IBU !! CEPATLAH SEMBUH .
“Assalamualaikum ! Din …. Ma ni sakit kepala . Pening memusing rasanya. Tak boleh nak bangun. Kalau bangun terus rebah , terasa dunia ini memusing .”
Demikianlah nada ibu tersayang ketika ibu menghubungi saya pagi kelmarin . Sungguh sayu kedengaran suaranya , bagaikan memohon belas kasihan dan belaian manja dari anak sulongnya.
Pagi tu , saya dalam perjalanan menuju KL - KLIA bagi menemani Dato’ Seri Tuan Guru Presiden dalam Lawatan Kerjanya ke Sarawak , Sabah dan Labuan .
Mengikut jadualnya , saya dijadualkan menziarahi Beladin , mengisi program Tarbiyyah DPPNS di Sibu dan berceramah bersama Tuan Guru Presiden di Tawau hari ini dan esok .
Namun saya gagal memenuhi jadual tersebut ekoran keuzuran ibu tersayang. Suasana pagi itu benar – benar meletakkan diri saya dalam serba salah .
Sebelah kanan , Ibu yang keuzuran dan pastinya ia sangat memerlukan diri saya berada disisinya sementara sebelah kiri saya pula , tuntutan rutin perjuangan yang perlu saya tunaikan . Sementelah pula tiket dan segala persiapan lain semuanya telah siap .
Termenung seketika dalam merencana , apakah yang sepatutnya saya lakukan . Akhirnya saya dengat berat hati terpaksa menghubungi Pak Syed dan Ust. Idris bagi menjelaskan situasi yang saya hadapi.
Saya tahu , sukar untuk mereka memaafkan saya kerana membatalkan jadual saya di peringkat akhir. Namun saya yakin mereka juga memahami apa yang sedang saya alami .
Bukan saya sengaja mencipta alasan tetapi ….. tuhan sahajalah yang mengetahui bagaimana perasaan saya pada waktu itu . Terutama apabila mendengar rintihan Ibu kesayangan dalam serba kepayahan dan keuzuran sedang saya adalah anak lelaki sulongnya.
Ibu tidak pernah mengadu sakit dan sukarnya selama ini , walaupun kepada anak – anaknya . Tapi sangat berlainan pada pagi itu , apabila Ibu tiba – tiba mengadu sakitnya kepada saya .
Kebetulannya pula saya sudah lebih sebulan tidak berpeluang pulang untuk menjenguk Ibu dan ayah di Felda Keratong 5 .
Suara Ibu pagi itu membuatkan saya tidak mampu meneruskan perjalanan melainkan saya terpaksa berpatah balik dengan iringan air mata . Tanpa lengah , setelah isteri anak pulang dari sekolah dan sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat , saya terus berangkat pulang ke Keratong untuk bersama Ibu yang terlantar sakit .
Malam tadi , sempat saya memicit dan membelai Ibu di pembaringan sejurus Ibu pulang dari Klinik , sehinggalah Ibu terlena sebelum saya meninggalkannya untuk mengambil kesempatan menziarahi Ustaz Sanusi , seorang sahabat karib saya yang juga tinggal di Keratong .
Pagi ini , di saat sahabat – sahabat EXCO DPPN Pahang sibuk bermesyuarat untuk mengurus tadbir dan mengatur strategi DPPNPahang , saya juga agak kesal kerana tidak dapat bersama mereka untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut . Apa pun saya sangat yakin terhadap kemampuan sahabat untuk mengurus DPPNPahang.
Keadaan Ibu pagi ini kelihatan makin pulih , tetapi masih tidak berupaya untuk mengangkat kepala . Akhirnya kami ambil keputusan sekali lagi untuk membawa Ibu ke Hospital Muadzam Shah .
Alhamdulillah , ujian perubatan mendapati Ibu tidak menghadapi apa – apa risiko penyakit kronik , cuma apa yang pasti Ibu perlukan rehat dan tidur yang cukup.
Sebentar tadi , Ibu terlena lagi di sisi sambil saya memicitnya. Terasa sayu dihati ini melihat keadaan Ibu . Ibu yang terlalu banyak pengorbanannya terhadap anak – anak . Bukan sahaja untuk membesarkan kami tetapi juga membekalkan ilmu dan didikan agama yang sempurna.
Ibu ! cepatlah sembuh , tak sanggup lagi kami lima beradik melihat keadaan Ibu sebegini . Ya .. Allah !!
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home