- SPR diletakkan dan bertanggungjawab kepada Perdana Menteri
- Penukaran sempadan pilihanraya secara sewenang-wenang bagi kepentingan pihak tertentu
- Menukarkan syarat pendaftaran menurut kepentingan pihak tertentu
- Menukar pengundi keluar dari kawasan mengundi dan memasukkan pengundi ke kawasan lain tanpa pengetahuannya
- Penambahan kerusi parlimen dan DUN bagi kepentingan politik tertentu
- Daftar pemilih yang tidak bersih. Ada pengundi hantu
- Menggunakan daftar pemilih yang berlainan
- Berlakunya pengulangan mengundi bagi seorang individu lebih dari sekali
- Penyalinan no siri pengundi pada tunggul keratan kertas mengundi yang membolehkan dikesan nama pengundi
- Pejabat Pendaftaran Negara diperalatkan bagi menambah dan mengurangkan pendaftaran di sesuatu kawasan menurut kepentingan BN.
- Pengeluaran kad pengenalan sementara bagi pengundi-pengundi upahan
- Memanipulasi pengundi-pengundi pos
- Politik wang dan rasuah politik
- Penambahan waktu mengundi – bercanggah dengan akta pilihanraya
- Keputusan penghakiman petition pilihanraya yang tidak konsisten
- Parti pemerintah menggunakan peralatan dan kemudahan kerajaan
- Menyekat golongan tertentu yang sudah berkelayakan dari mengundi
- Menggunakan samseng dan kaki pukul untuk menyekat dan menakutkan pengundi
- Menahan atau tidak menyerahkan borang 14 bagi tujuan penipuan keputusan mengundi
- Memonopoli segala media elektronik dan cetak
2.Pencabulan Hak Asasi
Malaysia tidak telus dan tiada kebebasan media. Global Freedom Ranking of Freedom House pada tahun 2004 meletakkan Malaysia pada ranking 122/167. Berkedudukan lebih teruk dari Indonesia 117/167. 2003 Malaysia mendahului Indonesia pada ranking 111/167.
New York City Based Think-Tank Freedom House 2005 meletakkan Malaysia pada ranking 152/194 terkebelakang dari Phlippine (77), Thailand (95) dan Singapura (139). Wujudnya di Malaysia akta-akta ISA (1960), OSA – Akta Rahsia Rasmi (1972), Akta Hasutan (1948), Akta AMCP –Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan (1984), AUKU (1971) dan AKU JANJI (2002).
PBB menghantar Pelapor Khasnya (Special Rapporteur) ke Malaysia menyiasat tuduhan pencabulan hak kebebasan bersuara dari 20 hingga 24 Oktober 1998 dan berpendapat ``…hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah terbatas daripada segi kewujudan akta-akta ISA, Akta Hasutan, dan AMCP; kawalan pemilikan media arus perdana dan memperolehi maklumat mengenai parti pembangkang di media elektronik oleh parti pemerintah, `self-censorship` para wartawan, menghukum wartawan asing dan menghalang pengedaran media elektronik asing; menghalang rakyat memperolehi maklumat yang berupa pandangan dan pendapat kritikal kepada kerajaan; serta memperlihatkan usaha campur tangan kerajaan ke atas badan kehakiman (Commission On Human Rights 1998: 7-8 dipetik Azizuddin Mohd Sani: 84-85).
International Bar Association (IBA), International Commission of Jurists (CIJL), The Commonwealth Lawyers’ Association (CLA) dan Union Internationale des Avocats (UIA) yang menghantar misi pengkaji perundangan Malaysia dari 17 hingga 27 April 1999 diketuai Lord Abernethy menyiasat mengenai kebebasan kehakiman di Malaysia mendapati Perlembagaan Persekutuan membatasi hak-hak yang penting dan menafikan kajian semula kehakiman tindakan badan eksekutif dan menggugat konsep pengasingan kuasa yang diamalkan. (Azizuddin Mohd Sani: 85-86).
Report of `The Royal Commission to Enhance the Operation and Management of The Royal Malaysia Police, mendapati bahawa: The Commission’s findings are that there is extensive and consistent abuse of human rights in the implementation of these laws and standing orders by PDRM personnel. This has added to the erosion of integrity in the police service and further undermined the trust of the public in this important institution ( Report of The Royal Commission, 2005: 4)
Berbagai-bagai cara pencabulan Hak Asasi Manusia dilakukan oleh Polis di bawah desakan parti-parti politik pemerintah seperti menyekat permit untuk berceramah, walaupun diminta memohon, menyekat jalan-jalan ke tempat ceramah, walaupun ceramah di dalam premis, memasuki premis- premis yang sedang dalam sesi ceramah, walaupun polis tidak berhak berbuat demikian, menggempur kawasan dan premis ceramah dengan jip, trak, lori dan menembak gas dan air kimia, bahkan menangkap mereka yang hadir ke ceramah.
Untuk menghadapi realiti politik Malaysia yang begitu buruk rakyat dan parti-parti yang berperanan memperkasa demokrasi dan memulihkan kedaulatan rakyat perlu menyebarkan kefahaman yang betul tentang pilihanraya dari perspektif Islam. Ini kerana kita yakin bahawa kefahaman dan komitmen keagamaan yang tinggi sahaja boleh menjana kesedaran moral yang kukuh untuk mengatasi kelemahan batin dan jiwa manusia yang kerap terjebak melakukan pengkhianatan dan penipuan dalam mengurus pilihanraya dan memerintah negara. Lanjutan dari itu kita perlu memperincikan tajuk di atas sehingga boleh mencetus kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat mengenai akauntabiliti, responsibiliti dan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tugas mengundi. Pendek kata dalam mengundi rakyat perlu memilih calon yang layak kerana mirit mereka dan bukan kerana wang dan janji habuan yang ditaburi mereka.
Hakikat Mengundi
Ada beberapa pandangan yang ditampilkan oleh ulama mengenai kewajipan mengundi ini.
(a) Ada yang mengatakan bahawa kewajipan mengundi ialah ialah suatu syahadah atau kewajipan mengutarakan syahadah seperti yang disebut oleh Allah dalam Surah al Talaq:2, Al Nisa’ 135,, al Baqarah:283, al Maidah:8. Ringkasan penghujahan mereka ialah: bahawa Allah telah mewajibkan sesorang itu menampilkan kesaksiannya (syahadah) dengan jujur dan benar. Allah melarang umat Islam menyembunyikan kesaksian Allah berfirman:Al Baqarah 283, maksudnya: “Janganlah kalian menyembunyikan syahadah, siapa yang menyembunyikan kesaksian maka ia adalah manusia yang (hatinya) berdosa.”
Penyembunyian syahadah tidak hanya dengan keengganan melaksanakan syahadah tetapi juga dengan menafikan yang hak dan kebenaran dengan tidak menyokong dan menonjolkan kebenaran itu; sebaliknya mendokong dan menyokong kebatilan. Menyokong dan memenangkan kebatilan adalah satu bentuk dari kejahatan menyembunyikan kebenaran. Perbuatan ini – tidak ada khilaf ulama – hukumnya adalah haram dalam Islam.
Syahadah mesti dilaksanakan kerana Allah bukan kerana yang lain seperti wang, pembangunan, kesenangan atau keuntungan kebendaan. Oleh kerana pilihanraya dan mengundi dalam pilihanraya itu adalah satu bentuk syahadah maka pertimbangan dalam membuat pilihan siapa yang patut diundi itu mesti kerana Allah. Dengan lain-lain perkataan sampai di mana calon atau parti yang diwakili oleh seseorang itu memihak dan mahu melaksanakan perintah Allah. Sebab itu rasuah dalam pengundian diharamkan dalam Islam justeru itu satu pembelotan dan pengkhianatan terhadap Allah. Atau lebih jelas adalah kerana perbuatan itu bermakna tidak bersyahadah kerana Allah; sebaliknya kerana duit atau habuan kebendaan. Perbuatan seperti ini adalah ditegah oleh syara’.
Rasulullah bersabda: “Allah mengutuk orang yang memberi dan menerima rasuah” Hadith riwayat Ahmad , al Tabrani dan Abu Daud dan Termizi. Ia mengatakan bahawa hadith itu adalah hadith Hasan. Dalam setengah riwayat ditambah dengan ungkapan : .. “dan orang yang menjadi perantara kepada pemberi dan penerima rasuah.”
Larangan terhadap rasuah ini malah dirakam dalam kitab Taurat dalam bab dua. Tersebut di situ : Janganlah kamu menerima rasuah; justeru rasuah itu membutakan mata hakim dalam penghakiman mereka.
b) Kewajipan mengundi adalah unjuran dari kewajipan amr makruf dan nahi anil munkar yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim. Ia suatu jihad madani untuk mendokong kebenaran dan menumpaskan kebatilan.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran ia hendaklah merubah (mencegahnya) dengan tangan(kuasa). Kalau tidak berdaya maka dengan lisan.”
Fatwa Islam online menegaskan: (Pengubahan dan pencegahan dengan lisan tidak semestinya bermakna pengubahan dengan perbuatan. Ia bermakna pengubahan dengan membuat teguran terhadap kemungkaran itu sendiri. Salah satu mekanisme menegur kemungkaran ialah apabila seorang ahli parlimen yang pandangannya lumrah diterima oleh orang ramai menegur kemungkaran berkenaan bagi pihak rakyat di parlimen. Teguran seperti itu tentu mudah diterima oleh orang ramai, di samping akan disebar luaskan oleh media massa.)
c) Kewajipan mengundi adalah seumpama kewajipan mentazkiah atau merekomenkan seseorang untuk memegang suatu jawatan dan tanggungjawab penting dalam negara.
d) Kewajipan mengundi adalah kewajipan politik yang terbit dari sifat seseorang sebagai rakyat yang wajib mengundi secara berkala untuk menentukan kumpulan dan wakil pemerintah yang akan menguruskan negara berasaskan perintah Allah.
e) Tugas mengundi adalah merupakan penunaian amanah untuk memberi mandat kuasa kepada seseorang yang layak dan soleh untuk memerintah dan menguruskan negara di lokaliti masing-masing.
Perawi hadith meriwayatkan: “Ketika Nabi sedang memberi bimbingan (tazkirah) kepada orang ramai tiba-tiba datang seorang Arab Badui bertanya: Bilakah kiamat? Tapi Rasulullah terus sahaja bercakap. Lalu kata segolongan; beliau dengar tapi beliau tidak suka dengan soalan itu. Segolongan yang lain pula berrpendapat ; beliau tidak dengar pertanyaan itu. Sehinggalah apabila selesai tazkirah baginda bertanya: siapa yang bertanya mengenai kiamat tadi. Orang itu menjawab, sayalah wahai Rasulullah. Rasulullah menjawab: Apabila disia-siakan amanah maka tunggulah kiamat. Orang itu bertanya pula: Bagaimana yang dikatakan mensia-siakan amanah ? Bagina menjawab: Apabila sesuatu itu diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan maka tunggulah kiamat.”
Menurut Dr. Walid Rabi’ Mahaguru Syariah di Universiti Kuwait asas syariah tanggungjawab mengundi ini berkisar sekitar dua teras sahaja :
Pertama: Ia merupakan kesaksian dari pengundi tentan layaknya calon yang diundi untuk melaksanakan amanah dan tanggongjawab memikul tugas-tugas awam.
Kedua: Ia merupakan suatu rekomendasi “Tazkiah” pengundi untuk calon, Rekomendasi adalah termasuk dalam persoalan pengadilan atau kehakiman; di mana seseorang itu merekomenkan kelayakan seseorang saksi di hadapan hakim. Para ulama fiqh menetapkan bahawa saksi yang mendapat” tazkiah” sama dengan saksi pendakwaan dalam beberapa perkara. Antaranya mereka perlu memiliki kewarasan akal yang sempurna, kuat ingatan, mampu memikul tugas, adil, tidak buta, boleh bertutur, tidak pernah kena hukuman hudud sepeti qazaf, tidak ada pertalian kerabat yang menghalang penerimaan kesaksian di samping kesaksiannya terlepas dari membawa kepenting diri kepada saksi itu sendiri
Pendek kata keseluruhan huraian di atas adalah menjadi asas kepada kewajiban mengundi dalam Islam. Umat tidak dapat lari dari memikul tanggungjawab di dunia dan di akhirat apabila mengkhianati tugas dan kewajiban mengundi sehingga menobatkan para pemimpin korup, sesat dan tidak bermoral atau kredebiliti. Apatah lagi kalau mereka penuh temberang, tembelang dan pasti akan kecundang di akhirat kelak.
Hukum menjual atau membeli undi
Ulama sepakat berpendapat haramnya perbuatan menjual atau membeli undi dalam pilihanraya. Sebab ia adalah merupakan rasuah yang diharamkan baik kepada pengambil atau penerima mahupun pemberinya, bahkan penjadi orang tengah dalam kejahatan ini pun dilarang. Ia termasuk dalam kategori penipuan atau pemalsuan serta pembohongan. Justeru ia berbohong dan menipu orang lain. Ia mengaku layak menjadi pemimpin dan menguasai orang ramai akan tetapi ia sebenarnya tidak layak dan berhak dengan martabat tersebut. Membeli undi adalah suatu pengkhianatan umum yang membawa kepada meratanya kejahatan dan kemusnahan tanggungjawab, serta wasilah untuk memakan duit dan wang haram. Walhal itu semua itu merupakan dosa besar. Ia juga seolah-olah menyembunyikan kesaksian yang benar terhadap yang berhak; padahal perbuatan tersebut dilarang oleh Allah.S.W.T Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 283 yang bermaksud: Jangan kamu sembunyikan kesaksian (yang benar). Siapa yang berbuat demikian maka dia adalah manusia berdosa.
Perbuatan ini juga termasuk dalam kategori kejahatan kezaliman , sebab ia ”meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya”. Apabila kejahatan ini berleluasa maka akan berkembanglah amalan rasuah yang memungkinkan manusia penyeleneh menduduki tempat-tempat kekuasaan yang penting dalam masyarakat serta manusia terkutuk dapat memperkotakkatikkan kepentingan umat.
Rasuah ialah pengajuan wang, benda, atau khidmat atau sebarang janji untuk memberi sesuatu habuan kepada seseorang untuk menghalang proses kebenaran atau usaha menumpaskan kebatilan. Ia adalah salah satu dosa besar yang paling besar bahananya di dunia dan di akhirat; berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 188, maksudnya: Jangan kamu makan harta sesama kamu secara yang tidak halal dan kamu menghubungkannya pula dengan kuasa dan wewenang pemerintah untuk dapat melahap harta umum secara yang berdosa pada hal kamu sedar dan tahu.
Berbagai Ragam Pembelian Undi
Sebenarnya bentuk dan cara membeli undi masa kini berbagai ragam. Ada yang membeli dengan memberikan kepada pengundi tiket kapal terbang untuk melancong secara langsung atau melalui pihak ketiga. Ada yang memberi perabot rumah, motor, motokar, basikal, malah kadang-kadang rumah murah, atau penginapan di hotel mewah dan sebagainya untuk memancing dan memastikan pengundi mengundi diri mereka atau parti mereka. Semua ini tergolong dalam kategori dosa besar.
Walau bagaimana pun pemberian ikhlas kerana sedekah, tanpa menghubungkaitkan pemberian itu dengan kepentingan peribadi atau kumpulan untuk meraih undi atau kepentingan yang lain maka hal itu tidaklah terlarang dalam Islam. Allah maha mengetahui hakikat niat dan tujuan sebenar sesuatu pemberian. Allah mengganjari sesuatu yang dibuat kerananya.
Golongan yang terlanjur menerima rasuah atau habuan tertentu perlu berpegang teguh kepada prinsip mengundi kerana Allah. Mereka tidak sepatutnya mudah terpengaruh dengan muslihat pemberi rasuah berkenaan. Mereka perlu setia kepada prinsip kebenaran, Islam dan Allah S.W.T. Jika mereka teguh dan tetap mengundi kebenaran atau pihak yang benar maka mereka tidaklah terlibat dalam apa yang dipanggil sebagai politik wang atau rasuah dalam politik. Rezeki di tangan Allah dan dari Allah. Manakala sumpah yang wajib dan wajar dikota ialah sumpah yang benar atau demi menegakkan kebenaran dan Islam. Al Quran tidak pernah menjadi kitab sumpahan untuk memenangkan kebatilan, kejahatan atau kekufuran. Sumpahan al Quran dan laknat Allah hanya mengenai pengkhianat dan penentang ajaran Islam yang sebenar.
Penutup
Apa yang penting para pengundi, baik muslim mahupun bukan harus bijak dan tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak yang tidak bertanggungjawab yang boleh menghilangkan hak mereka mengundi pada masanya atau memberi hak kepada orang lain untuk membuat pengundian atas namanya tanpa sebarang rasa bersalah dan berdosa hanya kerana sehelai kain atau beberapa ringgit wang imbuhan.
Ingatlah undi dan hak pengundian anda adalah amanah Allah dan rakyat kepada anda. Anda wajib menunaikan amanah ini dengan sebaik-baiknya dan demi Allah semata-mata. Allah Allah berfirman dalam Surah al Taubah ayat 40, maksudnya: “Mengapa kalian tidak mahu menyokongnya (perjuangan Muhammad atau perjuangan Islam ) pada hal Allah sendiri telah menyokongnya ketika orang-orang kafir mengusirnya keluar (dari kota Mekah) sehingga beliau menjadi salah seorang dari dua orang (pelarian).(Ingatlah juga) ketika mereka berdua dalam gua dan dia berkata kepada temannya; jangan bimbang, Allah bersama kita. (Justeru itu ) Allah turunkan rasa tenteram dalam jiwanya, Allah bantu dia dengan tentera yang mereka tidak nampak. (Malah) Allah jadikan dasar perjuangan orang kafir hina dan rendah. (Sebaliknya) Allah julangkan perjuangan atas nama Allah (Islam). Memang Allah maha perkasa maha bijaksana.”
2 Comments:
Seperti mana hendak mendirikan solat perlu berwudhu' terlebih dahulu, maka perlu mengundi/menyertai pilihanraya bagi melaksanakan Al Qur'an dan Sunnah dalam kehidupan bermasyarakat/bernegara.
4:25 PM
ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com is very informative. The article is very professionally written. I enjoy reading ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com every day.
payday loans ontario
payday loans in canada
7:20 AM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home