" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Saturday, February 18, 2006

SEHARI
DALAM HIDUP SEORANG PEJUANG
Ya Rabbi .. Ya Allah ..
Sukar rasanya untuk saya bertahan dihadapan Lap Top ini , setelah melalui satu jadual harian yang agak padat khasnya semalam dan hari ini ( 16 & 17 Feb ). Namun saya gagahi diri untuk terus menaip , justeru tanggapan saya bahawa ini adalah satu perkongsian yang bermanafaat buat semua sahabat seperjuangan .
Pagi Khamis , rutinnya saya membuat persiapan kuliah dan ceramah dengan membaca kitab dan meneliti isu semasa melalui laporan media dan artikel sahabat - sahabat di laman web mereka masing - masing serta tidak ketinggalan saya mendengar ceramah dan ucapan pimpinan sementara jari jemari saya aktif menatah bilah perkataan untuk diringkaskan sebagai nota kuliah .
Saya mengambil masa 5 jam non stop untuk tujuan tersebut . Apabila penat saya berhenti untuk menghirup kopi cengkudu ( minuman kegemaran saya ). Kesempatan yang sama saya gunakan untuk bermesra dengan anak - anak yang sering ditinggalkan kesepian tanpa kasih bapanya disamping , ekoran tugasan jamaah yang lebih banyak beroperasi di luar kawasan .
Selepas Maghrib saya bergegas ke Balai Islam Permatang Badak Kuantan untuk menghadhiri Majlis ceramah bersama Sdr. Mazlan Aliman Naib Ketua DPP Pusat . Turut hadhir malam itu ialah Sdr Fadzli bin Ramli Pengerusi Jawatankuasa undang - undang dan Hak asasi Manusia / JUHAM DPP Negeri Pahang )
Sejurus selesai ceramah , Mazlan Aliman mengajak saya ke Kuala Lumpur pada malam itu untuk menghadhiri pula satu temu janji dengan Tan Sri Lee Lam Thye Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara ( MLKN ) seawal jam 9 pagi esok ( jumaat 17 Feb ) .
Peringkat awal saya agak terkejut , sebab jadual asal ialah kami akan berhimpun di Masjid Negeri Pahang ( Kuantan ) untuk bersama dalam himpunan ummat Islam membantah Penghinaan Eropah terhadap nabi saw.
Kalau ke Kuala Lumpur , masa mana pula nak berlepas pulang ke Kuantan . Tetapi Sdr. Mazlan terus mendesak kerana pertemuan dengan Lee Lam Thye ini adalah satu pertemuan yang penting untuk membincangkan isu PLKN . Akhirnya saya akur tapi sukar untuk menyembunyikan rasa bimbang mengenai himpunan esoknya , apakah kami sempat tiba tepat pada waktunya .
Saya terpaksa mengambil akhi Fadhil di Kuala Krau untuk membantu kami bergilir memandu untuk sampai ke Kuala Lumpur , pastinya saya dan Mazlan sangat penat dan letih tanpa pembantu .
Kami tiba di Taman Melewar jam 4.30 am . Kemudian kami mula bergerak ke Jalan Tun Razak pada Jam 8.20 am dan tiba di Pejabat Lee Lam Thye pada jam 9.20 am .
Perbincangan bermula dan membincangkan isu penting seperti elemen agama dan spiritual dalam PLKN dan juga perkara yang berkaitan dengan soal modul dan hala tuju PLKN . Jam 10.45 am selesai perbincangan dalam keadaan tergesa - gesa menghambat waktu .
Jam 11 am kami mula bergerak kembali ke Kuantan . Akhi Fadhil ambil tugas memandu dan kali ini luar biasa pemanduannya . WIRA saya dipecut selajunya untuk sampai ke Kuantan sebelum jam 1.30 tgh. Alhamdulillah , kami selamat sampai tepat jam 1.20 tgh di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah .
Kelajuan yang dipecut oleh akhi Fadhil membuatkan saya membaca segala ayat yang dihafal mohon selamat daripada Allah jalla wa A'la . Alhamdulillah kami selamat , cuma kereta jem . Valve dan headnya jem . Sedang elok sampai Masjid Negeri , kereta terpaksa di bawa ke workshop sebaik sahaja selesai demontrasi .
Adik saya Nazri mengambil alih tugas untuk membawa Sdr. Mazlan ke Segamat untuk pulang ke Johor , sebab beliau ada ceramah di Johor bersama Ust Kamal Saari pada jam 9 malam nanti .
Akhi Fadhil pula terpaksa pulang ke Kuala Krau dengan menumpang sahabat dari Kerdau yang turut serta dalam demontrasi tengahari tadi .
Tinggallah saya bersendirian di workshop .
Saya minta supaya disiapkan sebelum jam 5 petang sebab saya kelas Muslimat di PASTI Al Falah Batu 3 Kuantan .
Rupanya kereta ini terpaksa ditukar headnya. Namun kesuntukkan masa , terpaksa saya sambung pembaikiannya esok . Kereta itu dibaiki sekadar untuk boleh berjalan dekat - dekat buat sementara waktu .
Masa tu lah , saya berbalas sms dengan akhi Fadhil . Agak menyentuh perasaan ini sehingga tanpa sedar air mata mengalir . Bukan kerana kesukaran dan kepenatan yang dialami tetapi terharu kerana kasih seorang sahabat .
Fadhil : Ana Mohon maaf tak dpt bantu anta baiki kreta. Ana pun cuma tinggal ckit aje. Maaf sheikh.
Saya : Gak Mung bilo kayo nya . Tak per . Ana tawakkal kpd Allah. Duk tgh bodek cina . Valve dan head dia jem . kalau 20-30 km lagi dia kata boleh jem
Fadhil : Pah lagu mana tu ?
Saya : Pakai ilmu Mazlan Aliman
Fadhil :Ilmu cmana ? Brp kos baiki ?
Saya : Tak siap lagi baiki . Blm tahu kos . Ilmu tawakkal dan buat dont know dgn masaalah
Fadhil : Ana mohon maaf banyak 2. Kreta anta rosak d tangan ana.
Saya : Dia rosak krn perjuangan . Ana bangga . Cuma Alhamdulillah sewaktu kita bawa pimpinan , semua selamat.
Fadhil : Ana sama dgn anta. Cuma ana resah krn anta pun dlm kepayahan skrg.
Saya : Alhamdulillah mmg payah dan letih tapi hati puas ada shbt mcm anta.
Fadhil : Syukran Lillah
Setelah membayar kos pembaikian itu , saya terus memecut pula ke Bt. 3 untuk memberi pengisian dalam kuliah Haraki anjuran Muslimat PAS Kuantan .
Agak lucu ,selesai kuliah baru saya perasan bahawa saya sudah sehari suntuk tidak mandi . Apa lagi , saya mandi sungguh sungguh di PASTI tersebut .
Menjelang Maghrib saya bergegas pula ke Masjid Al Fatah untuk menyampaikan kuliah Magrib bulanan saya di situ .
Jam 8.45 mlm , saya memohon izin pula dari jamaah masjid untuk terus berangkat ke PUTRA Indera Mahkota . Kerana saya dijadualkan berceramah di PUTRA jam 9.40 mlm .
Sekitar jam 11 mlm baru saya berkesempatan pulang ke rumah dan pastinya terus tersadai di kerusi kelesuan . Saya cuba menaip , tapi gagal. Mata terlalu mengantuk dan badan pula keletihan . Saya hanya sempat tulis tajuk .... sedar tak sedar saya tengok jam sudah masuk waktu subuh . Rupanya saya tertidur di meja komputer .
so..pagi ini ( sabtu 18 Feb ) saya terus sambung tugas ini untuk menyiapkan tulisan saya agar dapat dikongsi bersama.
Selepas solat zuhur nanti saya akan ke workshop untuk tukar head kereta yang dijangka siap dalam masa 2 jam . Selepas itu saya akan berangkat pula ke Kuala Lumpur untuk Kuliah Maghrib dan ceramah di Sg Buluh malam ini .

Sekali lagi saya terpaksa menggunakan khidmat pembantu dan tentu akhi Fadhil terpaksa bersedia . Kerana Malam ini saya terpaksa pulang pula ke Kuantan untuk menghadhiri Mesyuarat Dewan Harian seawal jam 9 pagi esok di Pekan .
Sampai saat sebegini , saya terkenang sahabat sahabat saya yang lain. Terutamanya pimpinan tertinggi parti . Jadual mereka tentu sahaja 2 atau 3 kali ganda lebih sibuk dari apa yang saya alami . bagaimana lah mereka mendapat kekuatan untuk mengenderai perjuangan ini . Tentu sahaja kerana Matlamat Perjuangan ini . Iaitu mencari Mardhotillah .

Situasi ini belum lagi dibandingkan dengan penyiksaan yang sedang dialami oleh pejuang - pejuang Islam di Penjara Abu Gharaib dan juga di Guatanamo Cuba . Tentu sahaja pengorbanan kita ini jauh lebih kecil dari apa yang sedang dialami oleh mereka .
Ya Rabbi Ya Allah . Aku terasa penat dan letih. Tiada rasa keupayaan diri ini tanpa taufiq dari mu Ya Allah untuk berjuang .Justeru itu , kurniakan lah kekuatan untuk terus aku memacu perjuangan ke arah mendaulatkan syariat Mu Ya Allah di bumi tercinta ini . Amin Ya Rabbal a'lamin .

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

Links to this post:

Create a Link

<< Home