PEJUANG TURUN BERPRINSIP
Apabila saya menulis , semampu mungkin saya cuba untuk menampilkan unsur dakwah dan tarbiyyah , biarpun terkadang , dakwah dan tarbiyyah tersebut hanya disirat sebalik surat . Justeru itu tugas dan tanggungjawab rasmi saya sebagai seorang anggota Gerakkan Islam .
Tanpa mampu memisahkan diri dari sejuta kelemahan dan kekurangan , saya memohon kekuatan dari ilahi agar setiap detik masa dan keringat yang menitis hasil kerahan tenaga di medan juang , diterima oleh Allah swt. sebagai amal yang soleh .
Terima kasih atas pandangan , kritikan dan simpati sahabat terhadap tulisan saya yang bertajuk : SUNNAH ORANG BERJUANG .
Tajuk itu sengaja saya pilih bagi menyerlahkan maksud sebenar dari cetusan rasa yang disuratkan. Semoga semua pihak mengambil iktibar dari sudut yang positif guna memahami ranjau sebuah perjuangan yang perlu dihadapi oleh seorang pejuang .
Saya mungkin masih mentah dengan hanya berbekalkan pengalaman 19 tahun dipersada dakwah dan jihad bersama Parti Islam Semalaysia PAS berbanding usia perjuangan yang telah melewati usia 55 tahun . Namun saya mula dewasa untuk mempelajari mehnah dan ibtila ( tribulasi ) perjuangan dengan segala tabiatnya .
Tulisan SUNNAH ORANG BERJUANG ( SOB ) bukan karya pejuang kecewa . Juga bukan keluhan pejuang putus asa , apalagi minda pejuang yang tandus ideanya . Pun bukan emosi seorang pejuang yang kerdil jiwanya . Tidak pula kritikan seorang pejuang terhadap jamaah yang didokongnya.
Sebaliknya apa yang dipaparkan , adalah bermaksud untuk memberi khibrah ( pengalaman ) dan ibrah ( pengajaran ) kepada adik - adik yang baru bertatih dipentas perjuangan ini , yang saya jelmakan dalam watak Ust. Fadhil Noor . ( kebetulan beliau bersama saya dalam 'musafir dakwah' pada malam tersebut. )
Isu yang saya bawa , bukan isu Rm 50 atau Rm 100 justeru apalah nilai RM berbanding nilai Dakwah dan Jihad . Kalau dibayar seribu pun , bukan nilaian kepada dakwah dan jihad saya .
Apa yang saya ketengahkan ialah kesusahan , kesukaran , kesulitan dan kepayahan dalam membawa mesej perjuangan adalah sunnah orang berjuang. Ini satu realiti yang perlu , malah wajib difahami oleh setiap pejuang islam .
Dalam tamrin atau liqa' fikri , banyak pihak bercakap soal ujian dan halangan perjuangan dengan pelbagai contoh dibawa dari zaman silam seperti yang dialami oleh para sahabat rhm. Namun tidak ramai yang melihat halangan dan ujian yang kecil seperti ini sudah cukup menjadikan pejuang kita futur ( gugur ) .
Saya membawanya sebagai contoh yang jelas dalam bentuk diary yang dilalui oleh saya untuk dipelajari oleh semua khasnya kepada adik - adik saya yang baru menempatkan diri dipersada perjuangan yang ganas dan dahsyat geloranya.
Adapun kemelut perasaan yang saya alami sehingga mengalirkan air mata , bukan bermaksud sebagai paparan rasa kecewa saya terhadap apa yang berlaku , tetapi itu keadaan saya tatkala berperang dengan nafsu dan bisikan syaithan yang senantiasa mengajak saya , supaya meninggalkan karier saya , sebagai pejuang sepenuh masa kepada kerjaya lain yang mungkin memberi in put lebih lumayan dari sudut material , sementelah saya mempunya degree untuk itu semua .
Saya tidak menyalahkan penganjur ceramah pada malam itu , justeru saya juga 'penganjur' kepada program - program yang berada dibawah seliaan saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang dan juga Pengerusi Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Pusat .
Saya sangat memahami keadaan yang dihadapi oleh pihak penganjur program parti , yang pada kebanyakan keadaan mengalami defisit dalam penganjuran program mereka . Malah ada penganjur yang terpaksa mengeluarkan wang saku untuk membiayai poster , sewa dewan , PA system dan seumpamanya .
Sekali lagi saya tegaskan , apa yang saya nak bawa dalam artikel SUNNAH ORANG BERJUANG ialah : kesabaran dan ketabahan perlu bagi seorang pejuang meniti laluan perjuangan yang sengit dan getir ini .
Saya tidak mahu , pejuang - pejuang kita melilit serban , memakai jubah lalu turun ke medan atas nama dakwah dengan demand hingga RM 500 - RM 800 untuk satu program , tanpa menghirau pula kesan kepada diri , dakwah dan penganjur .
Tetapi saya juga tidak mahu pejuang - pejuang kita hanya melepasi dua atau tiga selekoh , kemudian hilang dari landasan perjuangan ekoran gagal mendepani cabaran dan menyerap tekanan yang hebat menimpa mereka .
19 tahun saya lalu tempoh bersama perjuangan ini , bukan sedikit pengalaman sedemikian di alami . Apa yang saya paparkan dalam SOB hanya lah 1 % dari pengalaman yang dilalui .
justeru itu , sebagai seorang pejuang , sekali serban kita dililit , kita turun dengan prinsip .
maaf , saya tidak mampu memberi masa yang lama kali ini kerana jam telah menunjukkan pukul 2.56 pm sedang saya perlu berada di Shah Alam pada jam 7.30 mlm ini bagi mengisi program di sana .
1 Comments:
saya faham apa yang cuba di bawa oleh ustaz dalam SOB. malah itulah kefahaman saya pada ketika membaca tulisan tersebut. saya sendiri bergenang air mata ketika membacanya. lantaran terasa amat syukur kerana dalam masyarakat yang makin tenggelam dalam kemewahan ini,allah masih lagi anugerahkan ke atas bumi kita pejuang-pejuang yang istiqamah menghadapi mehnah perjuangan. Padahal boleh sahaja meninggalkan risiko ini denagn mengambil jalan selamat- menjadi guru/pensyarah menyampaikan kuliah, terima gaji lumayan, hidup dengan anak bini sahaja tanpa fikir tanggungjawab kepada masyarakat. Syabas ust atas pilihan anda! hanya allah yang layak membayar pengorbanan anda.
5:43 AM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home