Khutbah Jumaat ( siri 01 )
Masjid Balok Pantai
oleh : Ustaz Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi
KEMBALILAH WAHAI SAUDARA KU….
KE PANGKUAN AGAMA .
Kini ummat Islam dinodai . Sejarah gemilangnya dipalit arang . Prestasi cemerlangnya dipandang sinis sementara pejuang kedaulatannya pula dicurigai.
Ummat Islam menjadi bangsat di atas tanahair sendiri , menjadi hina dihadapan kaum bangsa sendiri dan menjadi lemah dalam jumlah mereka yang ramai. Mereka hilang identity dan luntur kualiti.
Saudara Ku sidang jumaat yang dimuliakan…..
Bukankah kita ummat yang terbaik ?
Ummat yang dilahirkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah , untuk menjadi tuan dan pentadbir urusan hidup , ke arah sebuah kemakmuran yang abadi dan hakiki. Firman Allah swt :
Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia , menyuruh kepada yang makruf , mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah swt.
( Ali Imraan 110 )
Ummat yang mempunyai Kitab suci ( Al Quran ) sebagai pedoman dan panduan hala tuju yang bukan sahaja menjanjikan tamaddun yang soleh tetapi juga kehidupan yang dirahmati dan diredhoi oleh Allah swt.
Ummat yang diutuskan Rasul ( Nabi Muhammad saw. ) sebagai pembimbing dan penunjuk arah yang bukan sahaja menjanjikan kesejahteraan dan kejayaan hidup tetapi juga menghindarkan kemurkaan dan azab ilahi.
Firman Allah swt :
Sesungguhnya kami telah bangkitkan di setiap kalangan ummat itu akan seorang Rasul , yang mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan Toghut.
Ummat yang dicipta sebagai makhluk terbaik , justeru dikurniakan aqal dan nafsu untuk mengendali sebuah kehidupan yang normal serta dikurniakan pula agama dan syariat untuk memelihara dan mengawal pengendalian tersebut. ( bukan bertujuan menghalang dan menafikan hak sebuah kehidupan. )
Saudara Ku Sidang Jumaat sekelian…..
Persoalannya , kenapa dan mengapa ummat ini mengalami kemerosotan yang amat parah dan sangat kritikal ? Malah kenapa ummat ini terperangkap dalam kancah yang merosakkan prinsip aqidah mereka , melunturkan nilai akhlak dan moral mereka jua mengheret mereka dalam konflik perasaan dan polemik jiwa yang tidak berkesudahan.
Saudara Ku….
Realiti ini telah memaparkan satu landskap kehidupan ummat yang sangat menghiris dan memilukan perasaan kita yang masih memiliki selembar iman dan secangkir agama. Mana kan tidak……
Institusi keluarga porak peranda . Ibubapa sibuk memburu kemewahan dunia sementara anak terabai tanpa didikan dan asuhan yang sempurna. Hilang kasih sayang , lekang kemesraan dan hancur adab susila . Keluarga sedemikian hanyalah melahirkan anak yang liar tanpa kawalan , isteri durhaka tanpa rasa hormat kepada suami dan ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab tanpa rasa bersalah.
Remaja tanpa jatidiri . Dunia mereka hanya dilingkari hiburan dan rakan sebaya yang tidak membantu pertumbuhan jati diri yang berwibawa dan bertaqwa . Masa depan mereka terumbang ambing laksana langkah kaki mereka yang tidak berketentuan . Malah ramai yang terjebak dalam dunia maksiat yang keji dan jenayah yang jijik. Mereka menyumbang kepada peningkatan taraf index jenayah yang menggugat rasa aman dalam negara .
Aktiviti maksiat dan pusat hiburan bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan tanpa sebarang sekatan dan kawalan . Sebaliknya dengan rasa bangga ,aktiviti dan pusat maksiat ini di perluaskan tanpa mengira sentimen ummat islam. Rentak muziknya menenggelamkan ketinggian suara azan dari menara rumah Allah ( masjid ) dan aksi lincah mereka mengatasi keaktifan seorang pendakwah yang tekun menyebarkan agama .
Program agama dan gerak kerja dakwah difitnah dan terpaksa berhadapan dengan implikasi yang tidak sedikit , khasnya dari pihak tertentu yang sering memandang perkembangan ini dengan rasa cemburu yang negatif. Fenomena ini hanya melahirkan masyarakat yang jahil dan menjadikan mereka lemas dalam arus deras mungkar dan maksiat yang sukar dikawal dan dibatasi.
Saudara Ku Sidang Jumaat sekelian……..
Elemen ini lah yang menghancurkan peradaban insaniyyah ( kemanusiaan ) dan anasir inilah pula yang menjadikan keadaan ummah mengalami dilemma dalam mencari identity dan kualiti diri mereka.
Insafilah saudara Ku….. kejatuhan ummat ini bukan kerana mereka berpegang teguh dengan ajaran agama Islam tetapi kerana hubungan mereka dengan Islam kian renggang , penghayatan mereka kian luntur , amalan mereka kian surut , akhlak mereka kian terhakis dan keimanan mereka kepada Allah serta hari akhirat kian malap.
Justeru itu , marilah kita bergandingan dengan seluruh upaya dan daya yang kita miliki serta mengambil segala ruang dan peluang yang ada utk mengembalikan semula kegemilangan dan kecemerlangan ummat ini.
Pastinya pula tiada formula dan tiada pilihan yang paling tepat melainkan kita kembali kepangkuan agama dengan segala penghayatan dan perlaksanaannya. Komited dan istiqamah dengan setiap suruhan dan ajaran ilahi.
Saudara Ku yang dihormati sekelian…..
Agama lah yang mengajar kita supaya membina silaturrahim agar wujud perpaduan yang merentasi kepentingan bangsa dan kaum serta agama dan budaya.
Agama lah yang mendidik kita supaya mentaati ibubapa , menghormati orang yang lebih dewasa dan menyayangi mereka yang lebih muda , agar lahir masyarakat penyayang yang saling hormat menghormati diantara satu sama lain .
Agama lah yang membimbing kita supaya menghindarkan diri dari segala maksiat, mungkar dan jenayah , semoga masyarakat bukan sahaja mendapat redho dan rahmat ilahi tetapi juga bebas dari kerosakan dan kemusnahan serta hidup dalam keamanan dan kesejahteraan .
Agama lah yang membentuk nilai akhlak dan moral yang terpuji bagi meletakkan ummat Islam sebagai ummat yang ber martabat dan berdaulat jua bertamaddun dan berkeperibadian tinggi.
Agama lah yang menjana kekuatan spiritual dengan nilai pengabdian diri kepada Allah swt. Kekuatan rohani inilah pula yang mencetuskan rasa takut kepada Allah dan mampu menilai antara syurga dan neraka serta dosa dan pahala .
Saudara Ku ……
Demi masa depan ummat dan tanahair tercinta ini , malah demi masa depan kita bersama , marilah kita kembali dengan sehayun tangan dan selangkah kaki ke pangkuan agama suci ini , justeru hanya inilah jalan yang lurus , jalan yang membawa kita ke pintu syurga .
Kembalilah saudara Ku…..
Sesungguhnya inilah( Agama Islam ) jalan Ku , jalan yang lurus . Maka hendaklah kamu mengikutnya dan jangan sekali kali kamu mengikut jalan – jalan lain yang bersimpang siur kerana kelak kamu akan menyeleweng dari jalan Allah swt.
( Al Ana’am 153 )
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home