" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, June 19, 2006

Kertas Kerja ( 019 / siri ke enambelas )
RUKUN BAIAH ASAS KEILTIZAMAN BERJAMAAH.


IKTIBAR DI LIHAT KEPADA
APA YANG DINAMAKAN BUKAN KEPADA NAMA.


و العرف الـخـاطئ لا يغير حقائق الألـفـاظ الـشـرعية بل يجـب الـتأكد من حـدود الـمعـانى الـمقصود بـهـا و الـوقـوف عـنـدها كـمـا يجـب الإحـتراز من الـخداع اللفـظـى فى كل نواحى الدنـيـا و الديـن . فـالـعـبرة بـالـمـســمـيـات لا بـالأســمـاء

" Kebiasaan ( u'ruf ) yang salah tidak merubah hakikat lafaz - lafaz syariat bahkan wajib dipastikan batas makna yang dimaksudkan oleh lafaz - lafaz itu dan terhenti diatas pengertian yang dimaksudkan sahaja sebagaimana jua wajib berwaspada dari tertipu dengan perkataan - perkataan dalam semua bidang , dunia dan ugama . ( I'tibar berdasarkan hakikat sesuatu yang dinamakan bukan pada nama )

ULASAN .

Alasan ' orang ramai / ramai orang ' melakukannya , bukanlah suatu pengi'tibaran yang boleh menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal . Jua penukaran istilah terhadap sesuatu perkara ,tidak boleh menukar hakikat perkara tersebut . Syariat Islam adalah suatu yang jelas ."ما فرطنا فى الكتاب من شئ " Lantaran itu setiap apa yang berlaku harus di ruju' kepada usul dan hakikat perkara tersebut .

Antara muslihat musuh yang licik ialah cuba mengelirukan ummat Islam agar mereka terpedaya dengan menyogokkan pelbagai istilah dan penampilan sedang hakikatnya tetap suatu yang bertentangan dengan syariat .

Contohnya :

1. Minuman keras dengan pelbagai jenama dan iklan yang mempersonakan sehingga orang ramai menganggap ia minuman masa kini yang berenergi dan tidak memabukkan . Sebagaimana yang diperingatkan oleh Rasul Allah saw.

لتستحلن طائفة من أمتى الخـمر باسم يسمونها إياه

" Segolongan dari ummatku akan menghalalkan arak dengan nama lain yang mereka berikan kepada arak tersebut ."

( Riwayat Ahmad )

2. Menghalalkan riba' dengan nama faedah sehingga orang ramai tidak terasa dosa dan salahnya .

3. Atas nama budaya dan seni , orang ramai menerima konsert rock seperti konsert Scorpion dan Michel Jackson . Sehingga ada yang berhujjah bahawa konsert itu diadakan di negara kita Malaysia berasaskan Maslahah Mursalah ( المصالح المرسلة ) yang diperuntukkan dalam bab Siasah Syari'yyah . [1]

4. Kebebasan bersuara dan berfikir sehingga lahir suara secara terang - terangan mengkritik perkara - perkara yang tidak selayaknya dalam ugama . seperti mengkritik peribadi Rasulullah saw. dan sebagainya . Pengkritik - pengkritik itu dibela di atas nama kebebasan bersuara dan berfikir .

5. Istilah penerapan nilai - nilai Islam , masyarakat Madani dan Islam Hadhari atau 1001 istilah tetap tidak boleh menghalalkan dan mengiakan pentadbiran atau pemerintahan yang tidak meletakkan Al Quran dan As sunnah sebagai sumber ruju' yang tertinggi dalam sesebuah pemerintahan itu .

6. Pertubuhan - pertubuhan maksiat dan mungkar di atas nama pertubuhan kebajikan .

Kebanjiran istilah yang dipakai tidak seharusnya membuatkan kita terpedaya sebaliknya mesti dilihat secara teliti kepada hakikat sesuatu yang diistilahkan itu .Seperti diberikan Istilah Al Adl ( العدل ) dan Al Ihsan ( الإحسان ) dalam pengurusan ekonomi tetapi ekonomi masih terlingkar di bawah bumbung ekonomi kapitalis , maka ia tetap kapitalis yang bertentangan dengan sistem dan falsafah ekonomi Islam .

Ahli ilmu atau alim ulama' berkewajipan membetulkan keadaan dan salah erti sebegini dikalangan orang ramai .

[1] Merujuk kepada ucapan pengarah Pusat Islam Briged Jen. Zainal Abidin Abd Hamid di Dewan Komplek Asrama pelajar Malaysia di Kaherah pada 24 . 11 . 1996 .

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home