" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Sunday, September 24, 2006

Perutusan
Ramadhan al Mubarak edisi 1427 .

Sahabat seperjuangan .

Kebelakangan ini , saya agak jarang on line untuk bersama dengan sahabat seperjuangan di persada maya . Namun tidak bermakna saya melupakan tanggungjawab menyumbang ilmu dan fikrah untuk dikongsi bersama , tatkala kita mengenderai bahtera perjuangan ini.

Ternyata sukar memikul beban amanah dan tanggungjawab perjuangan tanpa taufiq dan hidayah Ilahi . Menambah sulit andainya perjuangan yang serba sukar ini pula dilangsungkan tanpa sahabat seperjuangan mengirim doa , menitip idea dan mengerah jasa .

Sahabat ! , hadhirnya kalian bertapak di atas satu wadah dan satu manhaj perjuangan dengan diriku ini , menjadikan diri ini kian bertenaga meredah ranjau dan berasa bangga menggalas wasiat perjuangan .

Demi Allah ! tidak mungkin dapat saya lupakan persahabatan yang terjalin antara kita biarpun kemesraannya hanya seketika , namun kenangannya telah terukir di sanubari ini . Semoga persahabatan kita terus berkekalan dan apa yang paling penting , ia menjadi asset bernilai tinggi buat perjuangan yang kita dokong ini.

Tatkala Ramadhan kembali menjelma bersama Rahmat Ilahi yang mencucuri hambanya yang soleh dan bertaqwa , hati ini hiba dalam rindu dendam terhadap semua insan yang bernama “sahabat seperjuangan” .

Iftar Jamae’i

Alangkah indahnya Ramadhan edisi ini , andai saya dapat meraikannya di samping sahabat seperjuangan . Masih segar dalam ingatan saya , bagaimana kita menceria dan menghidupkan Ramadhan silam dengan Iftar Jamaei yang mengandungi pelbagai aktiviti .

Mengerat Taqarrub dengan wirid al Ma’thurat.
Mengukuh Ribat dengan doa Rabitah .
Mempertaut Kasih dengan Taaruf Mesra .
Menghening Petunjuk dengan Tadarrus .
Memperkaya Ganjaran dengan Taawwun .
Menghalus Budi dengan Nasihat .
Mengingat Hati dengan Wasiat .
Menjati Diri dengan Motivasi .
Menyihat badan dengan Riadhah .
Menceria Rasa dengan Berbuka .
Merapat Hubungan dengan Solat Jamaah
Memperkasa Semangat dengan Tazkirah .
Memantap Jiwa dengan Qiamulail .
Menambah Ilmu dengan Kuliah
Menghakis Hasad dengan Salam .

Madrasah Ramadhan .

Masih ingatkah sahabat , bagaimana kita lalui Ramadhan silam ? Sejurus kita mendaftarkan diri pada 1 Ramadhan , kita jalani hidup ini dengan penuh disiplin laksana berada di sebuah Madrasah .

Sebahagian besar dari hari – hari yang berlalu , kita programkan bersama dengan meletak marhalah atau peringkat yang selayaknya. Kita kemukakan silibus dan kita lengkapkan tentative dengan perlaksanaan dan penghayatan bersama untuk graduate dari madrasah ini sebagai Insan Muttaqin dan Rijal Tarbawi .

Ramadhan dihayati dengan skimanya yang tepat sebagaimana dikehendaki oleh Allah Jalla wa A’la .

Nafsu dan penguasaan Syaithan dikekang dengan berPuasa.

Semangat Jihad dijana bersama Tarbiyyah Ghazwatul Badar

Keimanan ditajdid melalui penghayatan Nuzul al Quran .

Sikap optimistic terhadap Islam ditempa dengan Ruh Fathul Makkah.

Mengharap Redho dan Keampunan Ilahi melalui ruang Lailatul Qadar.

Kemenangan dirai berpaksi Aqidah tanpa leka di Pagi Syawal.

Ramadhan Terbaik .

Entah mengapa , sejak pagi kotak fikiran saya hanya dihuni oleh kenangan silam yang diimbau penuh emosi . Dari satu episode nostalgia ke satu episode berikutnya , jiwa saya resah dalam hambatan rindu yang tidak berpenghujung.

Sahabat seperjuangan yang melakar sejarah sukaduka bersama , para pemimpin yang gigih dan sabar membimbing , Ibu dan ayah yang tidak pernah jemu menitip doa buat anaknya ini , Isteri dan anak yang tabah mengharungi pahit getir akibat perjuangan ini silih berganti sebagai kenangan yang mewarnai fikiran saya di saat ini.

Mereka semua adalah segalanya bagi diri saya. Tanpa mereka , diri ini pasti hilang motivasi untuk istiqamah menelusuri lurah sukar perjuangan Islam ini .

Entah berapa kali Ramadhan telah saya lalui bersama mereka membuatkan diri saya sukar untuk menyambut Ramadhan tahun ini tanpa sebahagian dari mereka.

Apa yang saya harapkan agar , Ramadhan yang kita lalui pada edisi ini menjadi lebih baik dan lebih bererti buat kita semua berbanding apa yang telah kita lalui bersama .

Malang , andainya edisi ini menyaksikan Ramadhan terburuk yang pernah kita lalui . Ya , saya sendiri cukup takut dan bimbang , kalau – kalau ia menjadi kenyataan . wal I’yazubillah.

Kemalangan .

Sekembali saya dari xpdc atau Jaulah Dakwah di 3 buah negeri iaitu Kuala Krai , Kulim dan Taiping beberapa hari yang lalu , sekali lagi meninggalkan kenangan namun kenangan kali ini amat pahit .

Dalam perjalanan pulang ke Kuantan , sebaik sahaja saya memasuki lebuhraya Gombak ke Karak sekitar jam 4.20 am , Kenderaan yang saya naiki terbabas dalam hujan lebat sehingga melanggar penghadang jalan.

Alhamdulillah saya bersama Ust Fadhli Ibrahim dan seorang sahabat dari Kemaman selamat dalam kemalangan tersebut. Trauma masih dirasai .

Manakan tidak , kemalangan adalah suatu yang mengerikan. Selain daripada ia merosakkan harta benda kita , nyawa hampir terkorban . Sementelah pula saya entah berapa kali terlibat dalam kemalangan justeru sebahagian besar masa saya habis di jalanraya .

Nyawa ini dirasakan senantiasa berada di hujung landasan . namun apakan daya , urusan dan tanggungjawab perjuangan ini meletakkan saya dalam situasi yang demikian.

Apapun , demi agama Allah , terpaksalah dihadapi jua cabaran ini dengan mengharap doa restu dari semua khasnya sahabat seperjuangan , agar diri ini senantiasa dilindungi Ilahi dari segala jenis bencana yang tidak diingini.

Kelmarin , sewaktu mentaksirkan kos membaik pulih kenderaan saya yang terlibat dalam kemalangan tersebut di workshop , hampir sahaja mencecah RM 3 ribu .

Sekali lagi ia menjadi satu tamparan dan tekanan hebat kepada saya , namun situasi ini pernah di alami beberapa kali sebelum ini. Semoga kali ini , saya sekali lagi berjaya menghadapinya.

Sahabat ! demikianlah satu tragedy

Namun lebih parah andainya kemalangan yang berlaku , melibatkan retak dan pecahnya hati – hati dikalangan insan yang berjuang untuk agama Allah swt.

Islam dihina , wajarkah kita masih berkhilaf ?

Kemalangan dahsyat ini seringkali melibatkan pertembungan fikrah dan manhaj yang tidak sealiran.

Lebih ngeri kiranya kemalangan itu hanya berpunca dari keegoan dan sikap eragon terhadap kelebihan diri yang mungkin tiada pada yang lain.

Demikian juga kemalangan yang berlaku akibat individu yang teruja dengan pencapaian ilmu dan certificate nya . Sehingga ia bertindak liar merempuh penghadang adab berbicara , seolah – olah hanya dia yang merajai pentas ilmu . Tiada benar pada pihak lain melainkan dirinya jua yang berhak tahqiq dan ta’liq .

Kemalangan ini mengakibatkan jumlah mangsa yang ramai. Seringkali pula mangsa kemalangan jenis ini , berakhir dengan korban jiwa bagi yang tewas dan trauma yang panjang bagi yang masih selamat .

Tidak hairanlah , cabaran terbesar buat perjuangan Islam dewasa kini bukanlah kehebatan musuh , justeru mereka tidak pernah hebat dihadapan Islam . Sebaliknya kelemahan sendiri yang berpunca dari pecah dan retak hati sesama pejuang .

Tiada lagi kerjasama dan tolak ansur dalam menatang amanah perjuangan , hanya kerana berbeza fikrah dan manhaj walhal masih memiliki nokhtah matlamat yang sama .

Sedang musuh – musuh Islam yang berbeza matlamat perjuangan mereka mampu bersatu dan bekerjasama guna menghadapi ummat Islam .

Ramadhan membentuk peribadi Pejuang.

Justeru itu , renunglah aduhai sahabat ku , sempena kita bersama menuntut di Madrasah atau University of Ramadhan ini sekalipun kita berlainan faculty , kita masih mampu bersua dan berbincang , bersahabat dan bermesra kerana matlamat kita satu , iaitu graduate sebagai Insan Muttaqin .

يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون .

Wahai orang – orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu , semoga mereka bertaqwa kepada Allah swt.

Al Baqarah : 183

Kesempatan ini selayaknya digunakan sebaik mungkin guna menatah syakhsiyyah solehah . Satu keperibadian atau syakhsiyyah yang melayakkan seorang pejuang menyandang statusnya.

Kita tidak mahu dilabel sebagai seorang pejuang yang mengalami krisis kualiti dan identity . Pejuang yang hanya memiliki “lesen terbang” untuk terjun ke medan , sementara mereka terlalu jauh dari tahap keupayaan sebenar sebagai seorang pejuang Islam .

Krisis kualiti dan identity ini jangan dipandang rendah oleh semua individu yang berhasrat untuk terjun ke medan justeru medan perjuangan bukan pentas pentomen , juga bukan aksi lasak wayang gambar .

Sebaliknya perjuangan ini mendambakan pejuang yang sedia dengan segala komitmen . Bermula dengan :

pembinaan aqidah yang jitu ,
peribadi yang soleh ,
fikrah yang mantap ,
fizikal yang tabah ,
semangat yang ampuh ,

hinggalah ke tahap rela dan sedia untuk mengorbankan darah dan nyawa demi agama Allah swt.

Ramadhan menyediakan segala pakej pembinaan dan pengkaderan tersebut . Satu pakej yang siap dengan modus operandinya yang menepati jadual perlaksanaan.

Menjelang 1 Syawal kelak , ia merupakan hari konvokesyen buat semua siswa / siswi university of Ramadhan dan menerima pengiktirafan sebagai Graduate University of Ramadhan .

Mereka yang gagal , bukan sahaja tidak berhak menerima pengiktirafan tersebut di hari lebaran , sebaliknya ia terpaksa menunggu setahun berikutnya untuk memperbaiki prestasi .

Islam memberi peluang kedua . Persoalannya , apakah kita benar – benar mampu manafaatkan peluang dihadapan kita kini atau kita hanya akan mensia – siakan peluang tersebut biarpun peluang kedua , ketiga , keempat dijanjikan .

Sahabat ku !

Jangan sia – siakan peluang yang terbentang di hadapan kita , untuk memperbaiki prestasi setelah kita tidak berpuas hati terhadap pencapaian silam .

Sahabat ku !

Cabaran yang dihadapi kini , meletakkan kita di “perbatasan” antara iman dan kufur atau hak dan bathil . Hanya hukum “wajib berjuang” yang wajar kita halusi perlaksanaannya. Sementara “harus” dan “sunat” tidak lagi menjadi perkiraan dalam situasi sebegini .

Sahabat Ku !

Apalagi yang harus dimenungkan ? Persiapkan bekal , sarungkan uniform dan semak diary seta selaraskan jadual untuk terus menyahut seruan perjuangan dan semboyan gerakan islam yang pastinya sedang menunggu kehadhiran kita .

Sahabat Ku !

Sedetik kita lewat bermakna kitalah yang mengkhianati ummah sedang mereka mendambakan pertolongan cemas dari kepungan jahiliyyah modern yang tidak pernah bersimpati terhadap mereka.

Sahabat ku ! bangkitlah …..

Ramadhan Kareem !

3 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum,

Semoga Allah merahmati anta dan memberi rezki yang lebih baik lagi.

Selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya Aidil Fitri.

Salam ukhuwwah dari ;
Syabab Hizbut Tahrir Wilayah Malaysia Pahang)

8:29 AM

 
Anonymous Anonymous said...

man,

boleh tau, siapa yang mengetuai hizbut tahrir? Juga siapakah yangmnejadi pemimpin hizbut tahrir malaysia?

Jazakallah

12:18 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum,

Adab bertanya, orang bertanya patut memperkenalkan diri.

Ketua Hizbut Tahrir ialah A'ta Abu Rushta. Beliau mengetuai HT di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

HT kelompok dakwah politik ON the ground. Baik penyokongnya mahupun fikrahnya tidak sulit untuk dicari, apalagi di zaman IT ini. Fikrah dan prinsip perjuangannya sangat mudah diakses oleh sesiapa pun kat dunia, merangkumi berbagai bahasa utama dunia seperti bahasa Arab, English, Melayu, Urdu, Belanda, Jerman, Turki, Denmark dan sebagainya.

Kepada penanya, selamat berkunjung ke laman web hizbut tahrir / khilafah.com dsbgnya.

1:45 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home