Memperkasa Prinsip ‘Amal Jama’iyy
Untuk Menepati Tujuan Tarbiyyah
Untuk Menepati Tujuan Tarbiyyah
Oleh :
Ustaz Nasharudin bin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS
Siri Kedua :
Semasa merasmikan Muktamar Dewan Pemuda pada bulan Ogos 2008 yang lalu di Ipoh, kita telah menekankan betapa pentingnya prinsip-prinsip ‘amal jamai’iyy diperkasakan terutamanya oleh kalangan pemuda selaku barisan pelapis pimpinan. Dalam kesempatan ini, perkara yang sama akan ditegaskan semula.
Ketahuilah ikhwah yang dikasihi sekalian, ‘amal jama’iyy adalah asas dan teras (main core) pergerakan jamaah kita. Tujuan dan matlamat jamaah boleh tersasar jika ahli dan pimpinan tidak teguh berpegang kepada prinsip ‘amal jama’iyy. Ahli dan pimpinan mesti ditarbiyyahkan supaya memahami dan menghayati ‘amal jama’iyy.
‘Amal Jamai’yy sebenarnya bukan sekadar suatu keperluan semasa tetapi sebenarnya ia adalah suatu tuntutan syar‘iyyah sebagaimana diisyaratkan oleh Allah SWT dalam ayat:
“Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat, yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran; merekalah orang-orang yang berjaya.”
(Ali ‘Imran: 104)
Ayat tersebut jelas mengandungi arahan dan kaedah dakwah secara berjamaah melalui medan rakyat, yakni kalimat al-ummah. Status berjamaah ini pula dipertegaskan lagi dalam satu ayat yang lain,
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh.”
(As-Saff: 4)
Kalimat bunyanun marsus dalam ayat di atas , bukan sekadar pernyataan bersifat tasybih ‘am (perbandingan umum) sahaja, tetapi lebih mengkhusus kepada pembentukan ciri-ciri jamaah harakah Islamiyyah itu sendiri.
Ini memperlihatkan satu ikatan yang amat rapat di dalam barisan du’at yang tersusun rapi, akliah dan ruhaniahnya sekali, semangat dan iltizamnya, langkah dan gerakannya menuju kepada matlamat yang telah digariskan.[1]
‘Amal Jama’iyy menuntut semua kegiatan dakwah dilakukan secara kolektif bersumberkan manhaj yang sahih lagi besih, disusun dalam satu organisasi yang terancang ke arah mencapai tujuan dan matlamat yang telah digariskan oleh jamaah.[2]
Kegiatan jama’iyy tidak semestinya dilakukan oleh suluruh anggota jamaah. Ia boleh dilakukan oleh sebahagian anggota malah oleh seorang anggota sahaja pun asalkan kegiatan tersebut diputuskan dan dalam pengetahuan pimpinan jamaah. Setiap kegiatan mestilah syar’iyy dalam semua segi. Jika terdapat nas yang jelas, mesti dipatuhi sepenuhnya.
Jika tidak, keputusan syura dipegang sebagai panduan jamaah yang amat jelas, terikat dan tidak boleh dilangkaui. Tanzim dan takhtit merupakan intipati terpenting dalam pelaksanaan prinsip ‘amal jama’iyy berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
“Apa-apa yang dengannya terlaksanalah sesuatu yang wajib, maka perkara itu turut menjadi wajib”
Keperluan tanzim (penyusunan organisasi) dari segi syara’ diperjelaskan menerusi sebuah hadith Rasulullah SAW yang memerintahkan perlantikan seorang ketua dalam perjalanan yang disertai tiga orang.
Istinbat daripada hadith ini amatlah jelas – jika perjalanan dalam sekadar tiga orang diwajibkan perlantikan seorang ketua, apatah lagi sebuah jamaah harakah yang menuju ke arah himpunan barisan pendokong Islam hampir sejuta orang tidak lama lagi, insya’ Allah.
Terangkum di dalam istilah tanzim tersebut juga, empat aspek utama yang amat perlu dititikberatkan, iaitu:
(i) Pemimpin ( الأمارة )
(ii) Syura ( الشورى )
(iii) Ketaatan ( الطا عة )
(iv) Kesetiaan ( البيعة )
Sesungguhnya, berjaya atau tidaknya pengurusan sesuatu jamaah itu mencapai matlamatnya amat bergantung pada keupayaan barisan pimpinan mengendalikan teraju kepemimpinan organisasi itu dan kesetiaan anggotanya menyokong kepemimpinan.
Terlalu banyak nas al-Qur’an dan Hadith tentang perlunya organisasi mempunyai pemimpin yang cekap serta kepemimpinan yang baik. Oleh itu amat penting bagi sesebuah jamaah itu melantik kalangan yang benar-benar berkeupayaan untuk melaksanakan sesuatu amanah kepemimpinan.
Pada dasarnya pemimpin perlu memiliki sifat-sifat quwwah dan amanah, perlu mewarisi sifat benar, tabligh dan bijaksana. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW bahawa:
“Apabila dilantik seseorang untuk sesuatu tugas yang bukan ahlinya, maka nantilah saat kehancurannya!”
Sahabat Nabi SAW, Abu Zar al-Ghifari bertanyakan Nabi SAW mengapa beliau tidak diberikan sesuatu jawatan yang penting pada zaman baginda SAW? Nabi menjawab dengan jawaban di atas dengan maksud bahawa Nabi tahu tugas itu tidak sesuai untuk Abu Zar dan tidak terpikul olehnya.
Dengan wujudnya qiyadah (pemimpin), maka mesti lahir pula ketaatan yang penuh tertib dan adab oleh ahli yang telah bersetuju melantik pemimpin tersebut. Dengan demikian barulah terbentuk saff Jama’ah Harakah Islamiyyah yang mampu menangani perjuangan dan memikul beban da’wah.
Di sinilah letaknya persoalan at-Ta’ah dan al-Wala’ (kesetiaan). Al-Wala’ yang kita maksudkan bukanlah setia mematuhi membabi buta kepada Jama’ah atau pimpinan. Ia adalah kesetiaan kepada Islam yang diterjemahkan melalui Jama’ah Islam yang kita sokong, iaitu PAS berdasarkan prinsip dan kaedah syara’ sedia ada. Dengan demikian terlaksanalah suatu bay’ah ahli terhadap Pimpinannya.
Janji setia itu dimahkotakan dengan ahli mengikut Pimpinan penuh setia dan bergerak di atas dasar syara’. Ini bermakna, jika pimpinan memberikan arahan kepada ahli, ahli wajib menurut arahan tersebut selagi arahan tidak bercanggah dengan hukum yang jelas walaupun mungkin ada ahli tidak bersetuju atau menyukai arahan tersebut.[3]
Di dalam sejarah Islam itu sendiri kita telah melihat banyak contoh ketaatan, di antara lain umpamanya, bagaimana di dalam sebuah peperanga, Panglima Khalid al-Walid telah dipecat oleh Amirul Mukminin dan diarahkan oleh Khalifah ’Umar al-Khattab supaya mematuhi Abu ‘Ubadah al-Jarrah sebagai ketuanya walaupun jelas Khalid al-Walid lebih senior daripada Abu ‘Ubadah. Dan kita perdengarkan jawapan balas Khalid al-Walid;
“Demi Allah, sekiranya Amirul Mukminin telah melantik seorang perempuan menjadi ketua saya sekalipun, necaya saya akan mendengar dan mematuhinya!”[4]
Apabila bercakap mengenai ketaatan dan wala’ kepada pimpinan jamaah, sejarah Islam telah melakarkan, sebagaimana yang telah diceritakan oleh Zaid bin Thabit bahawa:
“Pada hari Perang Uhud, Rasulullah SAW telah mengutuskan supaya saya (yakni Zaid bin Thabit), mencari Sa’ad ibnu ar-Rabi’. Sabda beliau (SAW) kepada saya: ‘Jika anda menemuinya, maka sampaikanlah salam saya kepadanya dan bertanyalah kepadanya, bagaimanakah perasaan yang dia alami.’
Kata Zaid: Maka saya pun berjalan mengeliling orang-orang yang telah telah terbunuh syahid, sehingga saya menemuinya (Sa’ad). Padanya terdapat tujuh puluh liang tikaman lembing, tetakan pedang dan lontaran panah. Maka sayapun berkatalah kepadanya: ‘Wahai Sa’ad, bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan salam beliau kepadamu dan meminta anda khabarkan bagaimana perasaan yang sedang anda alami?’
Maka sahut Sa’ad: Ke atas Rasulullah SAW, sejahteraan (salam) dan katakanlah kepada beliau: ‘Wahai Rasulullah! Saya mendapati bau syurga. Dan katakanlah pula kepada kaum saya (orang-orang Ansar) bahawa tidak ada keuzuran bagimu di sisi Allah selagi mana mata kamu dapat berkelip [bermaksud kamu tidak dapat mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab terus membantu Nabi SAW selagi mana kamu masih hidup]. Setelah itu Sa’ad pun terus menghembuskan nafasnya yang terakhir.”[5]
[2]Untuk memahami huraian terperinci dan mendalam, sila rujuk Fiqh ‘Amal Jamai’iyy, Kuala Lumpur: Pustaka Ikhwan, 1985.
[3]Sebuah hadith sahih Rasulullah SAW riwayat Bukhari dan Muslim menyebut bermaksud “Diwajibkan ke atas orang Islam itu, dengan taat (kepada pemerintah) dalam perkara-perkara yang disukainya atau yang dibencinya kecuali jika ia diperintahkan membuat maksiat. Jika ia diperintahkan membuat maksiat, maka tidaklah wajib ia mendengar dan mematuhinya).
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home