" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, December 19, 2006

PAS di Langit dan UMNO di Bumi.

UMNO Macam Bas Bee Huat .

Terpesona dengan ucapan beberapa orang perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO tempohari , menyebabkan ada seorang dua menghubungi saya lantas menanggapi bahawa PAS dan UMNO kini sama dan serupa .

Tanggapan itu merujuk kepada ucapan perwakilan yang bersemangat mempromosikan Islam Hadhari sewaktu mereka membahaskan usul agama . Nada dan terma ucapan mereka dianggap hampir menyerupai PAS dalam kempen dan ceramah – ceramahnya.

Saya akhirnya terpaksa meneliti ucapan yang dimaksudkan melalui siaran ulangan di chanel 94 astro dan juga beberapa sedutan ucapan mereka di akhbar harian seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Bagaikan langit dan bumi jarak perbezaan antara PAS dan UMNO . Kesimpulan ini saya tegaskan setelah saya meneliti antara dua .

Islam Hadhari diberi Nafas Baru .

Ternyata gimik yang dipamerkan oleh UMNO dalam Himpunan Agung mereka baru – baru ini hampir memerangkap masyarakat dan rakyat .

Manakan tidak , setelah slogan Islam Hadhari kian sayup kedengaran dibawa arus material dan gelombang hedonisme , kini terpaksa diberi tepukan gemuruh bagi mengembalikan pesona gimiknya.

Menyedari pilihanraya semakin hampir , saya tidak hairan kenapa UMNO yang tidak pernah meletakkan agama dan kedaulatannya sebagai landas perjuangan kini kembali meng war – warkan Islam hadhari menerusi usul agamanya.

Tiada apa yang baru dan tiada apa yang istemewa dari perbahasan agama yang dikemukakan oleh UMNO melainkan umpama beberapa orang pencuri ayam , berbincang sesama mereka bahawa mereka mesti menyembelih ayam tersebut bagi membolehkan atau menghalalkan mereka makan ayam yang dicuri itu .

Juga layaknya sebagaimana beberapa orang artis yang mengenakan pakaian hanya sesuku dari jasad mereka sementara sebahagian besar jasadnya dibiarkan terdedah penuh bangga , kemudian berkata di pentas anugerah dengan kalimah “Insyaallah” mereka akan terus menyanyi dan berlakon bagi menghiburkan peminat dan “alhamdulillah” , atas kurniaan Allah sehingga mereka layak meraih tropi dan anugerah sebagai pengiktirafan bakat mereka dalam bidang seni .

Juga laksana seorang pemenang tiket loteri yang sujud syukur lalu membeli sebuah motosikal hasil judi loteri tersebut untuk digunakan berulang alik ke masjid yang terletak agak jauh dari rumahnya .

Krisis Sistem Nilai

Ketiga – tiga perumpamaan yang saya kemukakan ini , bagi menggambarkan betapa lucunya sikap mereka yang masih terperangkap dalam kekeliruan menilai.

Mereka keliru dalam menentukan mana yang halal dan mana yang haram , mana yang hak dan mana yang bathil , mana yang taat dan mana yang maksiat , mana yang Islam dan mana yang Jahiliyyah , mana yang Iman dan mana yang Kufur .

UMNO turut mengalami kekeliruan tersebut . Mereka bercakap tentang Islam dengan frame Islam Hadharinya , seolah – olah mereka lupa bahawa mereka berada dalam sebuah parti yang namanya UMNO , bukan PAS . Iaitu sebuah parti yang memperjuangkan Nasionalisme dan tidak pula pernah meletakkan Islam dan syariat sebagai asas serta matlamat perjuangan mereka . Penegasan ini dapat dirujuk kepada perlembagaan UMNO dan ucapan pemimpin – pemimpin ulung UMNO sebelum ini.

Malah Tunku Abdul Rahman , Tun Dr. Mahathir dan lainnya berkali – kali menegaskan bahawa UMNO adalah parti secular dan mereka tidak mahu melaksanakan Islam sebaliknya menentang hasrat mendaulatkan Islam di Negara ini sebagaimana apa yang UMNO lakukan kepada Kerajaan Kelantan sehingga mereka tergamak mengheret hukum Hudud ke mahkamah sivil .

Pak Lah hanya Pemandu Baru .

Sehingga hari ini ( di bawah pemerintahan Pak Lah ) , perkara yang saya tegaskan ini belum ditarik balik mahupun dinafikan .

Tidak ada beza UMNO yang dipimpin oleh Pak Lah dengan UMNO yang dipimpin oleh pemimpin – pemimpin nasionalis sebelumnya . Dasar masih dasar yang sama , perlembagaan parti masih perlembagaan yang sama malah sandiwara masih dengan sandiwara yang lama , Cuma dalam format yang baru .

Pak Lah tak lebih hanya seorang pemandu kenderaan awam yang baru , menggantikan pemandu lama yang kelihatan uzur , namun kenderaan dan permit perjalanan kenderaan tersebut masih sama sebagaimana yang lama . Nama kenderaanya sama , no platnya sama , laluan perjalanannya sama , malah konduktornya kelihatan sama . Tidak ada apa yang baru kecuali pemandunya .

Untuk berlaku lebih adil , bolehlah saya kata kan , perkara perkara baru yang berlaku sejak pemandu baru mengambil alih ialah cat dinding kenderaannya dilihat baru serta promosi diperhebatkan dengan slogan yang baru bagi memukau orang awam untuk menaiki kenderaannya yang lama .

Begitulah respon awal yang saya lafazkan kepada beberapa orang yang bertanya sebagai jawapan mengenai beberapa individu perwakilan yang agak vocal bercakap soal Islam dalam UMNO .

Melalui respon ini , saya hanya tersenyum setelah secara kebetulannya sebuah bas Bee Huat melintas dihadapan saya sedang saya waktu itu berada di Bandar Kuantan .

23 tahun yang lalu , saya belajar di Sekolah Menengah Dato’ Mahmud Mat Tanah Putih Pekan ( bagi sessi 1983 – 1985 ) . Bas Bee Huat inilah menjadi kenderaan “rasmi” saya berulang alik ke Kuantan untuk pulang ke Felda Keratong pada waktu itu .

Kini bas Bee Huat masih dengan permit perjalananan yang lama dan identity cat dindingnya ( hitam putih ) masih kekal yang lama , Cuma pemandunya yang saya kenal dulu telah tiada . Kelihatan pemandu baru yang terus setia membawa Bee Huat dan saya pun tidak tahu , pemandu ke berapa kah dia ?

Apa yang pasti , saya terpaksa menelan asap hitam berkepul , sewaktu Bee Huat melintas di hadapan saya .

Justeru itu , nasihat saya ialah sewajarnya kita menggunakan kaedah Fiqhiyyah :

العبرة بالمسميات لا بلأسماء

Pengajaran atau iktibar yang ingin diambil mestilah dilihat kepada apa yang dinamakan bukan kepada nama yang dilabelkan .

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Kalau boleh benda yg tak baik jangan libatkan nama orang atau company sesuatu.(Be Hu**)

Zamri

8:24 AM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home