" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Monday, December 22, 2008

JENTERA PEMUDA PAKATAN RAKYAT :
ANTARA YANG MESTI ANDA LAKUKAN

Jentera Pilihanraya Kecil P.036 Pemuda Pakatan Rakyat telah sempurna dilancarkan oleh Ayahanda Tuan Guru Dato' Seri Hj. Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS baru - baru ini di Markas PAS Kawasan Kuala Terengganu Kuala Ibai .

Pelancaran tersebut bukan bermakna segala gerakkerja memenangi pilihanraya baru bermula , tetapi ia lebih bermaksud sebagai satu isyarat bahawa kita kini berada di satu garisan atau pusingan yang memerlukan semua jentera , khasnya jentera pemuda melakukan pecutan akhir untuk memenangi pilihanraya kecil P.036 yang hanya diisytiharkan kekosongan kerusinya oleh SPR berikutan kematian al Marhum Dato' Razali Ismail baru - baru ini .

Jentera adalah mesin penggerak yang bertanggungjawab mengaktifkan seluruh organ parti agar tidak sekadar berfungsi tetapi mampu mencetus gerakkerja berkesan , menumbuh kesedaran ahli , meraih sokongan pengundi dan membawa pulang 'tropi' kemenangan .

Jentera menjadi sandaran parti dan harapan ummah yang mahukan agenda perubahan berjaya dilaksanakan dengan baik . Pendek kata , sebahagian dari faktor kemenangan parti dalam pilihanraya bergantung kepada sejauh mana keupayaan dan kemampuan jentera melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan amanah dan istiqamah .

Apa yang paling penting , ia turut bergantung kepada tahap prestasi diri setiap individu jentera , apakah ia menepati piawaian jentera yang ikhlas , taqarrub Ilallah , soleh , benar dan sebagainya yang mampu meraih redha Allah swt. sehingga turun nusrah atau mau'nahNya .

Syarat Menang Mestilah Berjuang

Saya mengharapkan Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan 'memberi' yang terbaik . Tampil dengan himmah yang tinggi , syaksiyyah yang solehah dan perwatakan yang meyakinkan sebagai duta parti .

Ingatlah , bahawa kita menyertai pilihanraya bukan kerana tuntutan demokrasi jauh sekali untuk beriman dengan demokrasi , tetapi kita menyertainya justeru mengambil peluang yang ada untuk membawa risalah perjuangan suci yang kita dokong selama ini iaitu syariat Islam dan seluruh syiarnya .

Ertinya kita mesti bekerja gigih dan tekun , serta teliti tanpa peduli apa halangan yang terpaksa kita hadapi sebagaimana kita bekerja keras dan rajin , serta tegas tanpa menghiraukan apakah keputusan yang akan kita perolehi , menang atau kalah .

Berkali telah saya tegaskan bahawa perjuangan kita tidak syarat menang , tetapi untuk mencapai kemenangan syaratnya mestilah kita berjuang .

Sekurang - kurang perkara yang perlu dilakukan oleh Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat ialah :

1. Spiritual Yang Akrab .

Maksudnya : Jentera jangan turun beraksi tanpa mempersiapkan diri dengan kerohanian yang akrab atau erat hubungan dengan Allah swt. Turunlah dengan nama Allah swt. bersama iringan doa memohon restu Allah swt agar apa jua bidang tugasan yang kita lakukan beroleh kejayaan dan hasil yang gemilang .

Janganlah kerana tugas kononnya , kita abaikan tanggungjawab asas kita sebagai seorang hamba Allah swt dan menjarakkan hubungan kita denganNya . Sebagai contoh , mengabaikan solat 5 waktu dan meringan - ringan solat berjamaah atas alasan keletihan setelah berjaga malam dengan kerja dan tugasan yang banyak .

Konsisten dengan munajat dan solat hajat adalah suatu yang sentuhan terbaik jika dilakukan oleh jentera sendiri berbanding orang lain tanpa menafikan orang lain juga perlu terus bermunajat .

2. Akhlak Mahmudah.

Merujuk kepada syakhsiyyah atau peribadi yang terpuji . Bukan hanya terhenti kepada perilaku tetapi juga tutur bicara , penampilan , pakaian , interaksi dan segalanya mestilah lunak , berhemah dan menawan hati .

Saya percaya , jentera adalah orang yang paling letih dan penat sepanjang tempoh pilihanraya ini. Kekadang mereka tidak sempat makan dan tidak cukup tidur demi memastikan segala urusan dan gerakkerja berjalan lancar mengikut jadual . Waktu - waktu beginilah emosi mudah terganggu dan kesabaran mudah tercabar .

Jentera mesti tabah dan berjiwa besar . Bekerjalah dengan tenang dan senantiasa bertindak sambil mengorak senyuman yang menggamit damai setiap orang yang berurusan dengan jentera pemuda . Sabarlah menghadapi karenah orang ramai yang pastinya pelbagai ragam . Anggaplah segalanya adalah ujian dan kita tanganinya dengan hikmah dan sakinah .

Tambahan pula berdepan provokasi musuh , jentera pemuda mestilah bijak mengawal keadaan dan awasi situasi agar tidak terperangkap .

3. Dengar dan Taat .

Suasana pilihanraya seringkali meletakkan jentera berhadapan dengan arahan yang bersifat ad hoc atau tugasan diluar garis pandu dan bidang tugas yang telah diputuskan . Jentera mesti sabar dan tabah menghadapi keadaan ini . Jangan merajuk apalagi menunjuk sikap protes terhadap pimpinan . Sekalipun jentera tidak mampu melakukan arahan tersebut , maklumkanlah keuzuran dengan beradab dan baik .

Laksanakan tugas atau arahan sebaik mungkin dengan hati yang mengharapkan redha Allah swt dan mengharapkan keputusan yang positif serta hasil kerja yang terbaik . Jangan sekali - kali melaksanakan tugasan secara sambil lewa atau sekadar melepaskan batuk ditangga .

Bekerja dan berjuanglah dengan rasa bangga bukan rasa bersalah meskipun kita berhadapan dengan penguasaan musuh . Selesaikan tanggungjawab sebagaimana yang diharapkan semampu mungkin sekalipun kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri seperti masa , wang ringgit , tenaga malah darah dan nyawa jika perlu .

4. Faham dan Ikhlas

Jentera mestilah terlebih dahulu menguasai satu - satu bidang atau perkara yang diamanahkan kepadanya sebelum dilaksanakan agar menghasilkan keputusan yang baik . Jangan segan untuk bertanya dan jangan rasa rendah diri untuk menerima tunjuk ajar walau dari sesiapa . Apatah lagi menerima tunjuk ajar dari pimpinan atau mereka yang berpengalaman .

Jentera mestilah faham matlamat dan objektif sesuatu tanggungjawab yang digalaskan kepadanya dan laksanakannya kerana Allah swt bukan kerana manusia atau lainnya. Setiap masaalah yang timbul mestilah segera dirujuk kepada pihak yang berhak membuat keputusan .

Lantaran ikhlas kita kepada Allah swt , maka kerja yang kita lakukan jangan mengharap imbuhan apalagi pujian manusia . Saya tidak nafi bahawa setiap kerja perlukan peruntukan kewangan , namun kita menyedari bahawa peruntukan tidak semesti cukup dan memadai . Kita memerlukan pengorbanan untuk berjaya dalam perjuangan ini .

5. Tindakan berasaskan Syura.

Elakan sikap bertindak sendirian , demikian juga keputusan sendiri mestilah dihindarkan sebaliknya merujuk kepada keputusan bersama yang diputuskan melalui mesyuarat samaada diperingkat jentera dalam bidang kuasa tertentu atau keputusan yang telah diambil oleh kepimpinan parti .

Mungkin sesuatu keputusan itu tidak menepati selera dan kemahuan kita . Maka kita mestilah bertanggungjawab dengan keputusan tersebut dan laksanakan amanah tanpa sebarang rasa ralat di dalam hati .

Contohnya calon yang bertanding . Besar kemungkinan calon yang diputuskan oleh pimpinan kelak bukanlah calon favourite kita , maka kita tidak perlu gundah jauh sekali berpaling tadah meninggalkan jamaah atau tutup pos sebagai protes .

Kita berjuang kerana Allah swt bukan kerana calon dan bukan kerana sesiapa . Keputusan syura insyaallah akan membawa kebaikan kepada kita , jamaah dan perjuangan Islam itu sendiri insyaallah .

Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh jentera , namun cukuplah dulu saya membawa beberapa noktah yang perlu perhatian serius dan segera oleh semua peringkat jentera . Akhirnya saya harap kita semua berjuang gigih dan bersungguh - sungguh . Berkorban apa jua yang mampu menyumbang kepada kemenangandan tentu sekali kemenangan ini amat bermakna buat perjuangan kita selama ini .

Selamat berjuang kepada semua jentera pilihanraya pemuda Pakatan Rakyat dari saya dan Yb Salahudin selaku Ketua DPPP serta seluruh exco DPPP .

Saya juga merakamkan setinggi - tinggi rasa syukur kepada Allah swt. dan terima kasih sebanyak - banyaknya kepada Sdr Shamsul Iskandar Mohd Aqil dan seluruh EXCO AMK yang gigih bersama turun menguatkan jentera demi meburu kemenangan .

Selamat Berjuang dari saya .
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua DPP Pusat

Labels:

9 Comments:

Anonymous islampastimenang said...

"Tanggal 21-Disember-2008 merupakan hari yang dinantikan-nantikan oleh kebanyakkan rakyat Malaysia yang prihatin akan perjalanan liku-liku politik negara tercinta. Mereka bukan menantikan pengumuman penurunan harga minyak kali ke-8 tetapi mereka menantikan siapakah calon yang akan mewakili PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang sebelum ini diwar-warkan akan di umumkan selepas berlangsungnya mesyuarat pimpinan tertinggi PAS.

Namun begitu ternyata rata-rata merasakan begitu hampa apabila di umumkan bahawa PAS hanya akan mengumumkan calonnya pada 1 Januari 2009. Hampa bagi penyokong dan pendokong PAS. Keliru bagi orang atas pagar dan mereka yang belum dan akan membuat pilihan manakala khabar gembira dan bonus bagi penyokong dan pendokong UMNO dan BN. Semestinya ianya satu kemenangan moral yang tidak dapat dinafikan lagi di kalangan penyokong UMNO dan BN.

PAS selama ini tidak pernah gagal untuk paling kehadapan untuk dalam mengumumkan calonnya dalam pilihanraya sebelum ini berbanding BN yang sebelum ini akan sentiasa bergolak dan bercakaran dalam memutuskan calon yang sesuai sebelum penamaan calon. Namum kini mengapakah solah-olahnya PAS pula di lihat ‘bergelut’ dalam memilih dan menamakan calon untuk mewakili harapan dan impian menggunung bukan sahaja rakyat di Kuala Terengganu atau bumi Kuwait Malaysia ini bahkan seluruh negara!!

Sedangkan UMNO mampu membuat keputusan yang drastik dalam masa sekejap menukarkan Wan Farid dari Zuber Embong dalam masa yang amat singkat. Walaupun apapun mereka mampu menamakan calon, sedangkan PAS tidak. Sebelum ini kita senantiasa berada dalam keadaan ‘offensive’ namun sekarang ternyata berada betul-betul pada kedudukan ‘defensive’. Apakah penyakit UMNO telah melanda kita?

Bermula dari semalam Wan Farid sudah mampu melangkah gagah dari setiap rumah ke rumah di seluruh pelosok Parlimen Kuala Terengganu memperkenalkan dirinya. Kita semua menyedari kemampuan jentera BN di ekori rapat oleh media dari segala macam jenis – elektronik, cetak bahkan maya untuk memaparkan gambatnya pada setiap detik dan ketika. Dalam kata mudahnya jika Wan Farid melawat seorang pesakit sahaja di Kuala Terengganu , gambarnya akan terpampang di seluruh media seolah-olah beliau telah menjelajah ke semua rumah dalam parlimen Kuala Terengganu pada setiap masa.

Tetapi bagaimana dengan PAS? Apakah yang mampu di buat oleh jentera pilihanraya dalam tempoh 10 hari ini? Apakah mampu kita bergerak dari rumah ke rumah untuk menpengaruhi rakyat agar memilih calon Pas sedangkan calonnya belum ada, belum wujud?

Kita mesti menyedari pola dan status pengundi di Kuala Terengganu yang kebanyakkannya terdiri dari kalangan berpendididkan tingi dan sederhana yang tidak berpihak secara mutlak kepada mana-mana parti. Mereka bukan seperti kebanyakkan pengundi di DUN Wakaf Mempelam yang secara pukul rata dapat di andaikan akan pasti memilih PAS sebagai parti pilihan atau sebagaimana pengundi di Bukit Besi yang rata-rata akan menyokong BN. Mereka akan meneliti dan mengkaji bakal calon mereka dan menilai setakat mana potensi calon tersebut dalam memberi sumbangan terbaik kepada mereka sekiranya terpilih sebagai Yang Berhormat.

Namun begitu begaimanakah mereka dapat membuat penelitian atau perbandingan andainya batang tubuh calonnya belum di kenalpasti lagi. Kita telah hampir setengah abad mengetahui halangan dan kongkongan terhadap keupayaan menyalurkan maklumat secara terus kepada rakyat melalui media perdana tetapi tidak memanafaatkan peluang tempoh yang begitu panjang yang di berikan oleh SPR dari tempoh sekarang hingga ke 17 Januari untuk memaksimumkan sepenuhnya peluang untuk memperkenalkan calon kita.

Andainya hari ini telah di umumkan contohnya Dr Syed Azman sebagai calon PAS, maka esok akan bermulalah sembang-sembang di kedai kopi, pejabat, pasar, stesen bas dan sebagainya berkenaan beliau. Mungkin ada yang belum mengenali lagi tetapi akan mulai bertanya-tanya akan perihal beliau. Seterusnya merebak kepada perbualan dengan orang yang seterusnya dan proses yang ada memakan tempoh lebih kurang 27 hari ke tempoh pengundian berbanding 16 hari jika di umumkan pada 1 Januari. Itu belum di ambil kira lagi isu-isu lain tempatan atau nasional yang bakal di hadapi oleh PAS dan Pakatan Rakyat dalam tempoh masa dan media yang terlalu terhad.

Kita betul-betul kehilangan masa kerja yang amat berharga yang sepatutnya di eksploitasikan sepenuhnya oleh jentera pilihanraya secara optimum bermula dari esok. Apa yang berlaku kini secara mudahnya dapat di buat perbandingan seperti kita mewar-warkan kepada penduduk kampong yang kita akan mengadakan satu kenduri kahwin ataupun bekwah. Skuad mengejar lembu berkejaran pergi menangkap lembu, mencari kelapa dan kayu api, mengumpul periuk belanga, panggil tok iman, menjemput orang kampong, tetapi bila di tanyakan siapa yang nak kahwin.. lalu kita menjawab..tak pasti lagi anak mana entah yang nak kahwin ni...tak pening ke orang kampong kita?

Untuk itu sewajarnya pucuk pimpinan mengambil langkah segera dengan mengumumkan calon yang akan mewakili PAS samada beliau itu Dr Syed Azman, Mohamad Sabu waima Cikgu Mustapa Ali sendiri bagi memastikan PAS tidak kehilangan terlalu banyak momentum yang kelihatan agak terencat hari ini!!

12:15 PM

 
Blogger rhmyee said...

apa kalau 21hb calon Pas diumumkan, mcm dah boleh nak berkempen pun..

penamaan calon berapa hb?
apa yg x sabar sgt ni...

adalah strategi tu..

adakah kerana lambat umum calon menyebabkan Pas akan kalah..

standardlah tu...''perang'' ada masa offensive, ada masa defensive, x kan tiap2 kali perang sokmo nak offensive???

ni Pas lambat umum je, perasaan2 negatif dah mula wujud..
mcm ni ke nak berjuang??!!

5:30 PM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Assalamualaikum

9:46 PM

 
Blogger Nasrudin bin Hassan at Tantawi said...

Buat sahabat sekelian .

Pertama , usahlah gusar dan gundah gulana ekoran keputusan yang diambil oleh PAS yg hanya akn mengisytiharkan calonnya pada 1 hb January kelak .

Kedua : Pilihanraya adalah satu keadaan yang penuh dengan pertarungan teknikal dan taktikal . Kita menaruh setinggi - tinggi thiqah kepada kebijaksanaan pimpinan dalam memutuskan tindakan.

Ketiga : Kita berjuang kerana Allah swt . Bukan kerana calon dan bukan juga kerana pimpinan . Jentera telah diamanahkan oleh Tok Guru Presiden baru - baru ini bagaimana mereka mesti bekerja dan berjuang .

Keempat : Akad nikah 6 hb January [penamaan calon] dan kenduri 17 hb Januari [ pembuangan undi]. dan 1 hb January edar kad jemputan dan maklumkan kepada orang ramai [pengumuman calon].... so apa yang tidak kena di situ . Tok Imam dan orang kampung rileks laa , dah dapat kad jemputan nanti , tahulah siapa pengantinnya .

Kelima : Walaupun 1 hb January baru nak edar kad jemputan [pengumuman calon] , kerja kerja awal seperti cat rumah , kemas kawasan , beli peralatan , duit belanja , petugas , lembu nak sembelih dan segala - galanya telah ready dan sedia diuruskan sekarang . so , usahlah bimbang .

Keenam : Umum telah tahu bahawa PAS yang akan bertanding . Yang akan di undi ialah PAS . Calon hanya simbolik mewakili parti . So pengisytiharan calon 1 hb january pada saya sangat bijak dan tepat .

Ketujuh : kita jgn terperangkap dan terikut ikut rentak umno yang belum tentu lagi calon yg sama akan kekal hingga ke hari penamaan calon 6 hb nanti . manjadi perkara biasa , calon bertukar pada last minit menjelang pagi penamaan calon . kerana calon yg benar - benar sah bertanding ialah calon yang berjaya diumumkan oleh SPR pada 6 hb nanti mewakili parti masing masing.

Kelapan : Perjuangan kita ialah Islam . Sebuah perjuangan yang melewati tarikh atau musim pilihanraya . so kita berjuang dan bekerja untuk memenangkan islam disepanjang masa dan zaman . ada pilihanraya atau tiada , ada calon atau tiada , perjuangan terus berjalan seperti biasa dan jentera perjuangan terus aktif tanpa rehat justeru mrk memburu redha Allah swt .

Kesembilan : Pengundi atau rakyat semua tahu bahawa penamaan calon pada 6 hb january dan tindakan PAS yang hanya akan umum calon pada 1 hb january tidak mendatangkan apa - apa masaalah kepada mereka . yang mereka nak undi ialah pada 17 hb kelak dan 6 hb nanti mrk akan yakin siapa yg akan wakili parti . entah - entah PAS menang tanpa bertanding krn calon UMNO di tolak pencalonannya .

kesepuluh : faktor calon nak turun perkenal diri atau bertemu masyarakat dan berkempen tidak merisaukan kerana calon ialah "orang PAS" dan "orang PAS" ni lama dulu ( sejak bersama PAS/berjuang ) telah turun bersama masyarakat dalam pelbagai aktiviti termasuk kebajikan dan seumpamanya . Sementara jentera telah diperhebatkan . sejak hari pertama kerusi P.36 diisytihar kosong , pengarah pilihanraya dan ahli jawatan kuasa telah bekerja keras dan ada yg tak tidur malam .

Akhirnya : semoga Islam menang . Demikian janji Allah , asal kita bekerja keras memenangkan agama Allah , pasti sahaja Allah akan menolong kita . Amin . Selamat berjuang

10:09 PM

 
Anonymous islampastimenang said...

assalamualaikum..
terima kasih krn bg penerangan..
btol lahh..kite ni kene sentiasa mendampini ulama'...
moga kita istiqomah dlm perjuangan..

10:27 PM

 
Blogger faham islam said...

ana perhatikan wajar PAS mengadakan majlis 'umum calon pada 1 jan.....Klu kta lihat kebanyakn org bercakap PAS kalah baru2 ni kat kt faktor calon,ana amat sedih,kenapa masyarakat lbh memandang calon daripada islam?Pada kali ini,ana berpendapat rakyat mesti SEDAR,perjuangan pas bukan calon,mmglah ianya merupakan satu faktor,tapi yg lbh penting masyarakat PAS mesti meletakkan ISLAM adalah lbh pntg.Istilah menang juga ahli2 PAS mesti betul2 faham.Apakah sebenarnya 'menang' yg dimaksudkan bg pendokong agama Allah?adakah kita ingat'imma nasru waimma syahadah'?apakah lbh baik kepada kita kalah tapi bersungguh dan istiqamah dalam PAS berbanding menang tetapi kita ada sedikit pun sumbangan terhadap ISLAM?...kita mesti faham sungguh2 perkara ni.Satu lagi nak berperang mesti ada strtegi,...kita tak boleh ikut rentak pihak musuh.Kan kita pernah dengar,dalam perang ada helah...dll

2:39 PM

 
Blogger faham islam said...

pembetulan
adakah kita ingat'imma nasru waimma syahadah'?apakah lbh baik kepada kita kalah tapi bersungguh dan istiqamah dalam PAS berbanding menang tetapi kita tidak ada sedikit pun sumbangan terhadap ISLAM?...

2:42 PM

 
Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum,

Minyak dan air tidak dapat bercampur. Walaupun org berkata, dlm zaman moden yg serba canggih ni, tiada yg tidak mungkin...lalu minyak dan air, bila dicampakkan agen , ianya akan bercampur dan sebati seperti santan dan susu.

Ya...dgn adanya agen emulsi, minyak dan air kelihatannya bersatu....namun ianya tidak kekal. Buktinya bila agen emulsi tsbt rosak, air dan minyak akan terpisah semula. Ini kerana persatuan tsbt bukanlah suatu yg semulajadi. Ianya berbeza. Air bersifat polar manakala minyak non polar.

Islam adalah al Haq, manakala kekufuran adalah Batil. Ianya saling bertentangan dan saling menjatuhkan.

RIRK

2:15 PM

 
Anonymous muslimah said...

Perjuangan kita ialah Islam . Sebuah perjuangan yang melewati tarikh atau musim pilihanraya . so kita berjuang dan bekerja untuk memenangkan islam disepanjang masa dan zaman . ada pilihanraya atau tiada , ada calon atau tiada , perjuangan terus berjalan seperti biasa dan jentera perjuangan terus aktif tanpa rehat justeru mrk memburu redha Allah swt .

hmm..saya suka respon ustaz yang ini. ia motivasi untuk sentiasa bersedia bekerja. Kita ingin menangkan Islam utk memburu redha Allah. Bekerja di atas keupayaan kita memahami situasi semasa dan memanipulasi peluang yang ada ... apa saja usaha kita utk agamaNya...Allah jua yang paling baik memberi penilaian.

7:38 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home