" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, June 07, 2006

MENJANA KEKUKUHAN ORGANISASI

Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam barisan yang seolah-olah mereka satu binaan yang kukuh.”

(Surah al-Sof: Ayat 4)

Kecemerlangan dan kelestarian organisasi adalah prasyarat utama kemenangan Islam. Sesuatu kebenaran tidak akan terserlah tanpa perancangan yang tersusun. Pemuda PAS mesti mengambil tanggungjawab ini untuk mengembangkan lagi budaya pengurusan dalam organisasi PAS supaya ia benar-benar terarah kepada hasrat kita untuk mendaulatkan agama Allah SWT di muka bumi ini.

Lebih 15 tahun lalu kita telah meningkatkan keupayaan organisasi melalui management by objectives (MBO), dan budaya ini telahpun diterima dengan baik dalam PAS. Tetapi dengan kemodenan dan cabaran organisasi semasa, kita harus mengimplementasikan model-model pengurusan terbaru bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan organisasi Pemuda PAS di semua peringkat. Kita mahu budaya total quality management (TQM) diterapkan dalam semua peringkat organisasi untuk memastikan gerak kerja kita benar-benar tersusun mengikut keperluan dan tuntutan kontemporari.

Mulai tahun hadapan, jika diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS, perwakilan kita tidak lagi berasaskan negeri, tetapi daripada kawasan-kawasan. Inilah langkah strategik yang telah kita atur supaya organisasi di peringkat terkecil dapat diperkukuhkan keupayaannya, selain menonjolkan lebih ramai pemimpin pelapis yang bakal mengambil alih baton kepemimpinan daripada kami. Peningkatan peranan kawasan ini pada asasnya bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan organisasi kawasan dengan rangsangan untuk menambah keahlian, mengukuhkan cawangan, meningkatkan kualiti kepemimpinan dan meluaskan jaringan Pemuda PAS kepada rakyat.

Namun begitu, perubahan perwakilan ini tidak akan memberikan apa-apa makna jika tidak ada perubahan sikap dan paradigma di kalangan kita. Setiap ahli Pemuda PAS di semua peringkat khususnya dari bawah perlu memiliki ciri-ciri pejuang kearah melahirkan pemimpin berkualiti yang kita sasarkan melalui Unit Kerja Jamah (UKJ). Kita mensinergikan peranan Lajnah Tarbiyyah dan Kepemimpinan, Akademi Kepemimpinan Pemuda (AKP) dan UKJ bagi memastikan satu rancangan pembangunan mapan dapat dilaksanakan kepada ahli-ahli di peringkat cawangan.

Pemuda PAS tidak mahu imej positif hanya terbina di peringkat Pusat sahaja, tetapi kemalapan melanda organisasi terkecil. Penyusunan semula sistem keahlian Pemuda PAS melalui gerakan bersepadu di peringkat cawangan akan dibuat untuk memperkasakan akar umbi parti yang bukan sahaja boleh menjadi jentera utama pilihan raya peringkat Unit Peti Undi (UPU), tetapi menjadi nadi sebenar Pemuda PAS yang bergerak berasaskan kekuatan kuantiti dan kemantapan kualiti.

Hasrat melahirkan organisasi sempurna ini mesti dilihat secara yang lebih luas melalui pertumbuhan sikap dan pemikiran ahli-ahli khususnya yang berada dalam barisan kepemimpinan di semua peringkat.

Anjakan asas yang harus dibuat ialah membina keupayaan minda untuk meyakini bahawa Islam adalah bakal memerintah. Walaupun memerintah bukanlah matlamat akhir kita, tetapi ‘minda memerintah’ mesti disemai supaya gerak kerja kita meyakinkan rakyat bagi mengambil-alih pemerintahan. Pemikiran ‘pembangkang’ yang mewujudkan kecenderungan untuk sentiasa berkonfrontasi dengan kerajaan sehingga mematikan keupayaan untuk bekerjasama (cooperative) secara konstraktif dengan pihak kerajaan hendaklah diseimbangkan.

Pada masa ini Dewan Pemuda PAS telah mengambil langkah proaktif melalui pengwujudan hubungan dengan jabatan-jabatan kerajaan bagi membolehkan kita menyalurkan secara terus pandangan-pandangan kita untuk kebaikan rakyat dan negara. Kita mahu menerapkan pemikiran yang lebih melihat penyelesaian masalah (solution) daripada sekadar membangkitkan punca-punca masalah. Kita tidak mahu terjerat dalam pepatah "it easy to oppose, but not easy to propose", sebaliknya kita mahu menyalurkan pemikiran-pemikiran yang bernas dan bermanfaat kepada negara. Dalam ertikata yang lain Pemuda PAS mesti melahirkan pemimpin yang berwatak dan berjiwa negarawan sebagai persiapan memimpin parti dan negara.

Kedua, anjakan juga mesti melibatkan soal memahami persekitaran berasaskan prinsip-prinsip usul dan qaidah fiqh. Sikap terbuka, semasa, setempat dan memahami keperluan berasaskan objektif syarak (maqasid al-syari’ah) sangat penting untuk kita bergerak dengan lebih berkesan sesuai dengan keperluan zaman. Sifat murunah (fleksibel) Islam harus dimanfaatkan dalam dunia politico-dakwah, di samping sentiasa tegas dalam soal-soal prinsip. Pemikiran yang terlalu jumud, tidak memahami keperluan setempat dan menolak ijtihad kontemporari akan menggagalkan kita dalam menerokai ruang-ruang dakwah yang semakin rencam, sekali gus menyukarkan kita menelah sesuatu yang futuristik.

Ketiga, cara kita bekerja juga harus dikemaskinikan supaya segala kekangan ditukar menjadi kesempatan dalam memartabatkan Islam. Kita amat sedar akan sekatan-sekatan yang ada serta halangan yang bersifat masa, kewangan, keupayaan material dan lain-lain. Budaya bekerja bersungguh-sungguh amat digalakkan oleh Islam, tetapi bukanlah bekerja secara semborono. Kita tidak perlu terlalu banyak mengadakan aktiviti sehingga menyempitkan masa dan kewangan kita, tetapi kita mesti mempunyai fokus kerja yang jelas, kumpulan sasar yang tepat serta aktiviti yang cekap dan berkesan. Penjimatan sumber dan mengurangkan kekangan melalui perlaksanaan bijak aktiviti-aktiviti akan lebih melonjakkan keupayaan organisasi kita. Bukan bekerja keras, tetapi bekerjalah dengan pintar!

Keempat, kepelbagaian dan keanekaan adalah ciri asas masyarakat kita. Kumpulan sasar kita sangat luas. Tetapi pada hari ini kita masih lagi bekerja dalam lingkungan yang sempit dan kecil. Kita masih berada dalam ruang dakwah yang sama. Pemuda PAS mesti melihat keluar daripada kepompong kita. Sasaran utama kerja kita ialah selain daripada ahli-ahli PAS, penyokong dan peminat politik PAS. Kita masih belum benar-benar serius dalam mendekati remaja, orang bukan Islam, golongan marhaen, kumpulan feminin, artis, kelompok masyarakat sivil dan sebagainya yang merupakan kumpulan terbesar dalam masyarakat. Percubaan untuk mendekati mereka telah dibuat, tetapi masih belum keluar daripada garis asas iaitu penyokong PAS. Kepelbagaian yang ada mesti merencamkan strategi kita.

Untuk tempoh yang singkat ini, jika kita semua bersedia untuk berganjak daripada pemikiran lama kepada budaya kerja baru, saya penuh yakin kecemerlangan organisasi dapat kita zahirkan sesuai dengan kehendak Rasulullah SAW yang menegaskan:

إِن اللهَ يُحِبُ أَحَدُكُم إِذَا عَمِلَ عَمَلاً أَن يُتقِنَهُ

“Sesungguhnya Allah Ta‛āla mencintai seseorang dikalangan kamu apabila dia melakukan satu pekerjaan, dilakukannya dengan itqān (cemerlang)."

(Riwayat al-Tabrani)

MELAHIRKAN PELAPIS KEPEMIMPINAN

Para hadirin sekalian,

Pemuda PAS boleh berbangga dengan peranannya sebagai ‘kilang’ yang menghasilkan pemimpin PAS semenjak 50 tahun yang lalu. Tetapi kita bimbang jika tidak ada satu usaha yang tersusun untuk melahirkan pelapis-pelapis kepada kepemimpinan Pemuda PAS, satu krisis kepemimpinan akan berlaku dalam organisasi kita untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Kita tahu bahawa pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi kita mahu pemimpin yang datang adalah mereka yang berkualiti dan bergerak mengikut acuan kita. Kerana itu program pembangunan dan perkaderan kepemimpinan mesti diberikan perhatian oleh Pemuda PAS di semua peringkat mulai sekarang. Satu sistem yang boleh melahirkan pemimpin yang berwibawa perlu diwujudkan.

Kita telah mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan AKP pada 2003. Saya ingin memberikan khabar gembira di dalam Muktamar Pemuda pada malam ini bahawa pusat latihan rasmi AKP akan dibina dalam masa terdekat di negeri Kelantan, Insya’Allah. Saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Pemuda PAS Kelantan yang telah berusaha kearah kejayaan ini. Penumpuan untuk melahirkan para pemimpin yang ditarbiyyah dalam manhaj kita amat penting untuk mengelakkan berlakunya penembusan (panetrasi) kepemimpinan daripada pihak luar atau pemimpin bidang terjun yang akhirnya akan mengancam budaya dan gerakerja organisasi kita. Langkah yang lebih berhati-hati perlu diambil supaya kita dapat menangani pemikiran songsang yang cuba menyerang jamaah kita dengan menafikan sunnah Rasulullah SAW yang bergerak melalui jamaah kepada momokan songsang yang mendakwa Islam tidak mensyariatkan bai'ah, wala', intima’, jama’ah dan seumpamanya, sebaliknya hanya menekankan soal ummah. Walhal, juara yang mencanang pemikiran songsang ini sendiri menyeru orang ramai intima’ dengan 'jamaah' mereka!

Secara khusus, pentarbiyyahan yang berlaku pada hari ini adalah masih berasaskan pendekatan 20 tahun yang lalu. Kita tidak mengatakan model sedia ada tidak baik, tetapi ia mesti dilengkapkan berasaskan keperluan-keperluan semasa. Dalam kata lain, tarbiyyah perlu disemak semula untuk diberikan nilai tambah yang sesuai dengan keperluan yang semakin mendesak pada hari ini. Tarbiyyah adalah saluran terbaik untuk membina atau menganjakkan paradigma Pemuda PAS ke arah yang lebih berdaya saing. Mekanisma ini mesti dimanfaatkan dengan memberikan pengertian baru kepada tarbiyyah supaya ia menjadi lebih kontemporari, serasi dengan masa, selesa dan memenuhi cita rasa mad’unya.

Pemuda PAS mulai tahun ini akan mewujudkan pelan tindakan tarbiyyah yang menyeluruh bagi memastikan proses pentarbiyyahan tidak berhenti sekadar usrah dan tamrin sahaja. Tetapi tarbiyyah mestilah dibuat secara komprehensif melibatkan semua peringkat parti dalam semua aspek kehidupan. Pelan tindakan tarbiyyah ini mestilah bermula daripada pembinaan pemuda cawangan (ansar) sehinggalah kepada qiyadah, dengan memberikan tumpuan kepada nilai-nilai tambah tarbiyyah seperti peningkatan kemahiran pengurusan organisasi, keupayaan komunikasi, uslub dakwah dan juga kefahaman terhadap keluasan gerak kerja Islam. Pemerkasaan Pemuda PAS tidak boleh meminggirkan pelajar sebagai satu sumber manusia yang penting. Peningkatan tarbiyyah, latihan kepemimpinan, kemahiran kerja serta keupayaan kemanusiaan mesti disalurkan kepada mereka supaya mereka menjadi satu gelombang dalam melahirkan kepemimpinan berwibawa.

Tumpuan tarbiyyah adalah untuk melahirkan kepemimpinan dan ‘amilin yang memiliki kefahaman Islam yang jelas, kesungguhan bergerak kerja, komitmen dalam mempertahan dan memperjuangkan Islam, keluasan ilmu, keterbukaan pemikiran, ketrampilan budaya kepemimpinan dan mendukung nilai akhlak Islam. Hal ini amat penting untuk membolehkan kita berhadapan dengan Pemuda-pemuda UMNO yang pada hari ini telah mendukung agenda Islam Hadharinya. Pemuda PAS mesti mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada Pemuda UMNO dalam semua aspek. Kita tidak boleh lagi berbangga semata-mata kita memperjuangkan Islam, kerana UMNO juga bercakap dan mengamalkan Islam walau secara sempit, tetapi berupaya mengelirukan rakyat.

Kompetensi pemimpin dan ahli akan menentukan apakah perkara-perkara yang saya gariskan dalam ucapan pada malam ini menjadi kenyataan atau sebaliknya. Saya berhasrat untuk meningkatkan peranan AKP sebagai mekanisme dalam mewujudkan kompetensi pemimpin dan ahli supaya mereka boleh bersaing dengan keupayaan yang setara dengan saingan kita dan cabaran global. Saya juga menyeru para pemimpin dan ahli Pemuda PAS supaya membudayakan “pembelajaran sepanjang hayat” (continious learning) mengambil inisiatif dalam meningkatkan keupayaan masing-masing termasuk penguasaan ke atas ilmu-ilmu alat seperti ekonomi, pentadbiran, bisnes, kewangan, kerajaan dan sebagainya. Peningkatan budaya ilmu boleh membantu kita melakukan revolusi minda ke arah melahirkan pemimpin yang memiliki pemikiran bersistem.

Penghijrahan minda dan ilmu amat penting bagi kita supaya pemimpin Pemuda PAS lebih berketrampilan, berpengetahuan dan menguasai ilmu dalam multi disiplin. Bagi memenuhi ciri-ciri kepemimpinan kompeten,

Saya suka menggariskan sepuluh bidang yang seharusnya dikuasai oleh pemimpin Pemuda Islam.

Pertama, menguasai asas ekonomi termasuk memahami laporan-laporan ekonomi kerajaan, pengurusan kewangan kerajaan, pendapatan negara, pengawalan inflasi dan sebagainya.

Kedua, perniagaan dengan menguasai bagaimana perniagaan beroperasi, membuat keputusan dan juga proses perakaunannya.

Ketiga, kita juga perlu menguasai maklumat tentang institusi-institusi kewangan termasuk bank, insurans, unit amanah, tabung simpanan pekerja dan lain-lain.

Keempat, kita perlu menguasai ilmu pendidikan termasuk memahami sistem pendidikan yang baik dan boleh bersaing pada masa hadapan;

Kelima, pengetahuan tentang undang-undang dan perlembagaan seperti doktrin pengasingan kuasa dan fungsi check and balance yang menjadi sebahagian daripada sistem perundangan;

Keenam, pentadbiran, agar prinsip-prinsip pentadbiran baik dikuasai oleh kepemimpinan kita.

Ketujuh, memahami peraturan-peraturan kerajaan;

Kelapan, memahami bagaimana tugas, tanggungjawab dan akauntabili awam memainkan peranan ke arah membentuk etika pentadbiran;

Kesembilan, mendalami dasar-dasar dan rancangan awam;

dan kesepuluh ialah meningkatkan kemahiran perhubungan awam termasuk dalam mendapat maklum balas rakyat tentang kerajaan dan parti.

Dalam memenuhi keperluan pembinaan kepemimpinan ini, Lajnah Tarbiyyah dan kepemimpinan hendaklah menyemak semula peranannya dengan merangka satu pendekatan tarbiyyah yang lebih holistik, khususnya dalam rangka pembinaan kepemimpinan. Tumpuan yang lebih besar hendaklah difokuskan kepada usaha melahirkan kepemimpinan berwibawa bagi meneruskan perjuangan PAS.

MENGUASAI PERSEKITARAN POLITIK

Sidang muktamirin yang dihormati,

Penyertaan kita dalam dunia politik telah berlangsung sebaya dengan usia kita. Kalah menang bukan soal yang besar bagi kita, tetapi yang lebih penting apakah kita telah benar-benar mencaturkan gerakan politik kita sesuai dengan matlamat kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang di dalamnya terlaksana nilai-nilai dan hukum-hukum yang menuju keredhaan Allah SWT. Penumpuan terhadap kerja-kerja politik yang kita telah fokuskan nampaknya belum disambut dengan baik oleh ahli-ahli kita. Hatta, di peringkat pusat sekalipun, saya masih belum berpuas hati dengan prestasi sebahagian daripada kerja-kerja yang telah kita lakukan. Adalah jelas bahawa kita masih bermain dalam takuk lama di mana kita masih lagi dilihat sebagai ‘penyambut’ isu-isu politik, bukannya pencetus atau pejuang isu-isu rakyat.

Dalam menggerakkan isu-isu semasa untuk meningkatkan kesedaran politik rakyat, kita harus berubah untuk menjadi juara yang sentiasa tangkas dalam membela rakyat. Kita mesti bekerja lebih kuat untuk mengembeleng perjuangan rakyat. Isu-isu besar seperti kenaikan harga minyak, penyalahgunaan kuasa kroni kerajaan, krisis integriti di Parlimen dan sebagainya gagal digerakkan dengan berkesan, selain tidak berupaya membongkar kemungkaran politik BN.

Sebagai langkah pengukuhan, kita telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan gagasan ‘political engagement’ yang dilontar dalam Muktamar yang lalu. Tetapi malangnya, usaha-usaha kami tidak disambut dengan langkah serupa oleh pemimpin Pemuda PAS di peringkat bawah, sehingga usaha murni ini menjadi medan untuk ‘mempromosikan’ sebahagian pimpinan Pemuda PAS sahaja. Hasrat saya ialah untuk melihat gagasan ini sebagai usaha memperkenalkan ‘pasukan’ Pemuda PAS, bukannya individu pemimpin Pemuda PAS. Imej positif, meyakinkan dan mesra rakyat ini adalah rangka baru yang mahu dibentuk kepada Pemuda PAS. Kita mahu melupuskan semua sekali anggapan negatif, kolot dan jumud yang sering dilabelkan kepada kita.

Dalam aspek yang lebih luas, saya mahu memanjangkan perkara ini kepada peranan Pemuda PAS Kelantan sebagai benteng terakhir kita untuk mempertahankan imej Pemuda Islam di negara ini. Soal perpaduan, kesatuan amal, keselarasan fikrah dan komitmen kerja mestilah menjadi agenda terbesar kerana di sinilah terbentuknya gambaran rakyat terhadap pemimpin pelapis kerajaan negeri Kelantan pada masa hadapan. Kita mahu Pemuda PAS Kelantan berperanan sebagai peneraju kepada kebangkitan rakyat yang semakin menyakinkan. Usaha-usaha untuk memperkasa saf jemaah dan menyuburkan perpaduan hendaklah dijadikan agenda besar pemuda sebagai persediaan menghadapi pilihanraya yang semakin hampir. Kemasukan beramai-ramai ahli-ahli UMNO di Kelantan baru-baru ini adalah satu motivasi yang merangsangkan lagi gerak kerja kita.

Serentak dengan itu juga, Pemuda PAS masih melihat bahawa Barisan Alternatif (BA) adalah wadah yang penting untuk PAS bergerak sebagai pembangkang yang berkesan. Asas two party system dalam mengukuhkan demokrasi perlu diterima. Kita menyeru pemimpin tertinggi PAS supaya mengambil inisiatif bagi mewajahkan semula BA dengan penampilan yang lebih ceria. Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam apa keadaan pun pada hari ini adalah ikon pembangkang yang mesti digembelengkan. Datuk Seri Anwar tidak seharusnya terus menjadi pemimpin elit, sebaliknya beliau mesti menjadi pemimpin rakyat yang mengetuai gelombang kedua reformasi setelah lebih lima tahun rakyat berjuang untuk menegakkan keadilan buat beliau. Kini rakyat sedang menunggu giliran beliau pula memacu keadilan untuk rakyat.

Serentak dengan itu juga, Pemuda PAS masih melihat bahawa Barisan Alternatif (BA) adalah wadah yang penting untuk PAS berperanan bersama dengan Parti Keadilan Rakyat menjana dan seterusnya memimpin kebangkitan rakyat yang semakin hilang kepercayaan kepada kepimpinan UMNO BN. . Asas two party system dalam mengukuhkan demokrasi perlu diterima. Kita menyeru pemimpin tertinggi PAS supaya mengambil inisiatif bagi mewajahkan semula BA bersama dengan Dato Seri Anuar Ibrahim bersegera menggerakan kemaraan rakyat dengan penampilan yang lebih gagah, ceria dan menyakinkan. Datuk Seri Anwar tidak seharusnya menjadi pemimpin elit, sebaliknya beliau mesti pantas untuk mengambil kesempatan terbaik ini bersama dengan pimpinan BA melaksanan siri “Jelajah BA Bersama Rakyat” yang mesti diledakkan keseluruh pelusuk negara.

SOCIAL ENGAGEMENT

Pengalaman beberapa gerakan Islam seperti Hizbu Refah di Turki, HAMAS di Palestin, Ikhwan Muslimin di Mesir dan Parti Keadilan Sejahtera di Indonesia yang berjaya mendapatkan sokongan rakyat hasil kesungguhan kerja-kerja sosial mereka harus menjadi iktibar dalam merencana gerak kerja kita. Produk Islam yang kita tawarkan tidak dipersoalkan oleh rakyat, tetapi mereka mahu melihat setakat mana Islam boleh membantu mereka dalam menangani keperluan sosial mereka.

Sebagai sebuah gerakan Islam, kerja-kerja sosial merupakan satu ruang dakwah yang perlu dipergiatkan. Usaha memasyarakatkan PAS telah kita buat semenjak awal 1990-an lagi, dan kini kita perlu meningkatkan engagement dengan masyarakat supaya Islam dilihat benar-benar berperanan dalam pembangunan sosial. Saya berbangga apabila Pemuda PAS telah memperlihatkan keprihatinannya kepada kerja-kerja kebajikan, kemasyarakatan dan sentiasa berusaha mendekati pelbagai golongan termasuk memberikan bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa. Secara khusus saya merakamkan tahniah kepada Unit Amal yang kini memasuki era “Gen 2” berimej baru yang bukan sahaja membantu mangsa tragedi tsunami dan gempa bumi, tetapi turut terlibat membantu mangsa banjir kilat, perobohan kejam dan zalim setinggan-setinggan sepertimana berlaku di sekitar lembah Kelang dan beberapa kebakaran di seluruh negara. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Jabatan PASTI yang sentiasa proaktif dan inovatif didalam mengeluarkan produk-produk baru pendidikan dan dalam menempatkan diri dalam masyarakat. Muktamar Pemuda juga merakamkan ucapan syabas kepada Nisa’ yang berwajah baru dan begitu aktif dalam menghampiri golongan puteri.

Pemuda PAS telah lama bergerak dalam isu kelompok sendiri khususnya hak umat Islam dan orang Melayu. Tetapi kita belum diyakini oleh rakyat terbanyak tentang kemampuan untuk membela kepentingan mereka. Bahkan, ada kajian yang menunjukkan bahawa rakyat melihat PAS masih bermain di gelanggangnya sendiri. Ruang masyarakat masih begitu luas yang belum kita terokai sedangkan ia mempunyai potensi dakwah dan politiknya sangat besar. Kita mesti berganjak daripada takuk lama kepada pendekatan baru yang lebih strategik melalui pemanfaatan segala sumber secara maksimum. Kita tidak mahu Pemuda PAS hanya menjadi “jaguh kampong” hebat di gelanggang sendiri, tetapi kita juga mesti hebat di gelanggang orang lain, dipersada rakyat dengan kompetensi yang ada.

Kebajikan menjadi nadi utama dalam sistem sosial Islam. Kefahaman ahli-ahli terhadap kedudukan kerja sosial sebagai sebahagian daripada ibadat mesti dipertingkatkan. Nilai-nilai ini akan disalurkan melalui pentarbiyyahan bagi mengubah tanggapan bahawa soal agama secara khusus sahaja yang menjadi tuntutan Islam, kepada kesedaran bahawa Islam sangat memberatkan soal kemanusiaan, kebajikan dan kerja sosial. Kita berbangga apabila ahli PAS sanggup berdemonstrasi dalam mempertahankan maruah Nabi Muhammad SAW, tetapi kita kesal apabila ahli PAS tidak menjiwai demonstrasi membantah kenaikan harga minyak dan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat.

MERENCANA PERSIAPAN

Para muktamirin yang dihormati,

Ketidakseimbangan politik dunia dan kerakusan politik BN mesti dihentikan segera melalui peningkatan persiapan dan keupayaan kita. Hanya kekuatan kita yang boleh mengimbangi, jika tidak menghentikan kegelojohan politik BN. Saya telah menyentuh beberapa aspek yang perlu diberikan tumpuan oleh Pemuda PAS di semua peringkat khususnya dalam membina kekuatan dalaman parti dan juga merancakkan lagi gerakerja kita di medan politik, dakwah dan gerakan masyarakat sivil.

Pembinaan ahli-ahli yang berupaya menjadi tulang belakang gerak kerja parti sangat penting, terutama bagi melahirkan amilin yang komited dan dinamik sesuai dengan kedudukan mereka sebagai safwatul mukhtarah dalam parti kita. Para pimpinan Pemuda PAS pula mesti bersedia menjadi pemimpin contoh (al-amin) dalam masyarakat, bukan sekadar pemimpin ahli PAS sahaja.

Bagi merancakkan lagi persiapan kita, penguasaan Pemuda PAS ke atas institusi-institusi masyarakat termasuk surau, persatuan penduduk, khairat kematian, badan kebajikan, NGO dan sebagainya amat penting. Kita bukan sahaja perlu membina jambatan dengan masyarakat sivil, tetapi diyakini oleh rakyat untuk memimpin kepentingan mereka. Tidak cukup bagi kita sekadar membaca khutbah, mengimamkan solat atau memberikan tazkirah, tetapi kita juga perlu berada dalam kepemimpinan masyarakat.

Untuk meneraju kebangkitan rakyat, Pemuda PAS mestilah menjadi peneraju utama politik massa. Melalui pengukuhan berterusan organisasi, pembinaan kepemimpinan dan peningkatan keupayaan (capacity) ahli-ahli, saya yakin kita berkemampuan untuk menggerakkan kesedaran politik rakyat. Pendekatan social engagement yang akan kita ambil akan menjadi senjata penting bagi membolehkan Pemuda PAS sentiasa di hadapan dalam menangani permasalahan rakyat.

Kita bersedia menawarkan pakej politik, ekonomi dan sosial yang adil, telus dan berdaya saing kepada rakyat. Kita telah melihat dan rakyat telah merasai bagaimana bercelarunya kehidupan mereka di bawah Kerajaan BN yang penuh dengan penyelewengan, salah guna kuasa, penindasan dan ketidakadilan. Kita mahu berada bersama-sama rakyat untuk membela nasib mereka dan menawarkan keadilan Islam ke arah peningkatan kualiti hidup rakyat. Saya menyeru seluruh Pemuda PAS supaya sentiasa bersedia untuk meneraju politik massa sebagai misi utama kita pada sesi ini.

Tahun 2006 adalah tahun persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-12. Tahun hadapan atau selewat-lewatnya 2008, pilihan raya umum akan diadakan. Persiapan yang benar-benar kukuh perlu disusun bermula daripada UPU hinggalah kepada jentera di peringkat Pusat. Kita berharap cadangan untuk memasukkan Pengarah Pilihanraya sebagai Jawatankuasa Harian di semua peringkat akan menyemarakkan gerak kerja untuk pilihan raya ini. Secara tradisinya, setiap dua penggal, undi rakyat akan memihak kepada pembangkang dan parti pemerintah berhadapan dengan krisis kepemimpinan. Keputusan pilihan raya Sarawak baru-baru ini memberikan indikator yang jelas tentang perubahan sikap rakyat terhadap BN. PAS perlu bersiap bagi memanfaatkan kesempatan ini untuk menerajui kebangkitan. Firman Allah SWT:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya. sedang Allah mengetahuinya; Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dijalan Allah akan disempurnakan balasannya kepadamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Surah al-Anfal: Ayat 60)

AKHIR BICARA

Para hadirin sekalian,

Sebagai mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya mengajak seluruh hadirin untuk mengambil semangat muktamar ini bagi meningkatkan kesungguhan dan keikhlasan kerja kita ke arah mencapai keredhaan Allah SWT. Kita bergerak dalam jemaah ini dengan kesedaran yang sama iaitu untuk melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar, maka janganlah ada dikalangan kita yang berintima' kerana kepentingan-kepentingan lain selain daripada menegakkan agama Allah SWT. Biarlah kita berjuang dengan ikhlas kerana itulah satu-satunya pendekatan yang boleh meningkatan kualiti perlaksanaan Islam di dunia ini. Firman Allah SWT:

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.”

(Surah al-Bayyinah: Ayat 5)

Mudah-mudahan dengan keikhlasan kita, kita dapat menyempurnakan muktamar pada tahun ini, dan meneruskan agenda untuk menegakkan Islam kemudiannya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada PAS Kedah yang menjadi hos muktamar kita. Kepada Timbalan Presiden PAS yang merasmikan muktamar kita, pada dif jemputan, perwakilan dan pemerhati juga saya mengucapkan Jazakallahu Khairal Jaza' di atas komitmen semua. Semoga Allah SWT merahmati kita semua di atas komitmen ini.

Sekian, Wabillahi al-tawfik wal hidayah wassalamu ‘alaikum warahmatulLahi wabarakatuh.

5 Comments:

Anonymous syabab said...

Ininkan saya, saudara seiman, memberi komen dari perspektif luar.

Mengukuhkan DEMOKRASI ? Pada pendapat saya, demokrasilah menjadi penghalang kepada kejayaan Islam. Blair dalam ucapannya di USA baru-baru ini berkata, lebih kurang maksudnya," Untuk mengalahkan "teroris" kita mesti mengalahkan IDEOLOGI pengganas......untuk mengalahkan ideologi pengganas, kita mesti meyebarkan Demokrasi dan (falsafah) kebebasan, dimana nilai-nilai ini bukan nilai-nilai Barat (sahaja) tetapi ianya nilai-nilai universal.

Saya harap pemuda Pas tidak keberatan mengambil idea-idea Islam yang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir seperti hukum berkaitan sistem pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Semua itu boleh dirujuk kepada kitab-kitab HT seperti Nizomul Hukmi Fil Islam, Nizomul Iqtisodi, Nizomul Uqubat, Nizomul Ijtimaie, muqoddimatul dustur dan sebagainya.

Semuanya adalah hukum syarak, yang telah disusun secara terperinci dan sistematik @ format yang "moden".

Ianya dapat membantu para pemuda Pas menjadi pejuang Islam yang mantap dari segi fikroh, jika pemuda Pas masih tercari-cari "konsep" Islam yang ideal untuk diperjuangkan.

Mengembalikan Kehidupan Islam
Ikhlas.

4:43 PM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

Assalamualaikum .

Tanggapan atau andaian saudara bahawa PAS masih tercari - cari konsep Islam yang ideal untuk diperjuangkan adalah satu tanggapan atau andaian yang tidak benar malah keterlaluan .

Saya mohon saudara membaca kenyataan Ucaptama Ketua DPPPusat sewaktu membentangkannya kepada Muktamar DPPP kali ke 47 baru - baru ini .

Saudara bacalah dengan tenang , teliti , positif terhadap rakan seperjuangan ( kalau saudara anggap PAS sbg rakan ) serta penumpuan yang ikhlas , nescaya saudara akan mengetahui di mana PAS dan bagaimana ia telah melaksanakan perjuangannya.

Selamat berjuang .

11:55 AM

 
Blogger Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi said...

Kita tidak pernah beriman kepada Demokrasi , sebaliknya Demokrasi menjadi alat dan ruang untuk kita menyelinap dan menyampaikan Islam malah membawa Islam ke Parlimen mahupun Dewan Undangan negeri demikian juga Dewan Negara .

Sementara itu , kita TIDAK menyepi diri daripada memanafaatkan semua ruang yang wujud untuk menyampaikan Islam spt. Dakwah ammah ( kuliah , khutbah , cerama Agama , Forum , Seminar , Konvensyen , Menulis artikel @ kitab dan lain - lain ) demikian juga Dakwah Fardiyyah dengan mengadakan hubungan @ engagement dengan semua pihak untuk memasukkan Islam yg suci ini jauh ke dalam sanubari mereka.

PAS jua mengambil bahagian menetang mungkar secara terbuka biarpun terpaksa berhadapan dengan risiko yg tinggi tatkala bersemuka dengan pemimpin yang dholim .

Biarpun terlalu banyak kekurangan dan kelemahan , PAS melaksanakan amar makruf dalam batas keupayaan yang ada dengan TIDAK mengambil sikap menanti pemilikan 100% tahap keupayaan , barulah nak melaksanakannya.

PAS jua mengiktiraf segala amal Islami yang ikhlas dan tulen utk di daulatkan di Tanahair tercinta ini biarpun ia datang dari pihak lain ( bukan PAS ). Demi melihat Islam tegak.

Sebaliknya PAS mengutuk sekeras - kerasnya tindakan tikam belakang atau tumbuk rusuk sesama Islam yang dilihat melambatkan kemenangan Islam dan membantutkan perjuangan Islam .

12:07 PM

 
Anonymous Anonymous said...

ana dah bilang,rumah kalian berdua bukan jauh sangat selang tah berapa lorong je,pegi jumpa dan muzakarah,aku bimbang dengan perbincangan terbuka ramai pembaca akan keliru,siapa untung?adakah gerakan islam untung kalau ada pembaca mengrumuskan,alah sama sama nak islam pun bercakar,memang tak guna dua dua nih?Jawab siapa untung.Man kan anta dah cakap nak hubungi ustaz directly,aku dah bagi kpd kau berdua no talipon masing masing atau antum berdua nak alamat rumah masing masing pulak?...Ibarat ditepi sungai....Kalau ramai orang ditepian ,jangan kerana kita orang jatuh kelemasan.

4:10 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Saya yakin sebagai umat islam,mereka mereka menggunakan sains untuk menjulang islam dikedudukan teratas tanpa beriman dengan akhir kalam sains....Ini adalah semulajadi (nature)yang mana pegangan ini akan merobek akidah.Sebagai umat islam saya yakin mereka akan berkata Allah adalah penciptanya.Begitu juga dengan demokrasi.Umat islam tidak akan sampai berpegang kepada demo dan kratus(pemerintahan dari suara rakyat sepenuhnya)tetapi memahami bahawa suara seluruh rakyat terbatal dengan yang telah diputuskan Allah.Yang tak qatie, boleh guna suara rakyat.Macam guna pakai jalan raya,kalau rakyat ramai nak ikut sebelah kanan jalan macam amerika,no problem...go ahead.

8:46 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home