Kertas Kerja ( 020 )
SEBAB - SEBAB KEMENANGAN KITA
Perjuangan Islam dijamin kejayaannya oleh Allah. Golongan yang memperjuangkan Islam (dalam apa nama sekalipun; Hizb (Parti), Jama’ah atau sebagainya) dijanjikan kemenangan oleh Allah kepada mereka.
فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ
“Maka sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang”.
(al-Maidah: 56)
إِنَّ الَّذِينَ يُحَادُّونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ فِي الْأَذَلِّينَ، كَتَبَ اللَّهُ لَأَغْلِبَنَّ أَنَا وَرُسُلِي إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ
“Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka termasuk dalam golongan yang amat hina. Allah telah menetapkan; ‘Sesungguhnya Aku dan RasulKu tetap mengalahkan (golongan yang menentang)’. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”.
Seorang sahabat bernama Tsauban r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
إنَّما أخافُ على أمَّتي الأئمَّةِ المضلِّيَن
“Sesungguhnya aku bimbang terhadap umatku pemimpin-pemimpin yang menyesatkan”.
Baginda bersabda lagi;
لَاْ تَزَاْلُ طَاْئِفَةٌ من أمَّتي على الحقِّ ظاهرينَ لا يضُرُّهُم من خَذَلهِم حتَّى يأتي أمرُ اللهِ
“Akan senantiasa ada di kalangan umatku kumpulan/kelompok yang berjuang memenangkan kebenaran, yang tidak berupaya memudaratkan mereka orang-orang yang memulau mereka hinggalah ke saat datangnya urusan Allah (yakni kiamat)”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi)[1]
Namun demikian, kemenangan yang akan dicapai oleh perjuangan Islam dan pendokongnya itu bukanlah mudah dan berlaku sekelip mata. Ia melalui suatu tempoh masa -yang kadang-kadang dirasakan agak lama- dan melalui pelbagai dugaan, cabaran, rintangan serta kepayahan yang tidak sedikit jumlahnya dan tidak putus-putus.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah perjuangan Islam terjadinya kemenangan yang secara tiba-tiba. Tidak pernah terjadi dalam perjuangan mana-mana Nabi; hari ini ia berjuang, lalu pada esok harinya terus menerima kemenangan dari Allah. Sebaliknya mereka juga tidak terlepas dari ujian dan rintang yang menjadi sunnatullah dalam perjuangan Islam. Bahkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda;
أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاْءً اَلْأَنْبٍيَاْءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى النَّاْسُ عَلَى قَدَرِ دِيْنِهِمْ فَمَنْ ثَخُنَ دِيْنُهُ اِشْتَدَّ بَلَاْؤُهُ وَمَنْ ضَعُفَ دِيْنُهُ ضَعُفَ بَلَاْؤُهُ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيُصِيْبُهُ الْبَلَاْءُ حَتَّى يَمْشِيَ فِي النَّاْسِ مَاْ عَلَيْهِ خَطِيْئَةٌ.
“Manusia yang paling hebat ditimpa ujian oleh Allah ialah para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka dan begitulah seterusnya. Manusia diuji mengikut tahap pegangan agama mereka. Sesiapa yang kukuh pegangan agamanya akan kuatlah pula ujian Allah kepadanya. Sesiapa yang lemah pegangan agamanya ringanlah ujian Allah kepadanya. Apabila seseorang ditimba ujian (dari Allah, maka akan terhapuslah dosanya) sehingga ia berjalan di tengah-tengah manusia tidak ada sedikitpun dosa yang terpikul atas bahunya”.
(Riwayat Ibnu Hibban dari Abi Sa’id r.a.)[2]
Sesuatu yang terlalu mudah dicapai murah nilainya. Menuju kesempurnaan memerlukan kepada masa, tahapan dan ujian. Kanak-kanak sebelum boleh berjalan atau berlari, ia terpaksa melalui beberapa tahap; meniarap, merangkak dan perlu dibantu, dipapah oleh orang lain (ibu,ayah, kakak dan abangnya). Ia berhadapan dengan jatuh-bangun sebelum ia berupaya berjalan dengan sendiri. Namun kanak-kanak menjadi tabiat mereka tidak pernah putus asa. Kerana itu mereka akhirnya berjaya untuk berjalan, seterusnya berlari.
Perjuangan Nabi Muhammad
Perjuangan Nabi Muhammad sendiri memakan masa hingga 24 tahun; 13 tahun di Mekah dan 11 tahun di Madinah. Dalam tempoh masa yang tidak singkat ini bermacam cabaran dan rintangan dihadapi oleh Rasulullah dan para sahabat yang menjadi pengikutnya.
Mereka telah dicemuh, dicela, dituduh dengan pelbagai tuduhan, diancam dengan penyiksaan dan pembunuhan, dikenakan sekatan ekonomi, serangan bersenjata, pakatan untuk menghancurkan negara Islam Madinah dan sebagainya. Dalam tempoh ini, tidak sedikit para sahabat yang gugur syahid. Namun akhirnya Nabi Muhammad dan pengikutnya tetap muncul sebagai pemenang sebagaimana yang dijanji Allah.
Begitu juga, tempoh masa 24 tahun tersebut memperlihatkan kepada kita tahap-tahap pergerakan Rasulullah s.a.w.. dalam jihadnya yang bermula dengan jihad secara dakwah, kemudiannya menegakkan negara Islam dan seterusnya menghadapi jihad secara qital. Setiap tahapan tersebut ada ciri-ciri dan pengajaran penting yang ditinggal oleh Rasulullah buat panduan pendokong-pendokong gerakan Islam pada zaman-zaman sebepas baginda. Ilmu-ilmu tentang sirah pergerakan jihad Rasulullah ini amat penting untuk dihayati oleh setiap anggota Harakah Islamiah termasuklah kita dari PAS.
Ikhwan Muslimun
Di antara pengalaman gerakan Islam yang amat menarik untuk dibaca dan dihayati ialah Ikhwan Muslimun. Hingga ke hari ini usia ikhwan sudah menjangkau lebih 70 tahun iaitu sejak ditubuhkan pada tahun 1928. Ikhwan adalah antara jamaah atau Harakah Islamiah paling senior di zaman mutakhir ini yang ditubuhkan oleh pengasasnya iaitu Imam Hasan al-Banna- sebaik sahaja jatuhnya Kerajaan Khilafah Islam terakhir yang berpusat di Turki pada tahun 1924.
Bagi sesetengah orang, Jama’ah Ikhwan dikira gagal kerana sudah begitu lama berjuang -yakni lebih 70 tahun- tetapi belum berjaya menguasai politik negara-negara Arab, paling tidaknya Mesir yang menjadi pusat utamanya. Namun bagi pimpinan Ikhwan -bahkan bagi ahli-ahli Ikhwan sendiri-, mereka tidak pernah gagal. Apa yang berlaku ialah mereka belum dikurniakan kemenangan oleh Allah.
Mereka tetap yakin bahawa kemenangan Islam pasti akan tiba. Apa yang menjadi kewajipan mereka ialah meneruskan kerja-kerja dakwah dan jihad. Adapun kemenangan, ia akan pasti tiba pada ketikanya yang ditentukan Allah.
Ikhwan telah berhadapan dengan ujian yang amat getir dalam sejarah pergerakannya. Pengasasnya Imam Hasan Al Banna mati syahid ditembak di hadapan pejabatnya, pimpinan-pimpinannya ada yang gugur syahid di tali gantung (antaranya Sayyid Qutb, Abdul Qadir Audah, Abdul Fattah Ismail dan sebagainya), ada yang dikenakan hukuman penjara belasan bahkan puluhan tahun, ada antara mereka yang disiksa dengan teruk di dalam penjara (antaranya seorang mujahidah bernama Zainab Al-Ghazali yang meriwayatkan kisah kehidupannya dalam penjara melalui buku karangannya “HARI-HARI DALAM HIDUPKU”) dan ujian yang paling hebat ialah apabila ia diharamkan oleh kerajaan Mesir pada zaman Jamal Abdul Nasir hingga ke hari ini.
Sesungguhnya kejayaan berhadapan dengan ujian dan rintangan di jalan Allah juga merupakan suatu kemenangan dari Allah. Kepada orang-orang yang sabar berhadapan dengan ujian dan rintangan ini diberikan beritakan gembira oleh Allah dengan kenikmatan syurga yang sedang menanti mereka.
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ، الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”.
(al-Baqarah; 155-157)
Parti Islam Se Malaysia (PAS)
PAS adalah antara gerakan Islam yang tersohor di rantau Melayu dan Asia Tenggara sekarang ini. Penubuhan PAS berakar umbi dari gerakan dakwah dan pembebasan tanah air dari penjajah Inggeris yang dimulakan oleh para ulama’ Islam yang kemudiannya menubuh Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948 sebelum merdeka di Gunung Semanggol.
Akan tetapi Hizbul Muslimin telah diharamkan oleh British lima bulan kemudiannya iaitu pada bulan ogos 1948. Walaupun begitu, aktiviti Hizbul Muslimin diteruskan sehingga tertubuhnya PAS pada 24 Nov. 1951.
PAS ditubuhkan bukan semata-mata kerana didorong oleh tuntutan politik semasa, tidak kerana kepincangan dalam UMNO atau kerana idealisme dari mana-mana pemimpin tertentu. Tetapi PAS ditubuhkan atas tuntutan Islam. Islam mewajibkan umatnya menegakkan hukum-hakam Allah di dalam negara atau muka-bumi yang dikuasai mereka.
Kerana itu Allah mewajibkan ke atas mereka menjalankan dakwah, jihad, menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar. Kewajipan-kewajipan ini tidak lain supaya ajaran dan hukum-hakam Allah tertegak dan terus diamalkan di atas muka-bumi ini khususnya dalam negara umat Islam.
Kewajipan-kewajipan tersebut tidak akan mencapai matlamat dan sasarannya yang dikehendaki Allah jika hanya dengan inisiatif individu. Ia memerlukan perjuangan secara jamaah atau harakah. Inilah yang diperintahkan Allah melalui firmanNya;
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.
(Ali Imran: 104)
Hasil dari kesedaran inilah maka lahirnya PAS. PAS sejak penubuhannya merupakan sebuah jamaah atau harakah yang memperjuangkan Syari’at, hukum-hakam dan sistem hidup Islam. Ini termaktub di dalam perlembagaan yang antara lainnya menegaskan (dalam fasal 6);
“Memperjuangkan Islam sebagai Aqidah dan Syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan”.
Para pimpinan, ulama’ dan cendekiawan dalam PAS sejak awal lagi menyedari bahawa harakah Islam dalam usahanya mendaulatkan undang-undang Islam tidak boleh hanya bergantung kepada lisan semata-mata. Sebaliknya ia perlu mendapat kuasa bagi memastikan tuntutan Islam itu dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dalam konteks bernegara, kuasa yang dimaksudkan ialah politik. Ini bersesuaian dengan kaedah usul fiqh yang menyebutkan;
مَاْ لَاْ يَتِمُّ الْوَاْجِبُ إِلَّاْ بِهِ فَهُوَ وَاْجِبٌ
“Jika tidak sempurna suatu kewajipan kecuali dengan suatu perkara, maka perkara itu turut menjadi wajib”.
Menegakkan Syari’at dan hukum-hakam Allah dalam negara adalah wajib. Namun kewajipan ini mustahil terlaksana jika Islam tidak menguasai politik dan pemerintahan negara. Kerana itu berusaha dan berjuang untuk mendapatkan kuasa politik bagi Islam adalah wajib untuk menyempurnakan kewajipan menegakkan Syari’at dan hukum-hakam Allah itu.
Bagi mendapatkan kuasa politik dalam negara Malaysia ini, tidak dapat tidak harakah Islam (PAS) mesti melibatkan diri dalam pilihanraya. Untuk melibatkan diri dalam pilihanraya, PAS perlu perlu mendaftarkan diri sebagai parti politik dan tidak boleh bergerak sebagai badan dakwah semata-mata atau badan bukan kerajaan.
Walaupun didaftarkan sebagai sebuah parti politik, namun sifat PAS sebagai sebuah harakah dan jamaah Islam adalah kekal. PAS merupakan sebuah jamaah dan harakah Islam sama seperti Ikwan Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di India-Pakistan, Refah di Turki dan sebagainya. Inilah hakikat yang diyakini oleh para pimpinan dan ahli-ahli PAS hingga kini. PAS tidak pernah menjadikan medan politik sebagai satu-satunya wasilah untuk menyampaikan risalah Islam dan perjuangannya untuk menegakkan Syari’at dan undang-undang Islam.
Di samping politik pilihanraya, PAS juga bergerak aktif mentarbiah ahli-ahlinya dengan tarbiah Islam secara berterusan (melalui program usrah, kuliah, pengajian dan sebagainya), menyebarkan fikrah dan kefahaman Islam kepada masyarakat (melalui ceramah, dakwah, seminar-seminar, akhbar-akhbar dan sebagainya), menubuhkan institusi-institusi pengajian Islam di peringkat rendah dan tinggi (seperti Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam (Madrasah), Kolej dan Universiti Islam) dan sebagainya.
PAS : Mehnah dan Cabaran
PAS hari ini sudah menjangkau usia lebih setengah abad (yakni lebih 50 tahun). Sebagaimana gerakan-gerakan Islam yang lain yang wujud berasaskan perjuangan Islam, PAS juga tidak terkecuali terpaksa berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan di sepanjang usia perjuangan Islamnya.
Jika sebelum merdeka perjuangan Islam ditentang oleh penjajah hingga Hizbul Muslimin diharamkan, maka selepas merdeka ia ditentang oleh golongan nasionalis sekularis Melayu yang ditinggalkan oleh penjajah untuk mengekalkan corak pemerintahan sekular mereka di bumi Melayu ini.
PAS telah dilabelkan dengan pelbagai label yang buruk untuk menjauhkan masyarakat daripadanya. Ia dituduh sebagai parti ekstrimis (pelampau), komunis, pemecah-belah masyarakat, anti kemajuan dan sebagainya. Pergerakannya sentiasa ditekan oleh pemerintah. Kebebasannya untuk bersuara disempitkan. Pimpinan PAS ada yang dipenjara dan diISAkan.
Bahkan ada yang dibunuh Syahid sebagaimana yang berlaku terhadap Ustaz Ibrahim Libya di Memali. Dari segi politik pula, PAS tidak diberikan hak yang sepatutnya untuk menyatakan ideologi perjuanganya kepada masyarakat. Kebebasan akhbar disempitkan dan media elektronik awam (khususnya TV dan Radio) disekat terus.
Dalam keadaan penuh tekanan dan cabaran itu, PAS terus kekal sebagai satu-satunya Parti Islam yang mendepani taghut di Malaysia ini. Boleh dikatakan semua parti pembangkang yang wujud seangkatan dengan PAS telah berkubur kerana tidak tahan dengan tekanan dan cabaran yang dihadapi. Namun PAS terus hidup hingga ke hari ini meneruskan perjuangannya.
Jika rahsia UMNO terus hidup adalah kerana ia dibela dan disusui oleh kerajaan atau pemerintah sejak sebelum merdeka lagi, tetapi PAS terus hidup kerana idealisma perjuangannya -iaitu untuk menegakkan kedaulatan Islam- yang menjadi cita-cita yang tidak pernah padam di dalam hati sanubari ahli-ahli PAS.
Tanpa mengenal erti kecewa dan putus asa, PAS meneruskan perjuangannya di celah-celah duri cabaran dan rintangan. Para pendokong PAS tidak pernah sangsi sedikitpun terhadap kebenaran perjuangan yang mereka dokongi. Mereka mempunyai keyakinan yang penuh bahawa perjuangan mereka adalah Fi Sabilillah (Perjuangan Di Jalan Allah) yang akan dikurniakan kemenangan oleh Allah. Dengan keyakinan ini, mereka berusaha dan bekerja untuk mendaulatkan Islam dan menegakkan kerajaan atau negara Islam di bumi Malaysia ini.
Tarbiyah dan Tamhis dari Allah
Ujian, cabaran, kepayahan, kekalahan, kematian dan sebagainya dalam perjuangan Islam merupakan tarbiah (didikan), tasfiyah (pengkelasan) dan tamhis (penyucian) dari Allah untuk memantapkan kekuatan para pendokong Islam, membersihkan saf mereka dari golongan munafik dan menyucikan jiwa mereka dari saki-baki jahiliyah. Perhatikanlah pengajaran yang telah dinyatakan Allah di sebalik kekalahan kaum muslimin dalam peperangan Uhud sebagaimana yang difirmanNya dalam surah Ali Imran;
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ، إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ، وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَيَمْحَقَ الْكَافِرِينَ، أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
“Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”.
“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian daripada kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim”.
“Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir”.
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam berjuang)?”.
(Ali Imran; 139-142)
Jadi apa yang dihadapi oleh PAS selama tempoh lebih 50 tahun iaitu sejak tahun sejak masa 1951 (bulan November) hingga ke hari ini hendaklah dianggap oleh ahli-ahli PAS hari ini -khususnya generasi muda- sebagai satu tarbiyah Ilahiyah untuk mematangkan PAS dan memantapkan safnya ke arah menerima kemenangan yang sememangnya dijanjikan Allah.
Selama tempoh itu PAS diberi didikan oleh Allah dengan didikan keimanan, keilmuan, kesabaran, siasah, strategi, gerakan dan sebagainya dan juga selama tempoh itu berlakunya proses Tamhis dan Tasfiyah untuk membuang dari PAS segala unsur-unsur yang tidak Islamik termasuklah menepis keluar golongan-golongan munafik dari saf perjuangan.
Golongan muda dalam PAS hari ini hendaklah menyemak kembali sejarah PAS; menceduk pengajaran dan pengalaman berharga dari sejarah 50 tahun PAS sebagai bekalan untuk meneruskan perjuangan dengan lebih mantap lagi.
Menghayati sebab-sebab kemenangan Islam
Sebagai ahli-ahli PAS yang hidup pada hari ini -iaitu setelah PAS berusia lebih 50 tahun-, kita hendaklah terus meyakini idealisma perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh generasi-generasi terdahulu dari kita. Kita hendaklah merasai keizzahan kerana menjadi pendokong Islam dan bangga kerana menjadi ahli PAS yang memperjuangkan Islam. Kita tidak boleh berasa kerdil diri, kecewa atau putus asa apabila berhadapan dengan apa sahaja cabaran dan rintangan dari musuh-musuh kita walau betapa hebat sekalipun mereka.
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”.
(Ali Imran; 139)
Selagi ahli-ahli dan kepimpinan PAS ikhlas berada di atas landasan perjuangan Islam, maka kemenangan tetap akan menjadi milik PAS suatu hari kelak. Janji kemenangan yang dikurniakan Allah kepada golongan Islam-walaupun melalui pelbagai ujian dan cabaran- merupakan kelebihan besar bagi mereka yang tidak dimiliki oleh musuh-musuh mereka.
Musuh-musuh Islam walaupun mereka kuat hari ini, besok mereka pasti akan kalah dan ranap. Fir’aun yang gagah akhirnya kalah di tangan Musa. Begitu juga dengan nasib Namrud, Qarun, Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya yang menentang perjuangan agama Allah dalam sejarah manusia.
Namun ahli-ahli PAS tidak boleh merasa seronok dan selesa dengan semata-mata mendengar janji kemenangan dari Allah kepada golongan yang memperjuangkan Islam. Akan tetapi mereka hendaklah berusaha memperlengkapkan diri mereka dengan syarat-syarat kemenangan yang ditetapkan Allah dalam al-Quran mahupun sunnah NabiNya.
Kemenangan yang dijanjikan Allah ada sebab-sebab dan syarat-syaratnya. Kita tidak akan dikurniakan kemenangan oleh Allah jika pada diri kita atau pada jama’ah kita tidak terdapat sebab-sebab atau syarat-syarat kemenangan dan kejayaan yang digariskan Allah. Kegagalan untuk memenuhi syarat-syarat kemenangan inilah mungkin menjadi punca perjuangan kita dilambatkan kemenangannya oleh Allah.
Berusaha untuk mencapai kejayaan ialah berinteraksi dengan sebab-sebab atau faktor-faktor yang membawa kepadanya. Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang mengungkapkan tentang “المفلحون”, “الغالبون” dan sebagainya (*yang bermaksud orang-orang yang berjaya dan orang-orang yang menang) dengan dinyatakan secara terperinci sifat-sifat mereka.
Dalam tulisan ini, kita kemukakan sebahagian sahaja dari syarat-syarat atau sebab-sebab kemenangan yang kita maksudkan di atas. Selebihnya, pembaca sekelian bolehlah merujuk kepada al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. atau kepada kitab-kitab tulisan ulama’ Islam.
1. Iman dan Islam
Apabila kita telah beriman kepada Allah dan redha menganut Islam, sebenarnya kita telah berada di tangga awal kemenangan. Firman Allah;
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman”.
(al-Mukminun: 1)
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentausa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”.
(an-Nur: 55)
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman”.
(Ali Imran: 139)
Sabda Rasulullah;
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ، وَ رُزِقَ كَفَاْفًا، وَ قَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَاْ آتَاْهُ
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menganut Islam, dikurniakan rezki yang cukup dan Allah menjadikannya redha dengan sekadar pemberianNya”.
(Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Amru r.a.)
Namun, Iman dan Islam yang dimaksudkan ialah yang sungguh-sungguh, bukan iman dan Islam pada nama sahaja tetapi juga pada pandangan, sikap, buah-fikiran, penghayatan, pegangan, tata-cara hidup, akhlak dan sebagainya. Iman dan Islam yang sungguh-sungguh inilah yang dinyatakan ciri-cirinya dalam surah al-Mukminun (selepas ayat pertama tadi) iaitu;
1. Orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya.
2. Orang-orang yang menjauhkan diri dari perbautan dan perkataan yang sia-sia.
3. Orang-orang yang berusaha membersihkan hartanya dengan berzakat dan bersedekah.
4. Orang-orang yang menjaga kehormatan dirinya (dari berzina).
5. Orang-orang yang menjaga amanah dan janjinya.
6. Orang-orang yang tetap memelihara sembahnyangnya (pada waktunya dengan sempurna).
أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ، الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya”.
(al-Mukminun: 10—11)
Dalam apa keadaan sekalipun, kita diperintahkan supaya mengadapkan diri kita (yakni memberi perhatian bersungguh-sungguh) kepada agama dalam segenap persoalan hidup kita. Inilah yang dikatakan Islam dalam ertikata yang sebenar-benarnya.
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
(ar-Rum: 30)
2. Takwa
Di awal surah al-Baqarah (iaitu dalam ayat ke 5), Allah menyatakan;
وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan merekalah orang-orang yang berjaya”.
(al-Baqarah: 5)
Ayat di atas ditujukan Allah kepada orang-orang bertakwa iaitu orang-orang yang ta’at kepada Allah dan melaksanakan segala titah-perintah dan arahannya. Mereka memelihara dan menjauhkan diri dari segala sesuatu yang dimurkai Allah. Merekalah orang-orang yang dikurniakan hidayah dan petunjuk untuk mengambil panduan dari kitab Allah (yakni al-Quran) yang menjadi syarat kejayaan manusia di dunia dan di akhirat.
Lebih jelas lagi, sifat-sifat orang yang bertakwa tersebut telah dijelaskan oleh Allah sebelum ayat itu iaitu;
1. Orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib.
2. Mendirikan solat.
3. Membelanjakan sebahagian rezki yang dikurniakan Allah kepada mereka di jalan Allah.
4. Orang-orang yang beriman dengan kitab al-Quran yang diturunkan Allah.
5. Orang-orang yang yakin akan adanya hari akhirat.
3. Menuntut ilmu
Ilmu adalah antara faktor sesuatu golongan itu diangkat darjat mereka oleh Allah. Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa Ia akan mengangkat darjat orang-orang beriman yang berilmu, sebagaimana firmanNya;
يرفع الله الذين آمنوا و الذين أوتوا العلم درجات …
Oleh itu, ahli-ahli PAS hendaklah berusaha menambah ilmu dan pengetahuan mereka tentang agama yang mereka perjuangkan dalam ruang-lingkup yang syumul merangkumi ilmu tentang aqidah Islam, ibadah Islam, ekonomi Islam, politik Islam, undang-undang Islam dan sebagainya, bukan hanya ilmu dalam hal-hal aqidah dan ibadah sahaja sebagai mana yang biasa dilakukan oleh kebanyakan umat Islam sekarang ini.
Pada masa yang sama mereka juga hendaklah memberi perhatian terhadap ilmu-ilmu duniawi -yang menjadi fardhu kifayah- khusus dalam bidang-bidang yang diceburi masing-masing. Dalam era perjuangan masa kini, PAS amat perlukan di kalangan ahli-ahlinya orang-orang yang bukan sahaja boleh menguasai bidang duniawi yang diceburinya - sama ada kedoktoran, kejuruteraan, perguruan, teknologi maklumat dan sebagainya- tetapi juga profesional dalam bidang tersebut.
Menuntut ilmu hendaklah dijadikan antara agenda utama dalam kehidupan seharian ahli-ahli PAS.
4. Sifat Hizbullah
Hizbullah (حزب الله) adalah kalimah yang terdapat di dalam al-Quran di dua tempat iaitu dalam surah surah Al-Maidah (ayat 54-56) dan surah al-Mujadalah (ayat ).
Hizbullah telah dijanjikan kemenangan oleh Allah sebagaimana firmanNya tadi;
Namun Hizbullah yang dijanjikan kemenangannya oleh Allah itu mempunyai sifat-sifat dan ciri-cirinya yang digariskan Allah sendiri dalam firman Allah tadi iaitu;
1. Dicintai Allah oleh Allah
2. Bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang beriman
3. Berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir
4. Berjihad tanpa takut celaan sesiapa
5. Memberi wala’ (kesetiaan) kepada Allah, RasulNya dan orang-orang beriman.
Golongan yang dicintai Allah
Siapakah golongan yang dicintai Allah? Secara ringkasnya dapat kita katakan bahawa seorang hamba akan dicintai Allah jika ia menjalani kehidupan di atas landasan/jalan yang disyari’atkan Allah untuk manusia dan meninggalkan landasan/jalan atau cara hidup yang lainnya.
Lebih terperinci golongan yang dicintai Allah sepertimana yang disebut oleh Allah dalam al-Quran ialah;
Al-Muhsinin
At-Tawwabin
Al-Mutatahhirin
Bersifat lemah lembut terhadap orang-orang beriman
Ia bermakna mempunyai kasih-sayang atau semangat mahabbah terhadap mereka sebagaimana kasih sayang yang dipunyai oleh Nabi Muhammad s.a.w. terhadap orang-orang beriman yang dinyatakan Allah , Surah At taubah Ayat : 128.
لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم
Tanda atau bukti kasih-sayang ini sepertimana yang dinyatakan oleh Said Hawa -berdasarkan penelitiannya dari ayat-ayat al-Qutan dan juga Hadis- ialah;
1. Suka memaafkan mereka, memohon keampunan untuk mereka dan bermesyuarat dengan mereka.
2. Tawadhu’ (merendah diri) terhadap mereka.
3. Menghapuskan perkara-perkara yang boleh menyakiti mereka.
4. Apabila bertemu mereka menampakkan wajah yang manis dan apabila bercakap dengan mereka dengan bahasa yang baik/sopan.
5. Membantu menyelesaikan kesusahan/hajat mereka.
6. Bersikap tolak-ansur dan mera’ikan mereka.
7. Menyukai untuk mereka apa yang disukai bagi diri sendiri.
8. Memuliakan tetamu di kalangan orang-orang beriman.
9. Menunaikan hak-hak yang wajib untuk mereka.
5. Sabar dan Ribath
Lebih khusus kepada gerakan/perjuangan/jihad, Allah menceritakan faktor-faktor kemenangan di hujung surah Ali-Imran (iaitu selepas menceritakan dengan panjang lebar berkenaan perang Uhud).
يا أيهالذين آمنوا اصبروا و صابروا و رايطوا و اتقوا الله لعلكم تفلحون
“Wahai orang-orang yang beriman!, Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengadapi segala kesukaran dalam beramal kebaikan/ketaatan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan”.
Surah Aali Imran : 200
Dalam ayat di atas Allah menekan tentang sifat sabar. Sabar dalam perjuangan agak berbeza dengan kesabaran biasa (sabar untuk ta’at, sabar untuk menjauhi maksiat, sabar berhadapan dengan ujian/penyakit). Kerana itu dibezakan antara as-Sabr dan al-Mushabarah dalam ayat ini. Sabar dalam perjuangan telah dijelaskan sifat-sifatnya oleh Allah;
و كأين من نبي قاتل معه ربيون كثير فما وهنوا لما أصابهم في سبيل الله و ما ضعفوا و ما استكانوا و الله يحب الصابرين.
“Dan berapa banyak dari nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang ta’at kepada Allah; mereka tidak merasa kecewa terhadap apa yang telah menimpa mereka pada jalan Allah, dan mereka tidak berasa lemah dan tidak pula mahu tunduk (menyerah diri kepada musuh, lari dari medan perang). Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar”.
Jadi, sabar dalam peperangan/perjuangan hendaklah merangkumi tiga perkara;
1. Tidak merasa kecewa dengan ujian dan cabaran
2. Tidak merasa lemah semangat
3. Tidak mudah menyerah kalah (as-sabat).
Mereka inilah telah dijanjikan kemenangan oleh Allah di dunia dan di akhirat.
فآتاهم الله ثواب الدنيا و حسن ثواب الآخرة ، و الله يحب المحسنين (آل عمران : 148)
“Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum) dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat syurga yang tiada bandingannya). Dan ingatlah, Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan”.
Surah Aali Imran : Ayat 148
Disusun oleh : Alfadhil Ustaz Ahmad Adnan bin Fadhil
AJK Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan DPP Pusat
Merangkap Ketua DPP Negeri Perlis .
Dibentang oleh : Ustaz Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan At Tantawi
Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan DPP Pusat
Merangkap Ketua DPP Negeri Pahang .
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home