" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, May 11, 2005

Pemuda tawar khidmat guaman percuma untuk peserta PLKN Wednesday, May 11 @ 13:12:15 MYT Oleh Roy Rasul KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) Tidak kira orang Umno ataupun PAS, Dewan Pemuda PAS Pusat bersedia untuk memberi khidmat guamannya secara percuma kepada peserta-peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menghadapi tindakan undang-undang.Setiausaha Lajnah Undang-undang PAS yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS, Hanifa Maidin berkata, pihaknya akan tampil untuk membela mereka ini sekiranya ada yang memerlukan. Malah katanya, perkara ini telah pun dimaklumkan kepada umum. Sehubungan itu katanya, mana-mana peserta yang menerima surat pendakwaan kerana gagal menyertai PLKN boleh menghubungi Pemuda PAS. "Pemuda PAS akan cuba memberi bantuan kepada mereka kerana kita percaya dalam kes seperti itu sekiranya dibicara terdapat beberapa persoalan yang boleh dibangkitkan antaranya dari segi pemilihan peserta itu sendiri," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini. Bagaimanapun katanya, dari segi undang-undang sekiranya peserta yang dikenakan tindakan mahkamah dan terus mengaku bersalah pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa. Memetik laporan media hari ini, Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, 18, dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret, Kangar, kerana tidak mampu membayar denda RM600 atas kesalahan gagal menghadiri PLKN pada Julai tahun lalu. Beliau juga adalah remaja pertama negara ini yang dituduh mengikut Seksyen 18 (1) Akta Khidmat Negara 2003 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali. Hafizal juga tidak diwakili peguam dan beliau bekerja mengambil upah membuat bendang untuk menanggung keluarganya dan memilih untuk menjalani hukuman penjara. Mengulas kes Hafizal, Hanifa berkata, mungkin tertuduh tidak mengetahui apa yang ditawarkan oleh Pemuda PAS. Malah katanya, dalam kes Hafizal, beliau sendiri yang mengaku bersalah dan dari segi undang-undang pendakwaraya berkuasa dan boleh mendakwa sesiapa yang dikehendaki. "Cuma remaja tersebut mengaku bersalah jadi tidak boleh ditimbulkan diskriminasi tetapi jika beliau tidak mengaku bersalah dan diwakili peguam boleh dibicarakan," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home