PDRM : BANTERAS JENAYAH BUKAN GANGGU CERAMAH
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) ingin mengambil kesempatan yang ada pada hari ini untuk merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Polis DiRaja Malaysia yang meraikan sambutan Hari Polis Kali Ke-198 pada hari ini diseluruh negara.
Pasukan Polis pada hari ini telah mengalami pelbagai perubahan sesuai dengan tahap kedewasaanya. Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai Polis yang gigih melaksanakan tugas yang diberikan dalam menjaga keselamatan dalam Negara. Polis juga merupakan pasukan penting yang kerap menjadi duta Negara dalam misi keamanan diluar Negara.
Kita berharap agar segala kecemerlangan yang ditujukan dan tindakan positif pihak Polis dapat diteruskan. Sebagai membalas jasa dan pengorbanan mereka, kita berharap agar elaun perkhidmatan dan elaun kritikal yang diberikan selama ini dapat ditingkatkan khususnya bagi kakitangan yang berpangkat rendah. Suasana penempatan dan kuaters kakitangan Polis juga perlulah diperkemas kini dengan menyelaraskan semua infranstruktur yang ada diseluruh Negara.
Kita juga berharap agar ruang pejabat dan tempat bekerja, khususnya bagi Polis di Kuala Lumpur dapat diubah suai bagi mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan menarik. DPPWP melihat bahawa suasana ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Polis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Stadium amatlah menduka citakan. Kita dimaklumkan bahawa bangunan tersebut pada asalnya adalah sebual kawasan perumahan Flat lama. Betul atau tidak tapi itulah hakikatnya suasana yang terselindung disebalik kegagahan PDRM Kontigen Kuala Lumpur. Ruang yang sempit dan suasana kelam menjadi santapan mata yang terpaksa dilalui oleh mereka setiap hari.
Dalam pada itu DPPWP juga berharap agar pihak Polis pada hari ini bersikap sensitif terhadap perubahan dan keperluan semasa rakyat Malaysia. Rakyat kini masih lagi dihantui oleh bayangan kes-kes jenayah yang kian berkembang biak dalam masyarakat. Kewujudan penjenayah muda yang berusia belasan tahun melalui kes pecah rumah, rogol, bunuh dan lumba haram kian menjadi-jadi.
Jika dihimbau pengalaman pada tahun lepas sahaja, kita telah dikejutkan dengan kewujudan sindiket pecah rumah di Putrajaya yang diketuai oleh seorang budak yang baru berusia belasan tahun. Tidak cukup dengan itu, kes rogol beramai-ramai dan bunuh semakin menjadi-jadi. Pada akhir tahun lepas juga Negara dikejutkan dengan pelbagai aksi ganas peragut yang tidak pernah mengenal erti belas terhadap mangsanya.
Dan kita amat kecewa bila mana akhbar dan media semasa hari ini juga berjaya mendedahkan penglibatan beberapa orang kakitangan dan pegawai polis dan beberapa siri kes rompakan bersenjata, bunuh dan rogol serta rasuah. Pada awal bulan ini sahaja 2 orang kakitangan Polis ditembak mati semasa dalam perjalanan melakukan rompakkan bersenjata.
Selain itu, rasuah dikalangan anggota Polis juga tidak pernah berkurang malah semakin meningkat dari sehari ke sehari. Keganasan Polis terhadap orang awam juga sering menghiasi dada – dada akhbar dalam dan luar Negara. Yang terbaru adalah tindakan Polis terhadap demonstrator yang berhimpun secara Aman dalam kempen Anti Perang yang diadakan dihadapan kedutaan Amerika.
Dalam kes lain, seorang pemuda dari Wangsa Maju yang dalam proses perbicaraan didapati mati didalam penjara Polis. Ini bukanlah kes pertama yang dilaporkan, ianya hanyalah kesinambungan terhadap beberapa siri keaganasan yang dianjurkan oleh pihak Polis sendiri disebalik tirai besi yang dikuasai oleh mereka. Kita amat duka cita dengan sikap dan kehancuran disiplin diri yang gagal dibendung dalam organisasi Polis.
DPPWP juga berasa hairan terhadap pihak Polis yang mudah dicucuk hidung oleh segelintir pemimpin UMNO dan BN yang tidak pernah duduk senang terhadap program ceramah dan kempen yang dianjurkan oleh PAS dan Pembangkang lainnya. Kita pelik bila mana PAS menganjurkan Ceramah, hatta didalam Markas sekalipun pasti ada Polis yang berkunjung dengan alasan menjaga ketenteraman awam. Tidak cukup dengan itu, sekatan dibuat disemua laluan menuju ke tempat Ceramah. Rakyat digertak dan diugut, pemimpin pembangkang ditekan dan ditahan.
Tetapi DPPWP ingin mengingatkan kepada segelintir anggota Polis yang sentiasa mencabar kesabaran ahli dan penyokong PAS serta pembangkang lainnya, sesungguhnya kami tidak pernah lagi dibuktikan melakukan provokasi dan menganggu ketenteraman awam disepanjang siri ceramah dan demonstrasi yang diadakan. PAS merupakan parti yang mesra masyarakat dan kita berjuang untuk Islam dan masyarakat. Musuh kami bukan Polis, bukan UMNO atau BN, musuh kami adalah maksiat, kemungkaran dan kejahilan.
Kita berharap agar Polis bersikap matang dan bijak dalam membezakan penjenayah dan bukan penjenayah. Dalam pihak Polis sibuk menjaga Ceramah PAS, mereka sering mengabaikan tanggungjawab mereka membanteras sindiket pengedaran dadah dan jenayah lainnya di ibu kota. Sindiket dadah yang berlindung disebalik kecanggihan pusat-pusat hiburan di ibu kota Kuala Lumpur ini dibiarkan berkembang pesat. Masalah lumba haram gagal ditangani dengan baik. Masalah ragut ditempat awam bukan lagi perkara luar biasa.
Bila orang bertanya “Polis pi mana time penjenayah datang”, mudah sahaja jawapannya, “Mereka sibuk jaga Ceramah dan demonstrasi PAS”.
Bila PAS memohon permit untuk berceramah banyak alasan diberikan untuk tidak meluluskan. Jika diberi sekali pun pasti akan ditarik balik disaat akhir. Itulah fenomena yang biasa dilalui. Bagi PAS kita tetapkan akan meneruskan dakwah yang tersadur walau apa jua yang menghalang. Janji kita pada rakyat bahawa suara mereka akan kita perjuangkan. Janji kita pada Polis, jangan risau keamanan sentiasa bersama PAS.
Akhir sekali, sempena Sambutan Hari Polis Kali Ke-198 pada tahun ini, DPPWP menuntut perubahan dalam gerakkan dan disiplin kalangan anggota Polis. Kita berharap agar tahap kecemerlangan yang sedia ada dapat ditingkatkan dengan memperbaiki imej yang sering tercalar ekoran tindakkan segelintir anggota Polis yang tidak berdisiplin. Semoga Pihak Polis dapat menjadi pelindung masyarakat dan pejuang keamanan dalam erti kata yang sebenar.
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home