" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, August 29, 2006

PERJUANGAN DAN PENGORBANAN

1.0 PENDAHULUAN

Perjuangan dan Pengorbanan tidak boleh dipisahkan kerana ia amat berkait rapat dan saling memerlukan diantara satu sama lain. Tiada perjuangan tanpa pengorbanan dan sesuatu pengorbanan adalah mustahil tanpa wujudnya proses perjuangan.

2.0 KONSEP PERJUANGAN ( jihad ) DAN PENGORBANAN

2.1 Pengertian Jihad dan Pengorbanan

Menurut Ibn Abbas : Jihad bermaksud menggunakan kemampuan yang ada pada jalan dakwah /jihad dan tidak takut kepada celaan orang lain pada jalan Allah.

Manakala menurut Dr. Said Ramadhan al-Buti : Jihad ialah berusaha meninggikan kalimah Allah, membentuk sebuah masyarakat Islam, menggunakan usaha melalui peperangan sebahagian daripadanya. Adapun matlamatnya ialah membentuk masyarakat Islam dan mendirikan negara Islam.

Oleh itu, jihad menurut pengertian khas ialah berperang fi sabilillah. Adapun maknanya secara umum ialah ; kehidupan kita umumnya bermula daripada peringkat awal sehinggalah pengakhiran kehidupan seseorang itu adalah jihad.

Pengorbanan menurut Imam Hasan al-Banna ialah menggunakan (mewakafkan) diri , harta, waktu dan kehidupan untuk mencapai matlamat. Tiada jihad tanpa disertai pengorbanan.

2.2 Skop jihad Amat Luas

Konsep jihad dan pengorbanan menjadi lebih jelas lagi apabila baginda Rasulullah saw memberikan skop gambarannya di dalam sebuah hadith bermaksud :

"Ditanya kepada Rasulullah saw tentang seorang lelaki yang berperang kerana mahu dikenali sebagai pahlawan, seorang lagi berperang untuk dikenali sebagai seorang yang berjasa mempertahankan bangsa / kabilahnya dan yang seterusnya untuk menunjukkan kehebatannya (riya`), yang mana satukah dikira sebagai berjuang fisabilillah? Maka Rasul saw menjawab: Barangsiapa yang berperang semata-mata untuk meninggikan kalimah Allah (Islam) maka mereka adalah fi sabilillah”

(Bukhari/Muslim)

2.3 Keistimewaan Jihad dan Pengorbanan

Ia menjadi lebih istimewa lagi apabila Allah swt menjanjikan ganjaran terbesar untuk mereka yang dikategorikan sebagai mujahid yang berkorban di jalan Allah, firmanNya bermaksud :

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?”

(3: 142)

3.0 JIHAD ADALAH JALAN DAN SYIAR DAKWAH ISLAMIYAH

3.1 Jihad Merupakan medan Dakwah

Rasulullah telah memberikan garis panduan yang amat jelas tentang Jihad dan ia merupakan merangkumi skop yang amat luas iaitu mengeksploitasi apa sahaja yang digunakan bertujuan untuk meninggikan agama ALLAH / ISLAM selagi ia dibenarkan syarak, Rasulullah saw menjelaskan ;

Kuda yang ditambat untuk berperang fisabilillah (tuannya akan memperolehi) kebaikan sehingga hari kiamat samada ganjaran pahala (syahid) ataupun harta rampasan perang (ghanimah - kemenangan)”

(Bukhari/Muslim)

3.2 Jihad adalah Kewajipan Berterusan Sehingga Hari Kiamat

Imam Hasan al-Banna menyatakan di dalam Risalahnya : Ia adalah kewajipan yang berterusan sehingga hari kiamat seperti maksud hadith Rasulullah saw ”Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak berperang (fisabilillah) atau tiada niat untuk berperang fisabilillah maka matinya adalah (seperti) mati jahiliyah”. Adapun martabat yang paling rendah ialah (jihad melalui) engkar dengan hati , manakala yang paling tinggi ialah berperang fisabilillah.”

”Di antara cara berjihad ialah melalui jihad lisan (nasihat), jihad melalui pena dan tangan (kuasa). Begitu juga dengan berkata benar terhadap pemerintah yang zalim. Sesungguhnya dakwah tidak akan hidup tanpa jihad.”

4.0 JIHAD MEMBAWA KEMULIAAN

4.1 Jihad Menjadi Sebab Musabbab diberikan Hidayah oleh Allah

Hidayah tidak datang bergolek, bahkan ia perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh , Firman Allah swt bermaksud:

” Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

(29:69)

4.2 Mencapai Ketinggian dan Kemuliaan disisi Allah adalah Melalui Jihad

Allah swt telah mebuat satu analogi bahawa mereka yang berusaha / bekerja untuk Allah sentiasa mendapat keuntungan di sisiNya. FirmanNya :

” Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar;”

(4:95)

Rasulullah saw juga menjanjikan berita gembira untuk mereka yang berjihad yang tidak diberikan selain daripada pejuang-pejuang yang berkorban demi menegakkan syariat Allah ;

Tidaklah cedera (luka) seseorang itu fisabilillah dan Allah maha mengetahuinya (keikhlasan/perjuangannya fisabilillah) kecuali datang ia pada hari kiamat dalam keadaan darah yang masih mengalir, warna darah masih berwarna merah tetapi baunya seperti bau kasturi (tidak hanyir”.)

(Bukhari/Muslim)

5.0 METODOLOGI / CARA PEMBINAAN RUH JIHAD SEPANJANG SEJARAH PERJUANGAN ISLAM

5.1 Pembinaan akidah yang mantap seperti diperingkat makkiyah (13 tahun di Mekah – proses penanaman dan pembinaan akidah)

5.2 Hendaklah Mempunyai Sensitiviti dan Keperihatinan Terhadap Ummah Sabda Rasulullah saw:

”Barangsiapa yang tidak mengambil / mempunyai sensitiviti terhadap saudaranya Muslim yang lain bukanlah dari kalangan mereka (Umatku-Muslim)”

(Bukhari/Muslim)

5.3 J ihad Adalah satu Fardhu/Kewajipan (Fardhu Kifayah dan Fardhu Ain. )

Menurut Imam Hasan al-Banna : ”Alhi-ahli ilmu yang terdiri daripada mujtahidin, muqallidin, salaf dan khalaf telah sepakat (ijma’) mengatakan jihad adalah fardhu Kifayah untuk mengembangkan dakwah dan fardhu Ain untuk menangkis serangan kuffar”.

5.4 Metodologi Rasulullah saw :

Qudwah yang baik daripada Rasulullah saw sendiri dengan mempersiapkan bekalan ruhiyah pejuang yang paling ampuh iaitu solat Tahajud yang hampir tidak pernah ditinggalkannya tanpa sebarang sebab.

Selain daripada itu, baginda saw sendiri turun ke medan jihad dan bersungguh-sungguh di dalam usaha tersebut. Baginda saw telah membuktikan kesunguhannya dengan memegang jawatan / tugas sebagai ;

Khalifah – menteri – tenaga pendidik – tuan guru – mufti – muazzin – Imam - yang Arif / Hakim – Komander perang - Akauntan – Penguatkuasa – Pembuat alatan peperangan – Mata-mata – Penterjemah – Penjaga Perbendaharaan – Peniaga -Mancari Kayu api – Dermawan - Ahli psikologi – Pendakwah – Bomoh - Ketua keluarga dan banyak lagi.

Baginda juga merupakan seorang pemimpin yang mempunyai manhaj dan pendekatan yang bijaksana di dalam membina modal insan / jati diri para sahabat sebagai ”Generasi al-Quran yang Unik” . Di antaranya melalui pendekatan :

Mengislah diri dan jiwa di samping menjernihkan akal dan membina kekuatan fizikal – menfokuskan kepada kawalan hati sebagai raja bagi kerajaan badan dan agensi-agensi pelaksanaannya . Membina ketahanan jiwa daripada segala pancaroba dan halangan.

Berhijrah ke tempat yang lebih baik yang sesuai untuk penyuburan dan perkembangan Iman dan Islam.

Bertindak tegas terhadap musuh yang berusaha menghancurkan Islam dan memerangi serta menggangu-gugat kedaulatan Islam.

5.5 Hanya Jihad berupaya Membebaskan dan Mempertahankan Islam dan Ummah daripada belenggu musuh.

Beberapa coretan sejarah telah membuktikan bahawa Islam tidak berjaya dimusnahkan bahkan ia tidak berani diusik oleh musuh apabila semangat jihad masih membara di dalam sanubari umat Islam. Diantaranya seperti :

Peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah dan para Sahabat.

Kejatuhan tentera Monggol yang ganas di dalam peperangan ”Ain Jalut”.

Kejayaan Salahuddin al-Ayyubi Membebaskan Masjidil Aqsa daripada tangan pihak salib (kristian).

Golongan Kolonial gagal menduduki tanah Palestin di akhir zaman pemerintahan Uthmaniyah walaupun kerajaan pada waktu itu amat lemah.

Peperangan dengan Mesir - Isreal – berjaya mengambil kembali suez dan sinai daripada Israel.

Pencerobohan Afghanistan oleh Soviet Union.

Pencabulan kemanusiaan oleh Israel yang lengkap dengan senjata moden tidak berupaya menghapuskan Palestin yang bersenjatakan batu dan Hizbullah di Lubnan yang berbekal ”Katyusha”.

Pengakuan king Richard (Raja British) : “Pihak Salib telah melakukan kesilapan besar dengan melancarkan peperangan terhadap orang Islam yang mana keadaan mereka (orang Islam) cintakan mati (syahid) sedangkan kita (tentera salib) berperang dengan mereka dalam keadaan amat takut kepada kematian.”.

5.6 Wajib Mengembalikan Khilafah Islamiyah di bumi ini.

Tugas manusia adalah sebagai khilafah Allah secara umumnya iaitu untuk menguruskan kehidupan mereka di dunia ini menurut syariat yang telah ditetapkan Allah swt iaitu syariat Islam di dalam semua aspek kehidupan sama ada politik, ekonomi mahupun sosial.

Manakala menurut pengertian khalifah yang lebih khusus ialah menjadi khalifah kepada Rasulullah saw. Ia bermaksud menjadi pengganti Rasulullah saw di dalam menguruskan urusan pentadbiran seperti mana yang dilakukan oleh baginda saw dulu sebagai perdana menteri, ketua hakim negara, ketua komander turus angkatan tentera, ketua audit negara, ketua pencegah kemungkaran dan rasuah, pengurus, imam, ketua keluarga dan lain-lain lagi.

Menurut al-Mawardi, khalifah bermaksud ; “memelihara agama dan menguruskan dunia (kehidupan) dengan agama."

Oleh itu menjadi kewajipan, kepada setiap muslim untuk memastikan al-Quran dapat dipraktikkan di dalam semua aspek kehidupan sebagai mana yang telah dipelopori oleh Rasulullah saw di (negara Islam) Madinah 14 kurun yang lepas.

Di samping itu, kaedah fiqh juga menyatakan tentang kewajipan (jihad) menegakkan khilafah islamiyah berterusan sehinggalah terbentuknya kerajaan Islam. Kaedah tersebut berbunyi :

"ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب"

6.0 TIADA JIHAD TANPA PENGORBANAN

6.1 Janji Allah Adalah Benar : Jihad adalah perniagaan yang paling menguntungkan apabila bermodalkan (pengorbanan) jiwa dan harta di jalan Allah.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga.”

(9: 111)

6.2 Terdapat banyak contoh pengorbanan yang dilakukan oleh para sahabat dan salaf al-soleh serta mereka yang ikhlas dan benar janji mereka di dalam mempertahankan Islam seperti : Abu Bakar , Umar, Uthman dan Ali .

Mereka yang dijamin masuk Syurga seperti ; Talhah bin Ubaidillah, Zubair al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Said bin Zaid, Abd Rahman bin Auf, Abi Ubaidah al-Jarrah dan lain-lain.

Imam-Imam muktabar seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafei, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Nawawi, Imam Izzudin Abd Salam dan lain-lain.,

Pemimpin dan pejuang-pejuang yang telah membuktikan kebenaran janjinya mempertahankan Islam seperti Salahudin al-Ayyubi, Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Syeikh Ahmad Yasin , Zainab al-Ghazali dan ramai lagi.

6.3 Sentiasa berusaha menggunakan segala kekuatan dan kepakaran yang ada untuk mempertahankan dan menjaga maruah Islam sepanjang masa sama ada membantu dan memberi nilai tambah kepada perjuangan Islam wadah perjuangannya seperti beriltizam dengan jemaah dan bekerja ke arah matlamatnya yang murni itu.

7.0 PENUTUP

Sesungguhnya kejayaan Islam itu bergantung kepada sejauh mana pendokong dan pekerja (amilin) berusaha untuk memartabatkan Islam. Bagi pihak Allah swt, sentiasa bersedia untuk menurunkan kemenangan seperti di dalam peristiwa Badar al-Kubra, Cuma persoalan yang perlu dilontarkan ialah sejauh mana kita telah bekerja ke arahnya atau pun kita masih belum berbuat apa-apa.

Wassalam.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Assalamu'alaikum warohmatulloh..

Pak, mo tanya, hasan al banna ketika ditanya wartawan "Siapakah Anda?" , beliau njawab apa ya?

Jazakallahu khoir....

Wassalamu'alaikum warohmatulloh..

Ttd,
Nurhayati
Universitas Negeri Yogyakarta


NB: Mohon kirim jawaban ke email saya home_165@yahoo.com, sekalian alamat blogger ini apa. soalnya saya nggak hapal alamat blogger ini, ini buka pake google, susah besok kalo mo buka lagi.

12:30 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home