" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Friday, June 23, 2006

TAWASSUL

Apa maksud tawassul?
Adakah bertawassul dengan nabi s.a.w. dianggap syirik atau tidak?

Jawapan :

Dari sudut bahasa, kalimah at-Tawassul bermaksud mengambil satu jalan untuk sampai kepada sesuatu.

Adapun dari segi Syara’, ia bermaksud; mendekatkan diri kepada Allah melalui jalan mentaatiNya, beribadah kepadaNya, mengikuti para Nabi dan RasulNya dan dengan apa sahaja amalan atau cara yang disukai Allah dan diredhaiNya.

Firman Allah :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan”.

(Al-Maidah; 35)

Tawassul ada yang disepakati oleh para ulamak dan ada yang diikhtilafkan.

Tawassul yang disepakati oleh ulamak akan keharusannya –malah digalakkan melakukannya- ialah :

a) Tasawwul dengan nama Allah dan sifatNya
b) Tawassul dengan amal soleh
c) Tawassul dengan doa orang soleh

Tawassul melalui cara-cara di atas telah disepakati oleh para ulamak dan tidak ada ulamak yang mempertikainya.

Adapun jenis tawassul yang diiktilafkan ialah bertawassul kepada Allah (iaitu berdoa kepadaNya) dengan kemuliaan atau kemegahan zat salah seorang dari hambaNya.

Contohnya; bertawassul dengan zat Nabi atau mana-mana orang soleh untuk memohon suatu hajat dari Allah. Para ulamak dalam menjelaskan hukum tentangnya ada beberapa pandangan :

a) Pandangan yang mengharamkan secara keseluruhannya iaitulah pandangan Imam Ibnu Taimiyyah, Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Bin Baz dan yang sealiran dengan mereka.

Mereka berpandangan tawassul sedemikian adalah tidak harus dan bid’ah kerana tidak disebut oleh al-Quran dan tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w..

Adapun hadis-hadis yang menyebutkan tentang tawassul sahabat dengan Nabi s.a.w. maka maksudnya ialah tawassul dengan doa baginda, bukan dengan zatnya.

Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; “Lafaz tawassul dikehendaki maknanya dengan tiga perkara :

Pertama : bertawassul kepada Allah dengan cara beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan mentaati baginda.

Kedua : bertawassul dengan doa dan syafaat baginda

Kedua-dua bentuk tawassul di atas telah disepakati keharusannya oleh ijmak ulamak. Siapa mengingkarinya ia adalah kafir dan murtad. Ia diminta supaya bertaubat. Jika enggan bertaubat, hendaklah dibunuh.

Ketiga: tawassul dengan makna bersumpah kepada Allah dengan zat Rasulullah s.a.w. atau memohon kepada Allah dengan zat baginda.

Tawassul yang ketiga ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat sama ada ketika baginda masih hidup atau setelah baginda mati, sama ada di sisi kubur baginda atau di sisi kubur orang lain”.

(Lihat; at-Tawwasul wa al-Wasilah, al-Imam Ibnu Taimiyyah).

b) Pandangan yang mengkhususkan keharusan dengan Nabi s.a.w. sahaja, yakni harus bertawassul dengan Nabi s.a.w., namun dengan orang lain (termasuk para sahabat, wali-wali Allah dan sebagainya) adalah tidak harus.

Pandangan ini diambil dari Imam Izzuddin Ibnu ‘Abdissalam. Beliau berdalilkan sebuah hadis yang menceritakan :

“Seorang lelaki yang buta matanya datang kepada Nabi s.a.w., lalu ia berkata; ‘Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah supaya Dia menyembuhkan mataku’. Lalu Rasulullah menyuruhnya mengambil wudhuk, menunaikan solat dua rakaat dan seterusnya berdoa seperti di bawah :

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ وأتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيّ الرَّحْمَةِ صلى اللّه عليه وسلم، يا مُحَمَّدُ! إني تَوَجَّهْتُ بكَ إلى رَبّي في حاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى لي، اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ فيّ

“Ya Allah! Aku bermohon dan bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad, nabi rahmat. (Aku telah meminta kepadanya (yakni kepada Muhammad);) ‘Ya Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh kepada Tuhanku dengan kemuliaanmu bagi hajatku ini supaya Ia menunaikannya untukku’. Ya Allah! Berilah syafaat kepadanya untukku”.

(Riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini adalah hasan soheh).

c) Pandangan yang mengharuskannya secara mutlak, iaitu harus bertawassul sama ada dengan kemegahan zat Nabi Muhammad atau orang-orang soleh yang lain. Pandangan ini diutarakan oleh Imam as-Subki.

Antara dalilnya ialah; riwayat oleh Imam Ibnu Syaibah dari Malik ad-Dar dengan sanad yang soheh –sebagaimana yang ditegaskan Imam al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari- yang menceritakan :

“Telah berlaku kemarau yang teruk pada zaman Umar r.a., lalu seorang lelaki pergi ke kubur Nabi s.a.w., lalu ia berkata; ‘Wahai Rasulullah! Mohonlah hujan (dari Tuhanmu) untuk umatmu kerana sesungguhnya mereka telah mengalami kemusnahan (kerana kemarau)’. Pada malamnya, lelaki itu bermimpi Rasulullah datang kepadanya dan berkata; “Pergilah kepada Umar, sampaikan salamku kepadanya dan khabarkan kepadanya bahawa mereka akan dikurniakan hujan (oleh Allah)”.

Menurut Imam Ibnu Hajar, lelaki tersebut bernama Bilal bin al-Harith al-Muzani dan beliau merupakan seorang sahabat.

(Rujuk; Fathul-Bari, juz. 3, hlm. 148 dan al-Isabah, juz. 3, hlm. 4).

Peristiwa di atas berlaku pada zaman Saidina Umar dengan diketahui oleh para sahabat termasuklah Umar sendiri dan tidak ada seorangpun di kalangan mereka yang mengingkarinya, menunjukkan bahawa ia adalah harus.

Adapun pandangan Imam Izzuddin yang mengkhususkan keharusan bertawassul seperti itu dengan Rasulullah s.a.w. sahaja, yakni tidak harus dengan orang lain, maka pandangan itu dapat dipertikaikan kerana tidak ada dalil yang menegaskan bahawa hal tersebut hanya khusus untuk baginda sahaja. Apabila tiada dalil khusus, maka kekallah ia dengan sifat umumnya.

Pandangan Imam as-Subki di atas disokong oleh Imam al-Alusi, Syeikh Zahid al-Kauthari, Syeikh Muhammad Hasanin Makhluf (bekas mufti Mesir) dan lain-lain lagi. Syeikh Hasanin Makhluf dalam fatwanya menegaskan :

“Bertawassul dengan zat para Nabi dan orang-orang soleh dengan pengertian memohon syafaat dengan zat-zat mereka sebagai satu cara untuk memohon hajat kepada Allah kerana melihat kepada hampirnya mereka dan mulianya mereka di sisi Allah seperti dengan seorang itu berkata; ‘Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawassul kepadamu dengan NabiMu atau dengan si fulan hambaMu yang soleh agar Engkau menunaikan hajatku atau mengurniakan rezki kepadaku, atau menyemuhkan penyakitku’, maka tawassul sebegini atau seumpamanya adalah harus dan tiada apa yang menegahnya”.

Kesimpulan

Bertawassul dengan Nabi s.a.w. jika dengan makna mencari wasilah/jalan kepada Allah dengan cara beriman kepada baginda s.a.w. dan mentaatinya atau dengan makna memohon hajat kepada Allah dengan doa dan syafaat baginda (ketika hayatnya), maka tawassul sebegini adalah harus dengan ijmak para ulamak.

Adapun bertawassul dengan makna memohon kepada Allah dengan menyebutkan zat atau kemuliaan baginda (selepas kewafatannya), maka ia diikhtilafkan di kalangan ulamak. Masing-masing dengan hujjah yang tersendiri.

Hal ini dijelaskan juga oleh Imam Hasan al-Banna dalam Usul al-‘Isyrinnya; “Berdoa jika diiringi dengan bertawassul kepada Allah dengan salah seorang dari makhluknya merupakan perkara khilaf dalam masalah furu’ dalam cara berdoa dan ia bukan tergolong dalam masalah-masalah aqidah”.

Namun demikian, jika kita dapat mengambil sikap yang mengeluarkan kita dari khilaf itulah yang terbaik.

Wallau a’lamu bisshawab.

Disediakan oleh :
Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan
Dewan Pemuda PAS Pusat.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Maka tawassul yang diikhtilafkan ialah bertawassul kepada Allah (iaitu berdoa kepadaNya) dengan kemuliaan atau kemegahan zat salah seorang dari hambaNya. Maka di sini ditambahkan dalil-dalil dan nas-nas atas harusnya tawassul jenis ini:

1. Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. pernah bertawassul dengan haknya sendiri, hak para Nabi dan hak orang-orang saleh. Di dalam manakib Fatimah Binti Asad, ibunya Ali Bin Abi Talib, disebutkan bahawa setelah beliau (Fatimah Binti Asad) wafat, Rasulullah s.a.w. menggali kuburannya dengan tangannya. Setelah mengeluarkan tanahnya dan selesai menggalinya, Rasulullah masuk ke liang lahad lalu berbaring di dalamnya, seraya berdoa:

"Allah adalah Zat yang menghidupkan dan mematikan. Dia hidup dan tidak (akan) mati. Ampunilah, wahai Allah, dosa ibuku, Fatimah Binti Asad. Ajarkanlah padanya hujjah (jawapan pertanyaan)nya, dan luaskanlah baginya tempat tinggalnya dengan (perantaraan/kemuliaan) hak NabiMu dan para nabi sebelumku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih di antara yang pengasih."

Lalu Nabi Muhammad s.a.w. bertakbir empat kali (melakukan salat mayat). Setelah itu, Rasulullah s.a.w., al-'Abbas, dan Abu Bakar al-Siddiq r.a. memasukkan kembali mayat itu ke dalam liang lahad.
(Hadith Riwayat Imam Tabrani dalam al-Kabir dan al-Ausath).

2. al-Imam al-Hafiz Syeikh 'Imaduddin Ibn Kathir mengatakan, ada sekelompok 'ulama', di antaranya Syeikh Abu Mansur al-Sabbagh, di dalam kitabnya al-Syamil, mengenai "Hikayat yang Terkenal" dari al'Atabi, mengatakan:

"Ketika aku duduk dekat kuburan Nabi Muhammad, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi yang berkata:

"Semoga salam sejahtera selalu tercurah kepadamu, wahai Rasul Allah. Aku pernah mendengar Allah berfirman: 'Sesungguhnya jika mereka menganiaya dirinya datang kepadamu lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentu mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (al-Qur'an: al-Nisa: 64). Sungguh aku datang kepadamu, wahai Nabi seraya memohon ampunan dosa dan memohon syafa'at dengan perantaraan kemulianmu (untuk) menuju Tuhanku." Setelah itu, dia bersyair:

"Wahai sebaik-baik orang yang terkubur di lembah yang aku agungkan ini,
Beruntunglah orang yang dikubur di sekitar lembah dan bukit ini,
Diriku aku tebuskan untuk engkau yang menempati kuburan ini,
Pdanya terdapat kesucian, kedermawanan, dan kemuliaan."

Orang Arab itu lalu pergi. Ketika aku tertidur, aku bermimpi melihat Nabi Muhammad s.a.w. Beliau bersabda, "Temuilah orang Arab itu dan gembirakanlah bahawa Allah S.W.T. telah mengampuni dosanya."

Kisah itu disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya yang terkenal, al-Idhah pada bab ke-6. al-Hafiz 'Imaduddin Ibn Kathir juga meriwayatkannya dalam Kitab Tafsirnya khususnya ketika mentafsirkan ayat Wa lau annahum idh zhalamu anfusahum...

Kisah itu bahkan diriwayatkan juga oleh Syeikh Abu Muhammad Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni, Jilid III. Juga dinukil oleh Syeikh Abu al-Faraj bin Quddamah dalam al-Syarh al-Kabir Jilid III. Demikian pula diriwayatkan oleh Syeikh Mansur Bin Yunus al-Buti di dalam kitabnya yang terkenal, Kasysyaf al-Qina Jilid V, yang merupakan sebuah kitab yang terkanal di dalam madhab Hanbali.

Imam al-Qurthubi, mufassir besar juga meriwayatkan kisah tersebut di dalam tafisirnya yang terkenal, al-Jami' Jilid V.

3. Dalam sebuah hadith disebutkan bahawa Nabi Adam a.s. pernah bertawassul kepada Allah dengan perantaraan (kemuliaan) Nabi Muhammad s.a.w. Dalam al-Mustadrak, Imam Hakim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa'id Amr bin Muhammad bin Mansur al-'Adl, dari Abu al-Hasan Muhammad bin Ishak bin Ibrahim al-Hanzali, dari Abu al-Harith Abdullah bin Muslim al-Fihri, dari Ismail bin Maslamah, dari Abdul al-Rahman bin Zayd bin Aslam, dari ayahnya, dari abangnya, dari Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Ketika Nabi Adam a.s. terlanjur melakukan dosa, ia berkata, 'Wahai Tuhanku, aku memohon kepadaMu dengan (perantaraan/kemuliaan) Muhammad untuk mengamouni dosaku.' Allah S.W.T. berfirman, 'Bagaimana mungkin engkau mengetahui Muhammad padahal Aku belum menciptakannya?' Adam berkata, 'Wahai Tuhanku, sesungguhnya setelah Engkau menciptakan dengan TanganMu dan telah Engkau tiupkan ruhMu kepadaku, ketika aku mengangkat kepalaku, aku melihat pada tiang-tiang Arasy ada tulisan 'La Ilaaha illallaah Muhammad rasuulullaah, (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu utusan Allah).' Maka tahulah aku bahawa Engkau tidak menyandarkan kepada namaMu kecuali makluk yang paling Engkau cintai.' Allah S.W.T. berfirman, 'Engkau benar, hai Adam. Sesungguhnya ia (Muhammad) adalah makluk yang paling aku cintai. Berdoalah kepadaKu dengan (perantaraan) haknya. Sungguh Aku telah mengampuni dosamu. Dan seandainya bukan kerana Muhammad, pasti Aku tidak menciptakanmu."
(Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak; dan beliau mensahihkannya (Jilid II). Diriwayatkan juga oleh Imam al-Suyuti dalam al-Khashaa'ish al-Nabawiyyah (Keistimewaan Nabi), di mana Imam al-Suyuti juga mensahihkan hadith tersebut. Imam Baihaqi pula meriwayatkannya dalam kitab Dala'il al-Nubuwwah (Bukti-bukti Kenabian). Seperti diketahui, Imam Baihaqi tidak meriwayatkannya dalam hadith-hadith maudhu'. Hal itu ditegaskannya dalam mukadimah kitabnya. Hadith di atas juga disahihkan oleh Imam al-Qastalani dan al-Zarqani di dalam al-Mawaahib al-Ladunniyyah (Kurnia Ladunni) Jilid I.; juga oleh Imam al-Subki dalam Syifa' al-Saqaam (Mengubati Penyakit). al-Hafiz al-Haithami berkata, "Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Tabrani dalam al-Ausath, tetapi dalam sanadnya ada orang yang tidak aku ketahui. (Majma' al-Zawa'id Jilid VIII).

Berkenaan dengan tawassulnya Nabi Adam a.s., Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah meriwayatkan dua hadith yang dijadikannya sebagai bukti kebenaran tawassulnya Nabi Adam a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ibn Taimiyyah mengatakan:

"Diriwayatkan oleh Abu al-Faraj Ibn al-Jauzi dengan sanadnya (yang sampai) kepada Maisarah r.a.: Aku berkata, 'Wahai Rasulullah, bilakah engkau menjadi nabi. Beliau menjawab: 'Setelah Allah S.W.T. menciptakan bumi, lalu berpaling (menuju) ke langit untuk kemudian menciptakannya menjadi tujuh (lapis) langit dan Dia menciptakan 'Arasy, Dia tulis pada kaki 'Arasy: 'Muhammad Rasulullah Khatamu al-Anbiya'' (Muhammad Utusan Allah, Penutup Para Nabi). Dia pun menciptakan syurga yang didiami Nabi Adam dan Siti Hawa, lalu ditulis namaku pada pintu-pintu, pada auraaq (kertas-kertas/dedaunan), kubah-kubah, dan pada khemah-khemah; sementara Nabi Adam masih dalam keadaan di antara ruh dan jasad. Ketika dia dihidupkan oleh Allah S.W.T., dia melihat ke 'Arasy dan melihat namaku. Allah S.W.T. kemudian memberitahukannya bahawa Muhammad Rasulullah adalah sayyidu waladika (pimpinan anakmu). Ketika syaitan telah menggelincirkan keduanya, mereka memohon manfaat dengan (atas nama) namaku (seraya bermohon) kepada Allah S.W.T."

Abu Nu'aim meriwayatkan dalam kitab Dalaail al-Nibuwwah (Bukti-bukti Kenabian) melalau thariq (sanad) Syeikh Abu al-Faraj: "Telah menghadithkan kepada kami Sulaiman bin Ahmad; dari Ahmad bin Rasyid, dari Ahmad bin Sa'id al-Fihri, dari Abdullah Ibn Ismail al-Madani, dari Abdul al-Rahman bin Zaid bin Aslam, dari ayahnya, dari Umar bin Khattab r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Ketika Adam telah melakukan kesalahan, dia mengangkat kepalanya lalu berkata, "Wahai Tuhanku, dengan perantaraan hak Muhammad, tidakkah Engkau ampuni kesalahanku?" Lalu diwahyukan9Nya) kepadanya, "Apa dan siapakah Muhammad itu?" Dia menjawab: "Wahai Tuhanku, setelah Engkau sempurnakan penciptaanku, aku angkat kepalaku ke 'ArasyMu. Ternyata di sana ada tulisan 'La Ilaha illaa Allaah Muhammad Rasulullah (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah). Maka tahulah aku bahawa dia makhlukMu yang paling mulia pada (sisi)Mu kerana Engkau menggabungkan namanya berserta namaMu." Maka Allah pun berfirman, "Betul. Kini Aku ampuni kesalahanmu. Seandainya tidak ada dia, Aku pun tidak (akan) menciptakanmu."
Hadith ini menguatkan hadith sebelumnya, dan kedua hadith tersebut seakan menafsirkan hadith-hadith sahih (yang telah disebutkan."

Demikianlah yang dikatakan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam al-Fataawa Jilid II.

Itu menunjukkan bahawa hadith yang telah disebutkan menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, dapat dijadikan sebagai saksi penguat (istisyhaad) dan alat pertimbangan (al-'itibaar). Menurut 'ulama' hadith, hadith palsu dan direka-reka (hadith maudhu') atau yang batil tidak dapat dijadikan saksi. Tetapi tenyata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menggunakan hadith itu sebagai saksi (atas hadith-hadith lainnya).
(Rujuk Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani, Mafahim Yajib An Tusahhah).

4. Al-Khatib narrates in Tarikh Baghdad that the truthful (saduq) qadi al-Husayn ibn `Ali al-Saymari narrated to them, that the trustworthy (thiqa) Imam `Umar ibn Ibrahim [ibn Ahmad] al-Muqri told him, that the trustworthy Shaykh Makram ibn Ahmad told them, that `Umar ibn Ishaq ibn Ibrahim [status?] told them, that the trustworthy Shaykh `Ali ibn Maymun told them: ‘I heard al-Shafi`i say:

“I swear I seek the blessing of Abu Hanifa (inni la’atabarraku bi-Abi Hanifa) and come to his grave every day"’ meaning as a visitor. “Whenever I have a certain need I pray two rak`as then I come to his grave and ask Allah Most High for my need at his grave, and little time passes until it is fulfilled.”

Narrated by al-Khatib in Tarikh Baghdad (1:123) cf. al-Kawthari in his Maqalat (p. 453) and by Ibn Abi al-Wafa’ in Tabaqat al-Hanafiyya (p. 519) through al-Ghaznawi. Imam al-Haytami cites it in the thirty-fifth chapter of his book on Imam Abu Hanifa entitled al-Khayrat al- Hisan.

The wording "I swear" is questionable in light of the saying also reported from al-Shafi`i: ‘I never swore by Allah’ neither truthfully nor deceptively

(From Sunnipath.Com)

12:34 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home