" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, December 14, 2005

Ceramah Politik ( Siri 1 ) Oleh : Ustaz Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi di Felda Keratong 4
Isu Pilihanraya Kecil Pangkalan Pasir
PAS memilih sistem demokrasi berpilihanraya sebagai pendekatan dan saluran rasmi perjuangannya untuk menyampaikan Islam serta mendaulatkannya.
Biarpun ada pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatan ini justeru pilihanraya dilihat tidak membantu kemenangan Islam secara total . Namun suasana dan latar belakang rakyat jua latar belakang negara menjadi antara faktor PAS memilih ( ijtihad ) pendekatan yang dikenali sebagai Muwaajahah bis Silmy. ( berdepan secara aman )
Andainya demokrasi benar benar telus dan dilaksana secara jujur oleh kerajaan UMNO dan BN , saya percaya PAS akan beroleh kemenangan yang besar dalam pilihanraya.
Realitinya UMNO dan BN sering mengamalkan politik wang , ugutan , pengundi hantu dan penyalahgunaan hak dan jentera kerajaan dalam menghadapi pilihanraya.
Malah SPR turut dijadikan kompenan BN untuk menghadapi PAS dalam pilihanraya .
Biarpun begitu , kita masih bersabar dan waras dalam menentu wasilah perjuangan agar perpaduan rakyat , kesejahteraan negara dan keharmonian masyarakat terus terpelihara. namun , kita mengharapkan UMNO dan BN menghormati kesabaran kita dan jangan sekali kali kewarasan ini dicabar !!
Demokrasi negara di Negara kita telah tercemar angkara UMNO dan BN. Mereka tak ubah seperti barat yang menaja demokrasi , tetapi apabila demokrasi dilihat boleh memberi kemenangan kepada parti lawannya lalu mereka menyempitkan ruang demokrasi .
Negara kita turut menyaksikan bagaimana demokrasi kian sempit dan UMNO lah bertanggungjawab atas segalanya. ( Tiadalah bangsa yang paling jahat di atas muka bumi melainkan suatu bangsa yang mencipta peraturan dan undang - undang , lalu mereka sendiri yang melanggar peraturan yang mereka cipta . Inilah UMNO )
Saudara lihatlah bagaimana perlecehan demokrasi dilakukan oleh UMNO di Pangkalan Pasir baru baru ini . Antaranya :
  • Stesen TV dengan segala chanelnya dijadikan tempat berkempen dan ianya dilakukan secara berat sebelah dengan TIDAK membenarkan PAS menggunakan saluran yang sama .
  • Media cetak dengan segala cetakannya turut menjadi medan terbuka bagi mereka menghentam PAS sedang PAS tidak diberi ruang sekadar satu kolum pun oleh pihak mereka .
  • Kenyataan dan penglibatan Pengerusi SPR yang sering memihak atau cenderung kepada parti memerintah sedangkan parti itu menyertai pertandingan dalam pilihanraya yang sedang berlansung .
  • Menganggap sah senarai nama 70 orang pengundi yang didaftarkan pada satu alamat dalam daftar pemilih sedang tuan rumah empunya alamat tersebut tidak mengenali kesemua 70 orang tersebut .
  • Tidak dinyahsenaraikan nama pengundi yang telah mati dari senarai daftar pemilih . Biarpun telah dibuat aduan atau bantahan , pihak SPR pula mempertahankan nama nama tersebut .
  • Undi Pos melebihi jumlah pengundi pos yang berdaftar . Dalam kes N.12 Pangkalan Pasir . Undi Pos , yang berdaftar ialah 195 tetapi yang keluar mengundi ialah 212 . Apakah undi Pos pun berhantu !?
UMNO tiada sebarang kekuatan untuk menghadapi PAS dalam pilihanraya yang hanya turun berbekalkan mesej perjuangan Islam yang jelas bersama hujjah guna meyakinkan rakyat .
Kemenangan tipis dengan majoriti 134 undi setelah segala menteri turun berkampung di Pangkalan Pasir , jutaan ringgit ditabur kepada pengundi , pelbagai janji disogok kepada rakyat dan dibantu pula oleh pengundi hantu dan pos menjadi bukti jelas bahawa UMNO menang dalam kalah .
Pilihanraya umum yang akan datang , saya cukup yakin UMNO terpaksa menghadapi saingan yang lebih sengit untuk memenangi kerusi Pangkalan Pasir .
Sungguhpun begitu , pesan saya kepada PAS kelantan dan jua pimpinannya agar tidak leka dan mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpin . Justeru Rakyat pasti akan menghukum kerajaan yang lalai dan leka terhadap tanggungjawab dan amanah yang mereka berikan.
Rakyat Kelantan adalah rakyat yang unik . Mereka berani membuat perubahan dan mereka bijak membuat pilihan .
Sampai masanya pimpinan PAS Kelantan membuat postmortem lebih terperinci dan mengadakan introspection yang lebih telus untuk batang tubuh sendiri agar insyaallah , dilihat lebih efektif dan lebih efisyen untuk terus mengungguli kepimpinan Kerajaan Kelantan di masa yang akan datang .

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home