Sulaimin menulis dari Jordan
BANYAKKAN PROGRAM TARBIAH
Ketahuilah bahawa tarbiah merupakan aset yang sangat penting dalam sesebuah gerakan Islamiah. Proses pentarbiahan yang berkesan akan melahirkan jundullah yang tabah, kental hati, sabar dalam perjuangan serta kuat berjuang.
Jika kita melihat proses pentarbiahan yang Rasulullah s.a.w. lakukan dalam liku-liku perjuangannya, kita dapati pentarbiahannya yang cukup berkesan dapat melahirkan sahabat-sahabat yang sanggup menggadaikan jiwa serta harta benda untuk fi sabilillah. Kita lihat sahaja sahabat baginda Bilal bin Rabah yang mati dihukum oleh tuannya dengan hukuman yang cukup sengsara di kawasan lapang yang panas, hanya mempertahankan keesaan Allah S.W.T. Kita lihat juga Abdul Rahman bin Auf, ketika puak muhajirin berhijrah ke Madinah Abdul Rahman berkata, “Saya ada dua orang isteri. Pilihlah yang tercantik daripada keduanya. Saya akan talakkan dan kamu akan kahwin dengannya.”
Inilah pengorbanan sahabat Rasulullah yang lahir daripada pentarbiahan yang cukup kuat.
Kalau kita bandingkan dengan kita hari ini, sudah semestinya sangat berbeza. Sedangkan harta benda pun kita tak dapat menginfakkan untuk Islam, apatah lagi isteri kesayangan seperti mana yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.
Oleh hal yang demikian, kita seharusnya dan semestinya sentiasa dan lebih menekankan soal pentarbiahan kerana kelemahan mana-mana jemaah Islamiah bertitik tolak daripada proses pentarbiahan yang begitu lemah dan tidak diambil berat. Sebab itulah kita lihat oraganisasi Islam lebih menekankan tarbiah demi membaiki kelemahan-kelemahan yang ada.
Kita sebenarnya tidak mementingkan sangat soal kuantiti untuk masa terdekat ini, tetapi walaupun jumlah kita sedikit, apabila disertakan dengan proses pentarbiahan yang kuat, insya-Allah yang sedikit inilah akan melahirkan generasi pelapis yang banyak untuk masa hadapan. Oleh yang demikian banyakkan program yang berbentuk tarbiah demi masa depan yang cerah.
USRAH TUNJANG JEMAAH
Usrah merupakan tunjang sesuatu jemaah. Kalau usrah kemas dan berjalan dengan baik natijahnya jemaah itu kuat dan kukuh, tetapi kalaulah perjalanan usrah itu lembab dan tak bermaya, akan lahirnya jemaah yang lemah dan tak berkembang.
Kepentingan usrah ini tidak dinafikan lagi kerana apabila kita lihat pada awal perjuangan Rasulullah s.a.w., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda berjalan dalam keadaan yang sirri (senyap). Ini dapat dilihat apabila Rasulullah memilih bait Arqam bin Arqam sebagai tempat usrah. Arqam ini seorang budak kecil yang memang tidak dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah melaksanakan usrah di rumahnya. Kita lihat ini satu taktik atau sirriah yang dibuat oleh baginda.
Kepentingan usrah ini jelas lagi bilamana pejuang-pejuang Islam sebelum kita melihat proses usrah yang dibuat oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Apabila kita membaca perjalanan usrahnya, kita dapati beliau sangat mengambil berat terhadap anak buahnya. Boleh dikatakan beliau akan bertemu dengan anak buahnya setiap hari walaupun cuma beberapa minit, tidak kira malam, pagi-pagi buta, atau sebagainya kerana prinsip beliau yang amat penting sekali sekadar bertemu mata antara dengan anak buah akan menimbulkan rasa ukhuwah dan semangat yang kuat dalam berjuang. Proses seperti inilah yang harus kita ambil contoh dalam kita mengendalikan perjalanan usrah.
Dengan sebab itulah kita jangan sekali-kali menjadikan usrah sebagai usaha sampingan sahaja, tetapi anggaplah usrah sebagai aset yang terpenting dalam jemaah kita—kerana usrah yang berjaya itu melahirkan jemaah yang kuat dan berkualiti, insya-Allah.Oleh hal yang demikian, wahai pejuang-pejuang Islam tercinta, kenallah diri dan muhasabah selalu. Di manakah kerja-kerja Islam yang telah kita lakukan untuk ummah ini? Siapakah diri kita yang sebenarnya? Apakah tanggungjawab kita dijadikan oleh Allah.
Seterusnya ingatlah janji-janji Allah yang akan membantu kita bilamana kita membantunya. Janganlah berasa ragu-ragu lagi dalam perjuangan suci ini, kerana dalam perjuangan, kita perlu berpegang pada dua prinsip sama ada kita menang atau syahid!
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home