" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Tuesday, February 07, 2006

KONFLIK BELUM BERAKHIR
Oleh : Mohd Fadzli Bin Mohd Ramly
Peguambela dan Peguamcara Makamah Tinggi Malaya
Pengerusi Lujnah Guaman PAS PAhang
Pengerusi Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Pahang
Kelibat Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan telah menghangatkan suasana yang disirami dengan terdahulunya oleh isu perebutan Mohamad Abdullah @ Moorthy dan Nyonya Binti Tahir dikatakan telah berakhir dengan pendirian kerajaan yang tidak akan meminda perkara tersebut.
Namun apakah ia akan benar-benar berakhir, setelah menteri-menteri bukan Islam menarik balik memorandum pindaan perlembagaan dan Rang Undang-Undang antara Agama 2005 cadangan Suruhanjaya antara Agama ( IRC ) ditangguhkan? Apakah Perkara 121(1A) ini akan dikekalkan sekiranya berlaku tranmisi politik ? Kita sendiri akan menjadi saksinya.
Konflik yang melibatkan pertentangan antara antara dua sistem undang-undang dalam negara ini iaitu Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Islam ( syara’ ) sebenarnya telah lama menonjol.
Ianya jarang dibicarakan secara terbuka di atas sifatnya yang cukup sensitif walaupun ia melibatkan persoalan hak yang jelas. Konflik ini pada hakikatnya telahpun dirasai sekitar akhir 30-an.
Dalam kes Ainan bin Mahmud lwn Syed Abu Bakar & yang lain [1939] MLJ 209 isu yang perlu diputuskan adalah sama ada seprang bayi yang dilahirkan kira-kira 3 bulan dari tarikh perkahwinan dilangsungkan itu sah ataupun tidak kedudukannya.
Hakim Aitken memutuskan walaupun dari hukum syara’ bayi tersebut tidak sah taraf, namun berasaskan Seksyen 112 Enakmen Keterangan ( ketika itu ), bayi tersebut sah di sisi undang-undang sivil. Hakim dalam kes ini juga menyatakan bahawa Enakmen Keterangan adalah undang-undang Inggeris dan diterima pakai di negara ini.
Ironinya, walaupun Enakmen Keterangan ( sekarang Akta Keterangan 1950 ) telah dipinda berkali-kali, namun peruntukan Sesyen 112 ini tidak pernah disentuh walaupun ianya jelas satu perkara yang amat mengaibkan orang Islam di negara ini.
Dalam satu lagi kes yang amat popular dan tragis In re Maria Hertog [1951] MLJ 164, pertikaiannya adalah sama ada pernikahan seorang gadis bawah umur ( Natrah ) dengan seorang lelaki Mansur Adabi ( warganegara Malaya ) sah ataupun tidak.
Pernikahan yang berlangsung pada 1 Ogos 1950 di Singapura diistiharkan tidak sah oleh Hakim Besar Foster Sutton dan menyatakan bahawa keesahan sesebuah pernikahan harus bersandarkan kepada undang-undang domisil pihak-pihak yang berkahwin. Dalam perkara ini pernikahan Natrah dan Mansur adalah tidak sah kerana Natrah bawah umur serta Raja Belanda tidak memberikan kebenaran untuk berkahwin.Begitu juga dengan pentafsiran Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya dalam perlaksanaan undang-undang yang cuba ‘diuji’.
Dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn Pendakwaraya [1988] Yang Amat Arif Hakim Tun Salleh Abas memutuskan bahawa pentafsiran Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah melibatkan perkara ritual dan upacara sahaja. Pertembungan yang lebih besar dapat dilihat adalah dalam isu murtad di negara ini. Walaupun secara angkanya, bilangan kes murtad ini adalah meningkat dengan hampir 5000 akuan bersumpah, pelbagai notis dan afidavit serta iklan-iklan untuk keluar dari Islam, penulis hanya memfokuskan tulisan ringkas ini kepada aspek perundangan sahaja.
Dalam kes Menteri Dalam Negeri lwn Jamaludin bin Othman [1988]1 MLJ 369 & 418 mahkamah menerima hujah seseorang Melayu yang masuk Kristian berhak diberikan kebebasan agama.
Mahkamah juga tidak beranggapan usaha penyebaran Kristian sebagai usaha yang mengancam keselamatan negara.
Dalam satu lagi kes, In re Susie Teoh, seorang gadis berumur lebih 17 tahun telah memeluk Islam di Kelantan. Perkara ini telah dibawa ke Mahkamah Tinggi, di mana Hakim bicara telah memutuskan bahawa berdasarkan hukum syara’ perbuatan memeluk Islam dalam keadaan waras, akil baligh dan sukarela adalah sah.
Walaubagaimanapun Mahkamah Agung memutuskan sebaliknya di mana agama bagi seseorang yang masih 18 tahun tertakluk kepada pilihan ibu bapa atau penjaganya.
Selain dari itu juga, isu kebebasan mengamalkan Islam dalam negara ini turut menjadi polemik hebat. Dalam kes Halimatusssa’adiah lwn Suruhanjaya Perkhidmatan Awam [1992] 1 MLJ 513, seorang kakitangan awam yang mengenakan purdah dipecat dari perkhidmatan kerajaan.
Beliau membawa perkara ini ke Mahkamah dan akhirnya diputuskan bahawa pemakaian purdah bukanlah amalan wajib dan tidak boleh dianggap sebagai kebebasan beragama. Persoalannya, apa kaitan antara kebebasan agama dengan wajib atau tidaknya sesuatu amalan yang bersumberkan agama ? Yang jelas, purdah tidak menyalahi ajaran Islam, malah sesetengah pendapat menyatakan pemakaian purdah dalam keadaan tertentu menjadi wajib.
Begitu juga dengan dengan kes yang dikendalikan oleh penulis membantu peguam Mohamed Hanipa Maidin iaitu Meor Atiqurrahman bin Ishak & lain-lain lwn Fatimah binti Sihi & lain [2000] 5 MLJ 375 Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan bahawa larangan pemakaian serban sebagai menyalahi perlembagaan kerana kedudukan Islam yang tinggi dalam perlembagaan.
Walaubagaimanapun keputusan ini telah dibatalkan oleh Hakim Gopal Sri Ram di Mahkamah Rayuan.Isu pertembungan ini tidak terhenti setakat itu sahaja, malahan dalam persoalan undang-undang pusaka tidak terkecuali.
Dalam kes Eeswari Visvalingam lwn Kerajaan Malaysia [1990] 1 MLJ 86, seorang kakitangan kerajaan berbangsa India telah memeluk Islam, tetapi isterinya kekal dalam agama Hindu. Apabila suaminya meninggal dunia, isterinya menuntut wang pencen simati.
Kerajaan Malaysia merujuk perkara ini kepada Mufti untuk mendapatkan fatwa berkaitan. Mufti menjelaskan bahawa dalam hukum syara’, isteri simati tidak boleh menuntut wang tersebut kerana seorang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta pusaka orang Islam. Isteri simati kemudiannya membawa perkara ini ke mahkamah dan diputuskan bahawa isteri simati berhak mendapatkan wang pencen tersebut kerana ianya adalah satu hak di bawah undang-undang sivil.
Justeru isu mewarisi harta pusaka orang Islam tidak timbul.Senarai kes yang melibatkan konflik undang-undang negara ini masih panjang dan akan terus berlaku. Kedudukan perundangan Islam dan Sivil di negara ini kerap mengundang pelbagai polemik yang membuka kepada pelbagai isu dan peristiwa.
Ini amat difahami kerana sejarahnya yang pernah dilindungi oleh Inggeris walaupun undang-undang Islam pernah menjadi asas undang-undang negara ini seperti dalam kes Ramah lwn Laton (1972) 6 FMSLR 128.Setelah melalui liku-likunya yang cukup significant maka Perkara 121 ( 1A ) Perlembagaan Persekutuan dimasukkan ke dalam undang-undang tertinggi negara pada 10 Jun 1988.
Perkara 121 (1A ) ini bukanlah satu ikon kezaliman kepada bukan Islam. Kalau diperhalusi kaedah sebenar perundangan dan kehakiman Islam, terbuka luas ruang keadilan yang masih boleh diperolehi dalam Islam.
Isunya cuma satu, campakkan sejauhnya sempadan politik dan perkauman. Kes Moorthy dan Nyonya Tahir menjadi aras tanda. Ruang bersuara, berhujah, menunjukkan bukti mahupun mengemukakan saksi ada tempatnya dalam Islam. Disamping itu mutu pentadbiran perundangan syariah di negara ini haruslah dipertingkatkan agar tidak menjadi sendaan.
Maka dalam menghayati semangat keperlembagaan ( constitutional spirit ) inilah semua kaum harus menyedari kedudukan, pengorbanan mahupun kepentingan yang terpaksa dilalui demi merintis jalan yang amat getir ini dalam membina perpaduan sejagat.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home