MEMULIHKAN DEMOKRASI
MENDAULATKAN ISLAM .
Oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
FirmanulLah SWT yang bermaksud:
Dan Kami hendak memperkasakan mereka dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).
(Surah Al-Qasas : Ayat 5)
Muqaddimah Alhamdulillah, kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Azza Wajalla, dengan Taufiq dan InayahNya sahajalah, kita dapat sekali lagi berhimpun pada kali ini buat sulung kalinya, di Kompleks PAS Kedah, Alor Star, Kedah Darul Aman.
Pada kesempatan ini, izinkan saya bagi pihak kepimpinan PAS Pusat dan juga Panitia Muktamar ke-52 kali ini, dengan rasa penuh kesyukuran dan berbesar hati, mengalu-ngalukan kehadiran para tetamu kehormat dari luar mahupun dalam negara, para perwakilan dan seterusnya para pemerhati yang dimuliakan lagi dikasihi sekelian dengan ucapan "Ahlan Wasahlan wa Marhaban Bikum" - "Salam Sejahtera dan Selamat Datang".
Alhamdulillah, dengan mengangkat tema "Paksi Kebangkitan Perjuangan" pada muktamar lalu, yang menggariskan sendi-sendi penting dalam memperkukuhkan kemantapan jamaah dan mentajdidkan tandzim, ia sekaligus telah menjadi asas utama dalam melonjakkan kembali daya juang dan gerak kerja politik dan kelancaran dakwah kita. Dengan segala rendah hatinya, saya ingin menyebutkan bahawa sedikit sebanyak dari penelitian umum dan juga tinjauan penyelidikan yang kita lakukan, usaha-usaha ini telah meninggalkan kesan yang positif serta peningkatan pengharapan rakyat terhadap kepimpinan PAS dan rakan-rakan politiknya dalam usaha-usaha ke arah perubahan, penambahbaikan dan pengislahan.
Tidak keterlaluan kalau saya lanjutkan bahawa latarbelakang senario politik kini sarat dengan pendedahan kebejatan rasuah serta kepincangan demokrasi dan ketimpangan kepimpinan pemerintahan kerajaan Umno/BN. Dengan pengharapan rakyat amnya dan ummat Islam khasnya, bagi menyaksikan reformasi dan pengislahan benar-benar berlaku di negara ini, maka tema muktamar ke-52 ini, saya lanjutkan komitmen kita untuk meneruskan agenda "Memulihkan Demokrasi, Mendaulatkan Islam". Ini bagi merancakkan lagi usaha-usaha pendemokrasian bagi melebarkan sokongan terhadap pengislahan dan pembebasan rakyat serta meletakkan kedudukan Islam pada tempatnya yang sewajarnya.
Tuan-tuan tetamu kehormat, para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekelian,
Sebagai sebuah Gerakan Islam yang serentak berperanan selaku sebuah badan politik, PAS secara terbuka dan penuh iltizam akan terus berjuang menjunjung tinggi segala titah perintah Allah Azza Wajalla bagi mengingatkan ummat Islam khasnya untuk terus mengabdikan diri dan berta'abud kepada Allah Azza Wajalla secara individu mahupun secara kolektif, berjamaah dan bernegara. Ini adalah paksi seruan Akidah dan Dakwah Islam, yang sesungguhnya adalah teras risalah "Dakwah ilalLah" seluruh para anbiya' wal mursaliin sejak berzaman yang seterusnya dipikul oleh para Salafus-Saleh serta para Ulama' wal 'Amiliin setiap zaman, selaku penerus Risalah ini sehingga Yaumul Qiyamah. Ummat Islam yang telah komited untuk menyahut seruan Dakwah ini diiktiraf Allah SWT seperti dalam FirmanNya:
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya".
Adapun di segi perjuangan dan tawaran politik kita secara tegasnya, PAS, samada bersendirian atau bersama-sama rakan rakan politiknya, akan terus komited untuk membebaskan serta memerdekakan seluruh ummat manusia di negara ini, dari belenggu kezaliman, rasuah dan kerakusan elit politik dan penindasan golongan yang angkuh, demi memakmurkan muka bumi Malaysia ini dengan Keadilan dan Kesejahteraan yang sebenarnya.
Firman Allah SWT lagi:
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan demi Allah dan menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan".
Tuan-tuan tetamu kehormat serta para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekelian,
Muktamar ke-52 ini juga kita langsungkan dalam keadaan negara masih dicengkam krisis ketidaktentuan dan rakyat dihimpit beranika ujian getir kehidupan yang berpanjangan, akibat urus-tadbir dan dasar-dasar kerajaan yang tidak peka terhadap penderitaan dan tidak peduli kesengsaraan rakyat. Perkara ini akan saya halusi dengan lebih mendalam kemudian.
SENARIO POLITIK ANTARABANGSA
Ada pun senario politik antarabangsa, di peringkat global sehingga kini, belum juga menunjukkan sebarang petanda kearah meredakan konflik dan pertentangan. Ini adalah ekoran dari tindakan sehala (unilateral) kuasa tunggal dunia yang semakin angkuh serta membelakangkan keputusan "Pelbagai-Hala" (Multi-lateral) anjuran Majlis Keselamatan Badan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Terkini dua 'ancaman besar' yang berpotensi mengheret dunia ke dalam kancah ketidakstabilan bahkan peperangan ketenteraan dengan impak ekonomi global yang amat parah, adalah tekanan kuasa dunia Amerika Syarikat bersama sekutunya ke atas Iran dan juga kerajaan Palestin pimpinan Hamas.
KERAJAAN HAMAS DALAM ANCAMAN
Mutakhir ini kerajaan Palestin pimpinan Hamas semakin menghadapi tekanan dan penindasan sejak mengambil alih pentadbiran melalui proses demokrasi. Kerajaan rejim Zionis-Israel telah menghentikan pemindahan hasil cukai bulanan berjumlah RM203.5 juta, disusuli pula tindakan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah membekukan bantuan bernilai beratus-ratus juta ringgit dan menyenaraikan kerajaan Hamas sebagai 'kerajaan penggganas'.
Pertempuran fizikal dengan seteru politik yakni Fatah, kian meruncing. Hamas terus disabotaj dan dikepung sehinggakan rakyat awam Palestin kini menghadapi kekurangan barang makanan harian, bahan perubatan serta keperluan harian mereka. Sementara itu pembunuhan kejam keatas anak-anak kecil, ibu-ibu serta pemuda-pemuda Palestin terus berlanjutan tanpa henti oleh tentera-tentera Zionis-Israel.
Kerajaan baru Hamas bertegas agar dunia Barat memperakui bahawa rakyat Palestinlah yang menjadi mangsa keganasan Zionis-Israel hasil penaklukan haram serta rampasan ke atas bumi mereka. Itulah dasar "Hudnah" atau "Gencatan" yang dimajukan oleh Hamas bagi mengatasi kemelut dan kedudukan buntu politik ini. Regim Zionis-Israel dan Barat pula mensyaratkan hanya akan berurusan dan memulakan perundingan dengan Hamas jika kumpulan pejuang itu mengiktiraf negara haram Israel dan menolak apa yang didakwa 'keganasan' pihak Hamas. Suasana terkini lebih menggawatkan ketika Mahmoud Abbas, pimpinan parti Fatah merangkap Presiden Palestin, juga menekan Hamas supaya mengiktiraf regim Zionis-Yahudi itu
PAS dan seluruh umat Islam mahukan masyarakat antarabangsa dan negara-negara umat Islam, supaya memberikan sokongan moral dan kebendaan bagi memungkinkan kerajaan Hamas atau Harakat Al-Muqawwamah al-Islamiyah yang dipilih secara demokratik, menunaikan amanah dan janji mereka untuk memberikan seluruh rakyat Palestin kebebasan dan kesejahteraan sebenar. Alhamdulillah, usaha PAS melancarkan 'Tabung Pertahankan Kerajaan Hamas' telah mendapat sokongan padu oleh rakyat dari segenap lapisan masyarakat dan setakat ini telah berjaya mengumpul hampir RM 3 juta.
Sementara PAS beserta masyarakat prihatin negara ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen untuk menyaksikan kejayaan kerajaan Hamas diperkasakan secara demokratik, tindakan Malaysia, selaku Pengerusi Negara-negara Berkecuali (NAM), mencetus kontroversi diplomatik yang amat mengaibkan ketika menjemput Menteri Luar Palestin, Mahmoud Zahar dan bekas Menteri Luarnya Farouk Kaddoumi dari parti Fatah yang telah kalah dalam pilihanraya Mac lalu ke Mesyuarat Menteri-Menteri Biro Penyelarasan Negara-Negara Berkecuali (NAM-CoB) di Putrajaya baru-baru ini.
Tindakan kerajaan Malaysia yang bukan sahaja menjemput seorang bekas Menteri Luar dari parti Fatah yang sudah pun ditolak rakyat Palestin bahkan diiktiraf sebagai menteri luar Palestin yang 'rasmi', adalah amat memalukan negara dalam mesyuarat NAM itu, badan yang mewakili dan merangkumi dua pertiga penduduk dunia.
Rakyat menuntut penjelasan 'Mengapakah begitu tidak peka sekali kerajaan Malaysia ini, khasnya Menteri Luarnya yang tidak menghormati pilihan demokratik rakyat Palestin dan konvensyen antarabangsa. Ini membuka ruang kepada pelbagai spekulasi, yang antara lainnya mendakwa bahawa Malaysia di'cucuk hidungnya' oleh kuasa besar, meskipun bercakap besar memperjuangkan kepentingan negara berkecuali.
Bayangkan kalau perkara yang sama berlaku kepada kita, contohnya kalau mantan PM dijemput sekali dengan PM baru ini, tambahan dengan ketegangan yang sedang memuncak kini? Situasi ini tentunya lebih parah lagi kerana kedua-duanya dari parti yang berbeza; yang satu berkorban untuk rakyat Palestin dan yang satu lagi didakwa mengorbankan rakyat Palestin dengan rasuah dan penyelewangan mereka. Ini satu lagi kejayaan kerajaan Umno/BN dalam menyerlahkan kedangkalan dan kebebalan mereka tentang demokrasi yang sebenar.
Peristiwa ini mendapat liputan luas oleh akhbar antarabangsa.
Pun begitu, bantuan yang tuan-tuan dan seluruh rakyat prihatin di negara ini hulurkan, akan kami pastikan terus dihantar kepada kerajaan Hamas. Insyaallah, di hari yang terdekat ini seluruh bumi Palestin akan berjaya dibebaskan dan kita umat Islam akan dapat kembali beribadat di Masjid Al-Aqsa yang dimuliakan Allah dan RasulNya serta merupakan Qiblat pertama umat Islam.
IRAN DI AMBANG PEPERANGAN
Sehubungan persoalan kontroversi di sekitar pengkayaan uranium kerajaan Iran, yang didakwa oleh Amerika Syarikat sebagai jalan untuk mewujudkan keupayaan menjadi kuasa nuklear, PAS meyakini bahawa isu ini akan dapat ditangani dengan baik, seandainya tidak ada Kuasa Besar yang mendahului ketetapan Majlis Keselamatan dengan merujuk kearah penyelesaian 'Pelbagai-Hala' dan kesepakatan pihak yang diamanahkan secara rasmi. Sebarang alasan untuk menyerang Iran secara premptif, adalah tidak munasabah dan merupakan provokasi ketenteraan yang bakal mengundang risiko besar dan impak global yang mengancam keamanan dan kestabilan dunia antarabangsa.
KUASA BESAR PENJENAYAH PERANG?
Amat tidak wajar seandainya masyarakat antarabangsa sekadar berdiam diri menyaksikan tindakan premptif atau unilateral, seperti yang disaksikan ketika pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq dan Afghanistan. Ratusan ribu nyawa manusia yang terkorban dengan penderitaan yang lebih sengsara bagi mangsa yang kekal dalam kecacatan dan trauma dahsyat pasca-perang.
Masyarakat dunia menganggap tindakan pimpinan Bush dan Blair ini sebagai "Penjenayah Perang" kerana sehingga kini gagal membuktikan tuduhan dan dakwaan mereka bahawa Iraq memiliki Senjata Pemusnah Berskala Besar (WMD). Hari ini dunia mengisytihar mereka telah berbohong dan mengelirukan rakyat kedua-dua negara itu bahkan seluruh dunia. PAS mengingatkan dunia supaya tidak membiarkan Iran menjadi satu lagi mangsa dan korban jenayah perang negara umat Islam oleh kuasa dunia ini.
PAS dan seluruh umat dan gerakan Islam mahukan supaya dunia Barat terutamanya Amerika Syarikat menghentikan sikap prajudis dan prasangka buruk terhadap Islam dan ummatnya. Insiden mutakhir juga telah menyaksikan bagaimana perasaan ini dizahirkan dengan peristiwa biadab tentang penerbitan karikatur Rasulullah (saw) yang ditayang oleh sebuah akhbar harian Denmark dan diikuti di beberapa negara lain. Tujuan sebenar disebalik perbuatan jahat kesemua itu, masih menjadi tanda-tanya bagi semua pihak yang cintakan keamanan dan mendukungi prinsip hormat-menghormati dalam urusan beragama dan berbudaya.
PAS secara tegas membantah segala keganasan dan terrorisme dalam apa jua bentuk, samada bersifat jenayah mahupun yang ditaja oleh sebuah negara-bangsa (state-sponsored terrorism). PAS antara yang terawal mengutuk pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York serta menghantar ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan ganas itu. Kami juga antara yang terawal membantah kekejaman Amerika Syarikat serta sekutunya di Afghanistan, Irak dan kini di bumi suci Palestin.
PAS mahu mengingatkan dunia bahawa "Keganasan mencetuskan Keganasan" dan lingkaran ganas ini memang tidak ada penghujungnya. Dunia perlu memastikan punca-sebab keseluruhan gejala keganasan ini di iktiraf dan segera di atasi oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu itu. Juga begitu pimpinan Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam, OIC jangan sampai dipaksa umat Islam untuk mengangkat agenda ini sebagai keutamaan kritikal membela maruah umat Islam.
UNDANGAN PAS BAGI MENYELAMATKAN DUNIA DARI KEGANASAN.
Sehubungan dengan perkara ini, saya ingin mengulangi penegasan yang dibuat Al-Marhum Mantan Presiden PAS dalam Syarahan Perdana beliau atas isu Palestin dan Kemanusiaan (Mei 2002). Seraya mengungkap kembali pernyataan yang dibuat oleh sebuah buku berjodol Rogue State yang secara mengejut menjadi 'bestseller' selepas dari peristiwa September 11, 2001, beliau mencadangkan:
"Amerika telah menjadi penaja atau 'promoter' kepada pembinaan satu wajah tamadun manusia yang bersifat memusnah (zero-sum) atau 'destructive' dari segi perhubungan dan interaksinya. Bahkan sebaliknya, sebagai kuasa tunggal dunia, Amerika Syarikat harus bertindak selaku 'penaja' kepada pembinaan satu 'Tamadun Baru' yang berasaskan 'sinergi pelbagai tamadun yang berteraskan agama dan nilai-nilai sejagat".
Saya ingin untuk menegaskan kembali pendirian dan sikap PAS dalam hal hubungan Barat dan Islam, agar ianya tidak dilihat dari perspektif satu pertembungan yang sengaja digembargemburkan oleh media Zionis dan penulisan seperti "Pertembungan Tamaddun" (1996) oleh Professor Samuel Huntington. Manusia yang benar-benar bertamaddun pada hemat kami, tidak bertembung kerana hanya golongan yang tidak bertamadun sahaja yang menggunakan undang-undang rimba secara kekerasan, autokratis, kuku-besi dan kejam, dengan kesombongan slogan moto: "Kuasa itu Kebenaran" (Might Is Right). Bagi yang bertamadun mereka mendukungi kemuliaan prinsip "Kebenaran itulah yang Berkuasa" (Right Is Might), lantas memerdekakan manusia dari belenggu kezaliman dan penindasan mereka yang memperkosa kuasa.
Sesungguhnya Allah SWT memuliakan dengan karamah zuriat Adam (AS), sementara kekuasaan zalim di bumi menindas mereka dengan segala kekejaman. Perjuangan dan undangan Islam adalah sesungguhnya untuk mengembalikan kemuliaan dengan kemerdekaan kepada ummat manusia seperti yang dikehendakki Allah SWT dalam FirmanNya
Yang bermaksud:"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan".
Tuan-tuan tetamu yang dihormati serta para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekelian,
NEGARA TERUS DALAM KRISIS BERPANJANGAN
Rentetan pergolakan politik tanahair sejak kita bermuktamar tahun lalu, jelas menunjukkan beberapa petanda buruk yang semakin meruncing dan kritikal hari demi hari. Rakyat di negara ini akan terus berada didalam ancaman gugatan ini; samada disudut pengurusan ekonomi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa mahupun di segi ancaman keharmonian beragama serta perpaduan antara kaum.
Tidak kurang mencemaskan adalah gejala keruntuhan akhlaq para remaja, muda-mudi yang hanyut dengan hiburan diluar batas moral dan agama, yang semakin rancak ditaja oleh pihak-pihak tertentu. Turut mengancam adalah pendedahan pelbagai insiden berleluasa pencemaran serta pemerkosaan alam sekitar yang tentunya juga berpunca dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa, yang keseluruhannya berpotensi mengancam bahkan meninggalkan risiko besar terhadap kelangsungan survival dan daya saing negara-bangsa ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
Secara prinsip dan dasarnya, PAS menganalisis krisis ini sebagai natijah langsung kegagalan ideologi, falsafah serta fahaman parti pemerintah, yang secara langsung mendasari beranika kecelaruan polisi dan amalan rakus urus-tadbir kerajaan BN ini.
Justeru kerana terus diberi 'subsidi' dan sokongan oleh rakyat, ekoran daripada rakyat yang diperangkap dalam kongkongan ketakutan dan pengurusan kuku-besi 'Akujanji', maka kerajaan BN kekal dalam 'sindrom penafian' dan ketidakpedulian. Inilah petualang dan faktor besar yang mengekang pembebasan rakyat serta pemulihan amalan demokrasi yang sihat, matang dan bermaruah.
Dalam kemelut bersimpang-siur beranika fahaman liberal dan anutan longgar serta 'berpilih-pilih' terhadap Islam, saya pada muktamar ini, sekali lagi mahu menekankan pertanggungjawaban kita umat Islam terhadap tuntutan Syariat Allah serta keperluan menekankan kembali persoalan beraqidah secara sejahtera dan benar.
PEMERKASAAN AGAMA - TUNTUTAN UMAT KINI
Islam adalah ad-Deen atau satu cara hidup yang telah disempurna-lengkapkan oleh Allah SWT sebagai sistem yang menyusun-atur seluruh kehidupan manusia seperti yang firmankan Allah SWT Yang bermaksud:
"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
Nas-nas samada berbentuk Aayatul Ahkam atau Ahaadith Al-Mutawaatirah yang bersifat Qat'iy (Muktamad) adalah teras kepada persoalan-persoalan Aqidah, Syariah dan Akhlaq. Prinsip-prinsip ini merupakan perkara-perkara yang ditetapkan Ulama sebagai "Al-Thawaabit" atau "Tetap" dalam Islam dan tidak berubah dan juga tidak terbatas atau tertakluk kepada peredaran zaman atau perbezaan tempat. Walau apapun label Islam yang hendak kita berikan kepada kelompok kita masing-masing, Liberal atau Hadhari, tidak ada kompromi dan pilihan untuk umat Islam mengambil pendekatan 'berpilih-pilih' dalam hal dan urusan pokok ini.
Peringatan yang sekaligus merupakan ancaman Allah SWT dalam FirmanNya
Yang bermaksud : "Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan".
Memilih untuk menyimpang darinya, membayangkan kejahilan kita terhadapnya, sekaligus adalah pilihan untuk meninggalkan asas-asas Agama dan Aqidah yang sejahtera. Perkara-perkara ini adalah disepakati ulama muktabar sejak berzaman dan terdapat dalam kitab-kitab Turath ummat ini.
IJTIHAD - MENDEPANI PELBAGAI KEMELUT KEMODENAN
Adapun dalam perkara-perkara yang tertakluk kepada perubahan zaman dan tempat, Islam selaku Ad-Deen yang diutuskan kepada Rasulallah (saw) sebagai Nabi akhir zaman menggariskan prinsip-prinsip yang dengannya meletakkan Islam mampu menangani segala macam permasalahan manusia yang berubah-ubah dengan metodologi Ijtihad, Ijma' dan Qiyas.
Urusan ini tergolong dalam perkara-perkara yang dikatakan oleh para Fuqaha sebagai Al-Mutaghayyirat atau 'Yang Boleh Berubah' dalam lingkungan perkara-perkara Umurun Ijtihadiah. Hal ini amat jelas diistinbatkan dengan peristiwa ketika Rasulullah (saw) menghantar Muadz Ibn Jabal ke Yaman dengan dialog Baginda (saw) yang mayshur sekaligus telah dijadikan sandaran nas para Ulama' dalam perkara ini.
Ada juga pemikir kontemporari Islam kini mengistilahkannya dengan Al-Faragh atau "Ruang/Space" yang sememang menjadi keperluan kepimpinan Islam dalam sesuatu zaman dan tempat untuk menentukan 'maslahah' atau kepentingan ummat dan negara berdasarkan pelbagai metodologi Fiqh. Di sini diperlukan pengembelengan seluruh tenaga Ulama, Ilmuan dan profesional serta cerdik pandai Islam supaya meletakkan Islam terus releven dan mampu menangani apa jua permasalahan masyarakat manusia.
Ia bukan sahaja menekankan tentang aspek 'Murunah' atau Keanjalan Islam, tetapi lebih penting dari itu, menerokai aspek 'Ijtihad' dalam hal urusan hidup yang terbit dari perkembangan masyarakat manusia kontemporari di mana di sana tidak ada nas yang boleh disandarkan.
Parti yang berteraskan Islam yang teguh, mesti terus memperkasakan ulama' bagi mengkeupayakan parti di atas landasan yang istiqamah, memantapkan ahli dengan aqidah, ilmu syariat dan juga ilmu duniawi, akhlak Islam secara iltizam dan mengembalikan Islam menjadi penilaian manusia yang tenggelam dalam masalah yang gagal ditangani oleh semua ideologi dan undang-undang bikinan manusia.
Maka ulama' hendaklah memasuki medan ijtihad dalam masalah baru yang tidak ada nas dan situasi perubahan yang diingini oleh Syarak. Ulama' perlu terus memimpin Gerakan Islah dan tajdid bagi menangani kesesatan dan kerosakan yang telah berleluasa dan di luar kawalan moral dan ajaran agama langit.
Gabungan secara kolektif dengan semangat ukhuwah jamaah di kalangan para ulama' dan cendekiawan Islam dari berbagai ilmu dan bidang, perlu diteguhkan lagi bagi memungkinkan cabaran-cabaran baru ini didepani dengan baik dan berkesan.
PENINGKATAN SERANGAN TERHADAP ISLAM - SEBAB APA?
Mutakhir ini wujud satu gagasan yang jelas ditanggapi oleh sebahagian besar umat Islam yang sengaja mempertikaikan sedikit peruntukan Islam yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan. Bermula dengan usaha-usaha untuk menubuhkan Majlis Antara Agama yang bertukar menjadi satu Suruhanjaya yang diberi nama Suruhanjaya Antara Agama, Malaysia atau IFCM, kegiatan kelompok ini malangnya kerap mencetuskan kontroversi dan dilihat mahu mencampuri bahkan 'mencerobohi' amalan dan kepercayaan umat Islam.
Pada setiap kontroversi yang membabitkan pertikaian terhadap Islam, dikesani wujud kelompok dan golongan tertentu yang memainkan peranan yang aktif dengan secara terbuka. Pada setiap kontroversi pula mereka akan berhujjah peri-pentingnya mewujudkan IFCM itu bagi jalan untuk menyelesaikan permasalahan antara agama-agama tersebut.
Sedikit waktu lalu heboh dengan krisis pengendalian dan pengebumian Allahyarham Muhammad Moorthy yang serentak sengaja membesar-besarkan kelemahan-kelemahan urus-tadbir Mahkamah Syariah. Malangnya yang menjadi sasaran serangan dan tomahan mereka ialah Islam kerana dipersepsi tidak adil dan menafikan hak bukan Islam dalam perlaksanaan undang-undang Islam. Terdapat juga golongan yang mendakwa bahawa berlaku 'penulisan semula perlembagaan ke arah sebuah Negara Islam secara senyap-senyap'. Yang dimaksudkan ialah pindaan perlembagaan tahun 1988 pada 121(1A) yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syari'ah. Hasutan seperti ini tentunya meninggalkan impak besar kepada pihak masyarakat sivil lantas menggugat ketenteraman awam.
Tidak kurang hebat adalah cabaran yang mempertikaikan kewibawaan Mahkamah Syariah sendiri dalam pengurusan pindaan Undang-undang Keluarga Islam Wilayah. Rentetan insiden insiden ini jelas memaparkan satu kehendak dan tuntutan golongan tertentu yang cukup prajudis terhadap Islam. Anehnya, golongan ini ketika dicabar untuk mempertahankan hujjah secara ilmiah dan berpaksikan sandaran nas agama, tidak pula berkemampuan untuk menukar apa-apa dari Rang Undang-undang tersebut. Dengan kata lain mereka hanya mampu meyakinkan pihak-pihak yang jahil tentang Islam serta bertujuan menebalkan prajudis orang bukan Islam terhadap Islam.
Firmanullah SWT yang bermaksud :
"Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)".
PAKATAN ARTICLE 11 - MEROSAK KETENTERAMAN NEGARA.
Paling terkini ialah 'road-show' Pakatan Article 11 yang sedang dianjurkan di seluruh negara bagi kononnya, menjelaskan hak rakyat untuk 'menganut dan mengamalkan agama pilihan mereka' seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11. Pakatan ini yang terdiri dari bukan sahaja golongan bukan Islam, bahkan juga orang-orang Islam, khasnya dari pengamal undang-undang di negara ini.
Paling mencabar umat Islam adalah pencerobohan ke dalam amalan agama umat Islam, yang antara lainnya, mahukan maksud peruntukan Perkara 11 itu, membawa erti "kebebasan untuk meninggalkan agama atau murtad'. Dengan kata lain mereka secara terang-terangan mempertahan hak orang Islam untuk keluar atau murtad dari Agama Islam sebagai sebahagian dari hak asasi manusia serta kebebasan beragama.
PENGGEMBLENGAN TENAGA UMAT PERTAHANKAN ISLAM
Dalam kemelut dan krisis untuk mencabar Agama Islam yang sudah pun cukup terhad bidang kuasanya, maka adalah merupakan tanggungjawab setiap peribadi Muslim amnya dan pihak berwajib khususnya, tidak terkecuali badan-badan Islam bukan kerajaan Islam (NGO) dan terutamanya parti Islam sendiri PAS, untuk mempertahankan kedudukan Agama Islam di negara ini. Beranika tuduhan dilemparkan ke arah Islam dan Mahkamah Syariah yang telah pun terkepung sejak berzaman, secara melulu tanpa mengenalpasti apakah punca-sebab masalah tersebut tercetus.
Apakah ia perkara dasar atau 'substantif' ataukah kerana beberapa kekurangan perlaksanaan di segi prosedur atau tatacara. Mengapakah Perkara 121(1A) spontan didesak supaya dipinda bahkan ada yang menekan supaya ia dimansuhkan. Bukankah itu melulu, melampau dan menggunakan istilah yang sama digunakan oleh seorang menteri di JPM, 'bodoh' namanya? Apakah menteri berkenaan telah kaji secara teliti dan mendalam serta merujuk kepada Pejabat Peguam Negara termasuk dengan mengadakan dialog atau wacana bersama tokoh-tokoh ulama, akademik, ilmuan di bidang undang-undang baik sivil mahupun Islam?
Ia tentunya tidak dapat diselesaikan dengan cara mengadakan 'road-show' di seluruh negara oleh satu pihak sahaja. Kalau itu dikatakan demokrasi, maka ia telah pun mengundang respons demokrasi yang spontan yang kini didakwa melampau. Namun siapa pencetusnya? Siapa pula mengizinkannya? Siapakah yang sebenar-benarnya 'menghijack' kebebasan dan demokrasi di negara ini?
Bagi kesempurnaan rakaman, izinkan saya menyebutkan juga bahawa tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara ini, kedudukan Islam dicabar sedemikian rupa sehingga rakyat masih ingat kes 9 Menteri Kabinet yang menghantar Memorandum kepada Perdana Menteri mendesak meminda Perkara 121 (1A) yang sekaligus memaparkan sikap ringan mereka terhadap sensitiviti beragama dan persoalan ketenteraman antara kaum dan keharmonian antara agama.
Keberanian ke tahap ini dikatakan berlaku justeru kerana melihat pimpinan orang Islam di negara ini sendiri berani mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan bahkan mengakui bahawa mereka sekadar 'berpolitik' sahaja dalam urusan perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini kerana takutkan desakan cabaran PAS, demikian seperti pengakuan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam forum Majlis Peguam sedikit waktu lalu.
Adalah mustahak supaya matlamat dan kepentingan Islam ini dilihat dari perspektif yang menjangkaui garis kepentingan politik kepartaian semata-mata. Sesungguhnya penggemblengan seluruh ummat Islam adalah wajib dan wajar digerakkan untuk mempastikan peruntukan perlembagaan atas kedudukan Islam itu dipertahankan termasuklah Perkara 3, Perkara 12 (2), Perkara 150 (6A), 121(1A), Perkara 11 (4) dan Jadual 9, Senarai 2.
ISLAM DAN HAK ASASI MANUSIA
Pemahaman yang betul perlu ditegaskan kembali dalam persoalan dakwaan pertembungan antara Islam dan Pengisytiharaan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR 1948). Dunia antarabangsa mengiktiraf hak negara-negara anggota membuat pilihan, ketika contohnya, Arab Saudi tidak menerima klausa 'hak menukar agama adalah hak asasi' sementara menerima pengisytiharan-pengisytiharan yang lain pada UDHR 1948 itu.
Sebenarnya dunia juga telah mengiktiraf sikap Islam tentang persoalan murtad. Ini kelihatan dalam peruntukan di bawah perjanjian antarabangsa tentang hak sivil dan politik (ICCPR), 1966 yang dipersetujui selepas UDHR 1948 dilaksanakan. ICCPR 1966 tidak menyebut hak menukar agama sebagimana terdapat di dalam UDHR 1948.
Dalam suasana kini, saya suka untuk menegaskan kepada semua pihak bahawa kepentingan memelihara maruah, martabat dan kedudukan agama adalah tanggungjawab semua pihak. PAS mahukan semua pihak bahkan penganut agama-agama lain juga, mengambil penting amalan dan kesejahteraan agama masing-masing dan jangan dizinkan agama diserang oleh golongan liberal-sekular yang anti-Agama dan anti-Tuhan.
PAS tidak pernah prejudis terhadap agama-agama lain di negara ini bahkan mahukan mereka juga diberi hak sebagaimana yang ditegaskan oleh Islam supaya mereka memelihara agama mereka, kerana kecenderungan beragama adalah asas kekuatan semua pihak menangkis serangan kebendaan dan gagasan anti-agama.
Inilah kemuncak toleransi beragama dalam Islam yang perlu saya tekankan sekali lagi. Pemerkasaan agama akan dicapai ketika ummat manusia berhajatkan bimbingan Tuhan dan menolak bimbingan nafsu dan dorongan kejahilan yang kini mengakibat beranika gejala keruntuhan moral dan akhlak serta pencerobohan dan pemerkosaan alam sekitar. Manusia moden yang begitu prajudis dan sinis terhadap apa jua bentuk nilai keagamaan dan ketuhanan, justeru terlalu mendewakan kebendaan dan membudayakan nilai-nilai hedonisme dengan falsafah hidup Al-Ibahiyyah ('boleh belaka' dan permissif), yang akhirnya membenarkan dan membolehkan segala-galanya atas nama kebebasan dan hak asasi..
NEGARA KACUKAN AUTOKRATIS DAN TEMPELAN DEMOKRASI
Tidak menghairankan mengapa tokoh-tokoh dalam disiplin ilmu Sains Politik di luar mahupun dalam negara melabelkan sistem politik di negara ini sebagai 'separa-demokratik atau quasy-democracy' dan berbagai sinonim lain. Tegasnya seluruh istilah ini membawa satu maksud, yakni ia adalah 'Pemerintahan Kacukan' : antara ciri "Autoritarian" - Kuku-Besi dan 'Tempelan Demokrasi' sebagai gincu dan kosmetik.
Pengamatan ini tidak sukar dibuat penganalisis, memandangkan pelbagai kaedah dan amalan tidak demokratik termasuk penafian hak asasi manusia warisan penjajah zaman British semasa Darurat masih terus digunapakai dan terus diperkasa. Ini termasuk di segi penangkapan tanpa bicara (ISA) dan segala peruntukkan undang-undang rimba (drakonian) yang kukuh diinstitusikan kerajaan seperti OSA, Akta Cetak, Akta Polis, AUKU dsbnya termasuk "Aku Janji" yang kesemuanya membudayakan suasana dan iklim Takut atau "Fear" yang keterlaluan lantas merosakkan amalan demokrasi samasekali.
Atas landasan demokrasi tulen yang segar, prinsip-prinsip Islam dan pembudayaan nilai-nilai demokrasi seperti pertanggungjawban, ketelusan dan 'semak-imbang' menjadi lebih mungkin untuk diamalkan dan dihayati secara satu sistem pemerintahan. Seperkara lagi dari amalan demokrasi yang baik, menuntut supaya prinsip 'semak dan imbang' dilaksanakan dengan pemisahan kuasa di antara Badan Kehakiman, Legislatif dan Eksekutif. Ini dinamakan dalam Islam sebagai "Al-Faslu Bainal Sultaat". Sejauhmanakah demokrasi di negara ini menunaikan tuntutan ini?
Terlalu kerap peristiwa pencerobohan pihak eksekutif ke atas bidang legislatif. Paling bersejarah termasuk memecat Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi secara kuku-besi dalam sejarah politik negara, yang mengakibatkan antara lainya, amalan demokrasi terus mandom dan mandul sehingga kini.
Kewibawaan sistem Judisiari atau Kehakiman yang tercalar yang sehingga kini tidak dapat dipulih, menjadikan demokrasi satu persendaan yang melucukan. Badan Legislatif yang sekadar menjadi 'rubber-stamp' justeru kerana terlalu ramai bilangan ahli parlimen kerajaan yang mencecah lebih 90%, menghilang unsur penting dan semangat ruh demokrasi yang utama yakni 'semak dan imbang' (check and balance). Sampai bilakah kita rakyat terpaksa menanggung kezaliman sistem 'demokrasi kacukan ' seperti di negara ini?
Allah SWT memberi harapan kepada rakyat yang tertindas dan amaran kepada pemerintah yang zalim. Firmanullah SWT. Yang bermaksud:
"Dan Kami hendak memperkasakan mereka dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya)".
PEMULIHAN DEMOKRASI YANG ROSAK
Asas dan sendi demokrasi yang sihat tentunya memerlukan reformasi perjalanan dan sistem pilihanraya yang mendukungi ciri-ciri, antaranya seperti berikut:
1. Sebuah Suruhanjaya Pilihanraya yang bebas, wibawa dan kompeten.
2. Daftar pemilih yang bersih, dikemaskini dan disahkan.
3. Tidak berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pihak kerajaan sebelum dan selepas Parlimen dibubarkan.
4. Pencapaian kepada media secara adil oleh semua parti dan calon yang bertanding.
5. Kebebasan perhimpunan yang membenarkan penyebaran maklumat dan penerangan oleh semua parti yang bertanding.
6. Tidak wujud amalan membeli undi dalam bentuk rasuah atau kekerasan dan peras-ugut.
7. Jaminan undi rahsia ditentukan sebelum dan selepas proses mengundi bagi mengelakkan budaya takut. Penggunaan dakwat tak mudah dinyahkan (indelible ink), walaupun antara kaedah yang paling tradisional, diyakini mampu menangani masalah pengundi hantu.
Demokrasi yang matang dan sihat, berhajatkan perlaksanaan dan penghayatan 3 unsur penting dalam sesebuah sistem pemerintahan. Secara khususnya:
i. Persaingan politik yang ekstensif
ii. Partisipasi politik yang tinggi dan
iii. Jaminan kekebasan sivil dan politik
iii. Jaminan kekebasan sivil dan politik
Pelbagai pihak telah menjatuhkan 'hukuman' bahawa pilihanraya umum 2004 gagal memberi peluang kepada calon pembangkang menyuarakan manifesto mereka kepada rakyat dalam capaian media yang samasekali tidak adil. Mereka telah menyenaraikan tatktik kotor seperti persempadanan semula yang curang, taktik ugutan (fear) bahkan mencadangkan waktu berkempen yang amat terbatas kepada setidaknya 1 bulan, sistem usang British "Pertama Melepasi Tiang" atau 'First Pass The Post' (FPTP) kepada Perwakilan Berkadar (PR) yang lebih adil dan yang diguna-pakai secara meluas di negara-negara Eropah dan juga Asia kini.
Terlalu panjang senarai 'kecurangan terbela' berlaku dan terlalu banyak laporan dibuat dari pihak akademik, pembangkang termasuk NGO seperti Asian Network for Free Elections (ANFREL) dan Mafrel, yang mendedahkan segala-galanya ke pengetahuan dunia. Tidak hairan kalau "Reporters Without Borders" (laporan 2004) meletakkan Malaysia dalam ranking 122 dari 167 negara, menjunam 16 tangga berbanding laporan sebelumnya, disegi capaian media dalam demokrasi.
Didakwa oleh pelbagai pihak termasuk para akademik tempatan, seandainya pengurusan pilihanraya di negara ini tidak dibaikpulih segera, maka seluruh sistem demokrasi negara ini akan terus mengalami krisis kepercayaan yang bakal mengundang senario dan risiko sama seperti dinegara-negara jiran kerana fenomena 'tipuraya' secara berterusan akan bakal memaksa rakyat ke jalanraya!
PAS dan rakan-rakan politik pembangkangnya menuntut supaya kerajaan segera melaksanakan beberapa reformasi dan penambahbaikan sebelum datangnya PRU ke-12 nanti. Peranan PAS dan rakan -rakan politiknya adalah untuk memastikan rakyat dibebaskan dari kezaliman kuasa pemerintah sesuai dengan kaedah 'semak dan imbang' seperti yang digesa Allah SWT dalam Firmanullah SWT yang bermaksud :
"Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam".
KUASA DEMOKRASI DI NEGARA NEGARA JIRAN
Mutakhir ini kita boleh membandingkan amalan demokrasi di negara ini dengan negara-negara dunia sedang membangun yang lain, khasnya di Indonesia, yang sejak kejatuhan diktator Suharto, udara demokrasi begitu segar sekali untuk dihirup sekalian rakyatnya. Sistem pilihanrayanya yang berlandaskan "Perwakilan Berkadar atau Proportional Representation" memberi persaingan politik yang bermakna dan adil bagi semua pihak yan bertanding.
Juga begitu di Nepal umpamanya, kuasa rakyat juga dimanifestasi dalam tunjuk perasaan yang diadakan. Oleh kerana dahagakan kebebasan dan menyedari hanya dengan mengembalikan demokrasi penuh negara akan stabil dan maju, rakyat Nepal telah menghadapi risiko tinggi dan telah keluar mengadakan demonstrasi besar-besaran secara aman. Kemuncaknya memperlihatkan kejatuhan raja Nepal dan pemulihan demokrasi.
Lihat juga kepada perkembangan mutakhir di sebuah lagi negara jiran kita - Thailand. Oleh kerana prinsip demokrasi terus dipertahan dan institusi-institusi penting negara bebas daripada kongkongan kerajaan, rakyat boleh turun secara bebas ke jalan raya dan menuntut supaya perdana menterinya meletakkan jawatan. Gerakan demokrasi rakyat akhirnya berjaya memaksa Thaksin Shinawat meletakkan jawatan. Apakah kita boleh harapkan demokrasi ala-Islam Hadhari di negara ini mampu memberi keadilan dan pembelaan yang sama?
DEMOKRASI PRIMITIF KERAJAAN UMNO/BN
Paling mutakhir peristiwa di Dewan Rakyat sendiri yang seharusnya melambangkan amalan demokrasi yang baik, meletakkan negara pada paras cukup rendah dalam skala demokrasi berbanding negara-negara sedang membangun yang lain.
Ketegasan Perdana Menteri dan Timbalannya dalam mempertahankan tindakan seluruh ahli BN di parlimen menolak pendirian mantan Ketua Backbencher, yang menyokong usul pembangkang merupakan, contoh terkini bentuk demokrasi yang diamalkan. Ia adalah bukti amalan demokrasi primitif yang masih hendak dipertahankan. Lebih memalukan adalah apabila Menteri Penerangan menafikan hak rakyat untuk mengikuti perdebatan Parlimen dengan alasan pemikiran rakyat Malaysia masih di tahap 'kelas ketiga'. Siapa yang sebenarnya memilikki tahap 'minda kelas ketiga' dan siapa pula pencetus dan penerus budaya 'tutup sebelah mata' untuk sekian kalinya?
PAS BUKAN PARTI PERKAUMAN
Adalah amat jelas kini bahawa PAS bukan parti perkauman. Berdasarkan pegangan ideologi dan anutan Akidah Islam yang berteraskan paksi Ketauhidan Allah SWT, PAS tidak menerima apa jua bentuk fahaman nasionalisme atau 'Asobiyah Qaumiyah, yang berpaksikan kepentingan sesuatu kaum atau kelompok etnik sebagai asas pengurusan dan pemerintahan negara atau 'nation-bulding'. Perjuangan PAS yang bertunjangkan Risalah Islam yang Universal lantas menerima seluruh penganut Islam sebagai satu Ummat yang satu, dengan tidak mengenal perbezaan kaum, bahasa, budaya, bangsa dan keturunan. Ada pun pada waktu yang sama, seperti juga Islam, PAS menerima kesatuan ummat manusia di atas dasar bahawa seluruh ummat manusia, adalah keturunan dan zuriat Nabi Adam (Alaihisalaam).
Firmanullah SWT yang bermaksud :
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".
Kalaupun masih wujud lagi kecurigaan kaum Melayu-bukan Islam terhadap PAS, namun terbukti dalam beberapa pilihanraya yang lalu, PAS juga mendapat sokongan kaum bukan Melayu-bukan Islam. Sementara kita sedar bahawa kita telah menjadi target utama media perdana yang saban hari memaparkan kita sebagai ekstrem, ganas dan tidak toleran, kita tidak harus kecewa bahkan perlu untuk mempertingkatkan hubungan dan interaksi kita dengan golongan bukan Islam kerana dakwah dan politik PAS masih belum mereka kenali dengan lebih dekat lagi.
Justeru itu, mereka masih kurang jelas tentang apa itu PAS dan apakah yang kita perjuangkan sekiranya diberi mandat untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan negara. Saya mahu seluruh pimpinan dan aktivis PAS memandang serius kepada perkara ini agar PAS dikenali, difahami dan dihormati untuk meningkatkan keyakinan mereka sekaligus menangani kecurigaan mereka terhadap Islam dan PAS.
bersambung .....
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home