" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Thursday, September 15, 2005

HIBURAN : KETULUSAN SENI DALAM KETEGASAN SYARIAT

MUQADDIMAH 01 :
Islam adalah satu sistem yang lengkap dan sempurna untuk mengatur kehidupan manusia di mukabumi . Justeru itu , kehadhiran Islam adalah untuk menyelamatkan ummat manusia daripada menjadi korban nafsu dan syahwat serta membebaskannya pula daripada menjadi mangsa ideology dangkal yang dicipta oleh manusia .
Malah Islam sebagai agama ciptaan tuhan yang sama dengan tuhan yang mencipta manusia , maka modus operandinya tidak bertentangan dengan fitrah manusia, sebaliknya mendidik dan membimbing laluan fitrah manusia agar tidak terpesong dari landasan syara’ termasuklah mengawal dan memelihara fitrah ini agar tidak diperdaya oleh syaithan alaihilaknatullah yang sememangnya menjadi musuh tradisi kepada anak adam .
Sikap prejudis terhadap Islam sebenarnya sering didorong oleh dua unsur negative yang perlu dihindarkan .
Kejahilan dan slaah faham mengenai dasar syariat serta konsep perlaksanaan hukumnya .
Dendam kesumat yang tidak berkesudahan terhadap Islam .
Mengatasi sikap ini , sangat wajar kepada semua pihak agar kembali mendalami serta menghayati prinsip dan orientasi agama suci yang diturunkan oleh Allah swt. dengan mengkaji sumber asas bagi ambilan segala hukum syariat , iaitu Al Quran dan Sunnah .
Juga meneliti khazanah – khazanah Islam yang muktabar hasil karya ulama’ yang soleh dan memperjuangkan agamanya .
Tindakan mengambil maklumat dan membentuk sikap melalui pandangan rambang dan karya picisan dalam apa jua perkara , menjadikan kita prejudis terhadap Islam dan pesimis terhadap syariat .
Saya mengharapkan semua pihak dapat berlapang dada dan bersikap positif dalam menilai kesucian agama jua berjiwa besar bagi menghadapi gaya pendekatan dan cara keterampilan contemporary yang diizinkan oleh Islam bagi memecah kejumudan aqal milik sebahagian ummat manusia .
Wajar diinsafi , bahawa kejumudan ini tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana kelak ia akan membentuk persepsi umum yang negative terhadap Islam, kononnya Islam tidak mempunyai formula bagi menangani persoalan semasa , apatah lagi disaat dunia menghadapi konflik dan krisis moral yang sangat teruk pada hari ini .
Pun begitu kita tegas agar sikap keterbukaan kita dalam mengemukakan pendekatan contemporary , tidak membentuk aliran liberalis dalam kelompok ummat Islam .

MUQADDIMAH 02 :
Sila rujuk Kesenian dan Hiburan Sebagai Method Dakwah Ulama Melayu Silam
Oleh : Fadli Ghani Akademi Kajian Kota.
Perkembangan industri hiburan yang semakin pesat dengan disokong oleh revolusi teknologi maklumat telah memberikan cabaran yang besar kepada proses dakwah Islamiyyah di Negara ini .
Golongan remaja dan muda – mudi menjadi sasaran utama industri hiburan sehingga banyak pihak melihat bahawa masa depan golongan ini begitu kabur akibat terjerumus dalam kancah hiburan yang melalaikan .
Bagi sebahagian ulama dan pemimpin gerakan Islam sendiri , mereka melihat perkembangan ini dari aspek yang agak negative iaitu hiburan sebagai satu aktiviti yang haram di sisi Islam .
Sekiranya para ulama bertindak lebih bijaksana , hiburan yang dianggap haram ini boleh dibangunkan semula untuk memenuhi keperluan nurani golongan muda , tetapi dalam pendekatan yang dibenarkan oleh syara’ , sekali gus meningkat keluasan metodologi dakwah kepada masyarakat .
Sebenarnya hiburan bukanlah satu aktiviti yang haram dalam Islam , sebaliknya beberapa unsur yang terkandung dalam hiburan tersebut telah menukar status hiburan daripada halal kepada haram .
Perkembangan terkini dalam industri hiburan seperti percampuran bebas lelaki dan perempuan , wujudnya unsur perjudian , aktiviti hiliran seperti lumba haram , seks bebas , meminum minuman keras , mengambil dadah dan lain lain telah menjadikan hiburan bukan sahaja haram di sisi Islam tetapi memberi kesan buruk kepada system social masyarakat .
Namun begitu untuk menolak hiburan secara total adalah tidak bijak , kerana ia menjadi keperluan bagi sebahagian besar manusia . Oleh itu , hiburan mesti dilihat secara positif dalam konteks dakwah supaya ia bermanafaat untuk semua .
bersambung

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home