" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, March 23, 2005

Pemuda Pahang kecewa Adnan tiada untuk terima memorandum

Tuesday, March 22 @ 13:28:21 MYT Oleh Basiron Abdul WahabKUANTAN, 22 Mac (Hrkh) -

Rombongan Dewan Pemuda PAS Pahang (DPP) melahirkan kekecewaan semalam kerana gagal bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakub untuk menyerahkan memorandum berkenaan isu pesta hiburan melampau di Genting Highlands pada 5 Mac lalu. Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Nasruddin Hassan yang mengetuai rombongan tersebut berkata, beliau dimaklumkan Adnan tiada di pejabatnya kerana mempunyai urusan lain manakala Setiausaha Politiknya, Shamsuddin Nawawi yang berada di pejabatnya pada waktu itu tidak dapat melayani rombongan DPP kerana terpaksa bergegas menemui Adnan.

Menurut Nasruddin pihak DPP kecewa kerana, DPP telah membuat temujanji dengan Setiausaha Politik Adnan sebelum ini dan dimaklumkan rombongan PAS boleh datang pada 10.30 pagi semalam.

Bagaimanapun jelas Nasruddin, beliau hanya dapat menyerahkan memorandum tersebut kepada pegawai Khas Menteri Besar, En. Nordin Ibrahim. Dalam perjumpaan tersebut Nasruddin meminta pegawai berkenaan menyampaikan salam beliau dan seluruh ahli pemuda PAS Pahang kepada Adnan dan meminta memorandum itu diserahkan kepada Adnan.

Memorandum empat halaman itu antara lain menyatakan sikap Pemuda PAS terhadap kegagalan pihak berkuasa menghalang program mungkar yang berlaku di negeri ini (merujuk kepada isu pesta arak di Genting Highlands pada 5 Mac lalu).

Pihak pemuda juga menuntut lima perkara daripada kerajaan negeri iaitu;
1. Pihak penganjur dan semua yang terlibat (dengan program terbabit) hendaklah didakwa dan dikenakan tindakan lebih tegas kerana tindakan menyenaraihitamkan penganjur program tersebut tidak memberi kesan besar kepada mereka.
2. Menyediakan satu garis panduan penganjuran program hiburan yang lebih sesuai dengan matlamat dan cara hidup Islam.
3. Menperkasakan unit penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) agar lebih efisyen dan dipandang lebih berwibawa.
4. Menggubal undang-undang yang lebih tegas untuk membendung perkara tersebut dari terus merebak.
5. Memperbanyakkan program agama untuk remaja dan masyarakat keseluruhannya.
Dalam rombongan semalam, turut mengiringi Ustaz Nasruddin menemui Nik Nordin ialah Ustaz Yusuf Embong dan Peguam Mohd Iqbal Hamdy Rosdi

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home