KHUTBAH HARI RAYA AIDIL FITRI 1426
الله اكبر ( 9 كالي ) الله اكبر كبيرا و الحمد لله كثيرا و سبحان الله بكرة و أصيلا لا إله إلا الله و لا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون لا إله إلا الله و الله اكبر . الله اكبر . الله اكبر . الحمد لله الذي بسط لعباده موائد احسانه و انعامه . و اعاد علينا في هذه الأيام فوا ئد بره و اكرامه و خصنا بضيافة عيد السرور على تعاقب الأيام . أحمده سبحانه و تعالى على جزيل افضاله و امداده . و أشكره على كمال وجوده و حسن وداده لعباده الذين غمرهم الله في بحار الفضل و الإنعام . و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له في ملكه و بلاده و أشهد أن سيدنا و مولانا محمدا عبده و رسوله أشرف عباده و زهاده سيد الرسل الكرام .
اللهم فصل و سلم على هذا النبي الكريم الممجد و الرسول العظيم سيدنا و مولانا محمد و على اله و أصحابه و على التابعين و تابعي التابعين و تابعيهم إلى يوم الزحام . أما بعد فيا أيها الناس اتقوا الله رب العالمين و الأمر بالتقوى وصية الله تعالى للأولين و اللآخرين و علامة المؤمنين و دثارة المتقين .
Muslimin dan Muslimat yang di rahmati Allah sekelian :
Hari yang penuh bahagia dan mulia ini , saya berwasiat kepada diri saya dan sidang jamaah sekelian supaya kita bertaqwa kepada Allah swt . dengan sebenar - benar taqwa dan berwaspadalah kerana sesungguhnya gegaran hari kiamat adalah suatu yang sangat dahsyat .
Taqwa memerlukan ketundukkan yang tinggi kepada Allah swt. dan komitmen yang mendalam terhadap Amal Islami . Justeru itu , tunduk dan akurlah kepada keagongan Allah swt. , jangan sekali – kali menentang dan menafikan kebesaran Ilahi . Iltizamlah dengan aktiviti – aktiviti Amar Makruf dan Nahi Mungkar , seterusnya mengimarahkan bumi Allah dengan kebajikan dan ketaqwaan , bukan mencemarinya dengan dosa dan permusuhan sesama muslim . Inilah yang diajar oleh Allah swt :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya :
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)
Surah Al Maaidah . Ayat : 2
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر و لله الحمد .
Muslimin dan Muslimat sidang jamaah sekelian :
Hari ini adalah saat ummat Islam bergembira menyambut hari raya . Rasa syukur dan kalimah takbir menyelubungi hati dan nadi ummat Islam . Hari ini juga menyaksikan bagaimana Taqwim Islami menentukan saat berpadu dari seluruh chanel dunia untuk mengagongkan Islam , justeru ini suatu tanda bahawa Islam Terus Bernafas kendatipun ada usaha dan konspirasi musuh yang bersepakat dari “Ahzab Modern” untuk memadam cahaya agama Allah swt.
Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Surah At Taubah . Ayat : 32
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر و لله الحمد
Menjadi satu keyakinan dan keinsafan kepada kita semua bahawa Islam Takkan Hilang di Dunia . Namun persoalannya sekarang , bagaimana keadaan ummat yang menganutnya ? Bukankah keadaannya sangat tenat dan parah ? Ya…!! Inilah reality ummat Islam kini .
Seusia 48 tahun negara kita merdeka , ternyata ummat kini menghadapi satu krisis nilai yang sangat parah serta konflik akhlak yang sangat ketara . Penjelasan Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri baru – baru ini bahawa Negara kita mengalami peningkatan index jenayah yang sangat membimbangkan dalam tempoh 24 tahun ini berbanding sebelumnya .
156 . 455 kes jenayah berakhir tahun 2004 berbanding hanya 70 . 823 kes jenayah pada tahun 1980 .[1]
Inilah manifestasi mudah dari kegagalan kerajaan mendaulatkan syariat Allah swt. setelah mendapat peluang berkuasa dari keizinan Ilahi dan mendapat mandat memerintah dari sokongan rakyat .
Teristemewa pula , peluang yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dengan kuasa dan segala hasil bumi yang membantu , tentu sekali tidak bermaksud agar kerajaan mengabaikan tanggungjawab membersihkan mukabumi ini dari maksiat dan fasad . Sebaliknya mereka dituntut supaya melakukan 4 objektif bagi melahirkan sebuah pemerintahan yang diredhoi oleh Allah swt .
Mendirikan Solat
Mengeluarkan Zakat
Melaksanakan yang Makruf ( Menegakkan syariat )
Mencegah Kemungkaran.
Firman Allah swt :
Maksudnya : Orang – orang yang telah diberi kuasa di atas muka bumi , mereka mesti mendirikan solat , mengeluarkan zakat , menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran.Kepada Allah lah kembalinya akibat segala urusan.
Surah Al Hajj : Ayat 41
Realiti yang sedang dihadapi kini , jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan syariat secara menyeluruh tidak wujud dalam Negara kita , bahkan maksiat dan mungkar disemai malah dibajai , sehingga kini ianya kian subur dan marak dan akhirnya menjadi satu jenayah yang sukar dibendung lagi.
Lihat sahaja statistic 7 bulan pertama tahun 2005 ini , telah pun mencatat angka yang sangat membimbangkan kita apabila 672 gadis bawah umur dilaporkan menjadi mangsa rogol .[2]
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Risikan Operasi Bukit Aman , Asisten komisiner Abdul Halim Abdullah menyatakan 491 daripadanya adalah berusia bawah 15 tahun dan selebihnya berusia 16 hingga 17 tahun .
Mereka tenat dan parah kerana disebabkan sekurang – kurangnya 3 punca utama :
· Keracunan Fikrah sehingga mereka tunduk dan akur kepada barat dan musuh .
· Mengabaikan perlaksanaan syariat Allah swt. secara menyeluruh .
· Mabuk dalam kebingitan hiburan dan khayal dalam kemewahan dunia.
Mereka lupa peringatan Allah swt :
قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ
Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.
Surah Al Baqarah . Ayat : 126
Muslimin dan Muslimat sekelian :
Setelah kita dididik sebulan di Madrasah Ramadhan dengan semangat mujahadah yang tinggi mengekang hawa nafsu , malah kita juga telah mengulangkaji bagaimana sejarah kegemilangan ummat Islam dalam peperangan badar yang berlaku pada 17 Ramadhan pada tahun ke 2 hijrah . Suatu peristiwa yang mengajar erti perjuangan bagi mempertahankan Islam dan ummatnya.
Justeru itu , setelah kita tamat berguru sepurnama di bulan mulia yang penuh keberkatan , marilah kita memahami bahawa kitalah yang bertanggungjawab menyelamatkan diri dan ummah dari keadaan tenat dan parah yang berpanjangan.
Kita juga berkewajipan mempertahankan agama Allah swt. dan mengangkat kembali maruah ummah yang kian tercemar dewasa kini . Malah kita terpaksa pula mengambil apa jua risiko dan implikasi yang bakal dihadapi tatkala kita turun beraksi dan berjuang , menyebar agama Allah dan mencegah kemungkaran . Asas tanggungjawab kita sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt :
إِنْ الْحُكْمُ إِلا لِلَّهِ أَمَرَ أَلا تَعْبُدُوا إِلا إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ
Sebenarnya hukum (yang menentukan cara hidup manusia) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Surah Yusuf . Ayat : 40
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر و لله الحمد
Semangat Perjuangan dan Roh Pengorbanan yang lahir dari sebuah keyakinan dan keinsafan seorang muslim , adalah 2 senjata utama untuk kejayaan mendaulatkan syariat Allah swt . 2 senjata inilah pula , yang mampu menghadapi serangan musuh dan menewaskan perisai mereka .
Sementara Allah swt. pula mengajar kita untuk mempersiapkan segalanya dan turun beraksi di medan bagi menegakkan agama Allah dalam apa jua keadaan yang dihadapi .
Firman Allah swt :
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
Surah Al Anfaal . Ayat : 60
Allah berfirman lagi :
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Surah At Taubah . Ayat : 41
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekelian :
Kita tidak sanggup lagi menyaksikan keadaan ummah yang sangat menderita dewasa kini . Mereka dijarah , dijajah dan diratah tanpa simpati di serata dunia . Negeri mereka dikepung , para ulama’ dikurung dan mereka yang berjuang untuk mendapatkan hak mereka mati digantung.
Berselindung disebalik slogan memerangi keganasan , mereka bertindak ganas ke atas ummat Islam dengan semangat dendam perang salib yang membara . Mereka menghalalkan kezaliman dan kekejaman demi menghapuskan agama Allah dan mereka yang menganutnya.
Mereka menghina agama Allah dengan menyelewengkan fakta sejarah Islam , mengelirukan ummat Islam dengan menaja kemodenan yang terpisah dari petunjuk wahyu , memaksa ummat Islam dengan pelbagai akta dan peraturan yang berkiblatkan nafsu liar mereka .
Ruang Dakwah Islamiyyah dan peluang ummat Islam menyuarakan pandangan disempitkan .
Justeru itu , wahai Muslimin dan Muslimat sekelian :
Bangkitlah kalian dari rehat yang panjang , bangunlah kalian dari tidur yang lena , sedarlah kalian dari menung yang asyik , insaflah kalian dari leka yang lalai dan taubatlah kalian dari dosa yang besar .
Kita bergerak selangkah kaki , sehayun tangan . Mengumpulkan seluruh keupayaan dan kekuatan yang masih berbaki . Jangan lengah dan jangan berasa lemah . Kita kibarkan panji perjuangan Islam yang murni dan suci ini dengan rasa bangga dan yakin , bahawa Masa Depan AdaLah Milik Islam . Berwaspadalah , jangan terpedaya dengan manipulasi musuh yang sangat licik . Inilah peringatan Allah swt .
Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka ialah neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.
Surah Ali Imraan . Ayat : 196 – 197
Muslimin dan Muslimat sekelian :
Korbankanlah masa , tenaga , wang ringgit dan jika perlu darah dan nyawa demi agama Allah swt. , agama yang kita anuti . Pengorbanan adalah nilai perjuangan . Memahami Islam dan berjuang tanpa pengorbanan , segalanya menjadi sia – sia malah mengundang murka Allah swt . Lantaran itu , korbankanlah kepentingan diri dan dunia kalian demi agama Allah swt .
Renungilah Firman Allah swt :
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
Surah At Taubah . Ayat : 24
الله أكبر الله أكبر الله أكبر
الله أكبر و لله الحمد
بارك الله لي و لكم في القرآن العظيم و نفعني و إياكم بالآيات و الذكر الحكيم و تقبل مني و منكم
تلاوته إنه هو السميع العليم
أقول قولي هذا و أستغفرالله العظيم لي و لكم و لسائر المسلمين و المسلمات إنه هو الغفور الرحيم
وآخرُ دَعْوانا إنَّ الحمدَ لله رب العالمين .
[1] Laporan Harian Metro . Sabtu 24 Sept 05
[2] Laporan Utusan Malaysia Sabtu 24 Sept 05’
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home