" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Friday, July 14, 2006

Kertas Kerja ( 023 )

Akhlak Islam :
Ke arah Pemantapan Nilai Murni dan Asas Kualiti .

Muqaddimah .

Sebagai insan yang diamanahkan untuk mengurus kehidupan di dunia serba mencabar ini , pastinya nilai murni yang mantap adalah pengaruh utama dalam membentuk kualiti dan standard value diri ini di dunia bahkan melewati sempadan akhirat.

Tanpa syak pula , Nilai Murni tersebut dengan segala ciri dan sifatnya adalah bertunjangkan Akhlak Islami yang tulen .

Dari Abi Darda’ Rha. bahawa Rasulullah saw bersabda :

مَا مِنْ شَئٍ أَثْقَلَ فِيْ مِيْزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ مِنْ حُسْنِ الْخُلْقِ وَ أَنَّ اللهَ تَعالى لَيَبْغَضُ اْلفَاحِشَ اْلبَذِئ

Sebahagian dari suatu yang memberatkan timbangan amal seorang mukmin di akhirat kelak ialah Akhlak yang Murni dan Allah swt. sangat murka terhadap kekejian ( penyelewengan ) yang menjijikkan.

Diriwayatkan oleh At Tarmizi

Dari Abi Hurairah Rha. telah berkata : Rasulullah saw. bersabda :

مِنْ حُسْنِ اْلإِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ

Sebahagian daripada keelokkan Islam seseorang ialah “meninggalkan suatu yang tidak mendatangkan faedah kepada dirinya”

Hadith Hasan di riwayatkan oleh At Tarmizi dan lainnya dan
berkata Az Zarqani dalam Syarah Muwatta’ :
Sanadnya Hasan bahkan Shohih.

Akhlak Islami.

Akhlak Islami atau keperibadian Islam adalah nilai watak dan perilaku yang berasaskan prinsip “ Sifat Mahmudah” dan “Uswatun Hasanah” . Nilai ini tidak hanya lahir dari bakat dan tuah seseorang tetapi ianya perlu dibentuk dan dibina melalui system pendidikan dan penghayatan .

Rujukan rasmi untuk mencula setiap perilaku dan watak yang dimiliki oleh setiap individu agar ia menepati piawaian akhlak yang ditetapkan oleh syara’ ialah Tokoh bertaraf Rasul yang ma’sum . ( Baginda saw. ) Firman Allah swt :

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah saw. itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Al Ahzab : 21

Sabda Rasulullah saw :

إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ

Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan Kemuliaan Akhlak.

Sistem Nilai dalam Akhlak Islami .

Penampilan watak dan penonjolan perilaku yang kelihatan baik pada mata kasar dan juga pandangan umum bukan merupakan indeks yang menarafkan kemurnian dan kemulian .

Sebaliknya prinsip “Sifat Mahmudah
[1]” yang direalisasi dan dihayati bersama dengan watak dan perilaku yang baik itulah menepati nilai murni dan mulia . Itulah Akhlak Islami .

Cth.1 : Seorang pekerja yang mempunyai rekod “punch card” yang baik tetapi ia datang dan pulang tanpa keikhlasan dan Itqan ( kerja bersungguh dan teliti ) dalam bekerja , ia tidak dianggap berakhlak dengan nilai Akhlak Islami .

Cth. 2 : Seorang pekerja yang berupaya membukti kerajinan dan kesungguhan bekerja tetapi segalanya dilakukan tanpa tawadhu’ dan Istiqamah , ia juga tidak dianggap berakhlak dengan nilai Akhlak Islami.

Cth. 3 : Seorang yang mendapat hasil lumayan dari kerjanya yang bermutu ( gaji dan bonus ) tetapi diurus pendapatannya tanpa qanaah dan taqwa , ia juga tidak dianggap berakhlak dengan nilai Akhlak Islami .

Pengaruh Akhlak Islami .

1- Formula berkesan untuk membunuh segala sifat mazmumah
[2] ( keji ) yang merosakkan elemen berkat [3] ( tambah nilai kebaikan dan produktif ) dalam tugas seharian malah seluruh kehidupan .

2- Menghiasi diri dengan Akhlak Islami dalam setiap watak dan perilaku adalah meletakkan dirinya senantiasa berada dalam Ibadah . ( Mendapat redho dan ganjaran dari Ilahi . )

3- Hubungan “Hablum minannas” menjadi erat . ( justeru semua orang suka dan percaya kepada nilai Akhlak yang mulia ) Realiti ini meletakkan kita dalam situasi yang positif dan terbaik , malah berdaya saing .

Pembentukan Akhlak Islami .

1- Tafaqquh fid Deen : adalah aktiviti wajib disertai oleh setiap individu membina Akhlak yang kontan / mantap. Ianya melalui proses mendalami sirah kehidupan Baginda rasul saw. dan memahami serta menghayati seluruh tuntutan syara’.

2- Anjakan paradigma : dengan meletakkan mindset yang positif untuk berubah menjadi lebih baik dari sebelumnya. Hanya unsur Iradah Nafsiah ( Kehendak yang lahir dari lubuk hati sendiri ) yang benar – benar meletakkan kita mampu membentuk dan membina Akhlak Islami .

Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itulah yang bersedia merubah ( sikap dan prinsip ) diri mereka .

Ar Ra’d : 11

3- Mujahadah An Nafs : ( kesungguhan menentang dan menolak anasir maksiat dan mungkar ) menjadi benteng menghalangi pencerobohan segala sifat mazmumah yang boleh merosakkan nilai – nilai murni .

[1] Al Ikhlaas , Al Amaanah , Al Istiqaamah ,Al Itqan , Al Qanaah , At Tajarrud , At Tawaadhu’ , Al Amru bil Ma’ruf , An Nahyu A’nil Munkar , Al Mujahadah , As Sidqu , As Sobru , Al Hayaa’ , Al I’ffah , At taqwa , Az Zuhd , Ar Ridho , At Taubah , At tawakkal , Asy Syukru , As Solaah الصلاح, Husnuzh Zhon dsb.nya .

[2] Riya’ , U’jub , Takabbur , Hasad , Suu’u Zhon , Khianat , Kazzab , Kaslaan ( curi Tulang ) , Risywah dsb.nya .

[3] Lihat Feqh Sirah Durus wa I’bar susunan Dr. Musthafa As Sibaai’e rhm. dan hayati kisah ( sebagaimana yang diceritakan oleh maisarah ) keberkatan Nabi saw. sewaktu bertugas membawa barang dagangan Syadatina Khadijah Rha. , telah berjaya membawa keuntungan berlipat ganda dengan Akhlak mulia yang ditonjolkan sewaktu bertugas .

1 Comments:

Blogger fahmi said...

salam ustaz... saya nampaknya dah kesuntukkan masa.. oleh itu kat kesempatan ni boleh tak ustaz terangkan dengan lebih mendalam tentang sifat iffah... pertolongan ustaz amatla sy harapkan. salam

4:33 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home