" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, April 04, 2005

Islam Hadhari tidak mampu perkasakan Islam
Oleh Ustaz Haji Idris Haji Ahmad
(Ahli Jawatankuasa PAS Pusat/Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat)
ANTARA perkara yang menjadi matlamat Islam Hadhari ialah menjaga agama, inilah ucapan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam persidangan Umno 2004.
Pemahaman kita apabila disebut menjaga agama (Hifzu Din) ia adalah merupakan salah satu maqasid syariah. Sudah tentu apabila menyebut menjaga agama bukan kita memperalatkan agama sebaliknya kita menjadi amanah untuk menjaga agama menjadi cemerlang, terbilang, bukan temberang.
Sebab itu Allah SWT telah mewajibkan mana-mana penguasa yang diberi amanah memastikan agama ini terpelihara daripada anasir perosak. Dalam keadaan hari ini Umno telah menjadikan agama sebagai kuda tunggangan untuk meraih sokongan.
Kerana itu menjadi tabiat kepada Umno mereka terpaksa memperalatkan agama demi untuk menarik sokongan orang ramai kepada Umno. Kerana mereka mengetahui Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan.
Inilah yang disebut dan dikritik oleh Dr Mahathir Mohamad dalam bukunya ‘The Malay Dilemma’.
"Kerajaan masih lagi melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya. Pelaksanaan projek ini dijalankan bukan kerana segala kemudahan tesebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapannya yang salah kononnya langkah-langkah ini dapat memancing undi di dalam pilihan raya yang akan datang."
Justeru, diperkenalkan program Islam, tetapi bukan hendak melaksanakan Islam sepenuhnya. Mengikut pengkaji Sains Politik di negara ini mahu tidak mahu Umno mesti menunjukkan lambang Islam dan imej Islam dan mencipta berbagai jenama dan program untuk menarik sokongan rakyat.
Sebab itu dalam catatan sejarah kita melihat zaman Tuanku Abdul Rahman diperkenalkan musabaqah al-Quran, Tun Razak memperkenalkan azan dalam radio dan televisyen, Tun Hussein Onn memperkenalkan bulan dakwah, zaman Dr Mahathir memperkenalkan Penerapan Nilai-nilai Islam dan zaman Dato' Seri Abdullah Badwi memperkenalkan Islam Hadhari.
Islam Hadhari ini hanya untuk menunjukkan Umno sebagai sebuah parti politik yang hendak kepada agama. Walaupun asas penubuhan Umno bukan bertitik tolak daripada mempertahankan agama.
Ia hanya lahir daripada kesedaran untuk melawan Malayan Union. Memang pada peringkat awal ia mendapat sokongan di kalangan tuan guru yang bangun menentang penjajah. Kerana mereka tahu wajib menentang penjajah dan haram berada di bawah penjajah.
Tetapi lama kelamaan tembelang Umno terbongkar apabila Umno adalah lanjutan daripada penjajah. Mereka yang berjiwa agama menyertai PAS dan meninggalkan Umno. Sebab itu Umno tidak popular di kalangan mereka yang berpendidikan agama.
Kesimpulannya
Daripada matlamat Islam Hadhari yang kononnya hendak menjaga agama ini hanya retorik untuk mendapat sokongan rakyat dalam era kebangkitan Islam. Sikap talam dua muka Umno untuk menipu rakyat dengan slogan Islam bukan perkara baru tetapi sudah menjadi darah daging Umno sejak sekian lama. Memang Islam Hadhari tidak mampu untuk menjaga agama dengan alasan yang diberikan di bawah:
1. Memang dasar Umno parti yang bukan meletakkan Islam sebagai matlamat, malahan ada cadangan supaya nama Islam pada pertubuhan pun hendak dibuang. Tetapi alhamdulillah dengan keputusan Majlis Raja-Raja perkara ini dapat diselamatkan
2. Macama mana Umno hendak mendakwa Islam Hadhari memelihara agama sedangkan pemimpinnya tidak memberi kata putus kepada penganjur cadangan Suruhanjaya Agama yang hendak membolehkan orang Islam murtad tanpa apa-apa gangguan. Sebaliknya hanya menyuruh tangguh, sepatutnya dibatalkan terus. Apa tindakan terhadap ucapan menteri yang menjaga muzium dan tengkorak lama dalam ucapan beliau yang mengatakan bahawa tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa agamanya yang terbaik. Walaupun kenyataan ini bertentangan dengan akidah apakah tindakan Dato' Seri Abdullah ke atas menteri kabinetnya yang terang-terang bercanggah dengan Islam dan matlamat Islam Hadhari yang hendak menjaga agama.
3. Apakah hendak berbangga dengan pemberian elaun Tok Imam dengan RM450 sebulan, hitung panjang RM15 sehari. Kenapa elaun imam sahaja yang diberi tetapi kilang yang melahirkan Tok Imam (skolah agama rakyat) tidak dipedulikan sehingga ada di kalangan guru SAR yang terpaksa menjual burger dan bawang di pasar malam kerana elaun tidak ada. Berapa banyak sekolah agama rakyat yang menunggu saat untuk ditutup kerana ketiadaan pelajar. Apakah agama boleh diperkasakan, apabila sampai satu ketika elaun imam ada tetapi tok imam tidak ada kerana tidak ada siapa yang sanggup menjadi imam.
4. Bolehkah Islam Hadhari mendakwa ia boleh memperkasakan agama dalam masa yang sama institusi masjid telah dibirokrasikan melalui ejen politik Umno. Pelantikan mereka yang bukan ahli masjid sebagai AJK masjid dan melantik mereka yang tidak bermaruah. Seperti seorang jawatankuasa masjid di daerah Besut kawasan amir Islam Hadhari Terengganu yang telah ditangkap kerana merogol. Beliau juga diberi kad kuat kuasa pegawai pencegah maksiat, bukan kerana kewibawaannya tetapi kerana penyokong kuat parti Islam Hadhari di daerah Besut. 5. Mampukah Islam Hadhari memelihara Islam. Sedangkan saman yang dikenakan kepada Kerajaan Kelantan kerana melaksananakan hudud tidak ditarik balik oleh Yang Berhormat Umno kawasan Kota Bahru, Zaid Ibrahim.
6. Mampukah Islam diperkasakan kalau yang mengajar di surau dan masjid ialah ustaz yang tidak wibawa dari segi penampilan dan kewibawaan. Akhiranya peranan Islam diajar dalam kepompong yang sempit dan berlegar dalam soal solat,puasa dan zakat.
7. Terpeliharakah Islam kalau mufti yang dilantik tidak didengar nasihat mereka. Mufti mengatakan konsert ‘Sure Heboh’ haram. Kenapa pemimpin Islam Hadhari tidak ikut? Mufti bukan orang politik. Kalau selama ini mereka memandang sepi apabila ulama PAS memberi pandagan, mereka mengatakan bahawa ulama Pas ahli politijk dan tidak boleh dipakai pandangan mereka. Sekarang yang menegur ialah mufti kenapa tidak ikut? Satu lagi hujah kuat kita mengatakan bahawa Islam Hadhari satu nista untuk memperkasakan Islam.
8. Betulkah Islam akan dipelihara, kalau surau pun diroboh seperti yang berlaku di Surau Jubli Perak, Bandar Baru Bangi. Imam ditangkap. Penjajah Inggeris tidak pernah melakukan demikian rupa, tetapi berlaku pada zaman Islam Hadhari.
9. Kalau benar Islam Hadhari bertujuan untuk memelihara agama kenapa tidak bertindak ke atas mereka yang antihadis yang berada di dalam Umno. Sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan sesat dan murtad. Apakah ukuran sesat apabila tidak bersama dengan Umno, tetapi apabila bersama dengan Umno maka hukum bertukar tidak sesat. Samalah juga dengan Syaikul Arqam amalan yang diamalkan menyalahi dengan ajaran Islam. Apakah sekarang sudah betul kerana ia juga menjadi tukang syarah Islam Hadhari untuk melawan Hadharah Islamiyah yang dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Awang.
10. Perkasakah Islam di bawah Islam Hadhari, wang zakat boleh ditarik balik sekiranya pelajar perempuan memakai purdah dan lelaki memakai jubah. Inilah isi perjanjian pelajar Selangor yang menerima zakat. Apakah feqah Islam Hadhari boleh zakat ditarik balik. Sewaktu hendak pungut zakat Khir Toyo tidak tanya awak tidak sah bayar zakat kalau pakai pudah dan jubah. Inilah yang misteri dalam Islam Hadhari.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Who knows where to download XRumer 5.0 Palladium?
Help, please. All recommend this program to effectively advertise on the Internet, this is the best program!

2:06 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home