" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, June 20, 2006

Kertas Kerja ( 019 / siri ke tujuhbelas )
RUKUN BAIAH ASAS KEILTIZAMAN BERJAMAAH


AQIDAH DAN AMALAN HATI

و الـعقيدة أسـاس العـمل و الـعمل القلب أهم من عمل الـجـارحة و تحـصـل الـكـمال فى كليهما مطلوب شـرعـا وإن اخـتلفـت مـرتبتـا الطـلب


“ Aqidah adalah asas kepada amal dan amalan hati lebih penting daripada amalan anggota . Menghasilkan kesempurnaan kepada kedua - duanya dituntut syara' sekalipun berbeza martabat tuntutan itu ”

ULASAN . Keimanan atau keyakinan yang jitu kepada Allah swt. dan i'tiqad yang sah adalah asas kepada sebarang bentuk amalan . Amalan yang ditunaikan sekalipun teliti dan banyak , tidak memberi erti apa - apa justeru ia tertanggung di atas nilai aqidah . Allah telah mengumum perihal amalan orang - orang yang kufur ( rosak aqidahnya . )

و قدمنا إلى ما عملوا من عمل فجعلناه هـباء منثورا

" Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan , lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan "

( Al Furqan 23 )

و من يرتدد منكم عن دينه فيموت وهو كافر فأولئك أصحاب الـنار هم فيها خالدون

" Dan barangsiapa dikalangan kamu yang berpaling dari ugamanya , lalu ia mati dalam kekafiran , maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni api neraka , mereka kekal di dalamnya . "

( Al Baqarah 217 )

Baginda Rasul saw. dalam orientasi membentuk kader perjuangan ini terlebih dahulu menusuk masuk nilai aqidah kepada para sahabatnya . Berasaskan kekuatan aqidah yang sedia terbentuk itulah Rasulullah saw menyusun strategi pelaksanaan syariat secara menyeluruh mengikut agenda Ilahi. Ammar bin Yaser , Bilal bin Rabah dan lain - lain sahabat rhm. telah membuktikan ketahanan aqidah mereka dan perkembangan gerakan jua amal Islami menyaksikan orang - orang yang telah teruji ini menjadi terajunya .

Kekuatan aqidah mendorong amalan yang berterusan sekalipun melintasi zon - zon sukar dan mencabar . Tidak dinafikan , zaman yang penuh fitnah dan mehnah ini memungkinkan amal Islami dikepung dan terdedah kepada bahaya pemupusan . Dalam kehidupan seharian manusia modern , peruntukkan waktu untuk amal Islami adalah peruntukan yang paling minima . Sebahagian besarnya dilangsaikan untuk kepentingan dunia dan perut .

Aqidahlah yang memainkan peranan sebagai pendesak untuk merealisasikan amal Islami. Seseorang yang beramal banyak tanpa aqidah , amalnya binasa dan orang yang tidak beraqidah umumnya tidak beramal .

Amalan hati .

Suatu realiti pula bahawa amalan hati adalah sepenting - penting amalan dengan tidak menafikan pentingnya amalan - amalan anggota kerana hati ibarat ' ibu sawat ' dalam tubuh manusia yang menguasai amalan anggota - anggotanya .

Rasulullah saw. bersabda:

ألا و إن فى الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهى القلب

" Ketahuilah bahawa pada jasad itu ada seketul daging , apabila baik ia maka baiklah seluruh jasad dan apabila rosak ia maka rosaklah seluruh jasad . Itulah hati. "

( Bukhari dan Muslim )

Hadis ini adalah isyarat bahawa baik buruknya amalan anggota bergantung kepada baik buruknya pula hati seseorang . Jika hatinya sejahtera tanpa cela, melainkan kecintaan yang tinggi kepada Allah dan senantiasa takut terjebak dalam kemunkaran maka secara automatik anggotanya pula menjadi sejahtera dari kecelaan .
[1]

Allah swt berfirman .

قد أفلح من زكاها و قد خاب من دساها

" Sesungguhnya telah beroleh kejayaanlah orang yang menyucikan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorinya . "

( Asy Syams 8-9 )

Amalan hati ialah ialah membentuk dan membersihkan hati dengan dihiasi pula oleh sifat - sifat mahmudah seperti :

1. ذكر الله mengingati Allah
2. اتق الله takut kepada Allah
3. الصبر و المصابرة Sabar menghadapi kesukaran dan desakan nafsu
4. القناعة memadai dengan kurniaan Allah
5. الشكر syukur dengan pemberian Allah
6. الرضا redho terhadap qadha dan qadar Allah .
7. المجاهدة melawan keinginan nafsu
8. المحاسبة menghisab dan menginsafi diri
9. المعاقبة menghukum diri kiranya melakukan dosa
10. التوبة memohan ampun yang berterusan dari Allah

Amalan -amalan hati ini merupakan kesaktian individu muslim yang mampu mengubati barah hati yang bakal menjerumuskan sesorang itu kelembah neraka Jahannam .

Tanda -tanda ' Barah hati ' :
[2]

1. اتباع المتشابهة من القرآن
( mengikut ayat - ayat kesamaran untuk mencetus fitnah )

فأما الذين فى قلوبهم زيغ فيتبعون ما تشابه منه ابتغاء الفتنة وابتغاء تأويله و ما يعلم تأويله إلا الله

" Adapun orang - orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan , mereka mengikut sebahagian ayat - ayat kesamaran untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari - cari ta'wilnya padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah . "

( Al Imran 7 )

2. الـنـفـاق ( munafiq - talam dua muka )

و من الناس من يقول ءامنا بالله و باليوم الأخر و ما هم بمؤمنين يخادعون الله والذين ءامنوا و ما يخدعون إلا أنفسهم و ما يشـعرون فى قلوبهم مرض فزاد هم الله مرضا و لهم عذاب أليم بـما كانوا يكذبون .

" Diantara manusia ada yang mengatakan kami beriman kepada Allah dan hari kemudian padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang - orang yang beriman . Mereka mahu menipu Allah dan orang - orang yang beriman , padahal mereka hanya menipu diri sendiri sedang mereka tidak sedar . Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah akan penyakitnya dan bagi mereka azab siksa yang pedih disebabkan mereka berdusta . "

( Al Baqarah 8-10 )

3. التـمرد على حكم الله و الرسول
( sombong terhadap hukum - hukum Allah dan rasulnya.)

و إذا دعوا إلى الله و رسوله ليحكم بينهم إذا فريق منهم معرضون و إن يكن لهم الحق يأتوا إليه مذعنـيـن أفى قلوبــهم مرض أم ارتــابوا أم يخـــافوا أن يحيف الله عليهم و رسوله بل أولئك هم الـظـالـمون .

" Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasulnya , agar rasul menghukum dikalangan mereka , tiba - tiba sebahagian mereka menolak untuk datang . Tetapi jika keputusan itu untuk kemaslahatan mereka , mereka datang kepada rasul dengan patuh . Apakah ketidak datangan mereka itu kerana dalam hati mereka ada penyakit atau kerana mereka ragu - ragu ataukah kerana takut kalau - kalau Allah dan Rasulnya berlaku dholim kepada mereka ? sebenarnya mereka itulah orang -orang yang dholim ."

( An Nur 48-50 )

4. المسارعة فى موالاة الكافرين ( berkepimpinankan orang - orang kafir )

5. الطمع فى المعصية و الرغبة فيها ( ketagih maksiat )

6. التقاعـس عن الجهـاد ( resah gelisah / rimas terhadap jihad )

Firman Allah swt :

و يقول الذين ءامنوا لولا نزلت سورة فإذا أنزلت سورة محكمة و ذكر فيها القتال رأيت الذين فى قلوبـهم مرض ينظرون إليك نظر المغشى عليه من الموت فـأولى لـهم

" Dan orang -orang yang beriman berkata , mengapa tiada diturunkan suatu surah , maka apabila diturunkan suatu surah yang jelas maksudnya dan disebutkan di dalamnya perintah perang , kamu lihat orang - orang yang ada penyakit didalam hatinya , memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan kerana takut mati dan kecelakaanlah bagi mereka . "

( Muhammad 20 )

Tuntutan supaya disempurnakan kedua -dua amalan ( hati dan anggota ) tetap menjadi tuntutan syara' yang mesti ditunaikan , sungguhpun martabat tuntutan keduanya berbeza .

Diriwayatkan bahawa Lokman Al Hakim telah diarahkan oleh tuannya supaya menyembelih seekor kambing dan diserahkan kepadanya dua bahagian yang paling baik dari kambing itu . Lalu Lokman Al Hakim membawa lidah dan hati . Kemudian diperintah supaya menyembelih kambing yang lain dan dicampakkan dua bahagian yang paling buruk , lalu dicampakkan lidah dan hati .

Maka berkata tuannya , apabila aku mengarahkan kamu bawa dua yang paling baik kamu bawakan lidah dan hati dan apabila aku arahkan kamu buang dua yang paling buruk , kamu buang lidah dan hati . Maka jawab Lokman Al Hakim .Tiada yang paling baik dari keduanya apabila kedua -duanya baik dan tiada yang lebih buruk dari keduanya apabila keduanya buruk .
[3]

Pengamatan.

Antara punca tergugatnya kekuatan dalaman , dalam menangani apa jua masaalah yang mencetus krisis peribadi dan seumpamanya dalam gerakan Islam kini adalah bermula dari kerosakan ' ibu sawat ' nya .

[1] جـامـع الـعـلـوم و الـحـكم Oleh Ibn Rajab Al hanbali
[2] الـقلـب karangan Fadhilatul Ustaz Ahmad Izzudin Al Bayanuni m/s 102
[3] الـقـلـب m/s 146

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home