" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, December 27, 2005

Khutbah Jumaat ( siri 2 )
Oleh : Ustaz Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
KETEGASAN BERSAMA HUJJAH SYARIA’H ( KETERBUKAAN & KETEGASAN DI DALAM MENGHADAPI IDEALISME MASA KINI )
Saudara Muslimin Sidang Jumaat Sekelian : Saya berpesan kepada diri saya dan seluruh sidang jamaah agar bertaqwa kepada Allah swt dengan pengertian taqwa yang sebenarnya dan marilah kita berpegang teguh dengan ajaran Islam agama yang kita anut. Justeru Islam adalah Minhajul Hayah . Ia juga adalah Deen As Samawi yang diutus turun oleh Allah swt. Sebagai agama yang benar , maka ia diutus bersama “ Dustur ” , yang mengandungi enakmen atau akta wajib patuh . Firman Allah swt : Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad ) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar) ( Surah Al Jathiyah . Ayat : 18 ). Tiada satu bangsa pun di atas muka bumi ini hidup tanpa dustur , malah binatang juga mempunyai dustur dan tabiat tersendiri . Lembu tempatnya didalam kampung sementara Harimau pula tempatnya di dalam hutan. Seorang Muslim , dusturnya dinamakan Syariat . Saudara Muslimin yang dirahmati Allah : Islam telah menempa sejarah keagongannya . Suatu keagongan yang telah meninggalkan “ dendam kesumat ” di dalam dada musuh – musuhnya . Allah swt. telah mendedahkan : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. ( Surah Al Baqarah . Ayat : 120 ) Bermula di sinilah , “ mata telinga ” musuh tak pernah lalai , bahkan senantiasa memasang jerangkap serta mengarahkan “ algojonya ” untuk memusnahkan insan yang menganut ajaran Islam setelah mereka tak pernah mampu untuk memusnahkan Syariat Allah swt . Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). ( Surah As Saaf . Ayat : 8 ) Justeru itu , untuk memastikan Ummat Islam selamat , maka muslimin dan muslimat mesti “ berpegang kejap ” dengan Syariat Allah swt . APAKAH SYARIAH ? Definisi Syariah dapat difahami dengan mudah dan jelas melalui dialog rasmi seorang Ketua Negara bertaraf Rasul dengan Gabenornya Saiyidina Muaz ibnu Jabal rha. sebelum dihantar bertugas ke negara Yaman .
قال بِماَ تَقْضِى قال بِكِتَابِ اللهِ قال فإنْ لَمْ تَجِدْ قال بِسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ قال فإنْ لم تجدْ قال أَجْتَهِدُ رَأْيِى وَ لاَ آلوُ ( أي لا أقصر ) فَضَرَبَ في صَدْرِهِ وَ قال الْحَمْدُ للهِ الذِّي وَفَقَ رَسُوْلَ رَسُوْلِ الله لما يرَضى رسولُ الله .
Rasulullah saw. bertanya : Dengan apakah kelak kamu akan berhukum , maka jawabnya : Aku berhukum dengan kitab Allah swt .Rasulullah saw. bertanya lagi : Jika sekiranya kamu tidak dapati nasnya di dalam Al Quraan ? Lalu Muaz menjawab: Aku berhukum dengan Sunnah Rasulullah saw. Rasulullah saw. bertanya lagi : Jika tidak juga kamu dapati nasnya di dalam Sunnah ? Lalu Muaz menjawab : Aku akan berijtihad berasaskan ilmu tanpa menyeleweng . Maka Rasulullah saw. menepuk dadanya lalu berkata : Segala puji bagi Allah yang memberi taufiq kepada utusan Rasulullah saw. dengan apa yang diredhoi oleh Rasulullah saw. Sidang Jumaat sekelian : Jelas kepada kita , bahawa Syaria’t Islam ialah Kitab Allah , Sunnah Rasulullah saw. , Ijma’ dan Qias . Inilah Hujjah Syari’e . Lain dari empat perkara ini , ia bukan hujjah Syari’e . Suatu hal yang harus kita sedar , bahawa kini kita ditaqdirkan hidup di suatu zaman yang banyak perselisihan atau penyelewengan . Suatu zaman berlakunya huru – hara ideology . Zaman yang perlu kepada kod penyelesaian yang agong sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh baginda Rasul saw. :
أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فإَنِهَّ ُمَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفاً كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِييِّنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا باِلنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثَاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ .
Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wa Jalla dan dengar serta taat sekalipun pemimpin yang dilantik dikalangan kamu hanyalah seorang hamba . Sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu suatu masa kelak, ia akan menyaksikan perselisihan yang begitu ketara , maka wajib ke atas kamu di kala itu berpegang kepada Sunnah ku dan Sunnah Khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk , genggamlah seerat-eratnya dengan geraham kamu . Waspadalah terhadap perkara baru yang direka maka sesungguhnya perkara baru yang direka ( bida’ah ) adalah sesat . ( Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi ) Wahai Muslimin saudaraku sekelian : Inilah zamannya . Zaman yang tersepit antara dua keadaan . Antara ummat yang jahil dan ulama yang lesu . Syariat Allah swt. dijadikan bahan persendaan dan mainan , akhirnya ummat menderita menghidap penyakit “ kurang daya tahan Aqidah ” . Aqidah ummah kian tipis , senipis kulit bawang . Aqidah mereka boleh diperjual beli dipasaran gelap dan terbuka dengan harga yang murah . Kabus kejahilan terus meliputi mereka . Kini mereka kehilangan arah dan keliru antara “ Tindakan lawan dan Rayuan kawan.” Dunia mempamerkan nasib ummat kini , Saudara mara kita di Pattani dihalau ke hutan belantara , dinafikan hak mereka sebagai seorang muslim . Saudara mara kita di Moro , menerima nasib yang sama . Masjid Babri dirobohkan di hadapan mata ummat Islam . maruah ibu , kakak dan adik kita di Bosnia dicabul ganas . Ya Rabbi Ya Allah . Inilah yang berlaku ke atas ummat Islam !! Ummat Islam di Kashmir , turut menderita . Kaum lelaki disembelih disiksa , kuku mereka dicabut kejam , tubuh badan mereka dikelar , kemaluan mereka dikenakan kejutan elektrik dan mereka dikurung tanpa makanan . kaum wanita diperkosa beramai – ramai , pula mereka mengajar anjing – anjing garang untuk merogol wanita – wanita muslimah . Mereka dimandikan dengan air dingin diwaktu subuh yang dingin di musim dingin . Ummat Islam di Palestin tidak kurang penderitaan yang mereka hadapi , angkara tindakan zalim dan kejam regim Yahudi Alaihi Laknatullah . Aktivis Islam ditangkap dan dikurung dalam bilik yang sangat sempit . Tidak boleh bangun dan tidak pula boleh duduk . Dalam ruang sedemikian mereka dikurung belasan tahun malah puluhan tahun lamanya . Kanak – kanak yang tidak berdosa dibedil tanpa simpati . Ummat Islam yang sedang khusyu’ sujud kepada Allah turut menjadi sasaran peluru liar mereka.Tanah ummat Islam dirampas dan dijajah . Ummat Islam di Afghanistan jua berhadapan dengan situasi yang sama . Mereka menjadi mangsa kerakusan dan kebuasan nafsu kuasa besar dunia . Rumah kediaman mereka diletupkan dan kampung halaman mereka dimusnahkan. Mereka dibunuh tanpa belas kasihan . Demikian jua nasib ummat Islam di Bumi Iraq dan di beberapa bumi ummat Islam yang lain. Mereka melalui penderitaan yang perit untuk hidup sebagai seorang muslim. Negara kita turut menjadi saksi ke atas penderitaan yang di alami oleh ummat Islam . Apabila Ummat Islam yang menggabungkan diri mereka dengan gerakan Islam diburu , diugut , difitnah , ditangkap malah ada yang telah dibunuh seperti peristiwa yang berlaku di Lubuk Merbau dan Memali Kedah . Saudara Ku sidang jumaat sekelian : Ummat Islam kini sedang tenat lantaran syariat Allah di “tongsampah”kan oleh ummat Islam sendiri . Mereka menjadi lemah dalam jumlah mereka yang ramai , mereka menjadi bangsat di tanahair sendiri dan mereka menjadi hina ditengah kaum bangsa sendiri . Mereka termakan sumpah Saiyidina Omar Al Khattab rha. Apabila Omar pernah berkata :
نحنُ قومٌ أَعزَّنا اللهُ بالإسلامِ فَمَهْمَا نَبْتَغِ عِزَّ بِغَيْرِ ما أَعَزَّنا اللهُ أَذَلَّنا الله
Kita adalah suatu kaum yang diberi kekuatan oleh Allah dengan Islam , maka barangsiapa yang mencari kekuatan lain , selain dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah , maka tunggulah bala kehinaan daripada Allah swt . Kita tidak mempunyai pilihan lain untuk mengangkat semula martabat ummah melainkan bertindak pantas mengembalikan perlaksanaan Syariat Islam dikalangan Ummat Islam . Mereka mesti dibangkitkan dari tidur yang terlalu lama . Bawalah ummah kembali menghayati Syariah Islam justeru syariatlah satu - satunya jalan keluar dari belenggu yang berpanjangan . Syariatlah menjadi petunjuk agar ummah menemui jalan keagongan yang pernah diraih oleh golongan terdahulu . Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam. ( Surah An Nahl . Ayat : 89 ) Demikianlah syariat diturunkan untuk menyelamatkan manusia dan memandu mereka ke jalan yang benar . Saudara Sidang Jumaat yang dirahmati Allah : Ketegasan berpandukan hujjah syariah antara usaha untuk memastikan ummah kembali menatang syariah sebagai pedoman hidup mereka. Setiap tindak tanduk , lagak gaya hidup seharian mestilah dirujuk kepada hujjah – hujjah syari’e demi keberkesan tindakan kita sebagai hamba Allah swt . Penggunaan nafsu atau aqal yang terpisah dari hujjah – hujjah syari’e , menjadi nokhtah bermulanya rosak binasa ummah didunia ini . Firman Allah swt.
Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya; ( Surah Al Mukminun . Ayat : 71 ) Dunia hancur dan manusia menjadi bangsa yang sesat tanpa pegangan . Firman Allah swt :

Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya). ( Surah Al Qasas . Ayat : 50 ) MADRASAH AQLANIYYAH VS HUJJAH – HUJJAH SYARIYYAH Saudara Sidang Jumaat sekelian : Antara tugas utama kita ialah merobohkan “Madrasah Aqlaniyyah” yang wujud dikalangan ummat Islam hari ini , khasnya di negara kita. Kita dapat mengesan wujudnya “buruh kasar” yang sedang giat membina ‘madrasah aqlaniyyah’ ini . Sebuah ‘madrasah’ yang mendidik ‘pelajar’nya menganut ideology ciptaan manusia dan membebaskan diri dari ikatan hujjah – hujjah syari’e yang diturunkan oleh Allah swt . ‘Madrasah’ ini melahirkan mereka yang berjiwa nasionalis , pragmatis, sosialis , sekularis dan sebagainya yang bercakap mengikut rentak Islam dan kadangkala ber‘irama’ gerakan Islam . Sebagaimana yang berlaku sekarang , gerakan yang ‘perdu’nya dipelopori oleh sebahagian mereka yang pulang dari barat . Mereka memperkenalkan Islam kononnya Islam baru . cara baru dan sebagainya , padahal segalanya tidak lebih dari putar belit yang memualkan dari pihak orientalis untuk memesongkan hujjah dan fakta syariah . Mereka memperkenalkan projek Islamisasi dan medernis Islam . Perlu diperingatkan , walau apa pun yang diperkenalkan oleh mereka , yang menjadi lampu ‘fluorescence’ untuk mengesan kepalsuannya ialah Hujjah – hujjah Syariah yang termaktub di dalam Al Quranul Karim dan Sunnah Nabinya saw. Kita sewajarnya bertindak teliti kerana di sana ada orang yang sedap bercakap dengan menggunakan istilah – istilah Islam dan mempergunakan Islam untuk kepentingan peribadi dan kelompok mereka . Saudara sekelian : Pelbagai ideology yang timbul adalah implikasi daripada tiadanya ketegasan berpandukan hujjah – hujjah syariah . Ideology ini adalah merupakan bidaah yang paling keji disisi Allah swt . Sebab berlakunya bidaah ini . Jahil mengenai sumber hukum syariah Istinbat ( mengambil ) hukum berasaskan nafsu . Mendahului aqal dalam mengambil syariat. Justeru itu , dalam menangani perkembangan ideology yang bercanggah ini , kita mesti tegas memeranginya . Kita terbuka dalam menerima pandangan dan apa jua corak idea yang dikemukakan , tetapi kita mesti insaf bahawa prinsip kita ialah hujjah – hujjah syariah dalam menilai semua bentuk pemikiran yang dikemukakan . Kita jangan terpedaya dengan pandangan individu atau kelompok sehingga membelakangkan syariah Allah swt . Ingatlah utusan rasmi dari hadhrat ilahi :

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. ( Surah Al Ahzaab . Ayat 36 )

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home