PENINDASAN DI KAMPUS IPTA :
POLITIK ADALAH MOTIFNYA!
Oleh:
ABDULLAH A. KARIM
EXCO DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
Ketua Penerangan DPPN Pahang
BEKAS PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA UKM (PMUKM) 2001/2002
PERSATUAN MAHASISWA UKM (PMUKM) 2001/2002
Insiden-insiden terkini sebagaimana yang dilaporkan di dalam media alternatif berkaitan dengan tindakan ganas pihak berkuasa beberapa IPTA tempatan seperti UPM dan UIA terhadap para mahasiswa yang dipercayai menyokong parti pelajar yang bukan dari kelompok pro-Aspirasi sejak seminggu lepas, bukanlah suatu perkara yang luar biasa setiap kali menjelang pilihanraya, terutama semenjak tahun 2001/2002.
Maka. tidak perlulah Naib Canselor UPM yang bertaraf Profesor Datuk Dr untuk mengeluarkan satu kenyataan bodoh semata-mata untuk menjustifikasikan tindakan para ‘samseng bergaji’ yang terdiri dari pegawai-pegawai keselamatan dan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UPM menggeledah dan merampas komputer riba dan lain-lain peralatan peribadi milik seorang pelajar bernama Yee Yang Yang oleh kerana dari kenyataan itu sendiri terbongkar jelas bahawa ianya bermotifkan politik, selain ditambah alasan yang hingga sekarang masih belum dibuktikan, iaitulah kononnya pelajar terbabit menyimpan bahan-bahan pornografi di dalam komputernya.
Di dalam satu kenyataan media bertarikh 17hb September 2007, Naib Canselor UPM menyatakan antara lain bahawa semasa Bahagian Keselamatan UPM menjalankan penggeledahan ke atas bilik yang didiami pelajar terbabit, mereka telah menemui sejumlah risala-risalah yang ‘dicetak oleh persatuan yang tidak berdaftar’, justeru ianya merupakan satu kesalahan di bawah Perkara 12 (1) Kaedah-Kaedah UPM (Tatatertib Pelajar-Pelajar).
Persoalan yang ingin kita ajukan kepada pihak pentadbir dan HEP UPM ialah, apakah dia kandungan risalah-risalah atau bahan cetak yang dijumpai di dalam bilik asrama Yee Yang Yang pada malam 14hb September tersebut dan sekiranya risalah-risalah terbabit diterbitkan oleh ‘persatuan yang tidak berdaftar’, sila namakan persatuan tersebut.
Saya fikir pihak berkuasa UPM telah terperangkap dalam mainan sandiwara politik yang dipentaskannya sendiri. Walaupun mereka cuba memperbesarkan isu bahan-bahan lucah dengan tujuan memperkecil maruah dan kredibiliti pelajar terbabit, namun isu sebenar disini ialah apabila mereka menemui risalah-risalah tersebut di dalam bilik Yee Yang Yang. Dari maklumat sahih yang saya perolehi dari UPM sendiri, risalah yang ditemui di dalam bilik Yee Yang Yang ialah risalah-risalah berkaitan dengan pilihanraya kampus yang dikeluarkan oleh sebuah parti pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Barisan Mahasiswa Bersatu (BMB).
BMB ini merupakan gabungan beberapa pertubuhan pelajar yang progresif yang terdiri dari berbilang kaum dengan tujuan untuk mencabar parti Aspirasi yang diketahui umum disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Naib Canselor serta seluruh organ pentadbiran UPM itu sendiri. BMB ini telah ditubuhkan beberapa minggu lalu dan telah memberikan satu impak besar terhadap politik kampus UPM.
Maka, tujuan sebenar operasi penggeledahan itu dilakukan oleh pentadbir UPM yang bersekongkol dengan parti Aspirasi adalah untuk mengesan dan menggertak mana-mana pelajar yang dikesan sebagai aktivis dan penggerak BMB tersebut. Kejadian yang menimpa Yee Yang Yang terbut bukanlah kejadian terpencil. Bahkan pada hari Isnin yang lepas (17hb September) bilik yang diduduki salah seorang pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) pula yang digeledah.
Cuma kali ini computer peribadi pelajar terbabit tidak pula dirampas. Mungkin mereka lebih berhati-hati selepas tersilap langkap dalam kes Yee Yang Yang. PMIUPM sememangnya diketahui umum sebagai salah satu persatuan pelajar yang ikut serta menubuhkan BMB tersebut. Setelah diamati, alasan bodoh kononnya operasi penggelededahan tersebut dilakukan untuk menyiasat kes kecurian di kampus tersebut selain dari alasan pelajar terbabit menyimpan bahan-bahan lucah, hanya timbul selepas Yee Yang Yang dan kawan-kawannya menghebohkan penganiayaan tersebut di dalam media alternatif, beserta dengan bukti rakaman audio visual yang boleh disaksikan oleh berjuta manusia dari seluruh dunia.
Pimpinan-pimpinan politik dan NGO berbondong-bondong membuat kenyataan mengecam perlakuan UPM ke atas pelajar terbabit. Mungkin akibat terasa bara tekanan yang datang, maka sebagai damage control, Naib Canselor UPM terpaksa mengeluarkan satu kenyataan bertulis untuk menutup bangkai yang busuknya sekampung.
Apa masalah sekiranya Yee Yang Yang dan mana-mana pelajar UPM yang lain bergerak atas platform BMB untuk bertanding dalam pilihanraya kampus? Jika para pelajar pro kerajaan bebas bertanding atas nama parti ASPIRASI, sila Naib Canselor UPM jelaskan prinsip perlembagaan dan demokrasi yang mana yang membenarkan hanya satu parti sahaja dibenarkan untuk bergerak dan parti-parti lain dianggap sebagai ‘pertubuhan haram’?.
Kesalahan Yee Yang Yang yang sebenarnya di mata pentadbir UPM adalah kerana Yee menjadi penggerak kepada BMB yang menjadi lawan kepada ASPIRASI. Maka disini, jelaslah bahawa politiklah yang mejadi motif sebenar.
Sebagaimana yang kita maklumi, sejak sekian lama pilihanraya kampus terutamanya di kampus-kampus utama di Lembah Kelang sentiasa menarik perhatian ramai dan dianggap sebagai medan pertandingan proksi di antara kumpulan pelajar pro kerajaan dan juga pro pembangkang meskipun acapkali dinafikan.
Sejak dari pertengahan tahun 90an hinggalah ke sekitar tahun 2000/2001, pilihanraya di hampir kesemua kampus tanahair dikuasai mutlak oleh para pelajar yang dilabelkan sebagai pro pembangkang. Dalam menghadapi pilihanraya tersebut, kumpulan ‘pro pembangkang’ ini biasanya terdiri dari gabungan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang dianggap sebagai persatuan yang paling berpengaruh di kampus-kampus, bersama-sama dengan kumpulan pelajar progresif dari kaum Cina dan India seperti DEMA dan lain-lain.
Selepas peristiwa Reformasi 1998, gabungan ini turut diperkuatkan lagi dengan kemasukan kumpulan pelajar pro ABIM dan JIM hingga menjadikan mereka menang besar di kampus-kampus. Manakala kumpulan pelajar pro UMNO/BN amat tidak popular hingga kalah teruk dan hilang wang pertaruhan. Pilihanraya Umum 1999 dilihat sebagai turning point utama yang menyebabkan kerajaan UMNO/BN mula memikirkan secara serius untuk membunuh terus sebarang potensi suara kritikal yang ada pada generasi muda di kampus.
Pilihanraya Umum ke 10 tersebut menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia, generasi muda melayu yang berpendidikan menolak UMNO/BN. Mujurlah lebih kurang 650,000 orang pengundi muda yang baru mendaftar sebagai pemilih, dinafikan hak mereka untuk mengundi di dalam Pilihanraya tersebut. Jika tidak, bertambah parahlah kekalahan yang dialami oleh UMNO/BN terutamanya di kawasan majoriti Melayu.
Selepas berhadapan dengan perkembangan yang amat membimbangkan ini, maka UMNO/BN melalui Kementerian Pendidikan dan juga Biro Pendidikan Pemuda UMNO yang pada waktu itu diterajui oleh Dato Dr Adham Baba dengan turut dibantu sepenuhnya oleh Biro Tatanegara (BTN) Jabatan Perdana Menteri, telah memulakan gerak kerja intensif untuk untuk menghapuskan terus pengaruh yang ada pada gerakan pelajar Islam yang mana tindakan ini adalah selaras dengan program induk UMNO/BN pasca Pilihanraya Umum 1999 iaitulah untuk mendapatkan kembali sokongan generasi muda terpelajar walau dengan apa cara sekalipun.
Manifestasi usaha terancang ini bukan sahaja dpat dilihat dengan grand design menguasai politik kampus, tapi termasuklah juga pendekatan lain seperti memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi remaja lepasan SPM dan juga pengwujudan sayap Puteri UMNO.
Di kampus-kampus bermula sekitar tahun 2001/2002, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) berperanan sepenuhnya untuk menjayakan agenda perdana UMNO/BN ini dan telah digerakkan sebagai jentera utama untuk berhadapan dengan MPP-MPP dan PMI-PMI. Buat pertama kali dalam sejarah pengajian tinggi negara, Timbalan Naib Canselor, Pegawai-pegawai HEP, Pengetua dan Felo-Felo Kolej bertukar menjadi lebih teruk dari Pengerusi JKKK atau pun Ketua Cawangan UMNO!
Mereka tidak lagi berperanan untuk membimbing pelajar dan meningkatkan taraf akademik IPT, tetapi telah berubah menjadi pencacai UMNO/BN untuk bermusuh dengan pemimpin pelajar dalam kedaan gaji dan elaun mereka dibayar oleh wang rakyat tanpa mengira parti. Mesyuarat-mesyuarat HEP yang diatur menjelang setiap kali pilihanraya kampus tidak lagi membincangkan bagaimana untuk meningkatkan prestij IPTA atau bagaimana untuk menyiapkan para graduan yang dapat memenuhi kehendak industri dan pasaran kerja.
Sebaliknya mesyuarat-mesyuarat tersebut sepenuhnya digunakan untuk mencatur strategi bagaimana untuk memenangkan kumpulan pro kerajaan di kampus. Seiring dengan itu, program-program anjuran MPP dan PMI dan persatuan-persatuan yang dikenal pasti dikuasai oleh mereka yang tidak sehaluan dengan dasar kerajaan kebanyakannya disekat. MPP yang seharusnya menjadi badan perwakilan pelajar bagi memperjuangkan kebajikan pelajar telah dihalang dari berperanan,hinggakan smapai ke tahap MPP dihalang untuk bertemu dengan pelajar yang berada di bawah kepimpinannya.
Bahkan yang lebih teruk, Minggu Orientasi digunakan sepenuhnya untuk memburukkan MPP dan PMI-PMI dan parti-parti pembangkang disamping pelajar baru diugut supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan anjuran PMI yang sekiranya diengkari boleh dikenakan tindakan disiplin di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Usaha jahat pakatan UMNO/BN dan HEP ini mencapai kemuncaknya di dalam Pilihanraya Kampus Sesi 2003/2004 apabila buat pertama kalinya HEP menaja parti politik pelajar yang sah dan berdaftar yang dikenali sebagai Kumpulan Aspirasi di hampir kesemua kampus IPTA bagi bertanding di dalam pilihanraya kampus sesi tersebut. Perbuatan ini jelas menyalahi undang-undang pilihanraya yang digubal oleh HEP sendiri.
Usaha terancang UMNO/BN ini terus disahut oleh media-media utama yang mempopularkan label pro-.aspirasi dan pro pembangkang. Tambah menjijikkan, hanya parti Aspirasi sahaja yang dibenarkan wujud untuk bertanding secara berkumpulan, manakala kumpulan selain dari aspirasi tidak dibenarkan untuk ditubuhkan bahkan jika ada pelajar yang bertanding secara berkumpulan selain dari aspirasi diugut untuk diambil tindakan dan dibatalkan pencalonan mereka!
Di kebanyakan kampus, Timbalan Naib Canselor HEP sendiri yang dilantik sebagai Penaung atau pun Penasihat kepada parti aspirasi ini dan mereka dibenarkan bergerak dan berkempen secara rasmi di seluruh kampus. Padahal pada masa yang sama, Timbalan Naib Canselor HEP di kebanyakan IPTA merupakan Pengerusi kepada Urusetia atau pun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang dilantik bagi mengendalikan perjalan pilihanraya MPP. Begitu juga dengan pegawai-pegawai HEP dan Pengetua-Pengetua Kolej yang turut dilantik sebagai urusetia SPR.
Keadaan ini samalah ibarat Pengerusi Tetap UMNO atau pun Presiden UMNO dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi mengendalikan Pilihanraya Umum yang UMNO/BN turut bertandung! Dalam keadaan calon-calon lain tidak dibenarkan mengadakan kempen terbuka, sudut pidato dan juga menerbitkan risalah propaganda kempen, parti Aspirasi menikmati semua keistimewaan tersebut dengan segala roadshow dan ceramah mereka dijadikan program rasmi kolej-kolej kediaman dengan penghuni-penghuni kolej diwajibkan untuk menghadirinya.
Penerbitan risalah dan buletin kempen mereka juga ditaja sepenuhnya oleh HEP dan dengan mudah mendapat cop kebenaran untuk disebarkan secara meluas di dalam kampus. Risalah kempen dari calon-calon lain dianggap sebagai “risalah haram” dan sesiapa yang memiliki dan mengedarkannya boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Perkara inilah yang sedang berlaku di UPM sekarang. Para pelajar terutamnya pelajar-pelajar baru saban malam dikumpulkan pada malam-malam kempen untuk dibrainwash oleh Pengetua-pengetua dan felo-felo kolej kediaman dan diugut berulangkali supaya hanya menyokong calon tajaan universiti (aspirasi) dan tidak mengundi calon-calon yang lain yang dilabel sebagai calon gerakan bawah tanah dan pro pembangkang.
Malahan ugutan yang diberikan sampai ke tahap tukang-tukang ugut ini mendakwa yang undi para pelajar tidak rahsia dan mereka boleh mengetahui siapa yang diundi oleh para pelajar. Jika didapati para pelajar mengundi calon selain dari aspirasi, pelajar tersebut tidak akan dibenarkan untuk menjadi penghuni kolej kediaman tersebut pada semester akan datang.
Di UKM sebagai contoh, pada saat kempen pilihanraya sedang berjalan, pada ketika itulah Unit Perumahan HEP mengeluarkan borang permohonan untuk tinggal di kolej pada semester yang akan datang dimana borang tersebut perlu diisi dengan mendapat tandatangan pengetua–pengetua kolej yang memang hampir kesemuanya adalah penasihat kepada parti Aspirasi di peringkat kolej kediaman.
Ini bertujuan untuk memberi tekanan psikologi kepada pelajar-pelajar untuk hanya mengundi calon-calon Aspirasi. Pada hari pengundian pula, pentadbiran kolej akan mengeluarkan senarai nama calon-calon Aspirasi yang mesti diundi oleh para pelajar dengan cara ditampalkan senarai tersebut di papan tanda rasmi kolej kediaman.
Kempen ugut ini kelihatan begitu berjaya sekali menimbulkan ketakutan dikalangan pelajar. Tidak cukup dengan itu, bilik para pelajar yang disyaki menjadi aktivis kumpulan yang bukan Aspirasi seperti BMB di UPM digeledah dan dicari apa jua bukti untuk mengaitkan pelajar tersebut sebagai terbabit dengan pertubuhan haram dan underground.
Bermula pada tahun 2003 juga, diperkenalkan beberapa peraturan baru yang amat berat sebelah dan amat tidak munasabah serta menjadikan pilihanraya pelajar lebih rendah martabatnya daripada proses memilih pengawas atau pun ketua darjah di sekolah rendah. Peraturan ini pula dari segi implementasinya hanya terpakai kepada calon-calon bukan dari kumpulan aspirasi di samping memberikan banyak advantage kepada calon-calon Aspirasi, antaranya :
1) Rapat umum dan kempen pidato terbuka bagi calon memperkenalkan dirinya dan manifestonya telah diharamkan dan diganti dengan kempen pidato melalui rakaman video yang mana kandungan ucapan calon hendaklah disahkan terlebih dahulu oleh Suruhanjaya Piliahnraya (SPR). Tetapi pada masa yang sama calon-calon Aspirasi dibenarkan berkempen secara terbuka di kolej-kolej kediaman melalui majlis-majlis kempen yang dianjurkan secara rasmi oleh Pengetua-pengetua kolej kediaman.
2) Pusat pembuangan undi yang selama ini diletakkan di fakulti-fakulti dimana dekan-dekan fakulti bertindak selaku pegawai pengurus pilihanraya (returning officer) telah dipindahkan ke kolej-kolej kediaman dibawah seliaan pengetua-pengetua kolej yang berkebetulan turut menjadi penasihat kepada parti aspirasi di peringkat kolej kediaman. Sedangkan tindakan memindahkan pengendaliaan pilihanraya ke kolej kediaman di bawah seliaan pengetua kolej adalah jelas bertentangan dengan Artikel 48 (2)(a) Jadual Pertama, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
3) Proses pengiraan undi tidak lagi dijalankan secara yang telus dimana Counting Agent calon-calon tidak dibenarkan lagi untuk memerikasa kertas undi an mengikuti pengiraan undi dari dekat sebagaimana yang dibenarkan sebelum ini. Di kebanyakan universiti pengiraan undi dijalankan oleh kakitangan-kakitangan kolej dan HEP dengan cara yang tergesa-gesa dan penuh kerahsiaan dan menimbulkan banyak persoalan dari segi ketelusannya.
4) Poster-poster dan banner-banner calon- calon yang bertanding telah diseragamkan bentuk dan saiznya dan diuruskan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
5) Proses pengisian borang penamaan calon telah diperketatkan prosedurnya dengan calon-calon perlu mendapatkan tandatangan dari Pengetua Kolej dan pegawai-pegawai HEP. Terdapat banyak kes calon-calon bukan aspirasi dinafikan hak untuk mendapatkan tandatangan oleh pegawai-pegawai HEP dan Pengetua Kolej yang sememangnya menjadi penasihat kepada parti Aspirasi.
6) Tempoh kempen telah disingkatkan kepada hanya dua hari setengah sahaja berbanding dengan sekurang-kurangnya 7 hari sebelum ini. Tempoh singkat ini tidak mencukupi bagi calon selain aspirasi. Sedangkan calon-calon aspirasi yang dibantu kempen mereka oleh pentadbir universiti telah mula berkempen sejak dari permulaan semester lagi melalui Minggu Orientasi.
7) Di UIA bermula pada tahun 2005, diperkenalkan prosedur selection before the election yang amat tidak munasabah dimana sesiapa yang berhasrat menjadi calon dikehendaki melepasi ujian personaliti, public speaking dan ujian Bahasa Inggeris.
Selama setahun kempen jahat dan berat sebelah ini berjalan dengan ditambah dengan peraturan gila yang dilaksanakan, maka kesannya kelihatan begitu ketara dalam pilihanrata kampus 2003/2004. Mood politik pelajar semakin menurun bahkan majoriti pelajar IPTA mengundi dalam keadaan takut dan penuh tekanan yang membuatkan mereka tidak dapat membuat pilihan yang bebas.
Memang kalangan pelajar kita masih punya idealisme yang utuh, tapi pada masa yang sama mereka juga harus memikirkan survival diri dan pengajian mereka. Satu undi kepada calon bukan aspirasi, bermakna mereka berdepan dengan risiko disingkirkan dari kolej kediaman atau pun dikenakan tindakan tatatertib.
Dengan keadaan pilihanraya yang dijalankan cukup kotor dan jijik, maka keputusannya awal-awal lagi telah dapat dijangkakan. Buat pertama kali dalam tempoh lapan tahun, kumpulan pelajar progresif tewas teruk di hampir kesemua kampus-kampus yang selama ini menyaksikan kumpulan pro kerajaan begitu sukar untuk menang, kecuali di UM dan di UIA.
Gerakan pelajar Islam dan lain-lain kumpulan pelajar progresif telah disembelih terlebih dahulu pada tahun 2003 sebelum dari PAS dan PKR diganyang dalam Pilihanraya Umum 2004! Situasi penyelewengan dan ketidakadilan dalam proses pengendalian pilihanraya kampus terus berlarutan pada sesi 2004/2005, 2005/2006 dan 2006/2007 yang menyaksikan kumpulan Aspirasi terus berkuasa selama empat sesi berturut-berturut atas segala penipuan dan pencabulan demokrasi yang dikonspirasikan bersama UMNO/BN di luar kampus.
SUHAKAM sendiri pernah menerbitkan suatu laporan bertajuk “ Report on the Allegations of Unfair Practices in relation to University Elections” pada penghujung tahun 2004 dimana laporan tersebut telah memuatkan berbagai senarai laporan 18 salah laku dan penyelewengan yang di dakwa berlaku semasa pilihanraya kampus 2003/2004.
Laporan tersebut juga menyebut bahawa SUHAKAM telah menulis surat kepada 11 buah IPTA untuk mendapatkan penjelasan berhubung dengan salahlaku dan penyelewengan semasa pilihanreaya tersebut, tetapi malangnya, hampir kesemua IPTA terbabit tidak mempedulikan langsung surat yang dihantar oleh SUHAKAM.
Logik yang dapat disimpulkan, sekiranya kesemua 18 salahlaku tersebut adalah tidak benar dan hanya rekaan, maka sudah tentulah kesemua IPTA terbabit akan menafikan sekeras-kerasnya. Ataupun tindakan yang paling bijak ialah membenarkan SUHAKAM memantau sendiri perjalanan pilihanraya kampus bagi sesi-sesi seterusnya.
Tetapi jelaslah bahawa IPTA-IPTA tersebut cuba menyembunyikan sesuatu dan amat takut sekiranya segala bentuk ketidakadilan yang dilakukan semasa mengendalikan pilihanraya kampus diketahui dan didedahkan oleh SUHAKAM. Maka tidak hairanlah, hingga ke pilihanraya kampus yang terbaru yang diadakan pada September tahun lepas, kesemua IPTA di Malaysia secara tegas menghalang SUHAKAM dari menjalankan gerak kerja pemantauan yang sememangnya menjadi salah satu tugasnya yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Justeru, insiden malang yang berlaku di UPM dan beberapa kampus IPTA lain menjelang pilihanraya kampus sesi 2007/2008 ini hanyalah penyembungan dan rentetan dari siri-siri penindasan yang dilakukan oleh UMNO/BN dengan memperalatkan para pentadbir IPTA itu sendiri. Jangan diharap Menteri Pengajian Tinggi akan bertindak tegas untuk menghentikan penindasan ini, melainkan ianya medapat restu senyap dari beliau disebabkan jelas ianya menguntungkan politik pemerintah.
Maka apa yang perlu dilakukan oleh kita semua aktivis-aktivis di luar tembok kampus ini adalah untuk kita memperhebatkan tekanan dan desakan kita selain dari menghulurkan sebeberapa banyak bantuan yang boleh kita berikan kepada pelajar-pelajar yang progresif samada dari segi kewangan ataupun bantuan lain seperti khidmat nasihat guaman, strategi dan sebagainya.
Jangan terlalu pedulikan sekatan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang menghalang penglibatan pelajar dengan parti politik dan NGO kerana akta ini telah lebih dulu dicabul oleh pemerintah UMNO/BN sejak dari mula ianya diperkenalkan! Kepada pimpinan BA dan NGO, saya merasakan sudah tiba masanya untuk kita bergerak secara terang di dalam kampus, sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO/BN.
Yang benar,
ABDULLAH A. KARIM
Bertarikh : 20hb September 2007
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home