MERDEKA DALAM SKIMA PENJAJAH.
Tidak dinafikan bahawa penjajah ( Jepun , Portugal dan Inggeris ) telah meninggalkan negara kita dan kemerdekaan Negara diisytihar pada tanggal 31 ogos 1957 yang lalu .
Kemerdekaan yang dicapai bagi membebaskan Negara dari cengkaman penjajah adalah suatu yang sangat berharga dalam hidup masyarakat dan Negara . Namun persoalan yang perlu diteliti ialah bagaimana kemerdekaan dicapai dan bagaimana pula ruang kemerdekaan itu dimanafaatkan .
Terlebih dahulu suka saya tegaskan bahawa setiap kali penjajah menjarah tanah jajahan mereka , ternyata mereka tidak hanya meratah hasil bumi tanah jajahan tersebut tetapi turut menjajah minda , budaya dan aqidah ummat yang dijajah .
Penjajah Inggeris , dalam melaksanakan misi dan visi penjajahan mereka di negara kita , tidak hanya meragut bijih dan rempah , tetapi juga menubuhkan sekolah – sekolah Missionary Kristian dan juga kelab – kelab yang menjadi agen kepada Kristian dan Yahudi di atas tanah jajahan mereka untuk melebarkan daerah jajahan melepasi sempadan aqidah ummat Islam .
Sebelum kita melanjutkan perbincangan mengenai kemerdekaan negara dan reality masyarakat “merdeka” hari ini , wajarnya saya paparkan disini erti kemerdekaan menurut pandangan Islam. Untuk tidak mengambil masa yang panjang dalam penulisan spontan ini , saya quote tulisan sahabat saya Ustaz Zaharudin Mohamad dalam membicarakan erti kemerdekaan .
ERTI KEMERDEKAAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM .
Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة:
Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.
Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?
Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:
Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:
- Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.
- Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.
Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:
1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.
Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:
1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.
2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.
Justeru itu: Kemerdekaan yang sebenar ialah :
Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia.
Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan islam.
( Selesai quote tulisan Ustaz Zaharudin Mohamad )
MERDEKA DALAM RESTU PENJAJAH .
Umum mengetahui bagaimana kemerdekaan dicapai melalui satu persetujuan antara Tunku Abdul Rahman dan Lord Reid ( Malaysia dan British ) . Suruhanjaya Reid memainkan peranan besar dalam membebaskan Malaysia dari penjajah British .
Perlu disedari bahawa penjajah tidak akan menyerahkan secara percuma tanah jajahan mereka kepada anak watan melainkan dimeteri beberapa perjanjian atau anak watan jajahan bersedia meneruskan aspirasi penjajah .
Jelasnya Negara kita Malaysia tanpa dapat dinafikan oleh sesiapa , telah bersetuju untuk meletakkan perlembagaan Negara yang berkiblatkan British sebagai tukaran untuk merdeka . Perlembagaan itu terus diterima pakai hingga ke hari ini dengan hanya melakukan beberapa pindaan – pindaan kecil .
Spirit perlembagaan Malaysia yang digubal melalui Suruhanjaya Reid masih dianuti malah dipertahankan sehingga kini . Perlembagaan ini diletakkan begitu tinggi mengatasi wahyu Ilahi dan sunnah an Nabawi .
Realiti ini sangat berisiko untuk ummah dan masa depan mereka .
Mungkin ramai pihak gembira dan bangga dengan kemerdekaan yang dicapai. Manakan tidak , mereka berhujjah bahawa pembangunan , kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini adalah hasil kemerdekaan.
Saya turut bersetuju dengan perasaan sedemikian terhadap kemerdekaan , tetapi apa yang menjadi persoalan kita ialah ,
Tulenkah kemerdekaan ini apabila ia dicapai dalam restu penjajah ?
Merdekakah kita dan Negara , apabila masih mengamalkan perlembagaan dan system penjajah ?
Banggakah kita dengan kemerdekaan dan pembangunan mencakar langit, tetapi wahyu Allah swt dan sunnah RasulNya saw tidak mendapat tempat selayaknya ?
Gembirakah kita dengan kemerdekaan dan kemajuan Negara sedang berlaku peningkatan indeks jenayah dipelbagai kategori yang begitu menggerunkan ?
Apalah erti kemerdekaan ini , tatkala ummah masih terbelenggu dalam system hidup penjajah yang akhirnya meletakkan masa depan yang sangat buruk bagi budaya , akhlak dan aqidah mereka ?
Saya tidak bermaksud untuk mendetailkan jawapan kepada semua persoalan ini melainkan sudah cukup saya lontarkan persoalan ini dan semua pihak dapat melihat reality yang sedang dialami oleh kita semua dewasa kini .
MINDA TERJAJAH TIDAK MUNGKIN MANAFAATKAN KEMERDEKAAN.
Hari ini , Inggeris tidak lagi bertapak dalam tanahair kita . Mereka telah lama keluar meninggalkan tanahair ini dengan persetujuan yang dicapai untuk memberi kemerdekaan kepada Negara kita .
Tetapi apa yang sangat malang , selain system dan perlembagaan penjajah masih diamalkan , ternyata Malaysia gagal manafaatkan ruang kemerdekaan ini untuk membentuk jati diri bangsa apatah lagi izzah beragama .
Penentang Islam yang tidak bersetuju ianya didaulatkan dan mereka yang naïf terhadap budaya bangsa adalah terdiri dari bangsa sendiri bukan lagi penjajah asing .
Benarlah apa yang pernah di sebut oleh seorang penyair arab Mesir Mahmoud al Wafa ketika memberi respons terhadap kehidupan rakyat Mesir pasca penjajah .
ذهب الإنجليز الحمر و بقي الإنجليز السمر
“Telah pergi Inggeris yang berkulit merah kemerahan namun masih tinggal Inggeris yang berkulit sawo matang”
Kini anak watan menjadi lebih Inggeris dari Inggeris , lebih barat dari barat .
Budaya melayu muslim kian pupus , moral dan akhlak ketimuran kian musnah , adab dan susila kesopanan kian hilang , maruah bangsa dan nilai bahasa kian jatuh , penguasaan kuasa muslim dan bumiputra kian merosot serta wahyu dan sunnah kian jauh , agama dan aqidah kian hancur.
Segalanya berlaku dalam ruang kemerdekaan yang disambut ulangtahunnya saban 31 ogos .
Menambah rasa remuk dan terhiris luka perasaan kita apabila jumlah mereka yang murtad ( meninggalkan ajaran ) Islam kian dahsyat di ruang kemerdekaan yang sendat dengan pelbagai institusi agama seperti Pusat Islam , University Islam , Institut Kefahaman Islam , Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan sebagainya.
Sedang sebelum merdeka , di bawah cengkaman penjajah sekian lama tanpa sebarang institusi agama , aqidah ummah masih dapat dipelihara .
Apabila Pengerusi Majlis Mufti Negera Dato’ Seri Harussani Zakaria mendedahkan bagaimana 250 ribu ummat Islam telah murtad , pelbagai pihak menyindir sinis dan mempertikaikan angka seramai itu didedahkan .
Saya beranggapan bahawa angka tersebut masih terlalu kecil berbanding jumlah sebenar mereka yang menyeleweng dan terkeluar dari manhaj Islam .
Bayangkan ribuan manusia mengikut ajaran Ayah Pin yang mengaku tuhan , Black Metal yang memuja syaithan , Jamaah Al Quran Malaysia yang anti hadis , Sister’s in Islam yang menafsir agama berdasarkan logic semata – mata , Sekularisme yang meletakkan agama suku politik suku dan pelbagai ajaran sesat yang bertaburan di seluruh Negara . Mungkin jumlah mereka adalah jutaan ramainya. Wallahua’lam bissowab .
SEJARAH PEJUANG MENDAPATKAN KEMERDEKAAN DIGELAPKAN
Terlalu jahat sikap dan tindakan memadam sejarah para pejuang Islam yang terdiri dikalangan para ulamak dan cendikiawan melayu muslim setelah mereka menyabung nyawa bagi mendapatkan kemerdekaan .
Kita sering didedahkan melalui buku – buku sejarah Negara yang diajar pula kepada pelajar di sekolah , bagaimana kemerdekaan dicapai dan diisytiharkan dengan penuh gemilang oleh tokoh – tokoh yang disenaraikan seperti Tunku Abdur Rahman dan lainnya.
Namun , kemanakah perginya sejarah perjuangan yang begitu getir berhadapan dengan penjajah . Mereka dilabelkan sebagai pemberontak dan penentang penjajah tidak sebagai pejuang kemerdekaan .
Nama seperti Tuan Guru Hj. Hassan bin Munas di Kelantan (Tok Janggut - 1915), Tuan Guru Hj. Abdur Rahman Limbong di Terengganu ( 1922 – 1928 ) tidak popular sebagai pejuang kemerdekaan .
Malah kehadhiran Gerakan Hizbul Muslimin ( Gunung Semanggol ) yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar al Bakir pada 1948 dilabel sebagai bahaya dari gunung oleh bangsa sendiri . ( Dato’ Onn Jaafar )
Demikian juga pelopor Gerakan Islah di nusantara Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Syed al Hadi terus dipadamkan dari lipatan sejarah kemerdekaan Negara .
PEJUANG ISLAM MENGASAS GERAKAN KEMERDEKAAN .
Perjuangan menuntut kemerdekaan yang diasaskan oleh para ulamak dan cerdik pandai melayu muslim adalah untuk membebaskan Negara ini dari cengkaman penjajah secara total tanpa sebarang kompromi .
Mereka menggadaikan nyawa mereka . Sebahagian mereka mati dibunuh dan sebahagiannya mati dalam pembuangan daerah . Mereka berjuang demi menghalau penjajah dan mahu melaksanakan Islam di atas bumi yang merdeka .
Malang , anak didik Inggeris mencipta nama sebagai pejuang kemerdekaan tanpa pertaruhan darah dan nyawa . Lebih keji , mereka memadam sejarah perjuangan para ulamak .
Para ulamak yang memperjuangkan Islam dan menuntut kemerdekaan Negara bagaikan sekumpulan anak muda yang menolak kereta buruk . Apabila kereta itu hidup dan meluncur laju untuk meneruskan perjalanan , hanya asap hitam yang ditinggalkan kepada kumpulan anak muda yang menolaknya .
Inilah nasib yang dialami oleh Tengku Daud Barueh di Indonesia , apabila beliau membantu Sukarno mencapai kemerdekaan dari penjajah Belanda dengan mengerah para guru pasentren dan santri – santrinya bersabung nyawa . Sejurus kemerdekaan dicapai , Sukarno mengisytiharkan Pancasila dan Tengku Daud Barueh dipenjara dan hanya di bebaskan di akhir pemerintahan Suharto .
PENGISIAN SAMBUTAN ULANGTAHUN KEMERDEKAAN SATU PENGHINAAN
Negara bagaikan tidak pernah menghormati semangat juang para ulamak dan cendikiawan melayu muslim dalam mencapai kemerdekaan apabila majlis sambutan Ulangtahun Kemerdekaan disambut dengan konsert hiburan yang melekakan .
Sepatutnya rakyat dididik dengan semangat perjuangan yang tinggi untuk mempertahankan agama dan Negara . Malang , bukan sahaja mereka tidak dididik dengan semangat juang yang tinggi , mereka terus dilekakan dan dibuai dalam hiburan yang tidak bertepi .
Saya percaya , anak – anak merdeka hari ini tidak mampu menghayati erti kemerdekaan . Malah mereka tidak berupaya mewarisi semangat juang kental untuk pertahankan agama dan Negara.
Anak – anak merdeka hari ini , lebih mesra dengan lumba motor , dadah , lepak , hiburan , pesta dan sebagainya. Mereka tidak memiliki semangat patriot dan tidak mungkin memilikinya dengan hanya sekadar dikerah mengibarkan jalur gemilang dan menyaksikan letupan bunga api ke angkasa tanpa mereka diberi kefahaman dan dididik dengan roh perjuangan yang tulen .
Kalaulah Negara kita diserang musuh sebagaimana yang dialami oleh Iraq , Afghanistan , Palestin dan Lubnan , saya tidak boleh menaruh harapan kepada anak – anak muda atau mereka yang hanya mengibar jalur gemilang dan bersimpuh dihadapan artis pujaan untuk membela dan mempertahankan agama dan nusa .
Saya cukup bimbang melihat sebuah Negara yang merdeka dalam skima penjajah . Namun apakan daya , itulah tanahairku .
1 Comments:
Memang benar perjuangan ulamak islam diketepikan oleh dasar perjuangan kita selama ini, tapi perjuangan bagi melenyapkan eleman inggeris yang bertunjang dalam pentadbiran negara kita telah bertunjang dengan kukuh dalam sektor pemerintahan kita mahupun dalam segala aspek kehidupan. walaupun ada diantara kita tahu bahawa sebuah perkara itu salah dengan merujuk kepada pandangan perspektif islam, namun jika tidak mengenal hati sendiri walaupun didasari dengan ilmu, akan sentiasa bertindak diluar jangkaan.
12:26 AM
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home