" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, December 29, 2008

DERITA GAZA
APA UPAYA KITA ?

Biar Gaza beribu batu dari sini tetapi deritanya bagai di depan mata . Malang sungguh bagi muslim yang masih mampu diam membatu diri menyaksi penderitaan Gaza .

Benar kita tidak sampai tangan dan kaki tapi sekurang - kurangnya kita ada berbuat sesuatu untuk bersama penderitaan mereka .

Paling tidak kita mendoakan mereka agar segera bebas dari penderitaan , hulurkan bantuan kewangan untuk meringankan penderitaan mereka , suarakan bantahan kepada dunia khasnya Amerika untuk menunjuk kebersamaan kita dengan penderitaan ummat Palestine dan tidak lupa kita mendesak agar seluruh ummat Islam bangkit dan pemimpin - pemimpin ummat Islam berbuat sesuatu untuk mengajar Israel Alaihi Laknatullah .

OIC mesti digesa agar mengambil langkah berkesan untuk menyelamatkan ummah seagama dan seaqidah . Kenapa tentera ummat Islam boleh dihantar ke Perairan Somalia , ke Bosnia sebelumnya dan ke seluruh negara untuk misi pengaman antarabangsa tetapi tidak ke Palestine .

Ummahku , apakah derita Gaza tidak pernah mendekap dihati kalian ? atau kalian tidak pernah dapat menghayati apa ertinya derita ?

Bangkitlah ummahku . Marilah kita kita titipkan doa buat mereka tanpa jemu dan bosan jua tanpa buruk sangka kepada Allah swt Tuhan Yang Maha Kaya lagi Lagi Maha Perkasa .

Insyaallah esok ( selasa : jam 11 am ) Dewan Pemuda PAS Pusat akan menggerakkan ummat Islam prihatin untuk berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika bagi membantah kekejaman sekutu rapatnya ( rejim Israel )di Gaza .

Saya mengharapkan agar kita semua dapat keluar beramai - ramai menyatu hati bersama ummat Islam di seluruh dunia menyuarakan bantahan di samping kita mengadakan solat hajat agar Israel segera dihukum dan dibinasakan .

BAGAIMANA MENANGANI
KOMUNIKASI & INTERAKSI
DALAM JAMAAH INI

Saya bukanlah pakar motivasi dan juga psikologi. Cuma saya ada terbaca satu artikel seketika dulu dan mengingatkan saya beberapa isu yang ditimbulkan dalam komunikasi dan interaksi harian kita . Agak menarik dan wajar kita kongsi bersama .

Sebelumnya , Islam sendiri ada meletakkan formula atau prinsip umum berkait komunikasi dan interaksi agar kita dapat membentuk satu hubungan yang harmonis dan mencetus suasana damai .

Lebih - lebih lagi untuk hubungan kita sesama anggota Gerakan Islam dan antara kita sesama muslim yang lain . Contohnya firman Alah swt :

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة و الموعظة الحسنة و جادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين

Serulah ( manusia ) agar kembali kepada Jalan Tuhanmu dengan hikmah ( bijaksana ) dan nasihat yang baik serta dialog/debat dengan mereka dalam suasana yang baik ( untuk tegak kebenaran ) . Sesungguhnya Tuhanmu , Dialah yang Maha Mengetahui perihal mereka yang tersasar ( sesat ) dari jalanNya dan Dialah jua Yang Maha Mengetahui siapa pula yang mendapat petunjuk .

Surah An Nahl . Ayat : 125

Petunjuk ayat :
Ayat ini telah meletak asas komunikasi dan interaksi dalam berdakwah mengajak manusia agar menerima risalah as samawi .

pertama : Bijaksana ( hikmah )
Kedua : Nasihat/tunjuk ajar yang baik ( Mauizah )
Ketiga : Dialog atau debat secara baik untuk mencari kebenaran dan keadilan ( mujadalah )

Firman Allah swt :

و عباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا إذا خاطبهم الجاهلون قالوا سلاما

Hamba Allah ( ar Rahman ) ialah orang yang menjalani kehidupan di atas muka bumi secara merendah diri ( tidak sombong/angkuh ) dan apabila berkomunikasi dengan orang yang jahil mereka bercakap secara harmonis .

Surah al Furqan . Ayat : 63

Petunjuk Ayat :

Ini pula antara disiplin rabbani yang membentuk karektor kita sebagai insan yang layak mendapat rahmat Allah swt ialah :

Pertama : Merendah diri ( tidak angkuh/ego )
Kedua : Bercakap dengan baik ( sejahtera dan harmoni - tidak sinis dan menyakitkan )

Firman Allah swt :

الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنة أولئك الذين هداهم الله و أولئك هم أولوا الباب

( Antara sifat insan rabbani ialah ) orang - orang yang mendengar perkataan lalu ia ( hanya ) mengikut apa yang terbaik dan mereka adalah orang yang telah mendapat petunjuk Allah dan mereka adalah golongan intelektual .

Surah az Zumar . Ayat : 18

Petunjuk Ayat :

Sekali lagi Allah mendidik manusia agar tidak cepat menunjuk sikap menolak atau menidakkan orang lain sebaliknya dengar terlebih dahulu lantas buat pertimbangan untuk menerima apa yang baik sebagai tauladan sementara yang tidak baik diabaikan untuk menjadi sempadan . Sikap sedemikian disebut oleh Allah sebagai sifat para intelektual atau cendikiawan atau lebih jelas disebut sebagai orang yang memiliki aqal fikiran yang baik .

Kesilapan yang selalu berlaku dan perlu diberi perhatian .

Terkadang suasana harmonis dan damai ini sering tercabar dan tergugat angkara "lemah" atau "salah" komunikasi . Lebih malang dakwah dan mesej perjuangan kita juga turut terencat keberkesanannya lantaran komunikasi dan interaksi yang "rambang"

1 . [ Merasa diri hebat. ]

Samaada dalam kenyataan atau ucapan , kita sering dengar orang berkata " saya yang buat...." " saya yang beri ..." " saya lah yang mengasaskan....." " sayalah yang lakukan ...."

Mungkin secara umumnya , orang akan melihat ucapan seperti itu membawa kepada "ananiah" atau ke"aku"an dan ke"saya"an atau dengan maksud lain , hanya ana , hanya aku , hanya saya .....

Merasa diri hebat dan ditunjukkan pula dihadapan ramai adalah satu akhlak yang tidak baik malah sangat tidak disukai oleh orang lain . Sebagai ahli jamaah , kita sewajibnya mengelak dari menggunakan ayat - ayat sedemikian dalam komunikasi dan interaksi kita justeru kesannya amat buruk kepada hubungan ukhuwwah dan dakwah kita .

Sepatutnya kita [ merendah diri ]

Apa yang perlu ialah merendah diri walau kita hebat . Contohnya dari segi akademi kita "Phd" , jawatan kita "Ydp" , pengalaman kita "senior" , Penglibatan kita "veteran" , ilmu kita "ustaz" dan sebagainya adalah sekali - kali tidak salah jika kita merendah diri , malah kehebatan kita tidak terjejas hanya kerana kita merendah diri sebaliknya diri kita lebih dihargai .... tak percaya , tanyalah orang ramai ! tanyalah ahli ! bukalah al quran .... kita akan temui kebenarannya.

2. [ Merendahkan Orang Lain ]

" Awak telah silap.... " . " Awak apa Tahu.... " , " Kenapa awak buat begini .... " " Awak lupa ..."

Ayat sebegini pula mempunyai nilai merendahkan orang lain atau menafikan kebijaksanaan orang lain dan menonjolkan elemen negatif terhadap pihak lain seolah - olah kita menidak dan menghukumnya dalam perkataan kita .

Mungkin kita tidak bermaksud demikian , tetapi nilai komunikasi dan interaksi kita merosot dan persepsi terhadapnya negatif . Orang tidak suka kita menggunakan ayat seperti meng"hujum" atau menyerang mereka walau tidak bermaksud menyerang .

Justeru , kita boleh elakkan atau berhati - hati ketika menggunakan perkataan "awak" dan "kenapa" walaupun ia hanya sekadar ingin bertanya dan memohon penjelasan kerana ia seolah - olah mempersoalkan kebijasanaannya .

Biasanya orang guna "awak" dan "kenapa" dengan maksud di atas dalam debate untuk mematah hujjah lawan , ertinya ia tidak sesuai dalam komunikasi dan interaksi untuk membentuk suasana harmonis dan damai antara ahli - ahli jamaah Islam apatah lagi terhadap madu'u kita .

3. [ Panjang - panjangkan Perkara Remeh ]

Apabila kita bercakap sesuatu isu , tidak perlu kita babitkan perkara - perkara lain yang tidak ada sangkut paut dengan isu asal apalagi kalau ianya adalah perkara remeh temeh . Meskipun ia remeh , tetapi sikap kita memanjangkan perkara remeh akan merosakkan komunikasi dan interaksi kita sesama ahli Jamaah .

Termasuklah sikap suka bertengkar , bertekak atau bertegang urat dalam perkara yang tidak perlu semata - mata ingin menang pendapat , menang idea , menang pengaruh dan 1001 macam menang yang kita dambakan . Kenapa kita tidak beralah sesama kita .... ?

Inilah beberapa perkara yang saya mahu kongsikan dengan sahabat semua . Sedikit sebanyak saya juga mesti belajar bagaimana memperbaiki dan meningkatkan mutu komunikasi serta interaksi . Semoga berjaya .

Saturday, December 27, 2008

Ustaz Jamahir Idris dan Hj. Ahmad Abd Rahman
Kini Terlantar di Hospital

Sangat menginsafkan ! Begitulah yang boleh saya ungkapkan , dimana keinsafan seringkali menerjah diri ini setiap kali menziarahi pesakit di hospital
. Inilah hikmah Islam mendidik penganutnya agar sering menziarahi pesakit . Kesannya sangat besar kepada diri kita yang masih sihat .
Hari ini ada dua tokoh PAS Pahang [ yang tidak sedikit jasa mereka kepada perjuangan Islam ini ] sedang terlantar di Hospital Besar Tengku Ampuan Afzan Kuantan .
Ustaz Jamahir Idris ( Pesuruhjaya PAS ke 5 - 1969 - 1977 )

Ustaz Jamahir Idris merupakan salah seorang tokoh pengasas PAS Negeri Pahang, beliau yang dilahirkan di Indonesia dan mendapat pendidikan di Institiut Pengajian Islam, Bandung, pernah menjadi Setiausaha Hizbul Muslimin. Sejarah penglibatan tokoh ini kedalam perjuangan Islam di negara ini bermula apabila beliau berhijrah ke Malaya bersama bapanya pada tahun 1958.


Ustaz Jamahir Idris, telah melibatkan dirinya dalam perjuangan Islam sejak di Indonesia lagi di bawah Jamaah Masyumi. Pejuang Islam yang gigih ini adalah juga pengasas kepada kewujudan Sekolah Menengah (A) rakyat Kampung Selamat, Tanjung Api, Kuantan, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan.


Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS yang kelima kini berada di Hospital HTAA Kuantan ( Tingkat 8 ) kerana jangkitan kuman di paru - paru . Semoga Allah segera menyembuhkan beliau .


Senarai Pesuruhjaya PAS Pahang :


Allahyarham Mohamed Yassin Bin Salleh (1958-1963)

Allahyarham YM Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah (1963-1965).

Allahyarham Ustaz Ishak Abdullah (1964-1965).

Allahyarham Dato Abu Samah Hj Ali (1965-1969).

Ustaz Jamahir Idris (1969 - 1977)

Allahyarham Ustaz Mohd Rusdi Ariff (1977-1982).

Tuan Haji Syed Ibrahim (1982-1984)

Allahyarham Ustaz Mohd Rusdi Ariff (1984-1987)

Allahyarham Tuan Guru Haji Alwi Abdul Hamid (1987-1993)

Tuan Guru Haji Mohd Baqi Osman (1993 - 1999).

Ustaz Idris Omar (1999 – 2004).

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (2004 hingga kini).


Haji Ahmad bin Abdul Rahman


Beliau adalah seorang tokoh veteran PAS kawasan Rompin . Mempunyai komitmen yang tinggi terhadap perjuangan ini sehinggalah kini beliau terlantar di wad icu kerana masaalah usus di HTAA Kuantan ( tingkat 2 )


Beliau juga adalah ayah kepada al Fadhil Ustaz Shukri Hj Ahmad Yang diPertua PAS Kawasan Rompin dan al Fadhil Ustaz Nazri Hj Ahmad Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Rompin .


Alhamdulillah , kini beliau sudah mulai sedar dan mampu bercakap beberapa patah perkataan meskipun kelihatan masih lemah . Sama - sama lah kita doakan agar beliau segera sembuh .

Thursday, December 25, 2008

PENGGUNAAN FEQH MUWAZANAH
DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN.

Membuat keputusan tidaklah semudah ungkapan atau arahan untuk mencapainya . Terkadang proses kajian dan perbincangan untuk membuat keputusan hanya berakhir dengan kebuntuan apabila ianya tidak berada di atas landasan atau manhaj membuat keputusan yang baik dan betul .

Terutama keputusan yang melibatkan soal strategi dan gerakkerja amal Islami dalam Gerakan Islam . Tidak mudah kerana ia berhadapan dengan 1001 kemungkinan sementara harapan yang disandarkan dari keputusan tersebut sangat tinggi .


Justeru itu , kita mesti benar - benar menguasai manhaj dan mekanisme membuat keputusan agar kita mampu meminimakan unsur kelemahan dan kekurangan dalam keputusan yang diambil , jauh sekali unsur kesilapan dan kesalahan dalam memuktamadkan sesuatu keputusan .

Saya melihat antara mekanisme yang perlu dikuasai oleh para amilin Gerakan Islam khasnya para pemimpin ialah Feqh Muwazanah atau Kefahaman yang jelas , benar dan tepat dalam pertimbangan sebelum membuat keputusan .

Peranan Feqh Muwazanah .

Feqh Muwazanah [ Feqh Pertimbangan ] adalah satu makenisme yang sangat berkait rapat dengan Feqh al Awlawiyyat [ Feqh Keutamaan ] dalam kita mengambil sesuatu keputusan dan tindakan agar apa yang kita lakukan adalah suatu yang terbaik .

Secara garis kasarnya , Feqh Muwazanah ialah :

* Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemaslahatan dan manafaat dari berbagai kebaikan yang telah disyariatkan .

* Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemudharatan , kerosakan dan kejahatan yang dilarang atau ditegah oleh Syariat .

* Membuat pertimbangan antara maslahat ( kepentingan ) dan mudharat ( kerosakan ) , antara kebaikan dan keburukan apabila 2 perkara yang bertentangan ini bertemu antara satu sama lain .

PERTIMBANGAN [ AT - TAWAZUN ] ANTARA MASLAHAH .

Kita akan dapati Maslahah ( kepentingan / kebaikan ) yng telah ditetapkan oleh syara' tidak berada dalam satu kategori sahaja bahkan ia terbahagi kepada beberapa kategori :

a ] Dhoruriyat - ضروريات

Jika tidak memilikinya ( dhoruriyat ) nescaya kita tidak boleh menjalani kehidupan ini seperti agama , nyawa dan aqal .

b ] Haajiyat - حاجيات

Kita masih mampu hidup sekalipun tanpa memilikinya ( haajiyat ) tetapi kita akan mengalami kesukaran dan kesulitan hidup yang getir seperti rumah , kenderaan dan perkara seumpamanya.

c ] Tahsiiniyat - تحسينيات

Suatu yang menambah keselesaan , kesenangan dan kemewahan dalam hidup kita dan ia juga sering disebut sebagai pelengkap ( كماليات ) seperti kenderaan kedua , rumah kedua , perabot tambahan dan lain - lain .

Keputusan yang kita hendak ambil ialah pastinya keputusan yang terbaik atau yang afdhal dan yang Aula . Maka pertimbangannya secara prinsip umum ialah mendahulukan Dhoruriyat ke atas Haajiyat demikian juga Tahsiiniyat .

Begitu pula sewajarnya kita mendahulukan Haajiyat ke atas Tahsiiniyat dalam pertimbangan yang melibat perkara dalam 2 kategori tersebut .

Dhoruriyat terbahagi kepada 5 :

* Agama
* Jiwa
* Keturunan
* Aqal
* Harta

Sebahagian Ulama' menambah perkara yang ke enam dalam senarai Dhoruriyat ini iaitu Maruah ( penghormatan ) .

Proses membuat keputusan ialah mengambil pertimbangan dengan teliti dan meletakkan Agama sebagai perkara yang terpenting daripada senarai dhoruriyat dan ia mesti didahulukan berbanding Jiwa , keturunan , aqal dan harta .

Pertimbangan teliti dan cermat ke arah menghasilkan keputusan yang baik dan wajar terhadap pelbagai maslahah ( kepentingan ) tersebut ialah dengan menggunakan kaedah berikut :

1. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang sudah pasti ke atas maslahah ( kepentingan ) dalam jangkaan atau masih diragui kedudukannya .


2. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang besar ke atas maslahah ( kepentingan ) yang kecil .


3. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) awam berbanding maslahah ( kepentingan ) individu .

4 . Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang banyak berbanding maslahah ( kepentingan ) yang sedikit .

5 . Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) yang berterusan dan berkesinambungan berbanding maslahah ( kepentingan ) yang sementara .

6. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) inti dan prinsip yang fundamental berbanding maslahah ( kepentingan ) yang bersifat luaran ( cabang ) dan tidak penting .

7. Mendahulukan maslahah ( kepentingan ) masa depan yang kuat , kukuh dan pasti berbanding maslahah ( kepentingan ) semasa yang lemah dan tidak pasti .

Iktibar dari Hudaibiyah

Sebagai contoh kita boleh melihat peristiwa Perjanjian Hudaibiyah bagaimana Nabi saw telah mengutamakan maslahah ( kepentingan ) prinsip dan masa depan berbanding maslahah ( kepentingan ) yang bersifat cabang dan semasa .

Nabi saw. setuju memadam kalimah Bismillahirrahmanirrahim sebagaimana yang dituntut oleh Kafir Quraisy pada surat perjanjian lalu diganti dengan Bismikallahumma . Demikian juga Nabi saw. setuju memadam nama Baginda Muhammad Rasulullah lalu diganti kepada Muhammad bin Abdullah .

Tindakan yang diambil oleh Nabi saw. adalah menafikan ( maslahah ) kepentingan semasa yang bukan sahaja membuatkan Nabi saw terpaksa menangguhkan umrah pada tahun itu ( walau telah berihram ) tetapi juga terpaksa berhadapan dengan bantahan dari para sahabat yang merasakan bahawa mereka ditewaskan oleh kuffar Quraisy secara diplomatik .

Namun begitu , Nabi melihat maslahah ( kepentingan ) masa depan dengan mewujudkan perjanjian damai atau gencatan senjata dengan musuh yang membolehkan Islam bergerak dan berkembang pesat di era damai itu , lalu akhirnya membawa kepada kemenangan besar bagi ummat Islam iaitu Fathul Makkah ( pembukaan Kota Makkah )

PERTIMBANGAN [ AT - TAWAZUN ] ANTARA MUDHARAT

Mudharat ( kerosakan ) juga mempunyai beberapa tahap . Mudharat ( kerosakan ) yang memusnahkan dhoruriyat seperti agama adalah tidak sama dengan mudharat ( kerosakan ) yang membinasakan Haajiyat dan Tahsiiniyat seperti rumah dan perabot .

Demikianlah juga mudharat yang merosakkan harta dan jiwa tidak sama tahapnya dengan mudharat yang meruntuhkan agama dan aqidah ( walau dalam satu kategori iaitu dhoruriyat ) .

Justeru itu , para Fuqaha' menetapkan beberapa kaedah untuk menangani persoalan ini :

1. Tiada bahaya ( tidak boleh mencetuskan bahaya ) dan tidak boleh membahayakan ( diri sendiri atau pihak lain )


2. Suatu bahaya seboleh mungkin mestilah disingkirkan .


3. Suatu bahaya tidak boleh dihapuskan dengan bahaya yang serupa atau lebih .

4. Bahaya yang ringan jika dibanding dengan bahaya yang lain ( lebih berat ) mesti dipilih ( bahaya yang ringan ) dan boleh dilakukan .


5. Bahaya yang lebih ringan boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang lebih besar .


6. Bahaya yang bersifat khusus boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang sifatnya lebih umum dan luas .

PERTIMBANGAN APABILA MASLAHAH DAN MUDHARAT BERTEMU

Apabila dalam satu perkara mempunyai maslahah ( kepentingan ) dan mudharat ( kerosakan ) secara serentak . Ada bahaya dan dalam masa yang sama ada manafaat . Keadaan ini sangat - sangat memerlukan kita menimbangnya dengan teliti , tekun dan cermat sebelum membuat keputusan .

Situasi seperti ini menuntut kita mengambil keputusan berasaskan pertimbangan yang lebih berat dan lebih banyak dengan mengabaikan yang lebih ringan dan sedikit .

Contohnya arak . Kita terpaksa mengabaikan sedikit manafaat yang terkandung didalamnya berbanding mudharat yang lebih besar dan banyak padanya . Firman Allah swt :

يسئلونك عن الخمر و الميسر قل فيهما إثم كبير و منافع للناس و إثمهما أكبر من نفعهما

Mereka bertanya kepadamu Wahai Muhammad mengenai Khamar ( arak ) dan judi , katakanlah : pada keduanya ada dosa ( kemudharatan ) yang besar dan manafaat bagi manusia dan dosa ( kemudharatan ) pada keduanya lebih banyak dari manafaat keduanya .

Surah al Baqarah : 219

Sebaliknya jikalau dalam satu perkara itu terdapat manafaat yang banyak dan lebih besar maka perkara itu boleh dilakukan sementara kerosakan kecil yang ada padanya boleh diabaikan .

Antara kaedah penting dalam menangani perkara ini ialah :

1. Menolak mudharat ( kerosakan ) mestilah didahulukan ke atas pengambilan manafaat .

درء المفاسد على جلب المصالح

Kaedah ini disempurnakan oleh kaedah yang lain :

1. Kerosakan yang kecil dimaafkan untuk mendapatkan kemaslahatan yang lebih besar .

2. Kerosakan yang bersifat sementara dimaafkan demi kemaslahatan yang sifatnya berterusan / berkesinambungan .

3. Kemaslahatan yang sudah pasti tidak boleh ditinggalkan hanya kerana ada kerosakan yang baru dijangka wujudnya .

Penutup

Sesungguhnya Feqh Muwazanah ini mempunyai erti yang sangat besar dan penting , khususnya dalam masaalah siasah syari'yah kerana ia merupakan landaan pembinaan ummah yang pemeringkatannya juga boleh dilihat sebagai Feqh al Aulawiyat .

Sewaktu kita membuat keputusan dalam menetapkan gerakkerja jamaah sebagai contoh , seringkali kita berdepan dengan dilemma antara dua perkara dimana kedua - duanya dilihat baik atau paling baik seperti menentukan calon dalam pilihanraya .

Feqh Muwazanah memainkan peranan besar dalam perkara ini . Tatkala sukar membuat keputusan , terkadang kita terpaksa mendahulukan perkara baik tanpa risiko berbanding perkara yang paling baik tetapi mempunyai risiko .

Begitu juga disaat berat kita buat keputusan , feqh Muwazanah menetapkan cara kita membuat keputusan seperti kita terperangkap antara dua situasi " kalau berjuang mungkin kita mati tetapi kalau tidak berjuang agama pula mungkin mati " maka pertimbangannya ialah dibaca sekali dengan Feqh Aulawiyat bahawa kita kita mesti mendahulukan Agama berbanding Jiwa kita . lalu wajib kita kita turun berjuang walau risikonya mengorbankan nyawa .

LAMPIRAN :

BAGAIMANA MENGENAL PASTI MASLAHAT DAN MUDHARAT


Nota : 1

Asasnya , kemaslahatan yang perlu dipelihara ialah kemaslahatan akhirat demikian juga kemaslahatan dunia menurut urutannya .

Bertolak dari nokhtah itu , kita boleh mengenal pasti kemaslahatan dan kemudharatan ini melalui :

a. Ketetapan Agama ( Nas Naqli )
b. Fungsi Aqal Fikiran ( Nas Aqli )
c. atau kedua - duanya sekali .

Pendapat Imam Izzudin Abdus Salam dalam kitabnya : Qawai'd al Ahkam Masholih al Imam seperti berikut :

" Kebanyakan kemaslahatan dunia dan kerosakannya dapat diketahui dengan aqal sekaligus menjadi bahagian terbesar dari syariah kerana telah diketahui bahawa sebelum ajaran agama diturunkan , orang yang beraqal telah mengetahui bahawa usaha mereka untuk mencapai suatu kebaikan dan menghindar terjadinya suatu kerosakan pada diri manusia menurut pandangannya suatu yang terpuji dan baik ."

Nota 2 :

" Mendahulukan sesuatu kemaslahatan yang diterima kuat ( rajih ) atas kemaslahatan yang tidak diterima ( marjuh ) juga merupakan suatu yang terpuji dan baik . Sementara penolakan terhadap kerosakan yang dianggap pasti berbanding penolakan ke atas perkara yang dianggap belum pasti juga merupakan suatu yang baik . "

Nota 3 :

Konsep asal yang diambil dalam membuat pertimbangan ( tawazun ) :

Tindakan yang menghasilkan kemaslahatan yang baik merupakan perbuatan yang paling mulia sedang perbuatan yang menghasilkan kerosakan merupakan amalan atau tindakan yang paling hina .

Nota 4 :

a.] Kemaslahatan mempunyai 3 bahagian :

- Wajib
- Sunat
- Mubah ( harus )

b.] Kemudharatan mempunyai 2 bahagian :

- Haram
- Makruh

Sekian , semoga keputusan dibuat adalah yang terbaik :

Salam Perjuangan dari saya.
Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi

HUDUD
Keperluan Rakyat dan Negara .

Isu Hudud sekali lagi membelah ruang politik tanahair dengan pelbagai polemic yang sengaja ditimbulkan oleh pelbagai pihak . Seolah – olah mereka bersikap tidak pernah mahu memahami kenapa Hudud atau Kanun Jinayah Syari’ah dipertahan dan diperjuangkan oleh PAS sebagai sebuah Gerakan Islam dan lebih penting lagi ialah , mengapa Hudud sangat diperlukan oleh Negara .

Undang – undang Jinayah Syari’ah ini bukanlah suatu yang baru atau asing terutama kepada ummat Islam di Malaysia . Sejak 1990 apabila PAS Berjaya menguasai negeri Kelantan undang – undang Jinayah Syari’ah atau Hudud menjadi popular sejurus draf Qanun Jinayah Syari’ah itu dibentang dalam Dewan Undangan Negeri buat pertama kalinya.

Telah banyak seminar , symposium , nadwah dan wacana yag dianjurkan seluruh Negara bagi membincang serta membahaskan harapan dan halangan perlaksanaan hukum hudud di Negara kita amnya dan di Kelantan khasnya .

Kalau nak faham , saya kira semua orang sudah boleh memahami prinsip , konsep , falsafah , objektif dan matlamat perlasanaan hukum hudud . Terutama bagi seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah swt dan Kitab yang diturunkanNya . Kalau pun benar mereka belum memahami hukum hudud , mereka pasti sahaja tahu siapa orangnya yang boleh dirujuk untuk mempelajari atau mengambil tahu mengenai hudud .

Malangnya , mereka sengaja menjadikan hudud sebagai satu polemic ( terutama menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu sekaligus mengharapkan agar gandingan Pakatan Rakyat berpecah ) untuk menimbulkan keresahan dikalangan non muslim dan juga dikalangan muslim yang masih gagal untuk memahami Islam agama yang mereka sendiri menganutnya.

Saya menyokong kenyataan Naib Presiden PAS Dato’ Husam Musa yang kembali mempertegaskan hasrat PAS untuk melaksanakan hudud kiranya rakyat memberikan mandat kepada PAS sebagai sebuah Gerakan Islam untuk memimpin dan mentadbir Negara ini .

Ia menjelaskan bahawa PAS tidak pernah pudar prinsip perjuangannya walaupun telah meredah pelbagai musim yang penuh cabaran dan kekangan sebaliknya masih segar bugar dengan pegangan atau aqidah perjuangannya. Inilah yang menjadi rahsia kekuatan PAS mampu bertahan sejak tahun 51 hingga kini biarpun terlalu banyak serangan dan ancaman dari pihak musuh.

Hudud bukanlah ciptaan PAS . Inilah yang dipertegaskan entah kali ke berapa ribu oleh pimpinan PAS bahkan Mursyid Am . Ia adalah ciptaan Tuhan Qadhi Rabbul Jalil dan Tuhan yang samalah memerintahkan agar hudud dilaksanakan . Firman Allah swt :

و أن احكم بينهم بما أنزل الله

Dan hendaklah kamu menjalankan hukuman antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt.

Surah al Maaidah : 49

Kenapa harus ia menjadi polemic apabila Naib Presiden PAS mempertegaskan hasrat dan cita – cita PAS untuk mendaulatkan undang – undang Tuhan . Firman Allah swt :

أفحكم الجاهلية يبغون و من أحسن من الله حكما لقوم يوقنون

Sesudah itu , patutkah mereka berkehendak lagi akan hukum Jahiliyyah ? Siapa lagi yang terlebih baik hukumnya ( berbanding hukum Allah swt ) bagi mereka yang yakin .

Surah al Maaidah : Ayat 50

Saya tidak hairan apabila Lim Guan Eng pantas menolak hasrat PAS yang mahu melaksanakan hudud andai Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah Negara ini justeru Lim Guan Eng bukan seorang yang arif mengenai Islam dan dia tidak mempunyai pertimbangan dosa jua pahala .

Biarpun saya sangat tidak bersetuju dengan sikap beliau yang pantas membuat kenyataan membantah hasrat murni PAS untuk melaksanakan hukum Allah swt di atas tanahair tercinta ini. Sementelah beliau berulangkali menyatakan bahawa beliau mahu memimpin negeri berasaskan kepimpinan Umar bin Abdul Aziz . Umar bin Abdul Aziz tidak pernah menolak hukum Allah swt tersebut .

Saya sekali lagi sangat tidak bersetuju , bagaimana seorang pemimpin yang menegaskan mahu memerintah negeri dengan Amar Makruf Nahi Mungkar tiba – tiba secara terbuka menolak hasrat suci PAS mahu melaksanakan hudud . Mungkin beliau gagal memahami bahawa hudud adalah Amar Makruf .

Tetapi saya lebih kesal , lebih hairan dan lebih – lebih tidak bersetuju apabila UMNO sendiri yang mempertikaikan hudud . Mereka mempunyai kuasa memerintah Negara tetapi sejak merdeka mereka gagal melaksanakan hukum Allah swt ini .

Khairy Jamaludin contohnya , sewaktu membentang idea dan hujjah dalam Wacana Perdana di Kota Bharu baru – baru ini mempersoal kenapa Kelantan yang dikuasai PAS sejak 18 tahun yang lalu masih gagal melaksanakan hudud .

Sedang semua pihak tahu , masih wujud terlalu banyak kekangan undang – undang dan perlembagaan untuk membolehkan Kelantan sebagai sebuah Kerajaan Negeri melaksanakan hudud . Malah UMNO pernah memberi amaran kepada Kelantan agar tidak melaksanakan hudud bahkan UMNO pernah mencabar hudud dan menyamannya ke mahkamah .

Persoalannya kenapa tanggungjawab melaksanakan hukum Allah ini mahu dibebankan kepada Kelantan yang hanya bersifat Kerajaan Negeri dan pasti sahaja banyak halangan dan ketidakupayaan mengatasi kekangan undang – undang bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hudud .

Kenapa UMNO sebagai sebuah kerajaan yang telah menguasai Kerajaan Pusat sejak awal malah pernah menang besar pada tahun 2004 , mendapat mandat rakyat yang hampir solid menguasai parlimen enggan melaksanakan hudud ?

Paling tidak , kenapa UMNO tidak pernah membawa usul ke parlimen agar kerajaan BN melaksanakan hudud sedang UMNO juga turut mendakwa mereka adalah parti umat Islam ?

Malaysia Perlukan Hudud.

Hudud adalah undang – undang Jenayah yang berasaskan syariat Allah swt . Undang – undang yang dicipta sendiri oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini . Undang – undang untuk membenteras jenayah . Hukumannya adalah untuk menghukum penjenayah yang merosakkan kepentingan manusia seperti harta ( kerana mencuri ) , aqal ( kerana minum arak ) , keturunan ( kerana zina ) , nyawa ( kerana membunuh ) dan agama ( kerana murtad ) .

Apa yang tidak kena dengan hudud sehingga ia mahu ditolak dan hasrat PAS mahu melaksanakannya dibantah keras ? Jika kerana masih belum memahaminya , PAS sedia menyediakan bengkel khas untuk memahamkan mereka mengenai hudud .

Atau kerana apa ? kerana kepentingan politik ? bukankah kita berpolitik untuk kesejahteraan ummah dan menjaga ke amanan Negara ? Lalu kenapa masih tidak selesa dengan hudud ? bukankah Hudud untuk membasmi penjenayah yang gagal dihapuskan oleh undang – undang ciptaan manusia sejak merdeka lagi .

Kenapa tidak memberi peluang kepada Islam menunjuk atau membuktikan keupayaannya menghadapi jenayah yang dilakukan oleh manusia . Kita boleh merujuk bagaimana indeks jenayah yang semakin meningkat dalam Negara kita walaupun pelbagai akta dan undang – undang telah diperkenal dan diperketatkan .

Rasionalnya setelah kita buntu dengan satu cara , kita mesti mencuba cara yang lain . Demikian hari ini Negara telah buntu menghadapi peningkatan indeks jenayah dan jelas undang – undang yang ada pada hari ini gagal mengekang peningkatan serius jenayah dalam Negara kita . Kenapa tidak memberi peluang kepada Islam ?

Melaksanakan Islam dan hukumnya bukan bermakna non muslim dipaksa masuk atau menerima Islam . Melaksanakan Islam juga bukan bermaksud semua orang mesti dihukum , yang dihukum hanyalah mereka yang bersalah dan disabitkan kes .

Hudud tidak zalim , jauh sekali ganas sebagaimana tohmahan sebahagian mereka yang jahil dan berniat jahat terhadap Islam . Sekali lagi saya tegaskan bahawa hudud adalah hukum Allah swt dan Allah telah menitahkan seluruh hambanya agar berlaku adil dan membasmi kezaliman/keganasan . Firman Allah swt :

إن الله يأمر بالعدل و الإحسان و إيتآئ ذى القربى و ينهى عن الفحشاء و المنكر و البغى يعظكم لعلكم تذكرون

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebajikan serta member bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar serta kezaliman . Dia mengajar kamu dengan suruhan dan laranganNya ini semoga kamu mengambil peringatan dan mematuhinya .

Surah an nahl : Ayat : 90

Monday, December 22, 2008

JENTERA PEMUDA PAKATAN RAKYAT :
ANTARA YANG MESTI ANDA LAKUKAN

Jentera Pilihanraya Kecil P.036 Pemuda Pakatan Rakyat telah sempurna dilancarkan oleh Ayahanda Tuan Guru Dato' Seri Hj. Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS baru - baru ini di Markas PAS Kawasan Kuala Terengganu Kuala Ibai .

Pelancaran tersebut bukan bermakna segala gerakkerja memenangi pilihanraya baru bermula , tetapi ia lebih bermaksud sebagai satu isyarat bahawa kita kini berada di satu garisan atau pusingan yang memerlukan semua jentera , khasnya jentera pemuda melakukan pecutan akhir untuk memenangi pilihanraya kecil P.036 yang hanya diisytiharkan kekosongan kerusinya oleh SPR berikutan kematian al Marhum Dato' Razali Ismail baru - baru ini .

Jentera adalah mesin penggerak yang bertanggungjawab mengaktifkan seluruh organ parti agar tidak sekadar berfungsi tetapi mampu mencetus gerakkerja berkesan , menumbuh kesedaran ahli , meraih sokongan pengundi dan membawa pulang 'tropi' kemenangan .

Jentera menjadi sandaran parti dan harapan ummah yang mahukan agenda perubahan berjaya dilaksanakan dengan baik . Pendek kata , sebahagian dari faktor kemenangan parti dalam pilihanraya bergantung kepada sejauh mana keupayaan dan kemampuan jentera melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan amanah dan istiqamah .

Apa yang paling penting , ia turut bergantung kepada tahap prestasi diri setiap individu jentera , apakah ia menepati piawaian jentera yang ikhlas , taqarrub Ilallah , soleh , benar dan sebagainya yang mampu meraih redha Allah swt. sehingga turun nusrah atau mau'nahNya .

Syarat Menang Mestilah Berjuang

Saya mengharapkan Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan 'memberi' yang terbaik . Tampil dengan himmah yang tinggi , syaksiyyah yang solehah dan perwatakan yang meyakinkan sebagai duta parti .

Ingatlah , bahawa kita menyertai pilihanraya bukan kerana tuntutan demokrasi jauh sekali untuk beriman dengan demokrasi , tetapi kita menyertainya justeru mengambil peluang yang ada untuk membawa risalah perjuangan suci yang kita dokong selama ini iaitu syariat Islam dan seluruh syiarnya .

Ertinya kita mesti bekerja gigih dan tekun , serta teliti tanpa peduli apa halangan yang terpaksa kita hadapi sebagaimana kita bekerja keras dan rajin , serta tegas tanpa menghiraukan apakah keputusan yang akan kita perolehi , menang atau kalah .

Berkali telah saya tegaskan bahawa perjuangan kita tidak syarat menang , tetapi untuk mencapai kemenangan syaratnya mestilah kita berjuang .

Sekurang - kurang perkara yang perlu dilakukan oleh Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat ialah :

1. Spiritual Yang Akrab .

Maksudnya : Jentera jangan turun beraksi tanpa mempersiapkan diri dengan kerohanian yang akrab atau erat hubungan dengan Allah swt. Turunlah dengan nama Allah swt. bersama iringan doa memohon restu Allah swt agar apa jua bidang tugasan yang kita lakukan beroleh kejayaan dan hasil yang gemilang .

Janganlah kerana tugas kononnya , kita abaikan tanggungjawab asas kita sebagai seorang hamba Allah swt dan menjarakkan hubungan kita denganNya . Sebagai contoh , mengabaikan solat 5 waktu dan meringan - ringan solat berjamaah atas alasan keletihan setelah berjaga malam dengan kerja dan tugasan yang banyak .

Konsisten dengan munajat dan solat hajat adalah suatu yang sentuhan terbaik jika dilakukan oleh jentera sendiri berbanding orang lain tanpa menafikan orang lain juga perlu terus bermunajat .

2. Akhlak Mahmudah.

Merujuk kepada syakhsiyyah atau peribadi yang terpuji . Bukan hanya terhenti kepada perilaku tetapi juga tutur bicara , penampilan , pakaian , interaksi dan segalanya mestilah lunak , berhemah dan menawan hati .

Saya percaya , jentera adalah orang yang paling letih dan penat sepanjang tempoh pilihanraya ini. Kekadang mereka tidak sempat makan dan tidak cukup tidur demi memastikan segala urusan dan gerakkerja berjalan lancar mengikut jadual . Waktu - waktu beginilah emosi mudah terganggu dan kesabaran mudah tercabar .

Jentera mesti tabah dan berjiwa besar . Bekerjalah dengan tenang dan senantiasa bertindak sambil mengorak senyuman yang menggamit damai setiap orang yang berurusan dengan jentera pemuda . Sabarlah menghadapi karenah orang ramai yang pastinya pelbagai ragam . Anggaplah segalanya adalah ujian dan kita tanganinya dengan hikmah dan sakinah .

Tambahan pula berdepan provokasi musuh , jentera pemuda mestilah bijak mengawal keadaan dan awasi situasi agar tidak terperangkap .

3. Dengar dan Taat .

Suasana pilihanraya seringkali meletakkan jentera berhadapan dengan arahan yang bersifat ad hoc atau tugasan diluar garis pandu dan bidang tugas yang telah diputuskan . Jentera mesti sabar dan tabah menghadapi keadaan ini . Jangan merajuk apalagi menunjuk sikap protes terhadap pimpinan . Sekalipun jentera tidak mampu melakukan arahan tersebut , maklumkanlah keuzuran dengan beradab dan baik .

Laksanakan tugas atau arahan sebaik mungkin dengan hati yang mengharapkan redha Allah swt dan mengharapkan keputusan yang positif serta hasil kerja yang terbaik . Jangan sekali - kali melaksanakan tugasan secara sambil lewa atau sekadar melepaskan batuk ditangga .

Bekerja dan berjuanglah dengan rasa bangga bukan rasa bersalah meskipun kita berhadapan dengan penguasaan musuh . Selesaikan tanggungjawab sebagaimana yang diharapkan semampu mungkin sekalipun kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri seperti masa , wang ringgit , tenaga malah darah dan nyawa jika perlu .

4. Faham dan Ikhlas

Jentera mestilah terlebih dahulu menguasai satu - satu bidang atau perkara yang diamanahkan kepadanya sebelum dilaksanakan agar menghasilkan keputusan yang baik . Jangan segan untuk bertanya dan jangan rasa rendah diri untuk menerima tunjuk ajar walau dari sesiapa . Apatah lagi menerima tunjuk ajar dari pimpinan atau mereka yang berpengalaman .

Jentera mestilah faham matlamat dan objektif sesuatu tanggungjawab yang digalaskan kepadanya dan laksanakannya kerana Allah swt bukan kerana manusia atau lainnya. Setiap masaalah yang timbul mestilah segera dirujuk kepada pihak yang berhak membuat keputusan .

Lantaran ikhlas kita kepada Allah swt , maka kerja yang kita lakukan jangan mengharap imbuhan apalagi pujian manusia . Saya tidak nafi bahawa setiap kerja perlukan peruntukan kewangan , namun kita menyedari bahawa peruntukan tidak semesti cukup dan memadai . Kita memerlukan pengorbanan untuk berjaya dalam perjuangan ini .

5. Tindakan berasaskan Syura.

Elakan sikap bertindak sendirian , demikian juga keputusan sendiri mestilah dihindarkan sebaliknya merujuk kepada keputusan bersama yang diputuskan melalui mesyuarat samaada diperingkat jentera dalam bidang kuasa tertentu atau keputusan yang telah diambil oleh kepimpinan parti .

Mungkin sesuatu keputusan itu tidak menepati selera dan kemahuan kita . Maka kita mestilah bertanggungjawab dengan keputusan tersebut dan laksanakan amanah tanpa sebarang rasa ralat di dalam hati .

Contohnya calon yang bertanding . Besar kemungkinan calon yang diputuskan oleh pimpinan kelak bukanlah calon favourite kita , maka kita tidak perlu gundah jauh sekali berpaling tadah meninggalkan jamaah atau tutup pos sebagai protes .

Kita berjuang kerana Allah swt bukan kerana calon dan bukan kerana sesiapa . Keputusan syura insyaallah akan membawa kebaikan kepada kita , jamaah dan perjuangan Islam itu sendiri insyaallah .

Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh jentera , namun cukuplah dulu saya membawa beberapa noktah yang perlu perhatian serius dan segera oleh semua peringkat jentera . Akhirnya saya harap kita semua berjuang gigih dan bersungguh - sungguh . Berkorban apa jua yang mampu menyumbang kepada kemenangandan tentu sekali kemenangan ini amat bermakna buat perjuangan kita selama ini .

Selamat berjuang kepada semua jentera pilihanraya pemuda Pakatan Rakyat dari saya dan Yb Salahudin selaku Ketua DPPP serta seluruh exco DPPP .

Saya juga merakamkan setinggi - tinggi rasa syukur kepada Allah swt. dan terima kasih sebanyak - banyaknya kepada Sdr Shamsul Iskandar Mohd Aqil dan seluruh EXCO AMK yang gigih bersama turun menguatkan jentera demi meburu kemenangan .

Selamat Berjuang dari saya .
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua DPP Pusat

Labels:

Friday, December 19, 2008

JANGAN DI UNDANG
BALA ALLAH

Sangat menyentuh perasaan atau sanubari ahli jamaah dengan tajuk dan kupasan khutbah jumaat di Masjid Qariah Balok Pantai hari ini .

Khutbah tersebut di disampaikan oleh sahabat saya al Fadhil Ustaz Suhaimi bin Ismail ( gambar ) .

Beliau membacakan ayat 16 dari surah al Isra' sebagai muqaddimah khutbahnya . Firman Allah Swt :

و إذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا

dan jika kami ( Allah ) hendak membinasakan sesuatu negeri , maka kami perintahkan kepada golongan mewah di negeri itu supaya mentaati Allah swt , tetapi malang mereka melakukan kemaksiatan , maka pastinya kami turunkan bala dengan menghancurkan negeri itu sehancur - hancurnya .

Al Isra' : Ayat 16

Tanpa menafikan faktor ekologi , geografi dan cuaca sebagai sebab berlakunya musibah seperti gempa bumi , tsunami , tanah runtuh serta banjir besar , kita juga wajib menginsafi bahawa segala musibah dan bala ini adalah satu peringatan daripada Allah swt kepada ummat manusia yang kini kebanyakkan dalam keadaan lalai dan leka terhadap tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah swt .

Allah swt pernah menghancurkan tamaddun dan ummat terdahulu seperti Firaun yang ditenggelamkan oleh Allah dalam ombak tsunami besar , Qarun Allah benamkan ke dalam perut bumi , Namrud Allah seksanya dengan tentera nyamuk , Kaum Thamud Allah binasakannya dengan halilintar , Kaum Aa'd dihancurkn Allah dengan hujan batu yang menimpa mereka .

Semua kaum tersebut Allah binasakan justeru maksiat dan mungkar yang mereka lakukan sekalipun mereka mempunyai tamaddun yang hebat dan kekuasaan yang tinggi namun penderhakaan mereka kepada Allah Tuhan Yang Maha Kuasa dan Hebat akhirnya membinasakan mereka bersama dengan sebuah keangkuhan .

Demikian tegas al Fadhil Ustaz Suhaimi di dalam khutbahnya yang penuh semangat dan menyentuh jiwa mereka yang beriman dan bertaqwa . Terasa gerun terhadap akibat murka Allah swt kepada manusia yang derhaka dan angkuh terhadap agamaNya .

Ustaz Suhaimi turut mengajak ahli jamaah mengambil iktibar dari apa yang berlaku melalui sejarah silam dan juga apa yang menimpa negara kita seperti banjir , tsunami dan terbaru kes Tanah Runtuh di Bukit Antara Bangsa .

Apa yang menarik khutbah hari ini turut mendedahkan bahawa sikap manusia yang tamak dan degil membawa akibat kepada semua . Betapa undang - undang telah diputuskan sejak 2001 bahawa sebarang pembangunan atau pembinaan di kawasan kecerunan atas 25 hingga 35 darjah adalah tidak dibenarkan . Tetapi mengapa dari 2004 - 2007 terdapat 99 projek di lereng bukit yang telah diluluskan ?

Penyelewengan , pecah amanah , rasuah , penipuan , tamak , rakus dan bongkak antara senarai maksiat yang mengundang murka dan bala dari Allah swt . Apabila bala ini datang , tak siapa mampu menghalangnya walau ia sehebat Jet Li seorang hero kung fu terkenal yang turut akur akan kehebatan tsunami dengan lari lintang pukang tanpa sempat menunjukkan skil kung fu nya yang konon mampu berjalan di atas air .

Sungguh menarik kupasan khutbah Ustaz Suhaimi dan cukup menginsafkan . Saya cukup tertarik dengan gaya kupasan dan penjelasannya secara detail mengenai isu yang melanda negara hari ini .

Terkenang saya kepada kisah silam . Kebetulannya Ustaz Suhaimi adalah room mate saya semasa belajar di Universiti Al Azhar Tanta Mesir dulu .

Semasa belajar dulu sekitar tahun 1992 - 1997 , ustaz Suhaimi tidaklah menunjuk kehebatan atau bakatnya berkhutbah . Sebaliknya bakat beliau lebih terserlah sebagai pemain bola sepak di posisi pertahanan . Malah beliau adalah pertahanan yang sangat dihormati oleh semua pasukan lawan di Mesir pada waktu itu . Beliau sendiri mewakili Pasukan Fursan Tantawi yang sering membawa pulang anugerah kejuaraan kahsnya di peringkat Muhafazah selepas Pasukan Kijang Kelantan .

Tetapi saya perasan benar antara kecenderungan Ustaz Suhaimi yang membawa kepada keupayaan beliau berkhutbah pada hari ini . Sejak di Tanta dulu , beliau sering mengumpulkan keratan - keratan khutbah Tok Guru Hj. Hadi dan Tok Guru Nik Aziz yang dipotongnya dari akhbar Harakah . Beliau akan fotostat dan bukukannya lalu disebar kepada kawan - kawan .

Sehingga kini saya masih menyimpannya . Mabruk Ustaz Suhaimi . Teruskan perjuangan saudara .

Kandungan penuh Khutbah Ustaz Suhaimi akan siarkan beberapa hari lagi . Bolehlah sahabat sahabat copy untuk disampaikan di qariah masing - masing .

Wednesday, December 17, 2008

Nasib Seorang Presiden
Kuasa Besar Dunia

Gempar juga apabila George W. Bush yang dulunya angkuh dipersada kuasa sebagai Presiden Amerika Syarikat dan tiada siapa yang berani mendongak muka dihadapannya , kini dihina dihadapan ramai apabila ada seorang wartawan melemparkan kasut ke arahnya.

Dilempar dengan kasut adalah satu keadaan yang sungguh hina berbanding batu . Walaupun kesan dilontarkan kasut ini tidaklah sakit berbanding terkena balingan batu , tetapi ia sangat menyakitkan hati dan menjatuhkan air muka . Sungguh memalukan !

Saya hanya boleh kata : Padan muka kau Bush ! Dasar jahat dan zalimnya selama ini hanya meninggalkan tunas dendam kesumat yang sangat mendalam dalam jiwa setiap orang .

Lihatlah bagaimana seorang wartawan yang biasanya sabar dan cool dengan pelbagai situasi demi tugasnya untuk mendapatkan berita dan liputan tiba - tiba bertindak nekad dan orang yang dilontar itu bukan sembarangan manusia . Ia adalah Firaun zaman ini !

Saya jangka tiada orang berani nak sanggah George Bush di atas muka bumi ini , apatah lagi membalingnya dengan kasut terpakai . Nyata jangkaan saya sangat tidak benar . Kini George Bush dihina sedemikian rupa .

Saya ambil kesempatan untuk memperingatkan agar pemimpin negara kita hari ini jangan lupa diri dengan gah kuasa dan pengaruh yang ada pada hai ini sehingga sesuka hati menzalimi orang lain . Tangkap dan sumbat orang ke dalam penjara tanpa bicara , letupkan orang yang tidak berdaya , rasuah dan menggelapkan wang rakyat dengar kadar yang sangat luar biasa banyaknya , kerana : Suatu hari nanti , tidak mustahil kasut buruk itu akan naik ke kepala kalian pula .

Cuma saya sedang menanti , siapa yang akan melontarkannya ?

STREET DANCE
Bukan Satu Penyelesaian

Suka saya tegaskan di sini bahawa langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Exco Belia dan Sukannya , menganjurkan Tarian Jalanan secara terbuka adalah suatu langkah yang tidak wajar .

Biarpun mereka menggariskan objektif yang baik dan positif untuk mengelakkan para remaja bergaul bebas serta terjebak dalam perangkap alkohol dan dadah .

Namun Street Dance di pilih sebagai alternatif adalah suatu yang tidak wajar dan tidak boleh menyelesaikan masaalah sosial yang melanda muda - mudi pada hari ini . Terutama apabila ia juga melibatkan remaja yang beragama Islam .

Penglibatan para muda mudi dalam kancah gejala sosial yang parah hari ini bukan kerana mereka tidak tahu menari dengan baik dan disiplin , sehingga perlu dilatih untuk menari dan perkembangan tarian mereka dipantau serta dikawal selia tetapi kerana jiwa mereka kosong dan moral mereka dicemari oleh budaya hedonisme . Mereka tenggelam dalam keseronokan yang mereka buru tanpa pernah menemui kepuasan .

Program Tarian yang dianjurkan ini biarpun di kawal dan di pantau , namun ia tidak menumbuhkan kesedaran dan keinsafan untuk menghindarkan diri dari arak , dadah dan pergaulan bebas . Justeru kesedaran dan keinsafan hanya tumbuh melalui hati atau jiwa yang dididik dan dipulihkan dengan pembinaan spiritual dan pembentukan akhlak atau moral yang soleh .

Sementelah pula ia terbuka kepada muda - mudi muslim yang sepatutnya mereka tidak dilalaikan dengan aktiviti sedemikian sebaliknya dibina dan dimotivasi agar mereka mampu menyemai jatidiri yang unggul bersama keperibadian yang baik dan terpuji .

Bukan saya anti hiburan , tetapi saya anti kelalaian dan kelekaan serta aktiviti yang tidak mendatang manafaat kepada anak bangsa terutama mereka yang beragama Islam .

Kenapa tidak Exco Belia dan Sukan menganjurkan aktiviti riadah yang lebih mendatangkan manafaat dan mengaktifkannya dengan intensif yang menggalakkan anak - anak muda seperti lumba kuda , lawan pedang , olahraga , memanah , renang dan pelbagai aktiviti lasak yang sesuai malah menghiburkan para remaja tanpa perlu ditenggelamkan jiwa dan minda mereka dalam gerak tari serta iringan muzik percussion yang hanya akan mematikan jiwa dan dhomir mereka .

Saya memahami bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan sebuah Kerajaan Islam . Ia hanya sebuah kerajaan kompenan Pakatan Rakyat ( DAP ) , dimana salah satu anggota Pakatan Rakyat ialah PAS sebagai sebuah Parti yang berjuang untuk menegakkan Negara Islam .

Kerjasama PAS dan DAP dalam beberapa perkara yang telah dipersetujui bersama seperti menentang ISA , Rasuah , Penyelewengan kuasa dan seumpamanya . Namun tidak bermakna PAS mesti menerima atau mendiamkan diri terhadap aktiviti negatif yang dianjurkan , terutama aktiviti yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada generasi ummat Islam .

Saya harap teguran dan nasihat baik dari pelbagai pihak termasuk Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang diambil kira dan dipandang serius oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mana Ketua Menterinya pernah malah berkali - kali menyebut bahawa mereka akan mengikuti corak kepimpinan dan pemerintahan Omar bin Abdul Aziz .

Saya tidak percaya Omar bin Abdul Aziz boleh bersetuju dengan Street Dance kononnya untuk mengelakkan anak - anak muda terjebak dalam arak dan dadah .

Perlu disedari bahawa yang dikatakan mungkar dan maksiat bukan terhenti pada arak dan dadah semata - mata tetapi juga kepada pergaulan bebas , pendedahan aurat , pakaian ketat yang menampakkan bentuk tubuh , aksi liuk lentuk wanita muslimah dengan gerak tarinya dihadapan umum dan muzik iringan yang melalaikan jiwa dari mengingati Allah Tuhan Rabbul jalil .

Oleh kerana perkara ini suatu yang sangat maklum di sisi agama Islam maka tidak perlulah saya mengambil menulis dengan mengemukakan nas kecuali selepas ini jika keadaan memerlukan .

Saya kira ini sebagai nasihat umum saya kepada pihak yang berkenaan agar bertindak sewajarnya

Sunday, December 14, 2008

MUKTAMAR :
Mempertaut Ukhuwwah Kita

Saya sangat setuju dengan cadangan Abu Najmi Asqalani untuk menjadikan Muktamar Tahunan PAS sebagai tempat kita ( sahabat - sahabat ) seperjuangan bertemu .

Sekurang - kurangnya kita bertemu setahun sekali . Walaupun kita berkemungkinan tidak menjadi perwakilan , tetapi hadhirlah sebagai pemerhati .

Insyaallah , jika ini memang menjadi kesepakatan antara kita , kita boleh create satu program khas sempena muktamar untuk kita bertemu seketika . Sebagai contoh , alumni azhari dari Tanta boleh dikatakan setiap tahun dan setiap kali muktamar , mereka akan adakan pertemuan antara mereka . Cuma malangnya tidak ramai yang hadhir .

Atas nama perjuangan ! Atas nama sebuah kerinduan yang mendalam ! Atas nama persahabatan kita sekian lama mengharungi proses pembinaan syakhsiyyah , fikrah dan aqidah bersama ! marilah kita mengangkat ikrar bahawa kita akan bertemu sekurang - kurangnya setahun sekali dan muktamar adalah terminal kita . Setuju tak sahabat sekelian ?

Mungkin juga ada dikalangan sahabat tidak melibatkan diri secara langsung dengan PAS . Tidak mengapa kerana naluri persahabatan antara kita mengatasi segalanya .

Insyaallah , menjelang muktamar akan datang , saya akan bentuk satu jawatankuasa khas untuk menganjurkan satu himpunan hi-tea agar dapat mempertautakan semula kasih sahabat yang terputus dan terpisah sejak sekian lama .

Saya mungkin tidak memiliki no telefon sebahagian sahabat - sahabat lama . Andai kalian terbaca memory ini , harap dapat hubungi saya di 019 916 8182 atau tinggalakan pesanan di ruangan komentar . Mudah - mudahan rindu dendam ini akan terurai setelah agak lama ia dipendam dan cukup menyiksa jiwa .

Saturday, December 13, 2008

CUTI - CUTI BEGINI .......

Kebetulan seminggu dua ni saya berehat panjang kerana diserang demam yang agak lama . Mulanya bimbang juga dijangkiti chikungunya kerana kebetulan Ma dan Ayah juga terkena jangkitan demam chikungunya . Habis sakit seluruh sendi tulang dan apa yang paling membimbangkan , penyakit ini akan berulang - ulang dalam tempoh 4 ke 6 bulan .

Alhamdulillah , segalanya beransur pulih walaupun semalam terasa seperti nak demam semula . Orang paling sibuk dan susah dalam situasi seperti ini pasti sahaja insan tersayang , Ma ( ibu ) dan isteri .

Lebih bermakna bagi saya , "rehat" ini berbetulan pula dengan waktu cuti sekolah . Semua anggota keluarga berkumpul . Sungguh bahagia detik - detik seperti ini yang terlalu sukar untuk diperolehi kalau saya tidak sakit begini .

Manakan tidak , sepanjang tahun masing - masing sibuk dengan aktiviti dan jadual tugas masing - masing . Anak - anak dengan waktu persekolahan mereka yang bermula seawal jam 7 am dan hanya pulang ke rumah menjelang jam 4 pm . Itu pun anak sulong saya berada jauh di Maahad Muhammadi Kota Bharu Kelantan.

Isteri pula dengan rutin tugas hariannya sebagai guru agama di sekolah menengah juga terpaksa keluar jam 6.30 am bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan hanya sampai ke rumah sebelah petangnya pada jam 4 .

Saya sendiri sebagai petugas parti memang tidak mempunyai jadual tetap tetapi secara umumnya jauh lebih padat dari isteri dan anak - anak . Kadang - kadang terpaksa keluar rumah sehingga seminggu atau lebih . Adapun keluar ke medan dakwah untuk 3 hari dalam seminggu , itu menjadi rutin tugas harian saya bersama jamaah .

Dari hari ke hari , matahari tenggelam dan timbul tanpa kami sempat duduk bermesra kecuali seketika yang sangat terhad dan terbatas .

Al waajibat Aksara Minal Awqaat ( kewajiban lebih banyak dari masa yang ada ) memang satu realiti dalam perjuangan ini . Bukan lah tidak timbul rasa ingin "lebih masa" bersama anak - anak dan isteri saban hari . Tetapi hambatan tugas perjuangan , biarpun ia tidak bergaji malah kita yang mesti membiayainya membuatkan kita tidak mempunyai masa untuk bersidai di rumah .

Lebih - lebih lagi apabila saya mengenangkan kehidupan pimpinan kita seperti Tok Guru Mursyidul Am , Tok Guru Presiden dan lain - lain pimpinan yang telah mengabadikan seluruh jiwa raga mereka untuk perjuangan ini , terasa apa yang telah dilakukan selama ini hanya secebis tindakan yang menuntut lebih sejuta pengorbanan demi islam dan perjuangannya.

Bila berehat panjang begini , terasa rindu pula untuk turun bergelanggang menyabung segala apa yang masih berbaki asal sahaja Islam terus dibela dan dipertahankan . Jemu juga berehat panjang . Cuma saya tidak dapat nafikan betapa hati ini cukup bahagia diselubungi hilai tawa anak beranak yang berada di sisi sepanjang musim cuti ini . Kalaulah boleh selalu begini ......

Terkenang sahabat sahabat lama .

Saat begini , masa banyak terluang untuk kembali mengenang detik silam yang penuh kenangan terutama kenangan bersama sahabat seperjuangan yang meniti susah sukar bersama membina dan mengkader diri agar layak untuk duduk sebaris dengan para pejuang Islam biarpun di penghujungnya.

Terasa manis ukhuwwah yang ditempa , lazat berjamaah dan indah beraktiviti . Hari ini di manakah kalian semua ? rindu sungguh bukan kepalang , saat mengingat kembali detik tika kita bersama . Namun saya yakin , kalian semua juga pastinya sibuk dengan urusan perjuangan suci ini di peringkat masing - masing . Kalau lah ada ruang biarpun seketika untuk kita bersua semula . Tentu banyak perkara yang nak di bualkan .......

Friday, December 12, 2008

SOLAT
PENGHINDAR KEMUNGKARAN

Institusi solat semakin luntur dikalangan ummah dewasa kini . Terutama generasi muda dan golongan remaja tanpa menafikan juga wujud dikalangan orang dewasa yang culas dan cuai dalam mendirikan solat.

Rata - rata orang tidak mendirikan solat pada hari ini , jauh sekali solat berjamaah . Buktinya kita boleh lihat masjid dan surau semakin hari semakin lengang dan lompang .

Lagi buruk nasib kuliah dan majlis ilmu yang dianjurkan di masjid atau surau. Kehadhirannya cukup menyedihkan berbanding majlis - majlis keraian yang lainnya.

Semalam sebagai contoh , sebaik sahaja selesai menyampaikan kuliah " Syarah Hadis Riadhus Solehin" di Akademi Ar Rasyidin saya terus melangkah pulang kerana demam panjang yang dialami lebih seminggu belum pulih sepenuhnya.

[ sepatutnya saya turun beraksi di Old Trafford pada malam ini bersama adik - adik jamaah dan staff Akademi Ar Rasyidin - tapi maaflah , stamina belum pulih sepenuhnya ]

Dalam perjalanan pulang , saya melintasi satu kawasan kelab malam yang berada betul - betul di simpang empat Pelindung . Saya dapat saksikan sendiri bagaimana anak - anak muda melayu kita tunggang langgang dengan minuman ditangan bergelak tawa pula dengan wanita penghibur yang berpakaian tetapi telanjang di perkarangan kelab malam tersebut.

Mereka macam ni , memang tak peduli sembahyang bang ! apalagi nak menghadhir kuliah tafsir dan hadis . Sesekali terasa mual di dada , tetapi jauh disudut hati terasa juga kasihan kepada mereka yang terumbang ambing mencari arah tuju hidup mereka .

Saya percaya mereka ni tidak solat . Kalau mereka solat , tidaklah begini keadaan mereka . Jumlah mereka bukan sedikit . Teringat saya suatu ketika dahulu kami pernah mengadakan satu operasi meninjau dan memantau perkembangan sosial di Bandar Kuantan .

Boleh saya katakan di sekeliling Masjid Negeri Kuantan tu sahaja ( di Bandar Kuantan ) mempunyai lebih 20 buah kelab malam yang beroperasi sampai jam 1 pagi . 20 buah kelab malam ! saudara bayangkan betapa ramai pengunjung mereka saban hari ?

Itu belum dikira remaja lepak dan berpeleseran di sekitar bandar Kuantan . ( juga belum dikira seuruh bandar utama di negara kita )

Lebih malang , fenomena ini bukan sahaja di bandar tetapi telah meresap dan merebak ke kawasan taman - taman perumahan , desa - desa malah kampung - kampung tradisional termasuklah kawasan perumahan peneroka felda yang semakin parah mutakhir ini .

Gejala lepak , couple , zina , dadah dan arak menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita hari . Kita boleh lihat sendiri bagaimana akhbar dalam negara kita melaporkan perkembangan ini . Jelas menunjukkan bahawa ia berlaku setiap hari dan semakin pesat bagai membentuk satu industri yang diiktiraf oleh negara .

Segalanya adalah manifestasi dari runtuhnya Institusi Solat dikalangan masyarakat kita hari ini . Maha Benar Allah swt . apabila berfirman :

" Sesungguhnya solat mencegah dari sebarang kekejian dan mungkar "

Solat Tanggungjawab semua

Bermula dari individu muslim hinggalah kepada sebuah kerajaan yang memerintah wajib menginstitusi dan mendirikan solat . Solat adalah formula tepat untuk melahirkan insan yang soleh , masyarakat yang sentosa dan negara yang makmur . Justeru solat membentuk peribadi dan spiritual yang tunduk ( rukuk dan sujud ) kepada Allah swt dan ia membentuk suasana taat yang membawa berkat dari Allah swt .

Persaingan hidup berasaskan kepentingan material yang terpisah dari tuntutan akhirat menjadikan manusia hari ini tidak menyedari implikasi yang bakal mereka terima di dunia dan di akhirat akibat meninggalkan solat .

Demi masa depan ummah , kita meletak harapan tinggi kepada generasi kita yang bakal menghuni masa depan . Apakah mereka juga kita biarkan meredah cabaran hidup ini tanpa solat ?

Thursday, December 11, 2008

PILIHANRAYA KECIL P.36 :
Bagaimana Mahu Memenanginya

Tarikh penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil P.36 Kuala Terengganu masih lambat lagi , tetapi polemik untuk menentu calon yang bakal bertanding telah hangat diperkatakan .

Masing - masing mempunyai pandangan dan cadangan yang tersendiri berasaskan sudut pandang yang berbeza dan butir cadang yang berlainan .

Hujjah dikemukakan mengiringi setiap cadangan dan pandangan guna mengukuhkannya . Alhamdulillah , secara umumnya saya gembira dengan fenomena tersebut yang membawa kepada cambah pemikiran secara positif .

Cuma apa yang saya bimbang apabila perbedaan itu menghela kepada nizaa' ( telagah ) semata - mata didorong rasa pandangan sendiri lebih baik dari yang lain dan enggan bertolak ansur dengan tanggapan tolak ansur itu merugikan diri atau tidak menaikan nama sendiri .

Menyertai Pilihanraya : Bagaimana hadaf ( matlamat ) kita ?

Entah berapa kali kita menyertai pilihanraya . Persoalan yang sering timbul ialah , apakah sebenar yang menjadi matlamat kita menyertai satu - satu pilihanraya ?

Apakah semata - mata memburu kemenangan ? maka kita mesti melihat kepada calon yang boleh membawa kemenangan kepada kita tanpa peduli siapa pun mereka ? dan kita mesti lakukan apa sahaja , yang penting kita mesti menang ?

atau semata - mata kerana memenuhi tuntutan demokrasi ? Apabila berlaku kekosongan kerusi maka sebagai parti politik yang berdaftar , kita wajar meletakkan calon . Lalu kita turun berkempen serta mengadakan rapat umum untuk menaikan semangat pasukan serta mendedah kelemahan lawan ?

atau penyertaan kita sebagai sebuah gerakan Islam yang turun ke medan di luar atau di dalam musim pilihanraya , demi membawa risalah as samawi kepada seluruh individu pengundi atau bukan pengundi agar mereka menginsafi tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini .

Sebuah penyertaan yang membawa suara Islam ke tengah masyarakat melewati pelbagai sarana termasuklah rapat umum , ceramah berkelompok , ziarah tokoh , kuliah , aktiviti kemasyarakatan , aktiviti kebajikan dan lain - lain yang dilaksana sepanjang masa tanpa terhenti di musim pilihanraya semata - mata .

Jika ini asas penyertaan kita , pastinya ia adalah kerja jamaei bukan kerja individu bahkan tidak boleh didokong oleh individu biarpun beliau adalah calon yang bertanding dalam pilihanraya tersebut . Sebaliknya ia mesti di dokong oleh jamaah akan segala gerakkerja dan pengarahan sementara calon hanyalah mewakili wajah jamaah .

[ Justeru itu tidak timbul " saya bertanding " tetapi jamaah yang bertanding dan saya wakilnya . sebagaimana tidak timbul " saya menang " tetapi jamaah yang menang . ]

Calon yang bertanding

Memahami sepintas lalu hadaf kita turun menyertai pilihanraya , maka calon yang dikemukakan mesti calon yang menepati hadaf . Bukan hanya dilihat pada sudut - sudut tertentu yang dianggap boleh membawa kemenangan semata - mata tetapi biarlah menang dan mampu laksanakan tanggungjawab seorang pemimpin yang membawa amanah sebuah gerakan Islam .

Saya sangat yakin , sistem dan struktur hairaki membuat keputusan dalam PAS cukup berwibawa bagi menjaga nama baik PAS sebagai sebuah Gerakan Islam . Lantaran itu , saya sarankan agar kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan siapakah yang layak mewakili parti untuk bertanding dalam pilihanraya kecil itu kelak .

Kepada kita , yang bertanding ialah jamaah . Yang bertanding ialah PAS , maka kita tidak perlu menunggu calon dinama dan diumumkan pada hari penamaan calon kelak untuk bertindak dan bertugas , sebaliknya kita bekerja sepanjang masa sesuai dengan sifat Islam yang kita perjuangkan ini tidak ada zaman dan sempadan yang mampu membatasinya .

Ikhtiar dan Munajat

Kempen , ceramah , risalah ata lainnya bukanlah segala - galanya untuk kita lakukan bagi memenangi pilihanraya . Apabila kita benar - benar memahami hadaf kita menyertai pilihanraya , maka kita akan dapati bahawa penyertaan kita adalah ibadah malah segalanya akan menjadi ibadah apabila ianya adalah untuk Islam . Ini yang membezakan kita dengan pihak lain yang menyertai pilihanraya .

Mereka mungkin menyertai pilihanraya kerana mereka beriman dengan pilihanraya dan faham demokrasi . Tetapi kita hanya menggunakannya sementara kita beriman dengan dakwah Islamiyyah yang berusaha membawa manusia kembali kepada Allah dan melaksanakan syariat Allah di atas muka bumi ini sehinggalah tertegaknya negara Islam dan khilafah Islamiyyah di atas muka bumi ini

Bertolak dari sini , kita mesti memperkuatkan usaha kerja kita dengan munajat atau doa mohon kekuatan dan petunjuk Allah swt agar kita dikurniakan nusrah atau maunah dalam perjuangan ini . Sehinggalah kita menang untuk mendaulatkan syariatNya atau kita mati sebagai syuhada' krana mempertahanka Islam .

Ibarat sebuah kenderaan . Semua orang naik kenderaan dan kenderaan itu dicipta oleh barat . Ada yang naik kenderaan tersebut dengan semangat dan taksub kepada barat . Ia bangga dan ta'ajub terhadap barat lalu ia mem"barat"kan diri dalam segala-galanya .

Kenderaan itu digunakan untuk ke kelab malam , pusat perjudian , lorong pelacuran dan seribu satu tempat maksiat yang dituju dengan kenderaan tersebut .

Ada yang menggunakan kenderaan tersebut sekadar untuk membawanya sampai ke destinasi dan destinasinya pasti sahaja bukan barat tetapi Islam . Ia guna kenderaan barat tetapi tidak tunduk dan akur kepada barat .

Kenderaan itu digunakan untuk majlis Ilmu , rumah Allah , berdakwah dan seribu satu tempat yang boleh membawanya taqarrub kepada Allah swt .

Maka pilihanraya hanyalah sebuah kenderaan . Stereng di tangan kita , terpulang ke arah mana kita akan pandu . Signboard dan pandu arah jalan telah tersedia . Ke neraka atau ke syurga .