SUKARNYA MENJADI SEORANG KETUA
Memimpin adalah suatu amanah yang berat , apatah lagi berjawatan ketua. Inilah beban rasa yang saya tanggung saban waktu sejak 2 sessi yang lalu , memimpin Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang.
Bermula dengan sessi saya sebagai pemangku Ketua DPPNPahang , ekoran perpindahan Ustaz Yusuf Embong ke Sabah pada tahun 2001 sehinggalah kini , pertengahan sessi ketiga saya menerajui DPPNPahang.
Semenjak awal saya menggalas tanggungjawab ini , apa yang bermain di kepala saya ialah , bilakah ia akan berakhir, lagi cepat tentunya lagi baik buat diri saya yang serba lemah ini.
Saya cuba sedaya upaya , menggagahkan diri guna memikul beratnya amanah, biarpun saya bukanlah orang yang paling layak dikalangan pemuda Islam yang wujud di negeri Mat Kilau ini.
Alhamdulillah , dengan gandingan dan usaha bantu sahabat – sahabat exco DPPNPahang , kepimpinan ini masih bertahan sekalipun bersalut 1001 kelemahan dan kekurangan.
Hanya dasar dan matlamat perjuangan menjadikan diri ini terus bertahan menyerap segala tekanan dan menghadapi segala cabaran serta mampu bersabar dengan segala karenah dalaman yang dihadapi.
Namun , sewaktu kita menyeberangi batas kebangkitan ummah apalagi untuk menerajui kebangkitan tersebut , DPPNPahang mestilah kelihatan lebih gagah dan perkasa serta aktif dan tangkas di pentas perjuangan . Kemestian ini memerlukan seorang ketua yang dinamik dan berkewibawaan tinggi jua gandingan atau kolektif anggota exco yang mantap dan efektif.
Sudah tiba masanya buat DPPNPahang memiliki satu set kepimpinan yang memiliki pakej berkualiti tinggi dengan segala ramuan yang menyempurnakan kepimpinannya. Spiritual mantap laksana Datuk Bahaman dan semangat wira perkasa laksana Mat Kilau jua gah dipersada perjuangan seharum nama Tok Gajah di bumi Pahang .
Tentunya edisi kepimpinan saya tidak menepati set dan pakej kepimpinan sedemikian , sebaliknya saya hanyalah menjadi mata rantai perjuangan bagi meneruskan kesinambungan perjuangan suci di bumi Pahang ini khasnya dan di Malaysia amnya.
Harapan saya , kepimpinan yang bakal mengambil alih baton perjuangan ini haruslah mempersiapkan diri selengkapnya.
Saya sendiri , secara peribadi tidak sabar lagi untuk menyerahkan “baton” ini kepada mereka , yang saya sangat yakin bahawa mereka lebih berkemampuan daripada diri saya yang serba kerdil ini. Bukan hari ini , bahkan sehari selepas saya di”tabal”kan sebagai Ketua DPPNPahang .
Sukarnya menjadi seorang ketua … itulah reality yang terpaksa saya lalui . Berhadapan dengan segala bentuk cabaran yang dihadapkan oleh musuh , ditambah pula karenah dalaman yang sering dialami.
Justeru itu , squad kepimpinan akan datang selayaknya terdiri dari seorang ketua yang hebat . Mempunyai karisma kepimpinan yang dihormati kawan dan disegani lawan. Kewibawaanya melayakkan wala’ dan taat yang tinggi dari anggota exconya , demikian juga seluruh ahlinya dalam perkara yang tidak mengundang kemurkaan Allah swt.
Saff exconya pula terdiri dikalangan individu yang layak di marhalahnya. Memimpin DPPNPahang dengan A’zimah dan Karamah bukan Rukhsah dan Taqiyyah . Memacu perjuangan berbekalkan sikap optimis dan menerajui kebangkitan dengan segala Izzah .
Saya mengimpikan squad tersebut , tetapi saya bukan ketua yang layak dan munasabah memimpin squad impian itu. Apa pun saya berdoa dan berharap agar ianya menjadi kenyataan .
Apabila Al fadhil Us. Ridhuan Mohd Noor mengumumkan persaraannya dari menjawat jawatan Ketua DPPWilayah Persekutuan baru – baru ini , terdetik dalam hati saya untuk turut berbuat demikian , kerana pastinya di sana sedang menanti mereka yang lebih berkelayakkan untuk memimpin .
Tetapi , tanpa sebab yang munasabah secara organisasinya , adalah tidak manis saya melepaskan amanah ini dipertengahan jalan . Kelak bertambah susah jadinya jamaah yang amat saya sayangi ini .
Pastinya saya tidak boleh menggunakan sentuhan emosi sebagai sandaran bertindak , kerana tiada siapa yang dapat memahami sentuhan emosi yang saya alami ini . Keadaan ini memaksa saya bertahan lagi hingga ke saat pemilihan baru di muktamar musim depan .
Melepasi hari – hari yang masih berbaki , biarpun hanya setahun dalam bilangannya tetapi bagaikan sepuluh tahun dibeban rasa. Harapnya tiada apa – apa yang tidak diingini berlaku kepada DPPNPahang sepanjang tempoh penantian ini .
Akhirnya saya memohon ampun dari Allah Qadhi Rabbul Jalil atas kelalaian dan kealpaan menjalankan tugas serta saya juga memohon maaf dari exco dan ahli DPPNPahang atas kelemahan dan kekurangan kepimpinan saya . Sukarnya menjadi seorang ketua !
2 Comments:
Saya berpandangan,sistem tarbiah kita perlu diperbaiki agar ketua hanya berhadapan dengan musuh sebenar tidak seperti sekarang ketua bukan hanya berhadapan dengan musuh sebenar tetapi lebih perit berhadapan dengan anak buah sendiri.Itulah ujian,lain orang lain cara diuji oleh yang maha kuasa.Setiap saat kita diuji.Kesabaran jua yang amat penting.Jadikan solat dan sabar itu penolong bagi kita semua.
1:14 AM
This comment has been removed by a blog administrator.
4:33 PM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home