" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Friday, December 12, 2008

SOLAT
PENGHINDAR KEMUNGKARAN

Institusi solat semakin luntur dikalangan ummah dewasa kini . Terutama generasi muda dan golongan remaja tanpa menafikan juga wujud dikalangan orang dewasa yang culas dan cuai dalam mendirikan solat.

Rata - rata orang tidak mendirikan solat pada hari ini , jauh sekali solat berjamaah . Buktinya kita boleh lihat masjid dan surau semakin hari semakin lengang dan lompang .

Lagi buruk nasib kuliah dan majlis ilmu yang dianjurkan di masjid atau surau. Kehadhirannya cukup menyedihkan berbanding majlis - majlis keraian yang lainnya.

Semalam sebagai contoh , sebaik sahaja selesai menyampaikan kuliah " Syarah Hadis Riadhus Solehin" di Akademi Ar Rasyidin saya terus melangkah pulang kerana demam panjang yang dialami lebih seminggu belum pulih sepenuhnya.

[ sepatutnya saya turun beraksi di Old Trafford pada malam ini bersama adik - adik jamaah dan staff Akademi Ar Rasyidin - tapi maaflah , stamina belum pulih sepenuhnya ]

Dalam perjalanan pulang , saya melintasi satu kawasan kelab malam yang berada betul - betul di simpang empat Pelindung . Saya dapat saksikan sendiri bagaimana anak - anak muda melayu kita tunggang langgang dengan minuman ditangan bergelak tawa pula dengan wanita penghibur yang berpakaian tetapi telanjang di perkarangan kelab malam tersebut.

Mereka macam ni , memang tak peduli sembahyang bang ! apalagi nak menghadhir kuliah tafsir dan hadis . Sesekali terasa mual di dada , tetapi jauh disudut hati terasa juga kasihan kepada mereka yang terumbang ambing mencari arah tuju hidup mereka .

Saya percaya mereka ni tidak solat . Kalau mereka solat , tidaklah begini keadaan mereka . Jumlah mereka bukan sedikit . Teringat saya suatu ketika dahulu kami pernah mengadakan satu operasi meninjau dan memantau perkembangan sosial di Bandar Kuantan .

Boleh saya katakan di sekeliling Masjid Negeri Kuantan tu sahaja ( di Bandar Kuantan ) mempunyai lebih 20 buah kelab malam yang beroperasi sampai jam 1 pagi . 20 buah kelab malam ! saudara bayangkan betapa ramai pengunjung mereka saban hari ?

Itu belum dikira remaja lepak dan berpeleseran di sekitar bandar Kuantan . ( juga belum dikira seuruh bandar utama di negara kita )

Lebih malang , fenomena ini bukan sahaja di bandar tetapi telah meresap dan merebak ke kawasan taman - taman perumahan , desa - desa malah kampung - kampung tradisional termasuklah kawasan perumahan peneroka felda yang semakin parah mutakhir ini .

Gejala lepak , couple , zina , dadah dan arak menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita hari . Kita boleh lihat sendiri bagaimana akhbar dalam negara kita melaporkan perkembangan ini . Jelas menunjukkan bahawa ia berlaku setiap hari dan semakin pesat bagai membentuk satu industri yang diiktiraf oleh negara .

Segalanya adalah manifestasi dari runtuhnya Institusi Solat dikalangan masyarakat kita hari ini . Maha Benar Allah swt . apabila berfirman :

" Sesungguhnya solat mencegah dari sebarang kekejian dan mungkar "

Solat Tanggungjawab semua

Bermula dari individu muslim hinggalah kepada sebuah kerajaan yang memerintah wajib menginstitusi dan mendirikan solat . Solat adalah formula tepat untuk melahirkan insan yang soleh , masyarakat yang sentosa dan negara yang makmur . Justeru solat membentuk peribadi dan spiritual yang tunduk ( rukuk dan sujud ) kepada Allah swt dan ia membentuk suasana taat yang membawa berkat dari Allah swt .

Persaingan hidup berasaskan kepentingan material yang terpisah dari tuntutan akhirat menjadikan manusia hari ini tidak menyedari implikasi yang bakal mereka terima di dunia dan di akhirat akibat meninggalkan solat .

Demi masa depan ummah , kita meletak harapan tinggi kepada generasi kita yang bakal menghuni masa depan . Apakah mereka juga kita biarkan meredah cabaran hidup ini tanpa solat ?

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home