" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, March 27, 2005

PENGUATKUASA JAWI DIBELASAH POLIS

Pada 19 Mac 2005 (sabtu) yang lalu seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) telah memukul seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) sehingga separuh sedar ketika mangsa melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Api-Api 3, Kepong Baru, Kepong. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan takziah ke atas beliau dan tahniah kerana berani menegakkan kebenaran walaupun diancam dan dipukul teruk dalam kejadian itu. Beliau terpaksa bercuti selama 6 hari setelah kejadian itu. Bagi DPPWP Keberanian Pegawai JAWI tersebut seharusnya diberikan pengiktirafan oleh pihak kerajaan.

DPPWP berasa kesal kerana DSP tersebut yang dipercayai berkhalwat dengan pasangannya dirumah itu bertindak keterlaluan setelah tindakkannya menyalahgunakan kad kuasanya untuk mengugut Pegawai JAWI tersebut tidak diendahkan.

Serbuan tersebut sebenarnya turut disertai oleh oleh 2 orang pegawai Polis berpangkat rendah dan seorang pemandu JAWI. Walau bagaimanapun, kedua-dua pegawai Polis ini gagal menahan suspek, kerana yang diserbu itu adalah pegawai yang lebih tinggi pangkatnya dari mereka. Salah seorang dari pegawai polis itu juga telah telah ditampar oleh DSP tersebut.

DPPWP hairan, bagaimana kes ini didiamkan oleh pihak polis dan menunggu sehingga ke hari ini baru nak buat siasatan, sedangkan ianya telah berlaku 6 hari lalu. Alasan Polis “mereka menunggu laporan perubatan dari pihak Hospital Selayang” adalah tidak releven kerana ia bukan sahaja melibatkan kes Jenayah Syariah (Khalwat) tetapi melibatkan kes Jenayah Awam (Menyerang kakitangan Penjawat Awam). Tindakkan segera dan tegas patut diambil tanpa mengira siapa yang menjadi suspek.

Kita berharap agar pihak Polis mendedahkan nama DSP yang dimaksudkan agar masyarakat tahu bahawa pihak Polis tidak pilih kasih dalam membuat siasatan dan tangkapan. Kita berharap agar Pegawai-pegawai Polis berpangkat rendah tidak menjadi kaku dan bacul bila menahan Pegawai-pegawai berpangkat tinggi yang jelas melakukan kesalahan pada masa akan datang.

Ini bukannya kes jenayah pertama melibatkan anggota Polis, sebelum ini media massa juga telah mendedahkan beberapa kes rompakan, bunuh, rogol dan dadah serta rasuah yang melibatkan anggota PDRM.

Inilah masalahnya bila pasukan Polis dilatih mematuhi arahan pegawai atasan membuta tuli tanpa diberikan pendedahan agama dan kerohanian yang mantap. Mereka hanya boleh melihat kesalahan orang lain tetapi kesalahan pegawai atasan dan diri sendiri dibiarkan tanpa bantahan dan keinsafan. Ini seterusnya akan mewujudkan masyarakat Polis yang tidak proaktif dan tidak bermaruah.

DPPWP berharap agar laporan prestasi dan disiplin pegawai Polis yang dinilai setiap tahun diberikan perhatian serius dan bukannya sekadar untuk tujuan kenaikkan pangkat selepas ini. Masalah jenayah dan gejala sosial dalam organisasi PDRM perlu dihapuskan khususnya dan soal rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kita mahu Polis jadi Pelindung masyarakat bukan membawah sampah jenayah dalam masyarakat. Dan kita berharap agar adanya satu gelombang pembaharuan dan perubahan besar dalam sistem latihan dan organisi PDRM setelah 198 tahun mencurahkan khidmatnya untuk rakyat Malaysia. Kita mahu mentaliti mereka dibentuk agar seimbang dunia dan akhirat dan faham akan tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Semoga anggota Polis selepas ini dapat menjadi role model kepada masyarakat begitu juga kepada anggota penjawat awam yang lain dalam memperbaiki disiplin dan memerangi jenayah dan rasuah.


Sekian, terima kasih. “Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari” Herman Samsudeen
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home