UNDANG MAWI : LAGI SOKONGAN UNTUK TUAN GURU
Oleh : Suhaimi Md Saad
Terimbau kembali zaman ketika berada dibangku pengajian. Ketika itu lahirnya golongan mendakwa berjuang Islam tetapi menolak demokrasi. Mereka menganggap demokrasi adalah bertentangan dengan Islam. Dalam Demokrasi suara majoriti mengatasi segala-galanya. Halal dan haram, baik dan buruk bukan ditentukan mengikut Al-Quran tetapi mengikut suara ramai. Sedangkan apa yang Allah perintahkan tidak perlu sokongan dan mandat manusia kata golongan yang menolak demokrasi ini. Demokarsi sendiri adalah sistem jahiliyyah yang menyimpang dari agama. Jadi kata mereka PAS adalah produk yang lahir dari demokrasi. Dan Sebarang produk yang lahir dari sistem jahiliyyah mesti ditolak, tambah mereka lagi.
Pemimpin PAS semua peringkat menyanggah hujah tersebut terutama dalam siri-siri tamrin dan penerangan dalaman. Kita tak beriman dengan demokrasi. Kita gunakan demokrasi untuk kepentingan Islam. Dengan demokrasi kita boleh menyampaikan dakwah. Berbagai hujah dan Qias yang digunakan. Kaedah Usul Fiqh dan rujukan sirah menjadi dalil menyokong. Kita lega dan menerima segala hujah tersebut.
Berbalik pada soal Mawi, nampak gayanya gendang lama (PAS produk Demokrasi) yang dahulu dinafikan bermati-matian, lain pula hujahnya bila meyentuh soal Mawi yang dianggap produk Akademi Fantasia, semua produk Akademi Fantasi mesti ditolak.
Saya jadi keliru dengan keadaan ini. Kalau kita menganggap produk yang lahir dari Akademi Fantasia tak boleh dimanfaatkan untuk Islam kerana Akademi Fantasi itu sendiri menyimpang dari landasan agama bagaimana kita PAS yang merupakan produk demokrasi. Kenapa dalam hal menerima demokrasi kita boleh kata untuk tujuan dakwah dan menyampaikan Islam dibolehkan tetapi dalam hal Mawi lain pula helah kita.
Dalam Isu Mawi ini golongan yang menolak demokrasi ini pasti tersenyum lebar kerana hujah mereka dulu (semua produk yang lahir dari sistem jahiliyyah mesti ditolak) diguna pakai oleh sesetengah pimpinan dan ahli PAS sekarang.
Tindakan kerajaan Kelantan menganjurkan hiburan alternatif dengan menjemput Mawi mengadakan persembahan mesti disokong kerana golongan artis selama ini terbiar tanpa arah terutama dari sudut didikan agama.
Golongan artis adalah golongan yang langsung tidak didekati selama ini. Kita hanya menerima mereka setelah mereka meninggalkan pentas yang dianggap kotor. Mereka tak layak ‘berjabat tangan’ dengan kita selagi mereka belum meninggalkan dunia mereka. Kita adalah golongan yang suci dan maksum. Inilah sikap kita selama ini. Sukar untuk berlapang dada, memandang negatif setiap yang tak kena dengan selera kita.
Sikap seumpama ini perlu dikikis, dan sudah nyata keberhasilannya. Musuh yang pernah berdosa menjatuhkan kerajaan Kelantan ( Tengku Razaliegh ) boleh kita terima, walaupun akhirnya beliau berpaling. Dato Seri Anwar kita sambut walaupun dulunya dari kapal yang berbeza. Yang pasti setiap kali perkara baru yang dicetuskan dan perkenalkan walaupun ada yang tak bersetuju, tetapi bersandarkan niat yang ikhlas dan tujuan dakwah pasti nampak hasilnya. Maka dalam hal Mawi ini kenapa kita tak boleh berlapang dada.
Justeru, Kerajaan Kelantan pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat harus diberi peluang untuk mendidik masyarakat di negara ini bagaimana membimbing golongan artis dengan betul agar kegiatan mereka tidak bercanggah dengan nilai moral sebagaimana yang dikehendaki Islam.
Apakah kita terus membiarkan golongan artis sering dipergunakan oleh penganjur yang hanya mahu mementingkan diri di atas salah laku moral artis-artis yang dibentuk mereka?
Atau, kita memulakan langkah mengadakan suatu bentuk penganjuran hiburan yang boleh menyelamatkan golongan artis dan masyarakat. Inilah yang mahu dilaksanakan kerajaan Kelantan yang kena disokong oleh semua pihak. Kerajaan Kelantan harus diberikan peluang !!
Salah satu cabaran yang diketengahkan dalam muktamar Pemuda PAS adalah untuk menjadi ‘duta penyelamat dan kasih sayang’ kepada semua golongan masyarakat dan artis tidak terkecuali.
Kita mahu artis tidak terus dieksploitasi golongan penganjur yang hanya mahukan keuntungan dan populariti tanpa memikirkan nilai akhlak artis dan masyarakat yang rosak.
Sebaliknya kita mahu artis berkemampuan membantu pembentukan nilai moral yang baik untuk diri mereka sendiri, untuk keluarga dan warga penonton. Maka proses mendekati artis mesti dilakukan.
Sekian. Wasalam
Suhaimi Md Saad Kuantan, Pahang
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home