" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, February 18, 2006

MEMORANDUM
PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA

Diserahkan kepada Tan Sri Lee Lam Thye
Oleh Mazlan Aliman . Naib Ketua DPP Pusat
Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara ( MLKN )
di Pejabatnya .
Pada 17 Feb 06' jam 9.45 am .
PENDAHULUAN Pembinaan sebuah negara tidak sekadar menekankan kepada faktor pembangunan infrastruktur yang maju dan canggih. Perhatian juga seharusnya perlu diberikan kepada faktor pembangunan insan. Malah dalam banyak hal pembangunan insan ini merupakan faktor terpenting yang perlu didahulukan dan memerlukan perhatian dan tindakan yang amat cermat di dalam programnya. Kesilapan di dalam program pembinaan insan memungkinkan natijah yang amat buruk kepada masa depan negara. Berdasarkan kepada prinsip inilah program-program pembinaan insan tidak diatur rancangkan mengikut kaedah trial and error . Pembinaan insan diasaskan kepada perancangan yang berstruktur, terbina susun atur programnya dan mempunyai visi serta misi yang jelas. Di dalam konteks negara ini, proses ini sewajarnya terserlah di dalam Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN ), sebuah projek mega yang digagaskan bagi melahirkan insan-insan terbilang yang akan memenuhi matlamat aspirasi negara. Bertitik tolak daripada inilah Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP ) begitu serius dalam menilai dan memantau perkembangan perlaksanaan PLKN. Perhatian serius ini sejajar dengan pendirian DPPP yang melihat program pembinaan insan sebagai agenda terpenting dalam konteks pembinaan negara. PERSOALAN-PERSOALAN Kini setelah hampir 2 tahun PLKN dilaksanakan timbul persoalan yang wajar difikir dan direnungi oleh semua pihak, persolan tersebut ialah adakah PLKN berjaya menepati kehendak visi, misi, objektif dan matlamatnya. Sememangnya tidak dapat dinafikan penilaian dalam tempoh yang sesingkat ini perlaksanaannya adalah satu tindakan yang tidak adil, tetapi kejayaannya PLKN boleh diukur dengan menilai perkembangan semasa melalui semakan semula terhadap setiap aspek dan perkara yang terlibat. Semakan semula ini mampu menentukan samada PLKN berada pada landasan visi, misi, objektif dan matlamat yang telah digariskan. Keboleh upayaan PLKN untuk berjaya juga boleh dinilai ukur melalui penelitian terhadap kemampuan dan keupayaan modul latihannya dalam menangi begitu banyak permasalahan yang dihadapi remaja pada masa kini dan akan datang. Modul latihan PLKN perlu dibangunkan secara futuristik dengan mengambil kira faktor-faktor semasa dan akan datang bagi memastikan ianya anjal atau fleksibel dalam kesannya. Perkara inilah yang perlu dirungkai satu persatu bagi menjawab keraguan ramai pihak terutamanya ibu bapa terhadap PLKN samada program ini adalah jawaban sebenar kepada semua permasalahan yang dibangkitkan bagi mewajarkan kewujudannya. Untuk itu DPPP mengajak semua pihak terlibat untuk melihat aspek-aspek penting yang menjadi faktor pengukur kejayaan PLKN setakat ini. Dibawah ini adalah antaranya yang digariskan DPPP untuk perhatian dan tindakan. 1. KEBERKESANAN MODUL LATIHAN PLKN. Kemampuan modul latihan PLKN jelas boleh dipertikaikan. Sebagai sebuah program pembinaan insan yang berstatus khidmat negara adalah sesuatu yang amat mengecewakan modul yang dijalankan tidak menepati standard statusnya. Modul latihan PLKN dilihat sama saja tarafnya seperti program motivasi biasa. Perlaksanaan latihan yang menggunakan pendekatan ala-ala Biro Tata Negara ( BTN ) jelas boleh dipertikai keberkesanannya. Ini kerana perlaksanaannya banyak bergantung kepada kemampuan dan kefahaman jurulatih ataupun fasilitator untuk membentuk dinamika peserta. Kaedah ini akan mendedahkan kepada penyelewengan dan penyalahgunaan yang ketara. Peserta dibentuk bukan berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang digariskan tetapi bergantung kepada kefahaman jurulatih terhadap latihan yang disediakan. Dengan latar belakang yang pelbagai input yang disampaikan oleh jurulatih pastinya dipengaruhi. Lebih menyedihkan hasil dari pengakuan beberapa individu yang terlibat jelas dilihat bahawa pemilihan jurulatih juga tidak melalui saringan dan pemilihan yang ketat. Pemilihan secara kolektif ini dilihat berpunca daripada kegagalan pengurusan PLKN untuk menyediakan jurulatih yang secukupnya. Bukanlah sesuatu yang pelik jika didedahkan pemilihan jurulatih ini juga banyak dipengaruhi oleh faktor politik. Pendedahan ini seakan membuktikan telahan umum bahawa PLKN ini diwujudkan bagi dijadikan sebagai program indoktrinisasi politik pihak pemerintah yang dikuasai UMNO / BN. Malah bukti jelasnya dapat dilihat bagaimana pelatih-pelatih PLKN ini dieksploitasi dalam program-program UMNO / BN. Dengan latar yang sebegini adakah PLKN masih lagi dilihat berupaya untuk menepati visi, misi, objektif dan matlamatnya. Inilah persoalannya ? 2. PENGABAIAN ASPEK AGAMA DI DALAM MODUL LATIHAN. Kekecewaan umum yang paling ketara terhadap modul latihan PLKN ialah tiadanya penekanan dalam aspek pengamalan hidup beragama terutamanya bagi pelatih-pelatih yang beragama Islam. Kes-kes yang dirujuk tentang pergaulan bebas para peserta, aktiviti maksiat dan sebagainya adalah natijah yang tidak dapat dinafikan oleh pihak pengurusan PLKN. Malah kejadian rogol yang berlaku di dalam sebuah kem, peristiwa menonton cerita lucah di sebuah kem yang lain serta beberapa aduan tentang gangguan seksual terhadap pelatih wanita adalah bukti jelas betapa longgarnya aspek agama dalam PLKN. DPPP mempersoalkan, bagaimana mungkin sebuah program beragenda nasional yang mempunyai gagasan besar mampu mencapai visi, misi, objektif dan matlamatnya seandainya aspek agama diabaikan, malah lebih daripada itu DPPP menegaskan perlaksanaan sebarang bentuk program pembinaan insan dinegara ini yang mengabaikan aspek agama adalah suatu pengkhianatan terhadap prinsip Rukun Negara. Soalnya dengan fakta yang sebegini adakah PLKN masih lagi boleh dikatakan sebagai program latihan yang mampu melahirkan jiwa-jiwa patriot yang bersedia untuk mengorbankan jiwa dan raganya untuk kepentingan agama, bangsa dan negara, sedangkan prinsip asas pembinaan negara yang telah digariskan di dalam Rukun Negara jelas diabaikan? 3. PENGABAIAN DAN KEGAGALAN KAWALAN DISIPLIN DPPP juga menyarankan akan penyemakan semula terhadap keberkesanan modul latihan PLKN dilakukan bagi menilai kemampuannya untuk membentuk disiplin para pelatih. Laporan pergaduhan bersifat perkauman dan pertelingkahan antara pelatih dan jurulatih sehingga mencetuskan satu demonstrasi adalah sesuatu yang amat memalukan bagi sebuah program yang hala tujunya bagi melahirkan insan yang terbina kualiti sahsiahnya. Perlanggaran hak dan asasi manusia yang menjadi punca kepada tragedi ini perlu di atasi bagi memastikan program yang menelan jutaan ringgit duit rakyat ini tidak dicatatkan sebagai “Sebuah Lagi Projek Gajah Putih Kerajaan”. 4. PENGABAIAN KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR & LOGISTIK. Bukanlah sesuatu yang menjadi rahsia terhadap isu kekurangan kemudahan infrastruktur di kem latihan PLKN. Spesifikasi yang ditetapkan bagi sesebuah kem untuk layak di iktiraf sebagai kem latihan PLKN sering kali diabaikan prosedurnya. DPPP melihat perkara ini sebagai sesuatu yang amat menyedihkan. Pengabaian aspek keselamatan dan keselesaan peserta sering kali mengundang peristiwa yang tidak diingini. DPPP melihat penggabaian ini berlaku berpunca daripada sikap sesetengah pihak yang melihat PLKN sebagai sebuah komoditi yang perlu diraih keuntungan daripadanya segenap sudut. Peruntukan kerajaan yang mencecah RM 500 billion dilihat sebagai peluang bagi golongan kapitalis untuk mengaut keuntungan. Malah DPPP amat yakin dari rentetan peristiwa yang berlaku seperti pembantalan hak beberapa buah kem dan juga penyelewengan tender makanan pasti wujud persekongkolan antara pihak-pihak yang berkepentingan dengan mereka yang terlibat. Jelasnya ini adalah bukti betapa sebuah lagi projek agenda nasional yang menelan jutaan wang rakyat menjadi mangsa terhadap kerakusan sesetengah pihak. 5. KEKURANGAN JURULATIH BERKELAYAKAN Sesuatu yang amat membimbangkan DPPP ialah hal yang berkaitan dengan kemampuan pengurusan PLKN untuk memenuhi kuota jurulatih bertauliah dan layak yang secukupnya. DPPP juga membangkitkan tentang proses pentauliahan jurulatih yang dilakukan oleh pengurusan PLKN. Kebimbangan ini berasaskan kepada pendedahan-pendedahan yang telah berlaku dimana terdapatnya beberapa kes kekurangan jurulatih dan ketidakmampuan jurulatih untuk mengawal situasi perjalanan program. DPPP melihat kejadian pergaduhan dan perlanggaran disiplin secara ketara adalah kesan daripada kegagalan fungsi jurulatih dalam mengendalikan latihan. Begitu juga bagi kes-kes jenayah yang berlaku sepanjang program seperti kejadian rogol dan pencabulan yang juga boleh dimenifestasikan sebagai kegagalan pengurusan PLKN untuk melakukan saringan yang berkualiti. Kejadian-kejadian ini sedikit sebanyak menggugat krdibaliti PLKN itu sendiri. Kebimbangan ibu bapa juga meningkat seiring dengan apa yang berlaku. Kemampuan dan keupayaan pengurusan PLKN bagi memastikan keselamatan pelatih terjamin kini dipersoalkan. Berikutan itu suatu tindakan perlu diambil bagi memastikan jurulatih yang dipilih benar-benar berkelayakan. Jurulatih juga perlu melalui satu program latihan berterusan dan pemilihannya hendaklah menitik beratkan kepada hal-hal yang berkaitan keperibadian, akhlak dan sahsiah diri jurulatih disamping hal-hal lain yang berkaitan. 6. PENGLIBATAN PELATIH WANITA DALAM PLKN Kegagalan menyediakan jurulatih wanita bertauliah mencukupi, amalan modul latihan yang bercampur gaul antara lelaki dan wanita dan melibatkan hubungan fizikal antara jurulatih lelaki dan pelatih wanita adalah antara beberapa kelemahan yang membuktikan bahawa kebimbangan ramai pihak terhadap penglibatan wanita dalam PLKN berasaskan. Lebih teruk lagi kesan kelemahan yang ada menyebabkan berlakunya beberapa kejadian yang amat memalukan. Insiden seorang jurulatih disyaki merogol seorang peserta di Kem Merang, Setiu, Terengganu, aduan beberapa kes pencabulan seksual dan kejadian tangkapan khalwat adalah natijah yang cukup menggambarkan betapa penglibatan wanita dalam PLKN perlu dinilai semula. Malah secara tegasnya DPPP berpendirian dan mendesak kepada pengurusan PLKN untuk tidak melibatkan sama sekali wanita dalam PLKN sehingga perkara-perkara dibawah dipenuhi. a. Menyediakan secukupnya jurulatih-jurulatih bertauliah wanita. b. Melakukan pengasingan secara total antara pelatih lelaki dan wanita begitu juga penglibatan jurulatih pengasingan perlu dilakukan terutama dalam latihan-latihan berbentuk fizikal. Pengecualian hanya dibolehkan dalam aktiviti yang tidak memerlukan hubungan fizikal pelatih dan jurulatih. Pengasingan ini boleh dilakukan dengan mengkhaskan satu-satu sessi panggilan PLKN khusus untuk wanita sahaja. c. Tidak mewajibkan penyertaan wanita dalam PLKN. Penyertaan wanita hanya bersifat sukarela ( Itupun selepas semua kemudahan untuik wanita tersedia ) 7. KESIMPULAN Secara kolektifnya DPPP menyimpulkan kekurangan dan kelemahan PLKN ini berpunca daripada perkara dibawah : a. Kelemahan pengurusan yang ketara. Kelemahan ini timbul berikutan perancangan PLKN itu sendiri yang tidak dilakukan secara terperinci. Sewajarnya bagi program berskala besar begini satu perancangan tersusun perlu diaturkan bagi memastikan semua aspek termasuk latihan, keselamatan, logistik, kemudahan infrastruktur, guna tenaga dan sebagainya perlu di perhalusi dan dinilai sebaiknya. Kegopohan kerajaan melaksanakan PLKN tanpa mengambil kira pandangan ramai pihak akhirnya mantijahkan sesuatu yang amat memalukan. b. Kecelaruan visi perlaksanaan PLKN. Kecelaruan ini dilihat berpunca daripada sikap kerajaan yang tidak telus dalam perancangannya. Kewujudan PLKN dilihat lebih kepada sebagai sebuah program indoktrinisasi berbanding sebagai satu program pembinaan insan. Garisan visi yang telah ditetapkan bagi melahirkan genarasi berwajah Malaysia yang trampil kualiti sahsiahnya, yang terbentuk kesepaduannya hanyalah topeng bagi agenda yang tersembunyi. Kesannya PLKN menjadi program yang caca marba dalam pengurusannya. c. Pengendalian PLKN yang dilihat lebih sebagai satu komoditi yang menguntungkan juga mendedahkan kepada berbagai bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan. Pengagihan tender yang tidak telus jelas memberi kesan secara langsung kepada PLKN. Pentauliahan kem yang jelas berbau politik juga akhirnya mengundang kesulitan. Jelasnya perlaksanaan PLKN yang melibatkan peruntukan RM 500 billion setahun dijadikan sebagai lubuk pengagihan kontrak dan kewangan. 8. KESIMPULAN & PENEGASAN Dengan pelbagai kekurangan yang timbul DPPP menegaskan bahawa satu semakan semula bagi menilai setiap sudut dan aspek PLKN perlu dilakukan. Kegagalan yang terpamer ketika ini perlu diakui oleh oleh kerajaan dengan telus. Pengemaskinian PLKN juga perlu dilakukan secara telus dan melibatkan semua pihak baik parti politik, NGO dan indvidu-individu yang berkelayakan. Proses ini bagi memastikan PLKN tidak akan menjadi satu sesalan dimasa hadapan. Malah lebih kritikal lagi DPPP berpendirian bahawa kerajaan perlu tampil dengan berani untuk mengakui kepincangan PLKN dan mengambil tindakan memberhentikannya serta merta. Bagi meneruskan agenda pembinaan generasi Malaysia yang berkualiti adalah lebih wajar fokus, perihatian dan sumber kewangan ditumpukan kepada program pemerkasaan sistem pendidikan negara yang dilihat begitu celaru.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

alhamdulillah...ustaz aja saya utk rasa masalah sy kecil shj berbanding org lain...terima kasih Allah yusallimuk

8:38 PM

 

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home