Kertas Kerja ( 019 / siri Kesembilanbelas )
RUKUN BAIAH ASAS KEILTIZAMAN BERJAMAAH
PERANAN AQAL DAN SYARA'
و قد يتـناول كل من النظر الشرعى و النظر العقلى ما لا يدخل فى دائرة الآخر و لكنهما لن يختلفا فى القـطعى فلن تصـطـدم حقيقة علمية صحيحة بقاعدة شرعية ثابتة و يؤول الظـنى منهما ليتفق مع القطعى فإن كانا ظنييـن فالنظر الشرعى أولى بلإتباع حـتى يثبت العـقـلى أو يـنـهـار
" Terkadang masaalah menurut pengamatan syara' dan pengamatan aqal tidak boleh diselaraskan antara satu sama lain , akan tetapi kedua - duanya tidak akan bercanggah dalam perkara yang putus dan menjadi kenyataan . Pertembungan juga tidak akan berlaku antara hakikat ilmiah yang shohih dengan kaedah syara' yang thabit . Perkara dhonni ( tidak putus ) dari sudut aqal dan syariat , boleh diselaraskan supaya bertepatan dengan hakikat yang telah putus . Jika sekiranya pandangan akal dan syariat ( dalam satu - satu perkara ) masih dhonni maka pandangan syariat terlebih utama diikuti sehinggalah sabit pandangan aqal ( dapat buktikan hakikat ) atau ia menjadi gugur . "
ULASAN .
Aqal dan syara' adalah dua bidang yang adakalanya berbeza pengamatan dan tidak boleh diselaraskan seperti soal - soal ghaibiat ( perkara perkara ghaib : syurga , neraka, dosa , pahala , malaikat dan sebagainya kerana ia di luar bidang aqal untuk mengamatinya . ) Namun dalam perkara yang putus ( jelas ) dan telah menjadi kenyataan, tidak akan berlaku percanggahan antara keduanya ( aqal dan syara' ) seperti keimanan kepada Allah sebagai tuhan yang satu dan berkuasa penuh ke atas semua makhluk .
Pertembungan juga tidak berlaku antara hakikat ilmiah yang shohih dengan kaedah syara' yang thabit seperti peringkat kejadian dan pertumbuhan janin dalam perut ibu . Sementara perkara yang tidak diputuskan oleh syara' dan tidak pula oleh aqal , boleh diselaraskan supaya ia bersesuaian dengan perkara - perkara yang bersifat qati'e (putus)
Jika penyelarasan itu gagal ( ertinya aqal dan syara' tetap tidak putus dalam satu - satu perkara ) maka terlebih utama kepada kita mengikut syara' sehinggalah aqal dapat memutuskannya ( jelas dan berbukti ) atau pengamatan aqal yang dhonni ( tidak putus ) itu tidak digunakan lansung .
Nokhtah ini memberi erti bahawa aqal , sungguhpun diberi ruang luas untuk mengkaji dan melakukan eksperimen namun kemampuannya tetap terhad dan tidak bersifat mutlak. Sementara syara' , dimana Al quran menjadi sumbernya adalah suatu yang mutlak justeru Al quran bukan buku teori sebagaimana buku - buku lain tetapi ia adalah kitab hidayah .
Allah berfirman :
فمن اتبع هداى فـلا يضـل و لا يشـقى و من أعـرض عن ذكرى فـإن له معيشـة ضـنكا و نحشـره يوم القيامة أعـمـى
" Maka barangsiapa yang mengikut petunjukku ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. dan barangsiapa berpaling dari peringatanku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan kami kan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta . "
( Taaha 123-124 )
Mereka yang hanya menggunakan khidmat aqal dalam semua perkara tanpa merujuk kepada kepastian syara' seperti golongan Aqlaniyyah ( عـقـلانـيـة ) boleh menjerumuskan mereka ke lembah kekufuran .
Seperti peristiwa Isra' dan mikraj , dikaji dengan aqal dari sudut peristiwanya , apabila mereka merasa tidak logik lalu mereka menafikan peristiwa agong itu . ( Maka penafian mereka samalah dengan penafian Abu Lahab dan Abu Jahal terhadap peristiwa Agong ini . )
Penggunaan aqal jangan disalah pakai . Aqal mempunyai ruang bidang laksana fius yang hanya boleh menerima kadar aliran elektrik dalam had atau watt yang tertentu sahaja . Melebihi kadar yang ditetapkan , akan mengundang malang yang tak berkesudahan .
Keghairahan berteori dan mengeluar hasil pandangan janganlah lari dari paksi Al quran sedang ia dibenarkan seluas - luasnya dalam perkara yang izinkan syara' . Seperti teori pertanian , pengairan dan seumpamanya .
Antara penyalahgunaan aqal , apabila menentukan nasib atau masa depan gerakan Islam ( Gerakan yang berusaha meninggikan syiar Allah ) sebagai masa depan yang gelap dengan hanya berpandu kepada teori politik dan tanggapan prejudis tanpa merujuk kepada janji - janji Allah yang pasti . Sedang Allah telah berfirman :
وعد الله الذين ءامنوا منكم و عملوا الصالحات ليستخلفنهم فى الأرض كما استخلف الذين من قبلهم و ليمكنن لهم دينهم الذى ارتضى لهم و ليبدلنهم من بعد خوفهم أمنا يعبدوننى لا يشركون بى شيئا و من كفر بعد ذلك فأولئك هم الفـاسقون .
“ Dan Allah telah berjanji kepada orang - orang yang beriman diantara kamu dan orang - orang yang mengerjakan amalan soleh bahawa Dia sungguh - sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka ugama yang telah diredhoiNya untuk mereka dan Dia benar - benar akan menukar keadaan mereka , sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa . Mereka tetap menyembahku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku . Dan barang siapa yang tetap kafir sesudah janji itu , maka mereka itulah orang - orang yang fasiq ”
( An Nuur 55 )
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home