PERGINYA SEORANG MUJAHID
Mujahid Dakwah “Ustaz Rahmat Abdullah”
Pulang Ke Rahmatullah..
Ahmad Akhyari Ismail
Universiti Islam Negeri
Syarif Hidayatullah,
Jakarta.
akhyari@hotmail.com
Innalillahi Wa Inna Illaihi Rajiun. Salah seorang pimpinan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang merupakan “Muassis Dakwah” dan “Syeikhut Tarbiah” yang dicintai oleh seluruh pendukung dakwah di Indonesia, Ustaz Rahmat Abdullah, telah pulang ke Rahmatullah. Beliau meninggal dunia pada 14 Jun 2005 pada jam 7.30 malam, di Hospital Islam Cempaka Putih.
Mantan Ketua Majelis Syura (MS), Dewan Pimpinan Pusat (DPP), Partai Keadilan Sejahtera (PKS) itu meninggal dunia kerana penyakit stroke. Beliau terkena stroke ketika wudhu untuk mengerjakan sholat Magrib di Markaz DPP PKS yang terletak di Gedung Kindo, Duren Tiga Jakarta. Ketika itu beliau dan ahli-ahli DPP sedang mengadakan Rapat Kerja DPP. Kemudian beliau dibawa ke Hospital Islam Cempaka Putih, Jakarta, namun Allah mentakdirkan beliau untuk menghadapNya ketika beliau sampai di hospital tersebut.
Sejarah Perjalanan Hidup Ustaz Rahmat Abdullah
Ustaz Rahmat Abdullah dilahirkan di kota Jakarta pada 3 Julai 1953. Putra kedua dari 4 (empat) bersaudara ini hidup dari keluarga asal Betawi yang sederhana dan taat beragama. Pada usia 11 tahun hidupnya mulai menjadi anak yatim. Awal pendidikan rasminya, disamping dididik oleh kedua orangtuanya, beliau memasuki sebuah perguruan Islam yang terkenal di Jakarta, Perguruan Asy-Syafi'iyah bimbingan KH Abdullah Syafi'i (tokoh Islam yang berwibawa di kota ini) hingga menamatkan sekolah tingkat `Aliyah (menengah) dengan prestasi yang cemerlang.
Kehidupan Ustaz Rahmat Abdullah ketika muda sangat berbeza dengan remaja seusianya pada saat itu. Dia taat beribadah, disamping mempunyai karakter dan akhlaq yang mulia. Hari-harinya dihabiskan untuk belajar, membaca dan mengkaji. Bahkan di usianya yang sangat muda, ia telah menjadi guru ditempat ia menuntut ilmu.
Dunia ilmu adalah dunia yang sangat mendarah daging dalam dirinya. Kegemarannya membaca al-Qur'an dan aneka buku membuat menjadi lebih cepat matang dibandingkan dengan remaja-remaja lain pada umumnya. Di saat inilah dia banyak membaca pikiran-pikiran para tokoh perjuangan, seperti HOS Cokro Aminoto, Almarhum Ustaz Mohamad Natsir, Hasan Al-Banna, Sayyid Qutb, Abu A’la al-Maududi dan tokoh-tokoh lainnya. Di samping itu, dia tetap menekuni kitab-kitab klasik (kitab kuning) sebagai warisan sejarah. Kebersihan jiwanya telah menjadikan Ustaz Rahmat Abdullah menjadi pemuda yang sangat cemerlang seperti sebuah lautan ilmu laksana perpaduan antara khazanah ilmu-ilmu keislaman klasik dan pandangan Islam modern yang tidak dimiliki oleh banyak orang yang berlabel ustaz.
Dunia seni dan sastra sebagai media komunikasi budaya juga merupakan sebahagian bagi dirinya. Antara bakat dan semangat yang telah melekat. Beliau gemar berzikir dan berfikir, membaca fenomena alam yang kemudian diekspresikan dalam bentuk produk seni, seperti puisi, esai, butir-butir nasyid dan naskah drama. Oleh karena itulah banyak orang cenderung memberikan gelaran sebagai seorang “budayawan”.
Sebagai da’i sejati, beliau banyak menghabiskan waktu, tenaga serta pikirannya untuk kegiatan da’wah. Siang dan malam dipenuhi pengajian demi pengajian tanpa mengenal lelah dan keluh kesah. Ia menjadi tempat anak-anak muda berkonsultasi, berkongsi perasaan, curahan hati tanpa ada batas waktu “melayani ummat”. Itulah peranan yang dia mainkan hingga akhir umurnya.
Sebagai seorang Mujahid Dakwah, dia memiliki karakter yang khas. Kemampuan retorika tinggi yang dihiasi oleh sentuhan sastera yang unik, acap kali membuat para pendengar menangis sebagaimana kemampuan ia membangkitkan semangat yang menggelora ketika ia mengangkat isu tentang jihad. Beliau juga aktif mengisi ceramah di radio dan televisyen. Beliau adalah pengisi tetap rancangan “Titik Pandang Rahmat Abdullah” di Radio Dakta Bekasi setiap Sabtu jam 6.30 pagi. Di radio ini pula beliau memimpin rancangan SAMARA yang disiarkan setiap malam Rabu.
Sebagai seorang penulis, beliau aktif menulis buku dan mengisi ruangan di beberapa majalah Islam dan Tarbiyah, seperti majalah Sabili, Islah, Saksi, Ummi, dan Tarbawi. Di majalah yang disebutkan terakhir inilah, beliau secara rutin mengisi ruangan Asasiyat oleh Pustaka Dakwatuna yang kemudian diterbitkan menjadi sebuah buku dengan judul “Untukmu Kader Dakwah” pada tahun 2005.
Awal tahun 80-an, beliau memimpin dunia Harakah Islamiyah yang pada saat itu mulai tumbuh di Indonesia hingga menjadikan beliau sebagai pakar dalam bidang Tarbiyah, majalah Sabili pernah memberinya gelar “Syaikh at-Tarbiyah” pada tahun 2001. Dengan menggunakan motorsikal yang dhoif, dia masuk kampung keluar kampung, masuk kampus keluar kampus menabur fikrah Tarbiah Islamiyah yang shahih dan syamil. Fikrah Ikhwanul Muslimin yang diperkenalkan beliau ternyata mendapat sambutan yang hangat dari berbagai peringkat masyarakat yang kemudian mencetuskan penubuhan Partai Keadilan Sejahtera (PKS).
Awal tahun 90 beliau memasuki era pengembangan dunia pendidikan dan sosial secara formal, sebagai usaha keprihatinannya terhadap ummat, dia mendirikan ISLAMIC CENTER IQRO’ yang bergerak dalam bidang pendidikan, sosial dan dakwah di Daerah Bekasi, Jawa Barat. Di sinilah dia menetap dan disinilah dia berekspresi mengembangkan cita-citanya melalui kajian kitab-kitab turas (klasik) setiap pagi Ahad.
Proses perjalanan dakwah yang panjang akhirnya telah membawa keterlibatan beliau dalam dunia politik yang kini diperjuangkan. Partai Keadilan yang kemudian berubah menjadi Partai Keadilan Sejahtera (PKS), adalah sebahabagian dari dirinya. Beliau adalah salah seorang pengasas parti yang berlatarbelakang islam intelektual itu.
Beliau diamanahkan menduduki posisi tertinggi dalam partai, yang sangat memerlukan khidmatnya, sebagai bentuk kepercayaan terhadapnya. Disamping itu, dia juga dilantik sebagai Ketua Majelis Pertimbangan Partai (MPP), Majlis Syura dan juga sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat (parlimen) DPR RI sesi 2004-2009 dari daerah Jawa Barat I (Kota Bandung dan Kota Cimahi). Pada Pilihanraya Umum Legislatif tersebut, dia meraih 106,882 undi.
Kehidupan sehariannya diwarnai oleh kesibukan yang luar biasa. Mengajar, ceramah di berbagai stesyen radio dan televisyen, mengisi seminar-seminar keislaman di berbagai daerah dan luar negeri, menulis artikel di sejumlah media cetak, disamping melakukan tugas tusiah politik kepada berbagai peringkat masyarakat.
Di akhir hayatnya, beliau masih sempat mengikuti perhimpunan Lembaga Tinggi Partai Keadilan Sejahtera (PKS), pada hari Selasa (14 Jun 2005) di Gedung Kindo Duren Tiga, Jakarta Selatan, sejak lepas Asar sekitar jam 4.30 petang. Tiada tanda-tanda beliau sedang sakit. Wajahnya ceria seperti biasa. Namun, ketika beliau wudhu untuk menunaikan shalat Maghrib, beliau merasakan sakit di sekitar kepalanya kerana stroke. Beliau sempat diperiksa Dr. Agus Kushartoro, Pengarah Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI), lalu dibawa ke rumah sakit Islam Cempaka Putih, Jakarta. Namun di tengah perjalanan, beliau dipanggil Allah Swt. Beliau wafat dalam usia 52 tahun, meninggalkan satu istri dan tujuh orang anak.
SELAMAT JALAN MUJAHID DAKWAH. MURIDMU, KADER-KADERMU AKAN MENERUSKAN CITA-CITA DAN PERJUANGANMU.
Sebelum tiba di Hopital Islam Jakarta (RSIJ) Cempaka Putih, pukul 8.00 mlm, Mantan Ketua Majlis Pertimbangan Partai (MPP) PKS, menghembuskan nafas yang terakhir. Wafatnya tokoh yang terkenal memiliki integriti moral tinggi ini cukup mengejutkan pendukung dan kader PKS.
Sejak berita ini diumumkan, para ahli DPP PKS, para tokoh masyarakat dan ribuan kader dan pendukung PKS memenuhi Komplek Perumahan Iqro di Jln. Jati Makmur Pondok Gede untuk memberi penghormatan yang terakhir.
Ribuan Massa Hadiri Pemakaman “Muassis Dakwah” Ustaz Rahmat Abdullah
Ribuan kader dan pendukung PKS serta tokoh masyarakat hadir pada pemakaman Mantan Ketua Majelis Pertimbangan Partai (MPP) PKS ini, pukul 1.30 petang. Rahmat dimakamkan di tempat Pemakaman Perkampungan, lebih kurang 200 meter dari tempat tinggalnya.
Sejak tersebar berita wafatnya almarhum selasa malam, kader dan pendukung PKS serta masyarakat setempat terus hadir untuk melakukan ta’ziah. Meskipun suasana hujan, massa tidak surut untuk menghadiri solat dan pengebumian jenazah mujahid dakwah yang tercinta. Sepanjang hari pekikan takbir mengema di Masjid Islamic Center Iqro tempat dimana jenazah beliau ini disemayamkan.
Pada pukul 11 pagi, dengan berlinangan air mata, Ketua Departemen Kaderisasi DPP PKS, Ustaz Mahfud Siddiq, membacakan riwayat hidup Ustaz Rahmat Abdullah yang dipenuhi dengan nilai-nilai perjuangan untuk menegakkan nilai-nilai Islam di bumi Indonesia. Selesai sholat Zuhur berjamaah, Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR-RI) Dr. Hidayat Nurwahid, Guru Almarhum Abdul Rasyid Abdullah Safi’i dan Presiden PKS, Ir. Tifatul Sembiring memberikan ucapan yang mengimbau kenangan dan kesan-kesan positif mereka selama bersama dengan Ustaz Rahmat Abdullah.
Pada pukul 1 petang dilaksanakan sholat jenazah yang diikuti oleh seluruh massa yang hadir. Selanjutnya jenazah di angkat oleh Unit Kepanduan PKS menuju tempat pemakaman, yang diiringi oleh pekikan takbir dan linangan air mata. Massa segera merapat menuju jenazah, mereka bersesak untuk memberikan penghormatan yang terakhir.
Saat jenazah menuju liang lahat, hujan terus menyiram bumi, pekikan takbir bersahut-sahutan dan tangisan dari massa yang hadir semakin menghiba, sehingga suasana mirip seperti proses pemakaman salah seorang pejuang di Palestin.
Sesaat setelah jenazah dikebumikan, Ketua Majelis Syura (MS) PKS, Ustaz Hilmi Aminuddin membacakan kronologi wafatnya Ustaz Rahmat Abdullah. Mereka yang hadir tak dapat menahan sebak dan tangisan saat Ustaz Hilmi mengatakan bahwa sebelum meninggal dunia, Ustaz Rahmat telah bersedia untuk menunaikan tugas suci iaitu menjadi Ketua Badan Penegak Disiplin Jamaah PKS. Kata beliau, “Sebenarnya lebih suka waktu hidup saya dihabiskan untuk berdakwah di masyarakat seperti yang selama ini saya lakukan dari pada menjadi anggota Parlimen” tutur Rahmat kepada Hilmi.
Acara ditutup dengan pembacaan talqin dan doa oleh Dr. Ahmad Samiun Jazulli, pensyarah UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta. Turut hadir pada pemakaman ini, (Menteri Perumahan Rakyat) M. Yusuf Ashari, (Menteri Pemuda dan Olah Raga) Ahdyaksa Dault, Para Anggota DPR dari Faksi PKS, diantaranya R. Bagus Suryama Mayana dan Mustafa Kamal, Para Anggota DPR RI, Para Anggota Faksi PKS DPRD DKI Jakarta dan para tokoh masyarakat.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home