" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, July 05, 2005

Memo kepada Mufti versi 2

Oleh Ustaz Nasruddin Hassan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) merujuk kepada Jawapan kontroversi Dato Dr. Mashitah Ibrahim, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri yang disiarkan di dalam ruangan soal jawab agama ‘Anda Musykil, Dr Mashitah Jawab’ akhbar Harian Metro Ahad, 19/6/2004 . Dr. Mashitah dalam ruangan tersebut menjawab bahawa melacur dalam keadaan `terpaksa` adalah dibolehkan. Definisi kepada `terpaksa` yang dimaksudkan pengirim dan Dr Mashitah sendiri adalah terpaksa untuk menyara keluarga atas sebab kesempitan hidup maka ia dianggap darurat yang menyebabkan hukum asal berubah. Berikut adalah petikan Dr Mashitah:
HUKUM di dalam Islam berbeza mengikut keadaan seseorang.Mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu ‘terpaksa’, membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan dilarang dan bukan dengan kehendakhatinya.Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan.Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram, tetapi jika terdesak dan darurat ia dimaafkan.Di sinilah timbulnya tanggungjawab masyarakat untuk membantu.Orang terdesak dan darurat tidak mungkin mampu membayar zakat fitrah, dia tergolong layak terima fitrah.Jika sampai ada lebihan, bererti dia sudah tidak darurat. Sumber Harian Metro 19 Jun 2005
Berdasarkan kepada kenyataan tersebut DPPNP ingin memberikan komentar berhubung perkara tersebut.
Kami berpandangan bahawa jawapan yang diberikan itu adalah tidak tepat dan cukup mengelirukan. Jawapan tersebut telah menimbulkan satu anggapan di kalangan ummat Islam di Malaysia bahawa melacur adalah dibenarkan dalam keadaan ‘terpaksa’ atau ‘terdesak’ yang mungkin disebabkan oleh kesempitan hidup. Dalam keadaan darurat sebegini, jika berdasarkan kepada Dr. Mashitah, maka hukum haram melacur (berzina) berubah menjadi harus (dibolehkan).
Pandangan pra-matang
Jawapan Dr Mashitah di dalam akhbar tersebut, menggunakan konsep mashaqqah yang merupakan satu konsep yang ada di dalam fiqh dan usul fiqh, konsep tersebut menerangkan bahawa “sesuatu kesulitan dan kesusahan itu menjadi sebab bagi meringankan hukum dan memberikan kemudahan.
Keadaan ‘terpaksa’ seperti yang ditimbulkan oleh pengirim, disebabkan oleh faktor kemiskinan atau kesempitan hidup, Malangnya Dr Mashitah memberikan satu jawapan yang “tidak cermat”, tanpa sebarangan analisis senario dan tidak pula cuba untuk memberi penjelasan yang lebih details beliau terus secara longgar mengkategorikan keadaan tersebut [terpaksa] sebagai satu keadaan darurah. Implikasi dari keadaan terpaksa itu ialah ia membolehkah hukum asal dirubah iaitu haram melacur kepada harus melacur. Tidakkah ini satu pandangan yang mengelirukan?
Sungguhpun DPPNP menghormati ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh Dr. Mashitah. Namun, kami tetap berpendirian bahawa pendapat beliau dalam isu ini tidak boleh diterima sama sekali. Pandangan beliau yang disiarkan secara meluas kepada masyarakat awam, adalah menyalahi konsep mashaqqah yang telah ditetapkan oleh ulamak muktabar, tindakan terlalu meringankan pengkategorian keadaan darurat tersebut dibimbangi akan berlaku kekeliruan dan salah faham dikalangan pembaca yang rata-ratanya tidak arif tentang hukum. Sedangkan masalah aurat yang mudah itupun tidak difahami ramai apatah lagi dalam masalah yang agak kompleks sebegini tentulah lebih mudah untuk disalah ertikan oleh masyarakat awam.
Pandangan Ulama
I - Dr Yusuf Al-Qaradhawi
Kami naqal pandangan beberapa tokoh ulamak bagi menyokong hujah kami antaranya ialah Dr Yusuf Al-Qaradhawi yang di dalam kitabnya ‘Al- Halal Wal Haram Fil Islam’ menyentuh tentang keadaan darurah yang membolehkan perlakuan haram, beliau telah menegur dan memperingatkan ummat Islam agar tidak secara sembrono mempermudah-mudahkan kelonggaran [rukhsah] yang diberi oleh syarak atas alasan darurat.
II - Dr Wahbah Zuhaili
Begitu juga semasa membincangkan tentang hukum harus melakukan yang haram ketika darurat, Dr Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya Al-Wasit Fi Usul Fiqh al Islami (Al- Matba’ahAl Ilmiyya, Cetakan Kedua 1986 m.s 115) telah menyatakan bahawa majoriti ulamak berpendapat harus melafazkan kata-kata kufur ketika dipaksa seperti diancam untuk dibunuh.
III - Ulama Mazhab As-Syafie
Ulama mazhab As Syafie (as Syafiyyah) mengatakan skop darurat itu bukan sekadar takut kehilangan nyawa jika tidak memakan makanan yang haram itu, tetapi ditakuti juga akan berlaku kesakitan atau sakitnya bertambah teruk atau sakitnya itu akan berpanjangan.
IV - Imam Abu Zuhrah
Imam Abu Zuhrah pula mendefinisikan darurat pula sebagai satu keadaan ditakuti akan kehilangan nyawa ataupun kehilangan harta keseluruhannya ataupun maslahat dharurinya (agama, nyawa, maruah, akal dan harta) terancam jika tidak memakan yang haram atau tidak melakukan perkara yang terlarang dengan syarat tidak menyentuh hak orang lain.
Syarat Darurat
Berikut adalah beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Islam dalam meletakkan sempadan daerah darurat itu sendiri. Jika menepati kriteria ini barulah terpakai kaedah syarak seperti darurat mengharuskan perkara yang dilarang:
* Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu didasarkan andaian, andaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.
* Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan lain yang dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudaratan itu. Contohnya, seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang maka ia mesti memilih pinjaman tanpa riba kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba.
* Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip-prinsip asasi Syariat Islamiah dan usul akidah Islamiah seperti tidak halalnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan).
Ini bererti jika dalam melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudarat yang lebih ringan dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.
* Ketika melepaskan keadaan daruratnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan darurat diukur dengan tingkatannya
* Dalam isu terpaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil.
* Dalam pemerintahan negara, pemimpin perlu memastikan kepentingan awam dan negara didahulukan walaupun kadang-kadang terpaksa mengambil jalan yang terlarang apabila jalan yang halal tiada atau kurang berkesan dalam menjaga kepentingan negaranya seperti pandangan beberapa orang ulama yang berpandangan harus membayar hutang negara kepada badan-badan dunia atau negara-negara kuasa besar bersama dengan faedah pinjaman walaupun pada asasnya riba itu haram kerana menjaga kepentingan negara daripada terjual atau tergadai kepada kuasa asing. Sumber Pejabat Mufti Perak
Daripada sedikit ulasan di atas, alasan melakukan perkara yang diharamkan kerana darurat tidak semudah seperti ia diungkapkan kerana pada hakikatnya ia masih terikat dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.
Fenomena yang berlaku di masyarakat kita ialah ramai di kalangan umat Islam menggunakan alasan darurat dengan melakukan perkara yang haram dalam perkara peminjaman secara riba sedangkan peminjam berkenaan bukannya dalam perkara `daruriyyat' tetapi hanya dalam perkara `tahsiniyyat' sahaja.
Berdasarkan pendapat-pendapat ulamak di atas yang sempat dinukilkan [serta banyak lagi pandangan-pandangan lain] keadaan ‘terpaksa’ disebabkan tiada wang untuk menyara hidup, tidak termasuk ke dalam kategori darurat yang membolehkan seseorang perempuan melacur sebagaimana pendapat Dr. Mashitah.
DPPNP tidak berniat untuk meperbesar-besarkan soal ini, tetapi oleh kerana kenyataan ini disiarkan di dalam sebuah akhbar arus perdana yang mempunyai jutaan pembaca dan disampaikan pula oleh seorang tokoh agama yang berpengaruh seperti Dr. Mashitah, maka ia telah menimbulkan kekeliruan di kalangan ummat Islam dan mungkin ramai juga yang menelan bulat-bulat jawapan tersebut.
Tindakan dan Kesimpulan
Oleh kerana itu, demi kepentingan ramai khususnya umat Islam di Malaysia, kami menyeru pihak berwajib untuk melakukan sesuatu demi agama ini. Tuntutan kami tidaklah sebesar mana Cuma hanya memohon pihak yang berwajib lebih cakne dan proaktif dalam menangani isu-isu yang melibatkan kepentingan umum.
Pihak Dato diminta untuk tampil menjelaskan isu ini kepada masyarakat. Kami Dewan Pemuda PAS Pahang teramat bimbang kelonggaran ini akan dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk menyesatkan dan memesongkan orang Islam di Malaysia. Sudah terlalu parah kebejatan akidah dan sosial dikalangan umat Islam di Malaysia dipinta janganlah ditambah lagi dengan satu bentuk endorsement sebegini. Isu murtad, kondom dan jarum percuma, isu zina, arak, pesta melampau, serangan pemikiran [islam Liberal/ astora], riba, judi, rasuah dan macam-macam lagi bencana kepada umat ini sudah tidak terbela lagi, apakah golongan agamawan kerajaan sudah kecewa dan berputus asa? Bangkitlah!

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Harap ustaz dapat bertindak.saya pun kurang setuju ngn komentar2 yang diberikan oleh Dr. Mashitah yang banyak memberi jawapan yang memang jelas menelirukan.,ia akan mempengaruhi org2 yang memang jahil mengenai agama.Selamat Berjuang.Saya sokong

12:34 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home