" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, July 17, 2006

MEMAHAMI ERTI SEPI
TANPA ISTERI DISISI

Tidaklah mudah untuk melepasi pelbagai rintangan dan badai , seiringi usia perkahwinan saya yang kini melewati sempadan tahun ke 12 . Tentu sahaja terlalu banyak asam garam malah juga pahit maung yang telah dilalui dalam usia perkahwinan kami .

Biarpun usia perkongsian hidup ini masih terlalu muda , namun kami berharap agar masa depan perkongsian ini menatijahkan kebahagiaan dan kesejahteraan buat kami .

Sebagaimana tingginya harapan Siti Nurhaliza bersama pasangannya Datuk Khalid Mohd Jiwa yang disiar secara langsung di TV3 tengahari tadi , demikianlah jua tingginya harapan kami sekeluarga untuk melihat kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga terus menjadi milik kami .

Pastinya jua ia menjadi harapan semua keluarga dan rumahtangga . Semoga Allah swt. merestui kami semua.

Saya sering berada di luar rumah berbanding di dalam rumah sepanjang tempoh perkahwinan kami , ekoran hambatan sebuah perjuangan yang kerananya lah kami bertemu dan bersatu .

Saat berpisah begitu ,( biarpun seketika ) sebagai manusia yang punya perasaan adalah merupakan saat sukar dan payah untuk dihadapi malah pahit pula untuk ditelan oleh isteri dan anak - anak.

Keluar 3 atau 4 hari malah terkadang membawa kepada 7 hingga 10 hari adalah situasi biasa yang kami alami dalam perkongsian hidup ini. Sungguhpun berat untuk diharungi oleh isteri dan anak – anak , begitu berat bagi saya dengan perasaan yang terbeban antara tugas perjuangan dan belaian kasih sayang .

Bahkan kami pernah diuji oleh Allah dengan berpisah selama 2 tahun , dipisahkan oleh lautan luas dengan saya di bumi Mesir sementara isteri dan anak di tanahair.

Saya selalu memujuk isteri dan anak – anak agar bersabar dengan situasi seperti ini dengan mengambil contoh pengorbanan yang dilakukan oleh sahabat – sahabat seperjuangan yang lain . Dimana mereka jauh lebih berat dan hebat ujian yang terpaksa dirempuh .

Seringkali pujukan itu menjadi penawar kasih yang berjauhan . Sedar tak sedar , kini rumahtangga kami telah berusia 12 tahun dengan dikurniakan cahaya mata seramai 6 orang . Alhamdulillah , cahaya mata bukan sahaja menjadi penyeri rumahtangga kami bahkan penyambung hayat kasih kami suami isteri.

Saat saya menatah coretan ini , saya masih terlantar dan tersadai dirumah setelah 3 hari berlarutan demikian tanpa isteri disisi . Malah anak – anak jua turut diserang demam yang membuatkan keadaan semakin sulit dan sukar.

Isteri saya terpaksa menghadhiri kursus rutin untuk confirm jawatan beliau sebagai seorang guru lepasan ijazah di Temerloh selama 2 minggu .

Pendek kata , kini giliran saya ditinggalkan dalam tempoh yang saya rasakan bagai 2 tahun lamanya , bukan lagi 2 minggu .

Manakan tidak . Kepala sakit , lepas tu , nak seliakan prosuder biasa anak – anak di pagi hari yang akan bersiap ke sekolah , mengemas rumah , memasak , membasuh dan macam – macam lagi ……..

Ya Allah , hilang kudrat saya dibuatnya . Barulah kini saya terfikir , bagaimanalah tubuh lemah gemalai seorang perempuan bergelar isteri mampu selama ini membesarkan anak 6 orang dengan segala tanggungjawab rumahtangga , di tambah pula dengan profesionnya sebagai guru di sekolah dan pula tugasnya sebagai seorang pejuang yang mempunyai tugas penting di medan sedang saya sering tiada di sisinya.

Hebat ! kemampuan luar biasa ! itulah saja yang boleh saya keluhkan .

Kini , perasaan kasih dan cinta saya buat isteri kian menebal . Rasa rindu mula membuak sedang baru 3 hari beliau tiada di rumah . bagaimanalah saya nak tunggu 11 hari lagi . Tiada tertahan rasanya .

Ya , saya mula memahami erti “terpenjara dalam sangkar sepi” , yang sering dialami oleh isteri saya selama ini .

Buat isteriku , terimalah Monolog ini !

MONOLOG
BUAT ISTERI SEORANG PEJUANG

Jelmaanmu merentas bongkah sendu
Mengorban naluri merungkai pilu
Mengharungi gurun tanpa bayu

Isteriku…
Kehadhiranmu adalah mustika
Mengerlip cahaya sakinah
Laksana bintang membentuk arah burujnya

Isteriku…
Saban waktu , dirimu abdi di gobokku
Senyum manismu menenang jiwaku
Kerlinganmu mengorak senyumku
Kesetiaanmu menyejuk mataku

Isteriku…
Ketika kesejukan mataku
Memandang wajahmu duhai isteriku
Memori ini mengimbau zaman remajaku
Dikala kuhamparkan tangan ke awan biru
Merintih harap isteri yang solehah
Penyejuk mata dan penyeri rumahtangga

Isteriku…
Di senjakala , ku menongkat resah
Dirimu tersangkar dalam kemiskinanku
Dirimu tak punya manikam permata untuk kukalungkan
Tiada nota ringgit untuk kuunjukkan
Tiada lambang kemewahan untukku hamparkan
Dirimu hanya ku langir debu
Ku balutkan jubah
Ku hilangkan dahagamu secangkir Cuma
Ku hambat bosanmu seketika sahaja

Isteriku…
Di hening subuh ku merenung sayu
Dirimu kesepian dalam kesibukkanku
Hari - hari berlabuh kita berasingan
Kesedihanmu , sementara diriku di medan
Kesakitanmu pun tiada aku disisi
Rumahku , dirimulah penanti setia
Sementara bagiku , ia hanyalah dangau persinggahan

Isteriku…
Dirimu masih setia dalam sangkar yang sepi
Demi nilai cinta dan ketaatanmu

Isteriku…
Dongaklah wajahmu ke atas
Hulurlah tanganmu ke hadapan
Tabahlah duhai isteriku
Tidakkan ku sia siakan hidupmu
Kan ku hidangkan ilmu buatmu
Kan ku bawamu ke alam perjuangan
Kan ku hantarkan ke perlembahan hidayah

Isteriku…
Bajailah cinta kita
Tenggelamkanlah kemelut rasamu

Isteriku…
Diriku tetap setia disampingmu
Sungguhpun kita jarang bertemu

Sayang isteriku…
sayang isteriku

10 Comments:

Anonymous zaid_akhtar said...

kita senasib ustaz
;-)
tapi isteri saya berkursus cuma 5 hari

11:53 PM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

kalau gitu , bolehlah sdr hadiahkan puisi itu buat isteri sdr. :)

Bukan apa , duduk sorang sorang begini , jiwa jadi puitis plak.

2:33 AM

 
Anonymous zaidakhtar said...

insya Allah. saya hingga jumaat ni saja. ;-)

tapi ustaz ada sepuluh hari lagi.

2:57 PM

 
Anonymous Anonymous said...

salam...
naluri wanita ini jua turut tersentuh bilamana diri seorang isteri begitu dihargai oleh sang suami.sememangnya amat berat beban yang ditanggung seorang isteri mujahid,namun ianya akan terasa ringan andai kita saling memahamidan kenal erti perjuangan yang sebenar

4:09 PM

 
Blogger Abu Saif said...

salam ustaz.

kita serupa. ana juga sudah biasa begitu. rutin mingguan. namun insya Allah kita kuat kalau erti hidup ini pada memberi :)

salam perjuangan

7:24 PM

 
Blogger IbnuAli said...

Ana Tak biasa ustaz... sebab belum kawen lagi... hehe

Tapi pengalaman ustaz dalam jihad membina rumahtangga boleh jadikan rujukan buat ana... Apatahlagi jika bakal isteri kita berlainan gerakhati walupun berfikrah yang sama...

Pelik tapi benar berlaku pada situasi pelajar2 al azhar, pernah ada seorang ustaz memberitahu saya, bahawa ustazah yang hendak dia taqdim mengatakan "saya akan menyusahkan awak!" jika ustaz tu akan turun berjuang selepas tamat pengajian..

Masih ada lagi pelajar2 al azhar yang belum dicerna fikrah mereka.... letih memikirkannya..

Ustaz doakan saya najah tahun ini, sejak dua menjak ni segala gerak kerja ada sahaja silapnya.... diterjah pula dengan bisikan2 syaitan....

Doakan saya thabat dalam perjuangan!

8:51 AM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

Ya ... telah ana nyatakan bhw apa yang ana alami ini hanya secebis kisah dari pengalaman para pejuang.

tentu shj disana , ramai sahabat yg nyata lebih cekal dan berpengalaman luas justeru merekalah model atau qudwah buat kita .

Ada juga sahabat bagaikan tidak bersetuju ana mencoret kisah begini . Mungkin pada tanggapan mereka , membuatkan anak buah menjadi lemah .

Apa pun ana memohon maaf atas kesan negatif dari coretan tersebut namun ingin ana tegaskan bahawa coretan ini , biarpun bersahaja secara riwayah tetapi ana tampilkan 3 elemen penting :

1 : Merasai bersama beban perkongsian hidup agar kita lebih sayang keluarga dlm dunia yg sering mengundang keruntuhan kpd institusi kekeluargaan . Sdg Keluarga pula adalah base yg paling penting utk kita bertolak ke medan bagi memperjuangkan agama Allah swt.

2. : Setelah memahami dan merasai sendiri tugasan harian seorang insan yg bergelar isteri , setelah sekian lama ia berkorban buat suami dan anak - anaknya , setelah ia memainkan peranan penting di belakang tabir utk kejayaan suaminya dan setelah ia membuktikan kesetiaan dan kejujurannya utk terus bersama suami dalam apa jua susah sukar yg diharungi , maka lunturkan kegoaan sang suami dan berilah penghargaan buat isteri biarpun sekali cuma .

3. : Di belakang seorang Mujahid yang perkasa , tersembunyi seorang Mujahidah yang yang hebat . Saya sangat bersetuju dgn cogankata popular sahabat saya Ust. Hasrizal bahawa : ERTI HIDUP PADA MEMBERI .

4:15 PM

 
Anonymous Anonymous said...

ustaz, kalau nak meringankan beban isteri,kahwin lagi 3.Bolehlah mereka berbahagi tugas.Ibarat barang berat kalau pkul ramai ramai jadik ringanlah ia...by the way isteri saya tak setuju dengan pandangan ini.Tambah pulak ana sayang(takut??) kat dia.

10:50 PM

 
Blogger sakinah said...

assalamu'alaikum
ustaz,

ana letak sajak ustaz di blog ana

3:54 PM

 
Blogger sahabat,rakan,teman said...

salam...pendapat saya kepada anonymous...kalau betul nak kahwin ramai..kahwin dengan thaibun..berturutan juga dengan perbuatan rasulullah..kecuali isterinya aishah..jadi pada laki2 yang mahu berkahwin memang adil dan byk pahala kahwin dengan thaibun..dan rasanye selamat...keadaan wanita lebih terjamin ye wahai sahabat2..perasaan cemburu pun xla terlalu membara sgt...byk kebaikannye..fikir2kan semula..

10:42 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home