" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Friday, November 07, 2008

PEMERKASAAN
WASILAH TARBIYYAH

Oleh
Ustaz Nasharudin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS

Siri Pertama :


Muqaddimah

Demi sesungguhnya, bahawa menyampaikan da’wah itu merupakan suatu kewajiban adalah suatu hakikat yang pasti seperti yang dituntut oleh Syara’.[1]

Selanjutnya kita juga difahamkan bahawa pelaksanaan prinsip-prinsip da’wah itu dapat dilakukan melalui dua keadaan: secara fardiyy (perseorangan)[2] dan jama’iyy (berkumpulan/kolektif).

Nas yang yang terkuat menunjukkan bahawa pelaksanaan da’wah secara jama’iyy adalah fardu ‘ayn yang mesti dilaksanakan oleh setiap ummat Islam sehingga tertegaknya Din dan Hakimiyyah Allah di atas muka bumi ini.

Aspek selanjutnya dalam da’wah ialah bagaimanakah sesuatu Jama’ah Islam itu dapat menyusun organisasinya (tanzim) secara teratur[3] dan kemas ke arah mencapai matlamat yang telah digariskannya.

Kita juga dapati kelemahan dan kegagalan kebanyakan Jama’ah Islam di dunia pada masa kini adalah berpunca daripada kelemahan aspek pengurusan organisasinya. Berjaya-tidaknya sesuatu Jama’ah Islam amat bergantung kepada bagaimana pimpinan (Qiyadah) dan pengikutnya (Jundiyyah) mengendalikan penyusunan tanzim organisasi Jama’ah itu.

Sehubungan dengan itu, wasilah utama untuk tercapainya penyusunan tanzim sebegini, tidak lain dan bukan ialah tarbiyyah harakiyyah Islamiyyah. Ini adalah kerana tarbiyyah merupakan perkara asas yang paling integral dan nadi penggerak kepada pendokong harakah Islamiyyah. Tanpa pentarbiyyahan menurut manhaj yang secukupnya daripada jamaah, seseorang da’i itu boleh tersasar daripada landasan manhaj yang dilaluinya.

Ia akan terkeluar daripada jalan dakwahnya yang asli. Sesungguhnya tarbiyyah merupakan essence yang terpenting dalam pembinaan seorang insan haraki, pembentukan watak seorang qiyadah (pimpinan) jamaah sejak dari dahulu, semasa dan juga pada masa akan datang.

PAS dan Nizam Tarbawiyy

Sejak penubuhannya pada tahun 1951,[4] PAS telah semakin matang melalui liku-likunya sebagai sebuah jamaah harakah Islamiyyah. Kepemimpinan Ulamak yang kita bina sejak muktamar tahun 1982 dan terus kukuh sehingga kini adalah hasil daripada sistem pentarbiyyahan yang diasaskan oleh Tok-Tok Guru kita yang sedia ada.

Umpamanya, YB Dato’ Seri Tuan Guru Presiden sendiri pernah membentangkan kertas dasar tarbiyyah berjudul, “Nizam Am Tarbiyyah” selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyyah, diikuti oleh kertas “Nizam Khas – Program Tarbiyyah” dan “Panduan Usrah” oleh Ustaz Yahya Othman.[5]

Begitu juga, buku kecil Usrah dan Matlamatnya[6] pernah diterbitkan diikuti pula oleh Manhaj Daurah Tadribiyah.[7] Usaha seterusnya disoroti oleh beberapa penerbitan lain yang ditulis dan dihimpunkan oleh kalangan pimpinan kita yang giat membina khazanah dan bahan-bahan tarbiyyah[8] untuk kegunaan jamaah khususnya sebagai bahan rujukan usrah di peringkat universiti dalam dan luar Negara.

Tindakan PAS untuk menyusun bahan-bahan tarbiyyahnya sendiri bersumberkan kitab-kitab muktabar para ulamak haraki termasyhur luar negara seperti pimpinan al-Ikhwanul Muslimin[9] dan juga karangan ulamak tempatan dalam jamaah sendiri amat diperlukan dan bermanfaat sebagai rujukan kepada ahli dan pendokong PAS.

Dengan cara sedemikian, kekyaan ilmu dan pengalaman ulamak luar negara dapat diadunkan dan disesuaikan oleh para ulamak tempatan ke dalam iklim dan acuan dakwah setempat yang lebih realistik dan praktikal. Inilah konsep dakwah sebenar yang dituntut oleh islam.

Tidak syak lagi bahawa PAS sebagai sebuah jamaah harakah Islamiyyah yang bergerak aktif dalam politik kepartaian[10] terutama apabila musim pilihanraya menjelang tiba.[11] Di kawasan DUN atau parlimen itulah terserlah ujian pertama daripada tarbiyyah yang diperolehi.

Keadaan ini menuntut PAS untuk menyediakan asas tarbiyyah yang kukuh kepada ahli dan pimpinannya. Sesungguhnya tanpa berpandukan ilmu dan tarbiyyah yang ampuh lagi mantap, anggota dan pimpinan PAS tidak dapat memacu dan menggerakkan PAS lebih jauh lagi untuk menghadapi mehnah (ujian) dan fitnah yang semakin mencabar.

Penglibatan serius kita di medan poltik terbuka tidak menjadi alasan untuk kita abaikan tarbiyyah. Kesibukan berpolitik bukanlah sebab untuk kita tidak menghadiri usrah di Cawangan, Kawasan, Negeri dan Pusat.

Kesibukan memegang portfolio sebagai Ahli Parlimen (MP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukanlah lesen bahawa tarbiyyah sudah tidak perlu lagi. Malah sebagai MP dan ADUNlah, jamaah perlu pertingkatkan tarbiyyah mereka supaya memahami dan mematuhi arahan pimpinan parti!

Demikianlah peri pentingnya nizam tarbiyyah harakiyyah diterapkan di hati sanubari dan akal budi setiap daripada ahli dan pimpinan kita. Semua komitmen ini pastinya menggilap keilmuan, menuntut kesabaran kita dan paling penting, doa dan munajat kita kepada Allah SWT selaku sumber sebenar kekuatan kita.

[1]Lihat nas-nas mengenai kewajiban berdakwah di dalam al-Qur’an, umpamanya dalam surah Ali ‘Imran: 104 dan 110, an-Nahl: 125, as-Saff: 4 dan al-Ma’idah: 54-56. Terdapat juga sekian banyak hadith sahih yang menjelaskan kewajiban berda’wah.

[2]Sila lihat prinsip dan kaedah pelaksanaan Da’wah Fardiyyah yang telah dikupas dengan indah oleh al-Ustadh Mustafa Masyhur dalam Da’wah Fardiyyah, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 1985.

[3]Penegasan Allah SWT dalam surah as-Saff: 4 perlu diteliti dengan mendalam. Da’wah perlu disusun rapi secara kolektif, dirancang, dikawal dan dipimpin secara berkesan untuk mencapai matlamat yang telah digariskan.

[4]Sila lihat sejarah penubuhan PAS dalam Naharudin Mat Isa, 50 Tahun Mempelopori Perubahan – Menyingkap Kembali Perjuangan PAS 50 Tahun, Kuala Lumpur: Parti Islam SeMalaysia, 2001 dan juga The Islamic Party of Malaysia (PAS) – Ideology, Policy, Struggle and Vision Toward the New Millenium, Kuala Lumpur: PAS, 2001.

[5]Ketiga-tiga kertas kerja ini merupakan kertas kerja dasar pembinaan nizam tarbiyyah PAS secara tersusun dan didokumentasikan untuk dilaksanakan di semua peringkat keahlian. TG Hj. Abdul Hadi Awang selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyyah ketika itu telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan suatu manhaj taribyyah PAS dengan tujuan untuk memantapkan dan menyeragamkan pentarbiyyahan ahli dan pimpinan.

[6]Diterbitkan oleh Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat.

[7]Juga diterbitkan oleh Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat yang sama dengan cetakan pertamanya pada bulan April, 2001.

[8]Umpamanya, pimpinan kita sendiri dengan tekunnya telah menulis bahan-bahan rujukan usrah dan tamrin yang amat bermanfaat supaya ahli dan pimpinan dapat diseragamkan fikrah mereka. Umpamanya sila lihat buku Fiqh al-harakah Dari Sirah Nabawiyyah, Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, 1987 karangan TG Abdul Hadi Awang dan juga kertas-kertas kerja kerja beliau seperti “Parti Allah dan Sifatnya Menurut Islam” (1983), “Ke Arah Membentuk Harakah Islamiyyah” (1983), “Tahalluf as-Siyasi (1987) dan sebagainya. Buku-buku dan kertas-kertas kerja pimpinan tertinggi seperti ini mestilah dijadikan teks bahan utama jamaah untuk dihadhamkan di dalam usrah-usrah, tamrin, seminar, konvensyen dan sebagainya.

[9]Pengalaman yang dilalui oleh jamaah harakah Islamiyyah dunia sebelum ini harus diambil iktibar oleh PAS sebagai panduan dalam bergerak. Pengalaman jamaah Al-Ikhwanul Muslimin di Mesir, Syria, Jordan dan Tunisia, Parti Milli Salamat dan Parti Refah di Turki, Jamaat-i-Islami, Pakistan, Parti Nahdatul Ulamak dan Masyumi semasa pimpinan Pak Natsir di Indonesia harus dikaji dengan mendalam untuk diaplikasikan dengan beberapa penyesuaian tempatan berdasarkan waqi’ semasa kita .

[10]Sila lihat huraian kami yang terperinci tentang penglibatan PAS dalam pilihanraya dalam Nasharudin Mat isa, The Islamic Party of Malaysia (PAS) – Ideologi, Policy, Struggle and Vision Towards the New Millenium, op. cit.

[11]Di dalam ucapan dasar Muktamar PAS yang ke-38 berjudul, “Meroboh Rangkaian Penindas,” di Balai Islam Lundang, Kelantan, 14 Ogos 1992 , bekas Presiden PAS yang amat kita kasihi, almarhum TG Hj. Fadzil Mohd. Noor telah menghuraikan bahawa “Kita telah memenangi Kelantan menerusi proses Perlembagaan. Kita telah menerima sistem demokrasi berparlimen, sama sepertimana yang dipercayai UMNO. Oleh yang demikian, kita berharap sistem demokrasi yang diamalkan kini akan terus mengizinkan kita mewakili rakyat secara demokratik.” Inilah tema pegangan PAS dan di antara wasilah kita dalam dakwah.

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

PAS perlu mulakan secara tersusun dan serius penyediaan bahan-bahan tarbiyah yang berperingkat. Ini akam memudahkam program tarbiyyah parti

1:33 AM

 
Anonymous Anonymous said...

Omar:

Ustaz, kelihatannya kita selalu meuar-uarkan penglibatan aktif dan sabar dalam kerja pilihan raya sebagai ujian pertama pentarbiahan PAS.

Apakah nilaian itu tepat buat masa kini?

Kerja pilihan raya masih berisiko dan penuh ujian, tetapi ia mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja, baik yang ditarbiah mahupun tidak.

Apakah kita ingin menyamakan hasil tarbiah kita dengan petugas2 parti yang tidak ikut tarbiah, namun hebat dalam pilihan raya?

Meletakkan itu sebagai salah satu sasaran tarbiah untuk masa kini, seperti meletakkan tarbiah itu sekadar bermotifkan politik.

Memanglah itu bukan matlamat kita, tetapi itu yang berada di sekeliling kita.

Kadang2 kerap juga penceramah kita mengaitkan hasil tarbiah dengan pengorbanan pilihan raya seperti menampal poster, panjat tiang elektrik dan seumpamanya. Benarkah begitu yang kita mahu?

Bagaimana sasaran tarbiah sebenar? Ia jarang diuar-uarkan oleh penceramah kita.

9:35 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home