BERFIKIR BIAR POSITIF
Saya tidak boleh menafikan bahawa perjuangan Islam ini adalah suatu yang sukar malah terpaksa berhadapan pula dengan segala mehnah dan ibtila’ ( halangan dan ujian ).
Hari pertama Islam dikemukakan oleh Rasulullah saw untuk penduduk bumi ini , Baginda saw. telah pun dihadapkan pelbagai mehnah dan ibtila’ . Tanpa berselindung , Rasulullah saw pernah di beri amaran tegas :
هذا الأمرُ تَكْرَهُهُ الْمُلُوْك و تُحاَرِبُكَ العرَبُ و العَجَم
Perkara ini ( ajaran tauhid yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw ) adalah suatu yang sangat dibenci oleh pemerintah dan kelak kamu akan diperangi oleh orang – orang Arab dan bukan Arab .
Memahami tabiat dan sunnah perjuangan Islam yang kita dokong ini , persiapan mental , fizikal dan spiritual adalah 3 elemen penting yang mesti digandingkan dalam satu pakej . ( 3 dalam 1 )
Saya melihat , antara factor yang sering mengundang masaalah , khasnya masaalah dalaman kepada perjuangan Islam yang kita dokong ini ialah , apabila kita menatang perjuangan ini tanpa pakej yang saya maksudkan .
Sedang cabaran atau tahaddiyat yang terpaksa ditempoh oleh pejuang – pejuang Islam di sepanjang sejarah perjuangan adalah suatu yang bersifat sengit dan getir.
Tanpa kekuatan mental , fizikal dan spiritual , seringkali membuatkan pejuang – pejuang kita tersandar tanpa upaya malah rebah ditimpa musibah .
TIADA SHORT CUT BUAT PERJUANGAN INI .
Apa pun situasi yang dialami , itulah reality yang terpaksa diterima. Mengelak diri dari mehnah dan ibtila’ adalah satu tindakan negative yang mengeluarkan kita dari paksi perjuangan ini.
Mencari jalan pintas untuk menggapai kemenangan ( tanpa melalui halangan dan rintangan ) bukan sahaja gagal tetapi salah menurut disiplin perjuangan Islam .
Ada pihak yang mendakwa , mereka tidak berhadapan dengan segala mehnah dan ibtila’ semasa mengurus perjuangan ini ekoran tindakan bijak mereka mengatur strategi dan menyusun langkah .
Saya melihat dakwaan ini adalah dakwaan palsu ! atau sebenarnya dia bukanlah berjuang dalam erti kata sebenar menurut kamus perjuangan Islam .
Sebab , mana mungkin perjuangan Islam ini berlangsung tanpa ujian dan halangan sedang itu adalah sunnah perjuangan . Firman Allah swt .
و لنبلونكم حتى نعلم المجاهدين منكم و الصابرين و نبلوا أخباركم .
Nescaya kami akan menguji kamu ( memberi ibtila’ ) sehingga maklum kepada kami , mereka yang berjuang dan bersabar dikalangan kamu dan kami mengetahui keadaan sebenar kamu .
Muhammad : 31
أم حسبتم أن تدخلوا الجنة و لما يعلم الله الذين جاهدوا منكم و يعلم الصابرين .
Apakah kamu menyangka bahawa kamu dibiarkan memasuki syurga secara percuma sedang belumlah maklum kepada Allah , orang – orang yang berjuang dan bersabar dikalangan kamu .
Aali Imraan : 142
Cukup saya membawakan dua nas Ilahi guna menegaskan bahawa perjuangan ini mesti mengharungi cabaran dan ujian di sepanjang jalannya.
Jika alasan bijak mengatur strategi dan menyusun langkah sebagai hujjah bahawa perjuangan mereka tidak menghadapi mehnah dan ibtila’ , maka suka saya bertanya : Siapakah yang lebih bijak strategi dan langkahnya selain Baginda Rasul saw. , tuan kepada dakwah dan perjuangan ini ?
Bukankan perjuangan Nabi saw. sejak awal hinggalah ke hari wafatnya baginda saw. “dihiasi” mehnah dan ibtila’ ?
Nokhtah Positif dalam Mencorak Pemikiran Pejuang .
Bermula dari nokhtah ini , kita harus positif terhadap apa jua bentuk halangan dan ujian yang kita tempoh . Samaada halangan dan ujian yang bersifat luaran ( dari pihak musuh ) malah juga suatu yang bersifat dalaman . ( dari karenah anggota jamaah .)
Positif dalam pemikiran kita adalah seperti :
1- Yakin Islam ini pastikan menang ,
2- Kalah pilihanraya bukan berakhir segalanya ,
3- Belajar dari kesilapan dan merangka plan tindakan ,
4- Teguran adalah cerminan untuk muhasabah
5- Pujian adalah motivasi untuk meningkatkan prestasi
6- Musibah mendewasakan diri
7- Halangan mematangkan tindakan
8- Saingan bukan permusuhan
9- Merangka plan penyelesaian walau sekajang kertas adalah lebih baik daripada meriwayat kesilapan dan masaalah berkitab-kitab.
Sementara himpunan sikap dan pemikiran negative pula seperti :
1- Kecewa terhadap kegagalan ,
2- bosan kerana kurang diberi perhatian ,
3- letih melayan “jadual padat” perjuangan ini ,
4- tertekan berhadapan dengan karenah anggota ,
5- Melatah dengan provokasi musuh ,
6- Tidak sabar dengan tempoh kemenangan ,
7- Mudah terpedaya dengan propaganda musuh ,
Seperkara lagi , apabila kita membincangkan persoalan ini , saya ingin menekankan agar kita lebih halus dan detail dalam mendatakan idea – idea pemikiran kita untuk perjuangan ini samaada dalam bentuk memberi pandangan ataupun memberi komentar .
Isu Pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir .
Sebagai contoh yang mudah saya bawa ialah , pertemuan yang dihadhiri oleh pimpinan PAS bersama Tun Dr. Mahathir .
Saya mendengar di banyak tempat dan juga dari banyak pihak , samadaa kawan mahupun lawan . Tidak terkecuali dari pihak pemerhati politik dan golongan akademik .
Ada bernada sinis , ada pula yang terang – terang mengutuk dan mencela dan ada pula yang mempertahankan tindakan pimpinan PAS .
Saya ingin menegaskan bahawa segala pandangan itu dilihat dari sudut berbeza . Justeru itu tidak hairanlah kalau nadanya juga berbeza sementara latar belakang mereka yang memberi pandangan itu juga berbeza .
Saya mengesyorkan agar kita menghormati perbezaan sementara pihak parti memberi penjelasan kenapa pimpinan mengambil langkah sedemikian .
Adalah suatu yang tidak adil , apabila kita kekal di sudut kita untuk membuat penilaian sedang kita langsung tidak mengambil kira sudut - sudut lain yang berbeza dengan kita .
Kalaupun kita kekurangan ilmu dan maklumat untuk menjangkau sudut - sudut yang lain ( yang berbeza dari sudut di mana beradanya kita ) , sekurang – kurangnya kita boleh berhemat sewaktu melontarkan idea mahupun kritikan agar tidak mencederakan pandangan dari sudut yang lain tersebut.
Demikian adalah seharusnya pola pemikiran kita dalam menanggapi isu , samaada isu ini mahupun isu – isu lain .
ENGGAGEMENT
Bagi pihak PAS , tindakan pimpinan bertemu Tun Dr. Mahathir adalah berasaskan prinsip engagement yang telah kita amalkan sekian lama .
Tun Dr. Mahathir bukan satu satunya tokoh politik yang ditemui bahkan juga , bukanlah orang yang pertama ditemui . Sebelum ini Pimpinan PAS pernah menemui pelbagai lapisan tokoh politik samada dari pihak lawan mahupun kawan .
Tokoh – tokoh tersebut antaranya ialah Tunku Abdul Rahman , Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah dan seumpamanya .
Pimpinan PAS juga telah mengambil langkah menemui tokoh – tokoh akademik , karyawan , seniman , aktivis masyarakat , organisasi antarabangsa dan seumpamanya .
Prinsip yang PAS bawa dalam semua enggagement itu adalah sama biarpun berbeza pendekatan .
Prinsip kita , sebagai sebuah Gerakan Islam tentu sahaja dipelihara oleh kepimpinan Syura yang kita amalkan . Justeru itu andaian mengatakan PAS telah menggadai prinsip adalah satu andaian atau tanggapan yang jauh dari tepat .
Namun kita menghormati pandangan mereka sebagaimana kita menghormati perbezaan tadi . Sekurang – kurangnya menjadi peringatan umum kepada pimpinan PAS agar berhati – hati dengan move politik yang diambil .
Dalam persoalan ini , adab berjamaah serta disiplin kita berorganisasi sangat membantu kita untuk memahaminya. Sekurang – kurangnya kita ada pendirian seperti thiqah kepada pimpinan dan juga dengar serta taat kepada pimpinan selama mana tidak dalam perkara yang memaksiatkan Allah dan Rasulnya saw.
Kita juga boleh melihat kepada sikap yang diambil oleh Rasulullah saw. dalam sejarah kepimpinan Baginda .
Antara kes mudah untuk dirujuk ialah Peperangan antara 2 negara kuffar , Rum dan Parsi . Apabila tersiar berita kekalahan tentera Ruum ( Nasrani ) , kaum Musyrikin menari kegembiraan kerana menyokong Parsi ( Majusi ) sementara Rasul dan orang – orang beriman sugul berdukacita .
Sehinggalah turun ayat :
Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan - Di negeri Yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya - Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. kepada pentadbiran Allah jualah terpulang Segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (Kemenangan Rom) itu, orang-orang Yang beriman akan bergembira .
Ar Ruum : 1 -4
Kegembiraan yang diberikan oleh Rasul saw dan orang – orang yang beriman terhadap kemenangan Ruum pula , tidaklah sampai mereka menerima Nasrani yang ketika itu enggan mengakui kerasulan nabi kita Muhammad saw.
Begitulah saya lihat fatwa Dr. Yusuf Qaradhawi agar ummat islam menyokong Hizbullah di Lubnan sewaktu mereka menentang Israel a’laihiLaknatullah . Saya percaya , fatwa itu tidak sampai mengajak ummat Islam untuk menerima aqidah Syiah .
Demikianlah , tatkala kita mengadakan engagement dengan Tun Dr. Mahathir , bukan bermakna kita menggadai prinsip dengan menerima pemikiran malah dosa Tun Dr. Mahathir .
Soal kenapa engagement itu perlu dibuat , ini adalah soal pendekatan “political dakwah” kita , yang boleh kita bincang panjang dalam waktu dan ruang yang lain insyaallah .
Disana , masih banyak prinsip dan pendirian politik yang boleh dibahaskan untuk melihat kewajaran tindakan yang diambil. Namun cukuplah secara ringkas saya mengemukakan alasan , justeru saya bukanlah sedang berbicara soal isu Tun Dr. Mahadhir tetapi sedang berbicara soal pola pemikiran positif yang perlu ada kepada kita terhadap apa jua isu yang kita hadapi .
Kesan Mudah dari Pemikiran Negatif.
Dalam banyak keadaan seorang itu sering bertanya apa yang jamaah telah beri kepadanya selama ia terlibat ? sedang tidak pula ia berfikir apa yang ia telah beri kepada jamaah dan perjuangan .
Cepat pula berpuas hati dengan apa yang ia telah beri dan selalu membilangnya atau membangkitkannya .
Juga menjadikan seorang anggota cepat nampak kesilapan jamaah dan rakan-rakannya sedang dia sendiri tidak mempunyai apa - apa plan alternatif untuk membaiki kesilapan yang ia lihat . Lalu ia lebih gemar mengkritik dan mencadang . Saya setuju slogan yang selalu di sebut oleh Ustaz Hasrizal , erti perjuangan pada memberi .
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home