnya, Al-Muwâfaqât fî Ushûl al-Ahkâm, ketika menggagas bukunya yang gagal, Fiqih Lintas Agama (2004). Abdul Moqsith Ghazali (aktivis JIL) mencetuskan beberapa kaedah usul fiqh ‘baru’, seperti

1. Al-‘Ibrah bi al-maqâshid la bi al-alfazh (Yang menjadi hukum adalah maksud/tujuan syariat, bukan ungkapannya);

2. Jawaz naskh nushush bi al-mashlahah (Boleh menghapus nash dengan maslahat);

3. Tanqih nushush bi ‘aql al-mujtama’ (Boleh mengubah nas-nas dengan akal jumhur.

Perjuangan liberal banyak menjerat banyak organisasi Islam

Tahukah kita, di mana-mana negara umat Islam berlaku banyak gerakan hak asasi dan keadilan-sosialistik yang aktif sebenarnya membawa agenda liberalisme. Kadangkala jamaah Islam mahupun badan-badan dakwah umumnya telah bekerjasama dengan mereka demi memperjuang hak kemanusiaan dan menentang kezaliman. Antara slogan dan tema perjuangan mereka adalah;

Free media (pembebasan hak media massa)
Free women (emansipasi gender)
Free press (liberalisasi media cetak)
Free religion (menyamaratakan antara agama, asas perjuangan sekularisme barat).

Free politic (politik ala anarki, haluan kiri yang lebih bersifat kritikal dan radikal).

Mungkin hal ini smua menjadi dilema gerakan Islam juga di Malaysia. Pentingnya pendokong gerakan Islam untuk berhati-hati agar strategi melawan kezaliman dan himpitan tirani bertukar menjadi penggadaian nilai agama satu demi satu.

Perang psikologi dalam peperangan liberal.

Barat akan terus melancarkan serangan melalui liberalisasi norma dan minda umat Islam
[8]. Mereka menanam minda inferior ke dalam lubuk hati umat Islam. Umat Islam Malaysia akanrasa tidak yakin dengan sistem Islam, aqidah Islam, rasa tidak logik dan terkongkong. Antara doktrin yang berjaya mereka tanamkan; Rasa ortodoks jika beramal dengan syiar Islam seperti pakaian ala muslim yang menutup aurat.

Rasa konservatif jika pendapat kelihatan tegar dan tidak pragmatif apabila berhadapan dengan isu liberal seperti bayi tabung uji, pengklonan dan sebagainya.

Rasa sistem feudal beraja di Malaysia adalah mengongkong dan ketinggalan zaman. Raja yang menjadi simbol dan kubu agama Islam dianggap sebagai tugu sahaja.

Ekonomi beradab dianggap ketinggalan zaman sebaliknya sistem kapitalisme dianggap sebagai rukun ekonomi baru.

Politik haluan kiri dikatakan ubat untuk melawan doktrin lama yang ala kapitalisme. Akhirnya mereka membawa idea liberal agama yang lebih buruk lagi.

Akhirnya mereka menanam rasa benci kepada ulama’, pemikir Islam, sistem pengajian Islam dianaktirikan, buku agama dipinggirkan di pasaran, Al quran diselewengkan, ajaran Islam Hadhari yang bertopengkan liberalisme dipamerkan. Daripada liberalisasi norma dan nilai, bertukar kepada liberalisasi aqidah di Malaysia.

Sebagai insan sedar. Marilah kita hayati seni dakwah golongan liberal di Malaysia yang bertopeng disebalik banyak proksi dan badan tertentu. Mereka juga bijak atas nama profesional dan hak sejagat. Sedarkan masyarakat disekeliling anda.

[1] Dipetik daripada tulisan Adian Husaini MA, Sekularisasi Dan Liberalisasi Islam –Cabaran tamadun Melayu.
[2] Ibid
[3] http://www.insistnet.com/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=68
[4] tahun 1948 adalah tahun keramat bermulanya suatu peraturan dunia berkenaan hak asasi manusia. Atas alas an mengambil kira hak sedunia, British cuba menghakis pengaruh Islam melalui ruang perjuangan hak asasi !
[5] (al-Amidi, Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm, jld. I, hlm. 10).
[6] Abdullah, Al-Wadhîh fî Ushûl al-Fiqh, hlm. 29
[7] Adnin Armas, Pengaruh Kristen-Orientalis Terhadap Islam Liberal, hlm. 35
[8] Rujukan terbaik adalah buku Dr. Saadduddin Al sayyid Salih, strategi musuh Menentang Islam Darul Nu’man 1996.
http://skuad.wordpress.com/
http://munawwarah.blogdrive.com/
http://landskapsiasah.blogspot.com/