Islam hadhari:
Lagu lama yang didendangkan semula
Oleh MOHAMED HANIPAFriday, April 15 @ 12:18:19 MYT
SEJARAH mengajar kita antara lain tentang kelakukan manusia. Sejarah perjuangan Islam yang di bawa oleh para Nabi (‘alahim al- salam) sentiasa berhadapan dengan musuh terdiri daripada para penguasa dan para pembesar-pembesar (al-mala’). Sebagaimana pendekatan dakwah islamiyyah disesuaikan mengikut kesesuaian masa, tempat dan zaman begitu jugalah pendekatan musuh yang menentang Islam. Di peringkat permulaan PAS memperkenalkan Islam sebagai agama yang syumul merangkumi semua aspek kehidupan manusia maka penentangan awal yang dihadapi oleh PAS oleh parti memerintah adalah Islam itu hanya sekadar ‘amal ‘ibadah ritual dan harus dipisahkan dengan politik.
Semakin hebat PAS mencanangkan Islam sebagai al-deen semakin kuat diajendakan bahawa politik Islam yang dibawa oleh PAS adalah ajaran baru dan hanya memecahbelahkan masyarakat.
Bagaimanapun dengan kefahaman Islam sebagai al-deen semakin bertambah baik, penentangan Umno kepada Islam yang dibawa oleh PAS di atas alasan Islam dan politik tidak boleh disatukan semakin kurang diterima oleh masyarakat.
Bermula daripada saat itu bagi mengekang arus perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, Umno berusaha menggunakan uslub dan pendekatan yang baru. Tuduhan bahawa Islam dan politik tidak boleh disatukan sudah tidak berkesan.
Maka kaedah baru yang sesuai dan boleh mengelabui mata masyarakat (baca pengundi) harus direkacipta. Bertolak daripada situlah Islam hadhari diperkenalkan dengan tujuan khusus untuk mengekang kebangkitan Islam yang diterajui oleh PAS – satu-satunya parti politik yang menggunakan Islam sebagai wadahnya.
Islam hadhari mula diperkenalkan di penghujuang era Mahathir.sebagai satu strategi politik bagi mengelirukan orang yang terpaut dengan Islam yang dianjurkan oleh PAS berasaskan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.
Bagaimanapun sikap berterus-terang Mahatahir yang menggunapakai slogan Islam tetapi dalam masa yang sama menyerang prinsip-prinsip, hukum-hakam, syariat dan syiar Islam dilihat merugikan Umno dan menguntungkan PAS. Oleh itu perlunya perubahan uslub dan pendekatan dalam berhadapan dengan pengaruh PAS.
Sebaik sahaja Pak Lah memegang teraju pemerintahan pendekatan yang lebih lunak , halus (subtle), menarik (appealing) tetapi sebenarnya menipu (deceptive) dan berpura-pura diperkenalkan melalui slogan Islam hadhari.
Pak Lah, berbeza dengan Dr Mahathir, mengambil pendekatan tidak menyerang Islam mahupun PAS secara terbuka sebaliknya menggunakan jarum-jarum halus bagi meleraikan ikatan Islam yang sebenar. Beliau, tidak seperti Mahathir, tidak menyerang hukum Islam seperti hukum hudud yang cuba dilaksanakan oleh PAS di Kelantan melalui ucapan-ucapan beliau.
Bagaimanapan dalam masa yang sama beliau juga tidak pernah mengarahkan Zaid Ibrahim menarik balik tindakan Mahkamah ke atas Kerajaan Kelantan yang mencabar perlaksanaan undang-undang Hudud,Qisas dan ta’zir di negeri itu.
Beliau tidak mengecam penutupan aurat meskipun isterinya tidak menutup aurat. Isteri beliau tidak menentang secara terbuka hukum poligami tetapi menyatakan bahawa perkahwinan bagi beliau adalah monogami (seorang isteri bagi seorang suami) dan kenyataan itu disokong oleh Pak Lah.
Beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan menyokong konsert sure heboh tetapi dalam masa yang sama tidak membela mufti yang dikecam hebat kerana mengecam program sure heboh. Beliau meminta program–program hiburan menyambut tahun baru digantikan dengan program agama (kerana tsunami) tetapi dalam masa yang sama tidak membela pegawai-pegawai JAWI yang menangkap orang-orang Islam yang melakukan maksiat di tempat hiburan.
Kefahaman orang Islam yang cetek terhadap Islam atau mereka yang hanya 'complacent' terhadap Islam dalam bentuk amalan ibadat yang ritual dan bersikap berkecuali (indifferent) dalam soal politik dan kekuasaan akan mudah terpengaruh untuk menyokong Islam seperti ini.
Seringkali hujah yang sering digunakan oleh mereka yang menyokong Islam hadhari yang dipromosikan oleh Umno ini adalah kita mesti bersikap husn al-zann - bersangka baik. Mereka yang hanya duduk di ruang legar (periphery) bulatan politik dan tidak memahami sepak terajang politik khususnya permainan licik politik parti yang mendokong sekularisme seringkali terpedaya hanya kerana pemimpin parti sekular tersebut menjadi imam sembahyang dan membaca beberapa potong ayat al- Quran dalam ucapannya.
Islam dalam bentuk ideologi yang dibawa oleh PAS seringkali menentang status quo. Ia bersifat kritikal terhadap segala perkara yang dilihat berlawanan dengan Islam. Ia selalunya membawa kepada konfrontasi dengan mereka yang bermatian-matian mengekalkan status quo tersebut. Berjayakah Islam hadhari Umno?
Meskipun Umno telah membelanjakan jutaan ringgit mempromosikan Islam Hadhari ia masih belum sepenuhnya menampakkan kejayaan. Kegagalan ini disebabkan beberapa faktor:
a. Sejarah/latar belakang parti yang memperkenalkan slogan Islam Hadhari
Sama ada Umno suka atau tidak mereka perlu menerima hakikat bahawa Umno mempunyai sejarah yang jijik dan buruk terhadap Islam.Terlalu banyak peristiwa yang menunjukkan para pemimpin yang memimpin Umno telah seringkali melakukan tindakan sama ada melalui lisan atau perbuatan mereka yang bukan sahaja merugikan Islam sebaliknya meletakkan Islam itu di lembah kehinaan.
Perhatikanlah senarai ini:
· Siapakah yang menghalang perlaksanaan hukum Islam di negara ini?
· Siapakah yang membenarkan program-program maksiat terus berjalan dan mendapat perlindungan?
· Siapakah yang membenarkan lambakan penerbitan-penerbitan majalah yang tidak senonoh dan merangsangkan hawa nafsu terus dijual di negara ini?
· Siapakah yang membenarkan iklan-iklan arak disiarkan secara berleluasa di akhbar-akhbar berbahasa Inggeris di negara ini?
· Siapakah yang memecat bekas Mufti Selangor yang menjalankan tugas nahi munkar bagi menyelamatkan gadis-gadis muslim terjebak di dalam pertandingan ratu cantik yang?
· Pemimpin parti manakah yang mencabar undang-undang hudud yang ingin dilaksanakan di Kelantan di Mahkamah Persekutuan?
· Siapakah yang memberi amaran secara bertulis kepada Menteri Besar Kelantan untuk mengambil tindakan sekiranya diteruskan hasrat ingin melaksanakan hukum Islam di negeri tersebut?
· Siapakah yang memutuskan bantuan wang per kapita sekolah agama rakyat (SAR) perlu dihentikan?
· Siapakah yang tergamak menyatakan bahawa SAR adalah sarang pengganas?
· Siapakah yang telah bertindak dan mengancam untuk bertindak menutup PASTI (Tadika Islam)?
· Siapakah yang telah berusaha untuk menghapuskan nama Islam daripada PAS?
· Siapakah yang telah menghapuskan pembelajaran tulisan jawi dan akhbar tulisan jawi (Utusan Melayu)?
· Siapakah yang memberi lesen-lesen perjudian, arak dan sarang-sarang maksiat di negara ini?
· Siapakah yang menyokong sure heboh, Malaysian Idol, akademi fantasia, konsert-konsert artis dalam negeri dan luar negara?
· Siapakah yang menyatakan bahawa tiada sesiapa yang boleh mendakwa agama mereka lebih baik daripada agama-agama lain ketika merasmikan seminar bagi menubuhkan Suruhanjaya Agama?
· Siapakah yang mengekalkan akta-akta zalim yang menzalimi rakyat seperti ISA, OSA, akta penerbitan dan mesin cetak dan sebagainya?
· Siapakah yang mengatakan tidak salah para pemimpin menyimpan perempuan simpanan asalkan tidak menganggu tugas mereka?
· Pemimpin parti manakah yang sanggup terlibat mengedarkan kondum kepada rakyat di ibu kota suatu masa dahulu bagi mengatasi masalah Aids?
· Siapakah yang menyatakan kalau dilaksanakan hukum Islam akan berlaku huru-hara?
· Siapakah yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. di dalam ucapannya?
· Siapakah yang menyatakan bahawa ucapanAssalamu’alaikum dan selamat pagi adalah sama?
· Siapakah yang menyatakan bahawa Penghulu Syuhada’ atau Sayyidus Shuhada’ Syaidina Hamzah r.a. tidak dimandikan kerana tiada air di padang pasir?
· Parti manakah yang meluluskan lesen judi di Parlimen meskipun ditentang oleh ahli-ahli Parlimen bukan Islam?
. Parti manakah yang sanggup menghapuskan cuti hari Jumaat (sayyidul ayyam – penghulu segala hari bagi umat Islam) dan digantikan dengan cuti hari Ahad?
· Siapakah yang bertanggungjawab memanggil pasukan kriket negara haram Israel yang menyaksikan beberapa pemimpin PAS merengkok ke penjara kerana menentang rejim haram tersebut?
· Parti manakah yang sanggup bersekongkol dengan Amerika bagi menyerang bumi Iraq di dalam peperangan Teluk yang pertama dahulu?
· Parti manakah yang bertanggungjawab mengaibkan maruah bekas pemimpin mereka sendiri dengan tuduhan liwat tanpa mengambil kira hukum qazaf?
· Parti manakah yang bertanggung jawab sehingga terbunuhnya para syuhada Memali?
Berbekalkan sejarah dan kredibiliti yang tercalar ini bagaimanakah Umno kini ingin menjuarai dalam hal membela Islam?
b. Selalu tercetus konflik apa yang dihidangkan apa yang berlaku di dalam realiti sekaligus mewujudkan paradox.
Meskipun Islam Hadhari dikatakan mempunyai sepuluh prinsip yang disolekkan dan digincukan dengan solekan-solekan yang indah misalnya melahirkan masyarakat bertaqwa tetapi realitinya tidak berlaku penyelarasan apa yang digariskan dengan apa yang ingin dan telah dilaksanakan.
Dihidangkan bahawa Islam hadhari ingin melahirkan generasi yang bertaqwa tetapi dalam masa yang sama segala program yang menghancurkan ketaqwaan umat Islam di negara ini dibenarkan bermaharajalela.
Bagaimanakah insan bertaqwa boleh dilahirkan jika segala program maksiat seperti Malaysian idol, akademi fantasia, sure heboh, konsert force nature dan sebagainya terus diberi tempat.
Perpatah Arab ada mengatakan: “Bilakah sebuah rumah itu akan dapat disempurnakan apabila kamu membina rumah tersebut dan orang lain pula sibuk menghancurkannya?”
Selagi mana paradox ini wujud selagi itulah Islam hadhari akan menjadi liabiliti kepada Umno.
C. Islam hadhari diperkenalkan tanpa muqadimmah kesungguhan membuat perubahan oleh rejim Pak Lah .Pak Lah mengambil alih teraju pemerintahan daripada seorang diktator Umno yang telah banyak memperkenalkan polisi-polisi yang menzalimi rakyat.
Islam hadhari terus dipromosikan tanpa dizahirkan terlebih dahulu pendirian pemimpin nombor satu Umno ini tentang sikap beliau dan parti beliau terhadap isu–isu tertentu seperti isu SAR, pelanggaran demokrasi, kerosakan badan kehakiman, pengekalan akta-akta draconian, terus melantik dan mengekalkan pemimpin rasuah dan membenarkan penentangan terhadap hukum Islam.
Beliau sewajarnya menunjukkkan sikap tidak senangnya terhadap isu-isu tersebut dengan mempamerkan komitmen yang bersungguh–sungguh untuk mengubah status quo tersebut. Malangnya apa yang berlaku adalah beliau dengan secara sedar mengelak untuk menumpukan mindanya terhadap isu tersebut.
Sebagai satu contoh sebaik sahaja beliau mengumumkan kabinet beliau selepas memenangi pilihan raya umum yang lalu (yang penuh dengan penipuan itu) beliau masih lagi mengekalkan pemimpin-pemimpin warisan Mahathir yang diketahui umum sejauhmana kredibiliti mereka.
Apabila ditanya oleh wartawan adakah kabinet beliau itu benar-benar bersih beliau menunjukkan muka yang masam dan enggan menjawab soalan wartawan tersebut.
Hatta semasa beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri di era Tun Mahathir beliaulah menteri yang bertanggungjawab mengarahkan pengharaman mutlak ceramah-ceramah BA yang menyaksikan bagaimana pemimpin, ahli, pendokong dan penyokong BA diperlakukan oleh pihak polis secara kejam dan tidak berperi kemanusiaan.
Memandangkan polis adalah di bawah tanggungjawab beliau pada masa itu beliau perlu bertanggungjawab. Meskipun suruhanjaya dibentuk untuk menyiasat tindakan polis sejauhmanakah suruhanjaya tersebut berani menyiasat dan memanggil menteri yang bertanggungjawab terhadap tindakan polis.
d. Tidak diketahui kedudukan Syariah Islamiyyah dalam Islam hadhari .
Jika kita melihat kepada sepuluh perkara yang dikatakan menjadi intipati Islam hadhari tidak langsung dinyatakan tentang kedudukan syariat Islam.
Jika dilihat kepada perlaksanaan syariat di dalam negara ini terlalu banyak yang belum dilaksanakan malahan apa yang ingin dilaksanakan banyak yang bercanggah dengan syariat itu sendiri.
Islam tanpa syariat ibarat roh tanpa jasad. Imam Al Ghazali menyatakan bahawa sesungguhnya “syariah itu adalah dasar (asas) dan kerajaan itu sebagai pengawal; barang yang tiada dasar akan runtuh dan barang yang tiada pengawal akan hilang.”
Islam hadhari adalah ciplak
Apa yang Umno sedang usahakan bagi mempromosi islam hadhari pada hakikatnya telah lama dilakukan oleh rejim-rejim sekular di negara umat islam.
Di Iran misalnya Islam Istana telah diperkenalkan oleh Rejim Shah. Seperti yang diketahui Shah Iran adalah boneka barat dan fakta ini diakui sendiri oleh beliau sendiri sebelum beliau melarikan diri pada tahun 1978 di mana beliau mengakui bahawa seluruh anggota yang menganggotai majlis pemerintahannya melalui piliha]nraya palsu telah dipilih oleh keduataan kuasa-kuasa besar.
Di Iran golongan penjajah memang menyedari bahawa suatu cabaran terbuka terhadap Islam dalam negara islam di mana rakyatnya kuat berpegang kepada agama merupakan satu kesilapan besar dan hanya akan mengukukuhkan lagi semangat orang yang ingin ditindas.
Oleh itu mereka tidak menentang Islam secara langsung tetapi lebih mengarahkan segala usaha mereka untuk menjelmakan tindakan mereka ke dalam suatu bentuk yang lain iaitu Islam istana.
Mereka tahu jika pemerintah-pemerintah negara Islam itu menjadikan mereka sebagai penyokong Islam dan berpura-pura mematuhi amalan Islam, mereka akan mengekalkan terus pemerintahan mereka.
Disebabkan alasan inilah regim Phalavi sentiasa menda’yahkan Islamnya dengan cara menerbitkan kitab suci alQuran dalam bentuk yang indah dengan kos yang tinggi dan memperuntukkan banyak wang untuk membina masjid dan mengadakan upacara-upacara agama tetapi dalam masa yang sama berusaha meleburkan asas-asas terpenting ajaran islam dan melemahkan golongan agama yang tulin.
Seseorang Islam yang berjinak-jinak dengan ajaran islam yang tulin dapat membebaskan diri mereka daripada kejahilan dan dan bersama-sama dengan gerakan yang menentang penindasan, kezaliman dan ketidakadilan.
Di Barat timbulnya pemikiran-pemikiran seperti nihilisme dan lain-lain fenonena seperti hippies, atheies dan sebagainya adalah akibat daripada wujudnya kekosongan agama di sana.
Kekosongan inilah yang cuba diwujudkan oleh penjajah dalam negara-negara Islam. Bezanya ialah di Barat, agama pemerintah tidak perlu dipebaharui oleh kerana agama Kristian telah pun diperbaharui dan dibersihkan daripada prinsip-prinsip membina ideologi.
Tetapi dalam negara Islam matlamat-matlamat seperti tidak boleh tercapai kecuali Islam Istana (seperti Islam hadhari) diwujudkan dan akan menggantikan Islam yang sebenarnya. Satu lagi kumpulan pejuang Islam istana ini ialah para orentalis dan islamologis iaitu mereka yang mempunyai gelaran kesarjanaan di belakan nama mereka yang masuk ke dalam negara-negara Islam untuk memperkenalkan Islam menurut fesyen penjajah.
Mereka menyediakan kertas kerja yang mengandungi sebahagian daripada karya-karya sarjana-sarjana Islam yang disesuaikan menurut selera mereka sendiri dan mewarnakannya dengan warna kebaratan serta menerbitkannya dalam bentuk yang cantik dan menarik dengan kulit yang cukup menarik .
Buku-buku ini dihantar ke pelbagai negara Islam dan dikemukakan dalam persidangan-persidangan yang diatur oleh rejim yang bergantung kepada penjajah-pejajah ini. Media-media massa negara itu pula memberikan publisiti secara besar–besaran kepada orang-orang ini dan pengajian mereka sehingga menyebabkan bukan sahaja rakyat tetapi mereka yang terlibat dengan penyelidikan juga mula mempercayainya.
Akhirnya golongan orentalis dan islamologis yang tulin semakin terpencil dan menemui kesukaran mengemukakan hasil kajian dan penyelidikan mereka kepada orang ramai. Rejim Phalavi sepertimana Rejim Pak Lah kini mengambil perhatian yang begitu besar kepada keadaan ini dan suatu peruntukkan wang yang besar telah disediakan dan diwujudkan untuk menjayakan matlamat ini.
Dengan memikirkan bahawa pakatan ini merupakan satu faktor langsung yang dijalankan dalam usaha memesongkan Islam, maka regim sekular yang menggunakan Islam ini memberikan perhatian khusus kepada usaha ini dalam usahanya mengekalkan takhtanya.
Peruntukan yang besar telah dibelanjakan untuk mendirikan pusat-pusat dan mengadakan kemudahan untuk pendiayahannya malah hingga ke luar negara.
Kesimpulannya, boleh kita katakan Islam hadhari yang dipromosi oleh Umno ini adalah sepertimana kata pepatah Inggeris adalah “an old wine in a new bottle” (arak yang lama di dalam botol yang baru).
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home