" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, October 10, 2007

PERUTUSAN AIDIL FITRI

AIDIL FITRI LAMBANG KEMENANGAN

Pasti sahaja seluruh ummat Islam bergembira menyambut kehadhiran Aidil Fitri , setelah sebulan mereka melalui Intensif Ibadat Puasa yang diprogramkan oleh Allah swt untuk melahirkan insan yang bertaqwa .

Tidak ketinggalan , saya sendiri gagal menyembunyikan rasa gembira menanti detik syawal yang cukup indah dan memories dalam sejarah peradaban ummat Islam ini.

Justeru itu , saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam Aidil Fitri buat Ibu dan Ayah yang kini berada di Kota Suci Makkah al Mukarramah , Isteri serta anak – anak yang kini genap 28 hari ditinggalkan sepanjang Ramadhan ( kerana tahun ini sebagaimana rutin , saya melakukan Kembara Ihya' Ramadhan ke seluruh Negara ) dan ucapan jua buat adik – adik tersayang , sahabat seperjuangan , kaum keluarga , rakan taulan , jiran tetangga bahkan seluruh muslimin dan muslimat .

Ucapan khas saya lampirkan buat Ayahanda Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan seluruh saf Pimpinan PAS Pusat , Ayahanda Tuan Guru Hj. Hashim Pondok Pasir Tumboh yang banyak mendidik diri ini sewaktu menjadi pelajar di sana , Yb. Salahuddin Ayub selaku Ketua DPP Pusat dan Mantan Ketua DPP Pusat Hj. Mahfuz yang kedua – dua mereka adalah antara mentor saya dalam perjuangan ini.

Semoga Aidil Fitri tahun ini , terus menjadi inspirasi yang memotivasikan perjuangan kita agar ia digerakkan dengan lebih gigih memburu kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah Qaadhi Rabbul Izzati.

Aidil Fitri Pengubat Duka

Biarpun dunia kini dirundung malang dengan pelbagai peristiwa pembantaian dan penyembelihan kuffar ke atas ummat Islam , kehadhiran Aidil Fitri menjadi pengubat duka lara yang sedang dialami oleh ummat Islam seluruh dunia hari ini .

Namun Aidil Fitri mampu mengubati duka ummah apabila ianya diraikan penuh penghayatan dan menepati objektif sambutan yang telah ditetapkan syara' .

Cuma malang apabila Aidil Fitri di negara kita tercemar dengan pelbagai aktiviti maksiat dan hiburan keterlaluan yang meleka dan melalaikan ummat . Bukan sahaja mereka tidak mampu menghayati nilai Aidil Fitri dan penderitaan yang sedang dihadapi oleh sebahagian ummat Islam yang lain , bahkan mereka tidak mampu untuk membesarkan Allah dengan kalimah takbir yang dilafazkan pada pagi Aidil Fitri .

Segalanya retorik ! , sandiwara ! dan cukup memalukan Islam.

Saya masih ingat Aidil Fitri yang saya lalui pada tahun – tahun 70 – 80 an , kala itu Aidil Fitri masih meriah dan hidup dengan semangat ukhuwwah dan ziarah sambil diiringi gema takbir yang sungguh syahdu dan membangkitkan keinsafan serta kesedaran .

Suasana meriah penuh seri dengan keriuhan menyambut tetamu yang mengunjung dan situasi itu menjadi lebih bermakna apabila mereka saling bertukar – tukar hadiah dan juadah raya.

Hiburan Aidil Fitri kala itu ialah keriangan kanak – kanak yang sibuk memperagakan pakaian baru .

Hubungan kekeluargaan juga menjadi kian erat dan mesra. Sejurus selesai solat Aidil Fitri , tangan ibu dan ayah adalah yang pertama digapai untuk memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap . Suasana menjadi sedu dan pilu dalam tangisan sang anak yang memohon ampun dari kedua orang tuanya.

Berurutan suasana sedemikian , kita akan dapati kebanyakkan keluarga akan turun pula menziarahi kubur . Sekurang – kurangnya mengingatkan mereka kepada peristiwa kematian .

Nostalgia Aidil Fitri.

Namun segalanya kini menjadi nostalgia. Terlalu sukar untuk melihat suasana serupa. Sebaliknya apa yang berlaku dewasa kini , hari – hari Aidil Fitri hanya dipenuhi dengan aktiviti menonton movie dan drama yang telah diiklankan sejak awal Ramadhan lagi.

Ziarah dan ukhuwwah kian berkurangan , malah ahli keluarga turut renggang . masing – masing dengan agenda hiburan masing – masing.

Anak – anak rasa malu untuk merangkul tubuh ibu tua mereka guna memohon ampun di pagi Aidil Fitri . Malah sebahagian mereka hanya leka dengan permainan game dan konsert – konsert Aidil Fitri yang ditayang secara langsung mahupun siaran ulangan .

Kembalikan Nilai Aidil Fitri .

Saya mengharapkan agar kita kembali menghidupkan Aidil Fitri dengan sistem nilainya yang asal dan tulen . Bermula dengan Penghayatan terhadap Kalimah Takbir yang dilaungkan guna membesarkan Allah dan melahirkan ketundukan serta kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah swt. hinggalah kepada pengisytiharan kehancuran tentera Ahzaab oleh Kekuasaan Allah Azza wa Jalla.

Aidil Fitri menjadi kesempatan untuk kita mempertautkan kembali saf ummah yang kian retak melewati batas perbedaan politik dan fahaman. Membina motivasi dari lakaran kemenangan silam ke arah menggaris langkah mengulangi kemenangan gemilang.

Akhirnya sekali salam Aidil Fitri dari saya buat semua agar perjuangan kita kian semarak.

Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home