SEBUAH KEINSAFAN
REBUTLAH 5 PERKARA SEBELUM DATANG 5 PERKARA Hari ini merupakan hari ketiga isteri saya terlantar di hospital Bandar Muadzam Shah kerana diserang radang paru - paru dan sesak nafas . Ini juga bermakna sudah tiga hari saya berulang alik ke hospital untuk menunggu beliau.( saya sepatutnya berada di Perlis untuk mengisi program Perhubungan PAS Perlis. Tetapi saya terpaksa membatalkan jadual itu dan ianya diganti oleh Us. Rosli Abd Jabbar sebagai Ketua Penerangan DPPNP. Terima kasih Us. Rosli kerana sanggup berkorban mengambil tempat saya dan terima kasih Us. Yusaini kerana sangat memahami keadaan saya .) Sementara kelima - lima anak saya berada di Keratong 5 bersama datuknya. Saat begini bukan sahaja terasa kesunyian , bahkan dapat dinilai betapa besarnya erti seorang sahabat yang berkorban dan memahami diri ini , demikian juga betapa besarnya erti seorang isteri yang saban hari mengurus suami , rumahtangga dan anak- anak. Suatu yang pasti tidak dapat dilakukan secara sempurna oleh seorang suami , biarpun ia adalah seorang lelaki yang perkasa tenaganya. Apa yang berlaku mengundang sebuah keinsafan yang sangat mendalam terhadap diri ini. Segala perancangan yang diatur rapi boleh sahaja berubah sekelip mata dengan hadhirnya ketentuan Ilahi. Ya.. Taqdir Ilahi mengatasi Tadbir manusia. Kami rancang , musim percutian ini adalah saat kami bersama setelah sekian lama kami dipisahkan oleh tugas dan jadual perjuangan yang padat. Kami nak keluar makan bersama di restaurant ekslusif , malah saya berjanji dengan anak anak , sejurus saya pulang dari Perlis ( 15 - 16 hb mac ) nanti , saya nak bawa mereka dan umminya ke Gunung Ledang , sebelum saya pula akan berangkat meninggalkan mereka untuk menghadhiri Ijtimak Pemuda PAS Semalaysia di Masjid Rusila Terengganu pada 18 dan 19 hb mac ini. Begitulah secebis perancangan yang ditadbir , akhirnya terpaksa sujud sungkur dibawah ketetapan taqdir ilahi.Kami terpaksa berehat di hospital. Isteri saya di dalam wad Melor 3 ( perempuan ) sementara saya menatap siling di anjung/lobi hospital sambil sekali sekala membelek kitab dan nota . Peristiwa ini tidak menjadikan saya resah dan memberontak terhadap ketetapan Ilahi , sebaliknya menimbulkan salju keinsafan yang menusuk qalbu. Aku akur dan aku redha ketetapanMu Ilahi. Malah aku memahami sejuta hikmah dari segalanya. Benarlah pesan Nabi Musthafa saw. : Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara yang lain pula. Masa Muda kamu sebelum datang masa Tua . Masa Senang kamu sebelum datang masa Susah. Masa Kaya kamu sebelum datang masa Miskin . Masa Sihat kamu sebelum datang masa Sakit. Masa Hidup kamu sebelum datang masa Mati. Justeru segala yang berlaku , tidak menanti kesediaan kita . Sebaliknya kitalah yang sewajarnya bersedia menghadapi segalanya. Hj.Nasrudin Tantawi Anjung Hospital Muadzam Shah Wad 3 Melor ( Perempuan ) Jam 3.10 pm
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home