" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, December 11, 2005

Menjawab Penyelewengan al-Islam
(Februari 2004) “Rambut Wanita Bukan Aurat”
Hafiz Firdaus Abdullah December 3, 2005
Kelihatan serangan dan penyelewengan ke atas ilmu-ilmu Islam semakin rancak akhir-akhir ini. Sebagai contoh “serangan” yang dimaksudkan, saudara-saudari boleh merujuk kepada majalah AL-ISLAM edisi Februari 2004, artikel karangan Zainudin Idris yang bertajuk “Rambut Wanita Bukan Aurat.”
Jelas dari artikel tersebut, penulis cuba mencari dalil bagi menghalalkan pendedahan aurat yang berleluasa dalam masyarakat kita pada hari ini. Kepada mereka yang tidak mendalami agama dan tidak dapat membuat rujukan kepada kitab-kitab Fiqh, mereka akan mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah tersebut. Apatah lagi ianya disiarkan oleh majalah yang membawa nama Al-Islam.
Sebenarnya artikel tersebut penuh dengan penyelewengan dan hujah-hujah batil yang disengajakan untuk mengelirukan masyarakat Islam. Hujah-hujah itulah juga yang dipakai oleh Astora Jabat dalam beberapa penulisannya dalam ruangan Bicara Agama, Mingguan Malaysia. Kesimpulan dari artikel itu, anggota yang wajib ditutup (aurat) hanyalah dua kemaluan sahaja (qubul dan dubur) sama ada lelaki atau perempuan. Ini bermakna kebanyakan manusia di dunia ini sudah menutup aurat sekalipun dia bekerja sebagai penari separuh bogel.
Sebagai menunaikan tanggungjawab, di sini saya akan cuba menjelaskan kepada saudara-saudari penyelewengan tersebut satu-persatu dan bagaimana penulis secara sengaja telah menfitnah ulamak-ulamak muktabar dengan mengambil dan memutar-belitkan kata-kata mereka secara tidak amanah.
Pertama:
Pengarang artikel, Zainudin Idris yang cuba mengelirukan pembaca dengan mendakwa yang wajib ditutup (aurat) hanyalah dua kemaluan sahaja (qubul dan dubur) telah menukil dan menterjemah kata-kata al-Dahlawi sebagai berikut:
Imam Waliyullah memberi takrif aurat di dalam kitab Hujjatullah al-Balighah pada halaman 688, jilid 2; beliau berkata:
“Ketahuilah bahawa menutup aurat, saya maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai mengikut adat umat yang sederhana hidupnya seperti yang terdapat pada bangsa Quraisy pada masa itu, ia termasuk di dalam pokok (asas) tamadun yang diakui di sisi setiap golongan yang dinamakan manusia, dan ia di antara perkara yang membezakan manusia daripada sekalian pelbagai jenis haiwan. Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/ belakang), dua buah kemaluan, ari-ari dan bahagian anggota yang mengiringinya termasuk pangkal kedua-dua paha dikira yang paling jelas dari segi agama bahawa ia termasuk ke dalam bahagian aurat.”
Komen:
Rujukan saya kepada kitab Hujjah Allah al-Balighah adalah edisi terbitan Dar al-Ma’rifah, Beirut 1997, jld. 2, ms. 219-222. Sesiapa yang memiliki edisi terbitan syarikat lain boleh rujuk nukilan di atas dalam bab “Berkenaan Aurat” yang terletak dalam kitab “Bab-bab yang berkenaan urusan dalam rumah.”
Daripada penjelasan al-Dahlawi yang sepanjang 3 mukasurat, Zainudin Idris hanya ambil satu perenggan yang letaknya di separuh kedua. Agaknya apa kata al-Dahlawi di separuh pertama? Di sini saya tidak akan terjemah semuanya kerana ia amat panjang. Akan tetapi saya hanya akan kemukakan poin-poin al-Dahlawi.
Syaikh al-Dahlawi rahimahullah memulakannya dengan menjelaskan bahawa apabila seorang lelaki memandang aurat wanita, ia akan menimbulkan syahwat yang akhirnya membawa kepada perkara-perkara maksiat. Atas dasar ini maka Islam menggariskan beberapa cara untuk menutup jalan-jalan yang akan membawa kepada syahwat dan kemungkaran ini. Antara jalan-jalan tersebutadalah:
[1] Tempat wanita adalah di rumah. Mereka hanya keluar apabila terdapat keperluan yang mendesak. Dalilnya ialah firman Allah: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu” [al-Ahzab 33:33]
[2] Wanita memakai jilbab (tudung) dan tidak menampakkan perhiasannyakecuali kepada suami dan mahramnya. Dalilnya ialah firman Allah dalamsurahal-Nur 24:31. Rukhsah (kelonggaran) diberikan kepada (1) wajah sebagaibentuk pengenalan dan (2) tangan kerana ia banyak membuat kerja. Selainitu rukhsah juga diberi kepada wanita tua yang sudah tiada dayatarikan.
[3] Tidak boleh berdua-duaan (khalwat).
[4] Tidak boleh memandang aurat sesama jantina. Lelaki tak boleh pandang aurat lelaki, wanita tak boleh pandang aurat wanita.
[5] Tidak boleh sesama jantina tidur satu “pakaian”, yakni tidur satu selimut bersama-sama. Poin ke 4 & 5 ini untuk mengelakkan kemaksiatan seperti gay & lesbian.
Demikian ringkasan daripada keterangan al-Dahlawi. Jelas daripada keterangannya bahawa aurat wanita bukanlah kemaluan depan belakang sahaja tetapi semua kecuali muka dan tangan. Ini adalah sebagaimana yang kita semua fahami dan amalkan sekarang ini.
Sekarang tibalah kita ke perenggan yang dinukil dan diterjemahkan oleh Zainudin Idris. Perhatian kita ditumpukan kepada satu ayat yang diterjemah olehnya sebagai:
“Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah kemaluan…”
Sengaja atau tidak, Zainudin Idris telah meninggalkan huruf “waw” sebelum perkataan “dua kemaluan”. Sekalipun kita biasa menterjemah huruf “waw” sebagai “dan”, yang benar di dalam ilmu bahasa Arab huruf “waw” memiliki 5 peranan atau fungsi. Peranan huruf “waw” di dalam ayat di atas adalah untuk memberi tumpuan atau penekanan (emphasis) sehingga terjemahannya dalam bahasa kita adalah:
“Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, khasnya dua kemaluan…” Dhamir “nya” yang diterjemahkan sebagai “tersebut” merujuk kepada awal perenggan: “…maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai..”
Dalam ertikata lain, terjemahan yang dikemukakan oleh Zainudin Idris memberi erti kononnya di sisi al-Dahlawi aurat yang perlu ditutup adalah DUA KEMALUAN SAHAJA. Akan tetapi maksud sebenar al-Dahlawi, yang perlu ditutup ialah SEMUA ANGGOTA BADAN YANG MENDATANGKAN AIB TERUTAMANYA DUA KEMALUAN.
Maksud sebenar al-Dahlawi ini selari dengan apa yang beliau jelaskan sejak dari awal (sebagaimana yang telah saya ringkaskan poin-poinnya di atas). Akan tetapi Zainudin Idris hanya kemukakan SATU PERENGGAN yang terletak di separuh kedua perbincangan dengan terjemahan YANG SALAH sehingga akhirnya tersasar jauh daripada maksud sebenar al-Dahlawi. Semoga Allah memelihara para alim ulama’ kita daripada fitnah seperti ini.
Seterusnya Zainudin Idris menulis:
“Nabi s.a.w bersabda lagi: Tidakkah engkau tahu bahawa paha itu aurat? Asal hukum menutup aurat di dalam syarak difaham daripada firman Allah taala di dalam surah al-A’raf, ayat 26. Allah berfirman: Wahai anak Adam sesungguhnya Kami turunkan pakaian yang menutup kemaluan kamu dan pakaian menutup seluruh tubuh dan pakaian takwa (sederhana) itu lebih baik.”
Komen:
Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggung jawab. Kata-kata al-Dahlawi sebenarnya hanyalah sehingga “”Nabi s.a.w bersabda lagi: Tidakkah engkau tahu bahawa paha itu aurat?” Itu pun telah berlaku beberapa lagi kesilapan menterjemah.
Selebihnya bukan kata-kata al-Dahlawi tetapi kata-kata Zainudin Idris sendiri. Akan tetapi Zainudin Idris tidak memecahkannya kepada perenggan baru, seolah-olah ia masih merupakan kata-kata al-Dahlawi.
Selain itu, perbincangan syari’at Islam tentang aurat wanita tidak terletak dalam ayat 26 surah al-’Araf. Ini contoh terbaik penyalahgunaan ayat al-Qur’an.
Kedua:
Zainudin Idris menulis:
“Sebenarnya para imam Islam telah pun menetapkan aurat yang wajib ditutup dan yang tidak wajib ditutup. Imam as-Syafii sebagai contoh mengikut adat resam Arab dan perasaan mereka yang mana kaum perempuannya suka menutup seluruh badan dan kaum lelakinya menutup sekadar tiga per empat badan. Imam Hanafi mengikut adat Ajam (Parsi) yang resamnya tidak jauh dengan Arab. Akan tetapi Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii menetapkan aurat mengikut adat resam orang-orang di sebelah Eropah. Dia membenarkan kaum lelaki menutup dua kemaluan sahaja dan begitu juga dengan kaum wanitanya. Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang.”
Komen:
Kata-kata di atas tidak berdasarkan rujukan ilmiah tetapi sekadar untuk membenarkan teori kaum modernis bahawa memakai tudung hanyalah budaya Arab dan bukannya tuntutan agama.
Sejauh manakah kebenaran teori Zainudin Idris ini? Kata-kata berikut: “Akan tetapi Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii menetapkan aurat mengikut adat resam orang-orang di sebelah Eropah. Dia membenarkan kaum lelaki menutup dua kemaluan sahaja dan begitu juga dengan kaum wanitanya” adalah bukti yang jelas akan kesalahan teori Zainudin.
Cuba para saudara-saudari perhatikan:
[1] Imam Malik rahimahullah tidak pernah keluar daripada Madinah sepanjang hayatnya kecuali untuk menunaikan ibadah Haji di Kota Mekah , Jauh sekali bahawa Imam Malik pernah ke Eropah.
[2] Orang Eropah tak pernah ke Madinah, kerana Semenanjung Arab adalah tanah larangan bagi kaum kuffar.
[3] Manhaj fiqh bagi Mazhab Imam Malik ialah amalan penduduk Madinah, bukan Eropah.
[4] Di zaman Imam Malik, iaitu lebih kurang 1200 tahun yang lalu, wanita-wanita Eropah sendiri berpakaian sepenuhnya. Mereka tak pakai "seluar dalam” sahaja sehingga menampakkan anggota badan yang lain.
Ketiga:
Seterusnya Zainudin Idris menukil kata-kata Imam Abu Bakar al-Jassas.
“Imam Abu Bakar al-Jassas di dalam kitab Ahkamul Quran, jilid 3, halaman tiga berkata: “Sesungguhnya telah bersetuju ummah bahawa apa yang ditunjukkan oleh ayat (al-Quran) adalah mesti menutup aurat.”
KOMEN:
Sebenarnya dalam kata-kata Imam al-Jassas tidak terkandung apa-apa hujah yang dapat membantu Zainudin Idris. Ia dinukil sekadar memberi solekan kosmetik kepada para pembacanya.
Keempat:
Seterusnya Zainudin Idris menukil kata-kata Ibn ‘Arabi dari kitabnya al-Futuhat al-Makkiah:
“Ibnu al-Arabi berkata dalam al-Futuhat al-Makkiah jilid 1, halaman 521 pada bahagian `pada menyatakan batas aurat: “Sebahagian ulama mengatakan bahawa aurat lelaki itu hanyalah dua kemaluannya sahaja (qubul dan dubur). Manakala sebahagian ulama pula mengatakan aurat lelaki itu dari pusat ke lutut. Di sisi kami (Ibnu al-Arabi) hanyalah dua kemaluannya sahaja yang dikira aurat yang hakiki, iaitu anggota-anggota manusia yang dicaci, dibenci dan dianggap buruk melihatnya. Dua kemaluan itu adalah tempat kepada apa yang kami sebutkan itu adalah menepati hukum haram, anggota-anggota selain daripada dua kemaluan itu dari pusat ke atas dan dari lutut ke bawah adalah menepati hukum syubhat yang sepatutnya berjaga-jaga kerana berternak di sempadan kawasan larangan itu hampir-hampir termasuk ke dalamnya.'’
KOMEN:
Saya ingin menarik perhatian saudara-saudari kepada ejaan nama pengarang kitab al-Futuhat al-Makkiah oleh Zainudin Idris.
Terdapat dua orang yang bernama hampir sama: Ibn ‘Arabi dan Ibn al-’Arabi. Yang pertama adalah tokoh Sufi yang dihukum sesat oleh banyak ulama, yang kedua adalah seorang tokoh besar Mazhab Maliki.
Pengarang asal kitab al-Futuhat al-Makkiah ialah Ibn Arabi dan bukan Ibn al-Arabi sebagaimana yang didakwa oleh beliau. Ibn Arabi ialah sang Sufi yang berkata Aku adalah Tuhan dan Tuhan adalah aku.
Ini jauh berbeza dengan al-Imam Ibn al-Arabi di mana beliau ialah seorang ahli hadis, ahli fiqh dan ahli tafsir yang terkenal bagi Mazhab Maliki. Perlu dibezakan tambahan alif lam bagi nama Arabi. Sang Sufi Ibn Arabi bukanlah seorang mujtahid mahupun ahli fiqh, justeru apa-apa pendapatnya tidak boleh dijadikan sandaran hukum yang muktamad. Kitab al-Futuhat al-Makkiah bukanlah rujukan dalam hukum-hukum Fiqh, sebagaimana buku Ekonomi bukanlah rujukan kepada pelajar Engineering.
Pengarang al-Futuhat al-Makkiah ialah Ibn ‘Arabi (tanpa AL), akan tetapi Zainudin Idris telah menyebutnya sebagai Ibn AL-Arabi. Jika bab “alif lam” pun berlaku kesilapan, pasti sahaja bab aurat dalam syari’at Islam terlebih-lebih silapnya.
Walaupun kitab ini bukanlah rujukan dalam Fiqh, elok juga kita cuba memahami apa yang ditulis oleh Ibn ‘Arabi tersebut. Apakah ianya boleh difahami sebagaimana yang didakwa oleh Zainudin Idris atau itu hanyalah dakwaan palsu beliau semata-mata.
Berdasarkan kepada terjemahan beliau itu pun, jelas di sini, walaupun Ibnu ‘Arabi menyatakan aurat yang sebenar untuk lelaki ialah dua kemaluan, tetapi beliau juga menyatakan bahawa anggota yang selain dari dua kemaluan iaitu dari pusat ke atas dan dari lutut ke bawah juga hendaklah ditutup kerana syubhat. Di dalam sebuah yang sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara syubhat bermakna dia terjerumus ke dalam perkara haram.”
Kelima:
Seterusnya Zainudin Idris menukil kata-kata Ibnu ‘Arabi lagi:
“Ada pun mazhab kami (Ibnu al-Arabi), aurat pada perempuan hanyalah dua kemaluannya sebagaimana Allah berfirman: Mulailah mereka menutup atas kedua mereka dengan daun dari syurga. (Al-A’raf, ayat 22). Allah menyamakan di antara Adam dan Hawa pada menutup aurat keduanya (iaitu dua kemaluan). Jika perempuan diarah menutup adalah mazhab kami, tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan itu adalah undang-undang syarak yang berkehendakkan menutup dan tidaklah pasti menutup sesuatu itu kerana ia aurat.”
KOMEN:
Perhatikan kepada kenyataan tersebut: “Jika perempuan diarah menutup adalah mazhab kami, tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan itu adalah undang-undang syarak yang berkehendakkan menutup dan tidaklah pasti menutup sesuatu itu kerana ia aurat.”
Maksudnya ialah walaupun aurat sebenar pada Ibnu ‘Arabi adalah dua kemaluan, tetapi menurutnya juga, apabila perempuan disuruh menutup anggota yang lain maka ia mesti ditutup juga kerana itu adalah undang-undang (perintah) syarak. Jadi Ibnu ‘Arabi sendiri pun tidak menyatakan bahawa selain dari dua kemaluan boleh didedahkan, bahkan ia mesti ditutup juga.
Keenam:
Zainudin Idris seterusnya membuat rumusan:
“Dengan huraian itu jelaslah bahawa walaupun segala nas, pendapat para ulama muhaqqiqin boleh dikatakan telah ittifak (bersepakat) dan ijmak mengakui bahawa aurat sebenar yang dikehendaki oleh Allah supaya manusia menutupnya itu hanyalah dua kemaluan (qubul dan dubur) sahaja sama ada pada kaum lelaki atau perempuan.”
Komen:
Di atas jelas satu dusta. Malah ini adalah satu rumusan yang menyalahi nukilan-nukilan Zainudin Idris sendiri.
Perhatikan 2-3 perenggan sebelum rumusan di atas, Zainudin Idris sendiri telah menukil kata-kata Ibn ‘Arabi dalam aurat wanita:
“Pada bahagian `Batas aurat perempuan’ pula beliau berkata: “SEBAHAGIAN ulama mengatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. ADA PULA ULAMA yang mengatakan demikian dengan tambahan tapak kakinya tidak termasuk aurat. ADA YANG MENGATAKAN perempuan keseluruhannya aurat.”
Daripada nukilan kata-kata Ibn ‘Arabi ini, sudah jelas ada 3 pendapat. Lalu bagaimana Zainudin Idris boleh membuat rumusan ijmak ke atas satu pendapat yang tidak termasuk dalam mana-mana daripada 3 pendapat di atas?
Di sini kita tak perlu fikir atau bahas panjang kerana rumusan Zainudin Idris telah dibatalkan oleh nukilan yang beliau sendiri kemukakan.
Ketujuh:
Untuk mempertahankan pendapatnya yang menyeleweng itu, Zainudin Idris seterusnya menyatakan:
“Imam Ibnu Rusyd rahimahullah taala telah memberi penjelasan dalam Bidayatul Mujtahid, jilid 1; halaman 114: ‘Para ulama keseluruhannya telah ittifak (sepakat) mengatakan bahawa menutup aurat itu suatu kewajipan yang mutlak, tetapi mereka berselisih faham tentang penutupan itu adakah ia merupakan suatu syarat yang terkandung di dalam beberapa syarat bagi sah sembahyang ataupun tidak.
Demikian pula mereka berlainan faham tentang batas-batas aurat pada lelaki dan perempuan, tetapi yang ternyata di dalam mazhab Imam Malik bahawa menutup aurat itu termasuk di dalam bahagian amalan sunat di dalam sembahyang sahaja. Di dalam mazhab Abu Hanifah dan as-Syafii menutup aurat itu sebahagian amalan fardu di dalam sembahyang. Sebab perselisihan mereka di dalam menentukan perkara itu ialah kerana hadis-hadis dan athar sahabat yang menjadi tunjang kepada masalah itu didapati saling bercanggah kenyataannya serta para sahabat telah berbeza dalam memahami maksud firman Allah (al-A’raf, ayat 31): “Wahai anak-anak Adam pakailah perhiasan kamu pada setiap kali ke masjid. Adakah suruhan Allah dengan menggunakan perhiasan itu menunjukkan suruhan wajib atau sunat jua.”
KOMEN:
Nukilan di atas mengandungi beberapa penyelewengan ke atas Imam Ibn Rusyd rahimahullah (595H) dan Mazhab Maliki. Justeru saya akan cerita panjang sedikit.
Pertama:
Zainudin Idris telah menterjemah perkataan “Sunan” di dalam teks Arab kitab Bidayah al-Mujtahid sebagai “Sunat” padahal yang benar perkataan “Sunan” tersebut adalah satu istilah yang perlu difaham mengikut standard Mazhab Maliki.
Seolah-olah Zainudin Idris ingin mengambil kesempatan mudah daripada hukum “Sunat” ini bagi menyatakan nak tutup aurat silakan, tak mahu tutup tak apa kerana ia hanya sunat hukumnya. Berikut ialah terjemahan saya terhadap kata-kata Ibn Rusyd, rujukan saya ialah Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Fikr, Beirut tp.thn.), jld. 1, ms. 82, (Kitab Solat, Bab ke 4 berkenaan menutup aurat dan pakaian dalam solat, fasal pertama):
Bersepakat para ilmuan bahawa menutup aurat adalah fardhu secara mutlak. Dan mereka berbeza pendapat sama ada ia adalah salah satu syarat daripad syarat-syarat sah solat atau tidak. Dan demikian juga mereka berbeza pendapat tentang batas aurat bagi seorang lelaki dan wanita.
Dan yang zahir di dalam Mazhab Maliki bahawa ia adalah daripada Sunan Solat manakala Abu Hanifah dan al-Syafie berpendapat bahawa ia adalah daripada kefardhuan solat.
Sekian perenggan pertama kata-kata Ibn Rusyd.
Soalnya, apakah yang dimaksudkan dengan Sunan ? Al-Baji rahimahullah (474H) di dalam kitabnya al-Muntaqa Syarh al-Muwattha’ (Dar al-Kitab al-Islami, Beirut tp. thn.), jld. 1, ms. 247 (Bab Rukhsah dalam bersolat dengan sehelai pakaian) telah berkata:
Maka adapun berkenaan pakaian (solat) maka sesungguhnya baginya terdapat dua jumlah, jumlah yang fardhu dan jumlah yang utama. Maka adapun yang fardhu bagi seorang lelaki maka ia adalah apa yang menutupi aurat dan tidak wujud perbezaan pendapat tentang kefardhuannya.
Akan tetapi para sahabat kami berbeza pendapat tentang tafsir yang sedemikian. Berkata al-Qadhi Abu al-Faraj, ia adalah salah satu fardhu daripada kefardhuan solat dan ini adalah juga pendapat Abu Hanifah dan al-Shafie. Dan berkata al-Qadhi Abu Ishaq sesungguhnya ia adalah daripada Sunan Solat, dan ini adalah juga merupakan pendapat Ibn Bukair dan al-Syaikh Abu Bakr.
Adapun faedah perbezaan pendapat ini, bahawasanya jika kami berkata sesungguhnya ia adalah daripada kefardhuan solat maka solat akan batal dengan ketiadaan penutup aurat manakala jika kami berkata ia bukanlah daripada kefardhuan solat (ertinya ia adalah Sunan) maka berdosa orang yang meninggalkan penutup aurat akan tetapi tidaklah batal solatnya. Sekian al-Baji.
Ringkasnya terdapat dua pendapat di kalangan ahli fiqh Mazhab Maliki tentang hukum menutup aurat dan kaitannya dengan syarat sah solat. Yang pertama berkata ia adalah Fardhu, sesiapa yang tidak menutup aurat maka batal solatnya. Yang kedua berkata ia adalah Sunan, sesiapa yang tidak menutup aurat maka tidaklah batal solatnya tetapi dia berdosa besar.
Ini jauh berbeza dengan istilah Sunat yang sedia kita fahami, bahawa jika buat dapat pahala, tak buat tak dosa. Ertinya, menutup aurat dalam solat dapat pahala manakala tak tutup aurat tak dapat apa-apa dosa. Padahal yang dibahas dalam Mazhab Maliki dengan istilah Sunan ialah sah atau tidak solat, menutup aurat sah solatnya, tidak menutup aurat tetap juga sah tetapi mendapat dosa.
Perlu juga diperincikan bahawa tidak menutup aurat yang dimaksudkan dengan istilah Sunan adalah untuk jangka waktu yang singkat dan bukan keseluruhan solat.
Mujtahid Mazhab Maliki, al-Haththabi rahimahullah (954H) dalam kitabnya Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil (Dar al-Fikr, Beirut 1398H), jld. 1, ms. 498 (Kitab Solat, Fasal: Menutup aurat dalam solat) berkata:
(Jika) Imam jatuh penutup auratnya ketika rukuk lalu dia menarik semula selepas mengangkat kepala (daripada posisi rukuk), berkata Ibn al-Qasim daripada Musa: Tidak apa-apa ke atasnya (yakni solatnya tidak batal) jika dia menarik semula. Akan tetapi jika dia tidak menarik semula maka perlu diulangi solat dalam waktunya kerana pada asalnya menutup aurat adalah daripada Sunan Solat. Sekian al-Haththabi.
Ringkasnya yang dimaksudkan dengan Sunan Solat dan kaitannya dengan menutup aurat adalah, jika aurat terdedah dan ia ditutup semula maka solat tetap sah. Jika ia dibiarkan terdedah maka batal solat tersebut dan perlu diulangi semula.
Demikian maksud sebenar istilah Sunan dan kaitannya dengan hukum menutup aurat sebagai syarat sah solat bagi Mazhab Maliki. Ia bukanlah sunat dan tidak boleh diterjemahkan sebagai sunat.
Kedua:
Asal perbincangan dan penghujahan Zainudin Idris ialah berkenaan batas aurat wanita. Saya hairan kenapa Zainudin Idris hanya mengemukakan perenggan pertama perbahasan Ibn Rusyd yang hanya merupakan “muqaddimah” dan mendiamkan perenggan seterusnya yang merupakan hujah yang menutupi segala penyelewengan beliau.
Berkata Ibn Rusyd di mukasurat seterusnya (Bidayah al-Mujtahid, 1/83), fasal ketiga: “Dan adapun masalah ketiga, ia adalah berkenaan batas aurat wanita, maka kebanyakan ilmuan berpendapat bahawa keseluruhan badannya adalah aurat kecuali wajah dan tangan. Dan Abu Hanifah berpendapat kaki bukanlah aurat. Dan Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman dan Ahmad (bin Hanbal) berpendapat seluruhnya adalah aurat.”
Sekian Ibn Rusyd. Jadi sekalipun wujud perbezaan pendapat di kalangan fuqaha, tiada sedikitpun ia mendekati hujah yang cuba dibangkitkan oleh Zainudin Idris bahawa aurat wanita hanyalah dua kemaluannya.
Kelapan:
Zainudin Idris cuba lagi menegakkan pendapat songsangnya dengan menyatakan:
“Riwayat daripada Abu Hanifah, beliau berkata: ‘Aurat terbahagi kepada dua bahagian, aurat mughallazah (aurat berat) dan aurat mukhaffah (aurat ringan). Aurat mughallazah itu adalah qubul dan dubur dan aurat mukhaffah, iaitu anggota-anggota selain daripada apa yang telah disebut ia daripada aurat.’”
KOMEN:
Zainudin Idris cuba menyeleweng maksud aurat besar dan aurat kecil mengikut takrifan Abu Hanifah. Dengan takrifan ini, dia berkesimpulan aurat wanita yang perlu ditutup ialah dua kemaluannya, manakala rambut (dan selainnya) boleh dibiar terdedah. Dalam erti kata lain, ciri-ciri wanita Islam yang menutup aurat mengikut Zainudin Idris ialah mereka yang memakai panty sahaja.
Adapun pembahagian Mazhab Hanafi kepada aurat besar dan kecil, ia hanyalah bagi membezakan aurat yang darurat dan bukan darurat. Yakni, Jika seseorang itu hanya memiliki pakaian yang terhad setelah dikerah segala usaha termampu, maka bahagian tubuh badan yang perlu diberi prioriti untuk ditutup ialah aurat besar. Saya pasti semua orang faham hal ini. Di sisi Mazhab Hanafi, aurat besar dan aurat kecil adalah dua pembahagian yang sama-sama duduk di bawah kemutlakan hukum wajib. Jauh sekali daripada penafsiran Zainudin Idris bahawa aurat besar adalah wajib manakala aurat kecil tidak wajib.
Sehingga ini sahaja komen saya ke atas bahagian pertama artikel Zainudin Idris tentang aurat wanita. Kita nantikan sambungan bahagian kedua.
Sebenarnya saya tidak kisah jika Zainudin Idris atau teman semazhab dengannya Astora Jabat hanya ingin memakai daun di depan dan belakangnkemaluannya atau bercawat sahaja ketika ke pejabat atau bersiar-siar.nDemikian juga, sesiapa yang berpendapat aurat hanyalah dua kemaluan, DIPERSILAKAN. Akan tetapi janganlah membenarkan pendapat ini dengan atas nama “Syari’at Islam” atau “Hujah para ulama Islam.”
Kepada saudara-saudari yang saya muliakan:
[1] Berhati-hatilah dengan orang yang berbicara agama demi mencapai tujuan atau objektifnya tersendiri. Fitrah manusia memang suka mencari nama, harta dan kedudukan. Jika tak boleh buat cara baik, dia akan buat cara tak baik, asalkan dapat apa yang dihajati.
Jika kita perhatikan artikel Zainudin Idris di atas, jelas dia telah buat kajian dengan membuka kitab-kitab besar. Akan tetapi untuk apa kajiannya? Tidak lain ialah menyalahgunakan kata-kata ulama’ untuk membenarkan teorinya sendiri.
Cuba perhatikan nukilan Zainudin Idris daripada kitab Bidayatul Mujtahid di akhir artikelnya. Kemudian rujuk kepada jawapan saya. Perhatikan bagaimana dia menukil sebahagian dan meninggalkan sebahagian.
[2] Kita perlu bersatu untuk memerangi orang-orang seperti ini. Mereka memiliki kekuatan media, akan tetapi kita memiliki kekuatan kebenaran. Yang tinggal ialah menyebarkan kebenaran tersebut.
Maka janganlah malu-malu atau keberatan untuk sebarkan artikel ini atau mana-mana tulisan yang seumpama daripada penulis lain. Sebarkannya dan tampalkannya di papan notis pejabat dan sebagainya.
Jika kita orang Islam tak melakukannya, maka siapa lagi?
Firman Allah: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Taubah 9:71]

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home