ISLAM HADHARI :
AGAMA BARU , BABI DAN PERKAMPUNGAN HADHARI.
Berkali- kali UMNO cuba menafikan bahawa Islam Hadhari bukan Agama baru tetapi hanya satu pendekatan kononnya utk membawa kemajuan dan pembangunan kepada ummat Islam di negara ini.
Saya pada peringkat awal mengambil sikap berlapang dada dan cuba menanti penuh harapan agar Islam Hadhari benar benar menjadi satu pendekatan untuk membawa kesejahteraan dan keharmonian ummat , pembangunan dan kemajuan negara serta kejayaan yang cemerlang , gemilang dan terbilang.
Namun , setelah 3 tahun saya menanti dengan segala harapan , ternyata Islam Hadhari bukan sahaja gagal menunaikan harapan saya bahkan mengecewakan seluruh ummat Islam di negara ini. Kegagalan yang saya maksudkan bukanlah didorong oleh prasangka atau sikap prejudis terhadap Islam Hadhari , tetapi setelah meneliti dan menanti sekian lama , ternyata saya telah putus harap .
Saya tidak mahu kesilapan saya yang lalu berulang lagi . Setelah saya dengan segala sangka baik dan harapan menanti kejayaan gemilang yang dijanjikan oleh Projek Islamisasi 22 tahun yang lampau. ( Islamisasi adalah satu Projek Khas yang diasaskan oleh Tun Dr. mahathir di zaman pemerintahanya. )
Harapan saya yang setinggi gunung itu hancur dan meletup bagaikan gunung berapi Karakatua yang memuntahkan lavanya. Saya sangat kecewa dan sungguh lesu setelah menanti puluhan tahun , tiba - tiba segala harapan itu musnah sekelip mata sejurus berakhirnya pemerintahan Tun Dr. mahathir. ( Berakhirnya pemerintahan Tun Dr. Mahathir membawa kepada penutupan Projek Islamisasinya dengan 1001 kontraversi dan kegagalan.)
ISLAM HADHARI.
Apabila Datuk Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pemerintahan negara ini , nampaknya beliau juga menggagaskan satu Projek Khas seumpama Islamisasi , iaitu Islam Hadhari.
Segala konsep dan pendekatan serta penakrifan terhadap Islam Hadhari telah dibuat. Pelbagai versi boleh ditemui dalam percubaan kerajaan UMNO dan BN menakrifkan Islam Hadhari. Versi Perdana Menteri tentunya menjadi ranking tertinggi mengatasi versi YADIM , JAKIM dan JASA. ( yang mana versi masing masing adalah berbeza antara satu sama lain. )
Seminar , kursus dan penerangan untuk memahami Islam Hadhari mula digiatkan kepada jabatan - jabatan kerajaan , kementerian dan sebagainya. Kaki tangan kerajaan adalah diwajibkan dengan segala arahan untuk menyertai kursus dan seminar ini.
Pensyarah universiti , tokoh - tokoh akademik , Ngo dan Tokoh - tokoh individu tertentu digunakan untuk make up Islam Hadhari dengan segala kemahiran dan hujjah yang ada . Sehinggalah akhirnya Islam Hadhari boleh diterima oleh masyarakat.
APAKAH SAYA MESTI MENANTI LAGI ?
Kini , Islam Hadhari telah berusia kurang lebih 3 tahun. Persoalannya , apakah saya perlu menunggu lagi untuk menanti hasilnya ? Pengalaman silam ( menanti Islamisasi dlm tempoh 22 tahun ) membuatkan saya sangat berhati hati dan terlalu cuak terhadap istilah seindah bahasa ini.
3 tahun tempoh penantian setakat ini , bukan sahaja masih kabur hala tujunya ( kerana mereka masih tercari - cari versi penakrifan yang benar benar tepat dan berkesan ) tetapi juga telah jelas menunjukkan penyelewengan dan salah laku yang jauh terpesong dari jalan agama Allah swt. Perkara ini tidak lah sukar untuk dikesan justeru Agama Allah adalah jalan yang lurus tanpa simpang yang mengelirukan. Pula mempunyai "signboard" yang jelas dan panduan penunjuk jalan yang sangat diyakini. Sebarang tindakan yang tidak berasaskan laluan , pedoman dan panduan penunjuk jalan ini , maka ia adalah menyeleweng dan ditolak oleh agama Allah swt.
BERILAH MASA KEPADA ISLAM HADHARI ?
Apa yang berlaku dalam tempoh 3 tahun menjadikan saya sangat ragu untuk menanti dan menunggu lagi. Walaupun ada pihak menegaskan agar Islam Hadhari diberi masa untuk membuktikan kejayaannya . Masa boleh diberikan biarpun berapa lama yang mereka perlukan , tetapi mereka mesti memastikan perjalanan mereka tidak bergelumang dengan dosa , noda dan sangat diragui niat dan hasratnya.
- Konsert Sure Heboh yang telah mempunyai penyataan rasmi dari Majlis Mufti Negara nampaknya masih diteruskan oleh Islam Hadhari.
- Tindakan kabinet Islam Hadhari membela mereka yang terlibat dalam pesta Arak di Zouk Club Ampang dan mengarahkan supaya JAWI menarik balik saman yang dikeluarkan ke atas mereka , adalah tindakan yang menghiris perasaan ummat Islam sekaligus menghilangkan keyakinan masyarakat ummat Islam terhadap kewibawaan dan keikhlasan Islam Hadhari.
- Demikian juga sikap yang diambil oleh kerajaan Islam Hadhari Pahang yang meluluskan permit untuk Pesta Arak di Genting Highland pada 5 mac yang lalu ( dihadhiri 10 ribu pengunjung ) sekali lagi dilihat betapa Islam Hadhari telah mempermainkan sentimen ummat Islam.
- Menganjurkan Konsert Force of Nature yang pastinya menyaksikan bagaimana pergaulan bebas lelaki dan perempuan , pula dengan pakaian yang sangat menjolok mata dan tarian yang penuh asyik turut menambah luka bagi ummat Islam yang sekian lama hidup dalam resah dan gelisah kerana dihimpit oleh gejala sosial yang tidak terkawal.
- Kelancangan Sister in Islam ( SIS ) mendesak kerajaan supaya membatalkan semua peruntukan undang - undang dan peraturan ke atas pesalah akhlak dan ianya disambut baik oleh pihak Kerajaan Islam Hadhari , adalah satu lagi insiden yang sangat mengecewakan ummat Islam .
- Kehadhiran Pengasas Islam Hadhari , Datuk Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi ke Majlis Malam Anugerah Seri Angkasa dan juga Perasmian Formula one yang penuh dengan "panaurama" yang menyakitkan mata ( dengan aksi artis dan wanita yang berpakaian seksi dan menjolok mata ) menjadikan dirinya hilang wibawa dan tanda harga diri untuk bercakap soal Islam. Sekali lagi tindakan ini dilihat sebagai satu sikap hipokrit pemimpin Islam Hadhari . Bercakap selembut lidah bahawa mereka mahukan Islam tetapi ternyata , mereka hanyalah menusuk sembilu beracun ke dalam jiwa rakyat ummat Islam yang menaruh sejuta harapan kepada mereka.
ISLAM HADHARI AGAMA BARU
Mencegah mungkar adalah ajaran murni agama Islam yang diwahyukan oleh Allah swt. Tindakan JAWI ke atas mereka yang minum arak dan berzina dalam Kelab malam Zouk di Ampang adalah salah satu daripada tindakan yang menepati Ajaran Agama Islam .Justeru itulah perintah Allah swt.
Namun malang 1000 kali malang , apabila ada dikalangan mereka yang berjawatan menteri dalam Kerajaan Islam Hadhari ini mengecam tindakan JAWI yang kononnya bercanggah dengan Konsep Islam Hadhari. Kalau cegah mungkar dilihat sebagai bercanggah dengan Islam Hadhari , walhal itulah yang diajar oleh Allah dan rasulnya , maka apakah tidak benar kalau saya katakan bahawa Islam hadhari adalah Agama Baru atau Islam Palsu yang dibawa oleh Kerajaan UMNO dan BN.
Setiap perlakuan mereka yang telah saya paparkan diatas ( di bawah tajuk : Berilah masa kepada Islam hadhari ? ) adalah jelas dan nyata bagi mereka yang memahami Islam bahawa ianya adalah suatu yang bercanggah dengan Agama Allah swt. Tetapi mereka beranggapan malah mempertahankannya , bahawa itulah contoh perlaksanaan yang dikehendaki oleh Islam Hadhari. Iaitu pelakunya boleh melakukan maksiat dan boleh pula beribadat. Maka bukan kah ini ajaran baru yang sangat asing bagi Islam agama yang dibawa oleh nabi saw.
BABI
Saya kira , satu - satunya yang masih haram di zaman Islam Hadhari ini hanyalah babi. Sementara arak , judi , pendedahan aurat , pergaulan bebas telah mendapat logo halal dari Kerajaan Islam Hadhari.
Arak jadi halal sebab Malaysia beri lesen ( logo halal ) dan mereka yang terlibat dalam pesta arak dibela oleh kabinet dalam kes Zouk vs JAWI .
Judi jadi halal sebab Malaysia beri lesen ( logo halal ) dan mereka turut menjadikan industri judi sebagai hasil negara .
Pendedahan aurat dan pergaulan bebas menjadi halal sebab Malaysia meluluskan permit ( logo halal ) kepada penganjur - penganjur konsert hiburan termasuk yang membabitkan artis daripada barat.
Semuanya halal. Hanya babi sahaja yang haram. Sebab itu apabila timbul isu Sosej Usus Babi dan pemalsuan logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM , seluruh Malaysia kecoh . Pelbagai pihak menuding jari kepada pengilang dan pengeluar makanan berkenaan.
Kenapa mereka tidak buat kecoh atau menuding jari kepada pelaku pelaku maksiat , yang berpakaian menjolok mata , minum arak dalam satu pesta yang melibatkan orang - orang islam , judi yang merosak jiwa generasi , konsert - konsert yang menyuburkan barah sosial dalam negara kita
Kenapa mereka tidak sensitif dalam isu - isu seperti ini , sedangkan ianya sangat jelas mempermainkan logo haram yang datang daripada Allah swt. keatas segala jenis maksiat tersebut. Kenapa logo halal dari JAKIM menimbulkan rasa sensitif bagi pihak kerajaan Islam hadhari sehingga mereka mengambil tindakan drastik , bertindak tegas keatas mereka yang bersalah.
Sementara logo haram dari Allah tidak menimbulkan apa apa rasa sensitif dari pihak kerajaan Islam Hadhari , apabila ada dikalangan ummat islam melanggar dan memalsukannya.
Justeru itu , benarlah kini hanya babi satu satunya yang masih haram dizaman Islam Hadhari ini.
PERKAMPUNGAN ISLAM HADHARI
Saya hanya tersenyum lebar apabila mendengar satu lagi jenaka antarabangsa Kerajaan Islam Hadhari . Apabila mereka menemui satu lagi batu bersurat di Terengganu yang termaktub padanya Perkampungan Hadhari .
Saya tak sangka sejauh itu jenaka UMNO Terengganu setelah dulu mereka pernah mengecat burung merpati dengan warna biru sewaktu melancarkan Gelombang Biru di Terengganu.
Persoalan saya ringkas . Kenapa tiba - tiba sahaja Kerajaan Islam Hadhari menukar Sure Heboh kepada Perkampungan Hadhari apabila tiba giliran Negeri Terengganu ?
Ini satu lagi wayang kulit Kerajaan UMNO dan BN untuk mengelirukan rakyat dengan slogan Islam Hadharinya. Oleh Kerana Terengganu adalah antara negeri yang sangat kuat semangat islamnya dikalangan rakyat , maka mereka terpaksa melunakkan keadaan dengan serta merta menukar sure heboh menjadi perkampungan hadhari setelah Sure Heboh mendapat kecaman yang hebat dari rakyat.
Kalaulah mereka ikhlas dengan agama , kenapa tidak mereka melaksanakan projek Perkampungan Hadhari ini keseluruh negara bagi menggantikan Sure Heboh . Atau sebenarnya mereka bimbang tidak mendapat sambutan sebagaimana hambarnya sambutan di Terengganu ?
UMNO kelihatan macam daun lalang , sekejap ke kanan sekejap ke kiri . Tiada prinsip . Saya lihat Islam hadhari akan mengalami nasib yang sama , atau apakah Sure Heboh untuk nyanyian , konsert dan hiburan sementara Perkampungan Hadhari pula untuk forum , al Kuliyyah dan nasyid.
UMNO ....UMNO ...berapa banyak lagi sandiwara yang akan dilakukan selepas ini.
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
Jumpa lagi di bahagian yang akan datang.
Hadharah Islamiyyah bukan Islam hadhari.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home