" Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini "

Wednesday, April 26, 2006

Kertas Kerja ( 019 / siri ketiga )
RUKUN BAIAH ASAS KEILTIZAMAN BERJAMAAH .

USUL KETIGA

و للإيـمان الصادق و العبادة الصحيحة و المجاهدة نور و حلاوة يقذفها الله فى قلب من يشاء من عباده و لكن الإلـهـام و الخواطر و الكشف و الرؤى ليست من أدلة الأحكام الشـرعية و لا تعتبـر إلا بشـرط عدم اصـطـدامـهـا بـأحـكام الديـن و نـصـوصـه

" Iman yang benar dan ibadat yang sah dan mujahadah adalah cahaya dan kemanisan yang dilimpahkan Allah ke dalam hati sesiapa yang di kehendakinya di kalangan hambanya . Manakala ilham , lintasan hati , kasyaf dan mimpi bukanlah menjadi dalil kepada hukum - hukum syariat . Ia hanya di terima dengan syarat perkara tersebut tidak bertentangan dengan hukum syariat dan nasnya ."

ULASAN .

Usul ini meletakkan panduan yang mengikis kekeliruan umum masyarakat terhadap perkara - perkara ghaib dan luar biasa . Seringkali masyarakat terkeliru dengan menganggap mimpi - mimpi , kasyaf dan ilham sebagai suatu yang pasti berlaku dan lebih jauh , mereka menganggap ianya sebagai sumber hukum .

Tidak dinafikan sebahagian manusia dikurniakan ilham dan kasyaf yang baik , namun ia bukanlah sumber hukum untuk menetapkan sesuatu keadaan atau digunakan sebagai hujjah untuk menguatkan sesuatu kenyataan . Ia hanya suatu kesan yang dibiaskan oleh Allah swt . hasil daripada pemilikan iman yang benar , ibadah yang sah dan mujahadah yang gigih .

Mimpi manusia dalam tiga kategori :[1]

1. Para Nabi Alaihissalam . Semua mimpi mereka adalah benar kerana ia sebahagian daripada wahyu Allah swt. kepada mereka . Sedang wahyu pula dipelihara oleh Allah lantas itu ia terpelihara daripada bisikan syaithan .

2. Para Solehin . Kebiasaan mimpi mereka adalah benar hanya kadangkalanya tidak .

3. Mereka yang tidak soleh .

a . Orang awam . Mimpi mereka kadangkala benar dan kadangkala tidak.

b . Orang fasiq . Kebiasaan mimpi mereka tidak benar .

c . Orang kafir . Mimpi mereka hampir tiada yang benar .

Adab terhadap mimpi .

Mimpi buruk .

1. Ludah perlahan ( tanpa air liur ) tiga kali ke arah kiri ( arah syaithan )

2. Berlindung dengan Allah swt. daripada kejahatan syaithan. أعوذ بالله من الـشـيطان

3. I’tiqad bahawa mimpi buruk itu tidak memberi mudharat .

4. Bangun untuk segera berwudhu’ dan solat sunat .

5. Jangan menceritakan mimpi buruk itu kepada orang lain .

قـال رسول الله صلى الله عليه و سـلم : فـإن رأى أحدكم ما يكره فـلـيـقـم فـلـيـصـل و لا يحدث بها لناس .

مـســلم فى أول كتاب الرؤيا من طريق أيـوب عن محمد عـنه

Maksudnya : Jika seseorang kamu melihat ( bermimpi ) suatu yang tidak disukainya maka hendaklah ia bangun mendirikan solat sunat dan janganlah ia menceritakannya kepada orang lain .

6. Berpaling ke arah berlawanan dari arah dimana ia bermimpi .

قـال رسـول الله صلى الله عليه وسلم إذا رأى أحدكم الرؤيا يكرهها فليبصق عن يساره ثلاثا
و ليستعذبالله من الشيطان ثلاثا و ليتحول عن جنبه الذين كان عليه .

رواه مـسـلم فى كتاب الرؤيا باب لا يخبر بتلعب الشيطان به فى منامه

Maksudnya : Apabila seseorang kamu bermimpi buruk maka hendaklah ia meludah ke kirinya tiga kali , memohon perlindungan daripada Allah terhadap syaithan tiga kali dan hendaklah ia berpaling ke arah berlawanan dari arah dimana ia bermimpi .

Adab mimpi baik .

1. Memuji Allah swt. kerana ia sebahagian dari ni’mat Allah swt.

2. Menceritakan mimpinya justeru ia menepati perbuatan mendhohirkan ni’mat Allah swt .

قال رسول الله صلى الله عليه و سلم إذا رأى أحدكم رؤيا يحبها فإنما هى من الله فليحمد الله عليها و ليحدث بها رواه البخارى فى كتاب التعبير باب الرؤيا من الله جزءا من حديث

Maksudnya : Apabila seseorang kamu bermimpi sesuatu yang ia sukai maka sesungguhnya ia daripada Allah swt. maka hendaklah ia memuji Allah swt dan menceritakannya .

Penerimaan mimpi , ilham dan kasyaf itu juga bergantung kepada sejauh mana ia bertepatan ( tidak bertentangan ) dengan syariat Allah .

Usul ini juga berfungsi membasmi kecelaruan fikrah yang lahir tanpa berasaskan syariat. Sementara pemanduan cermat untuk menilai ilham , kasyaf dan mimpi seseorang itu juga harus di nilai tahap iman , ibadah dan mujahadahnya .

1. Iman yang benar .

Firman Allah swt .

إنـما المؤمنون الذين ءامنـوا بالله و اليوم الأخر ثم لم يرتابوا و جاهدوا بأموالهم و أنفسهم فى سبيل الله أولئك هم الصادقون

" Sesungguhnya orang - orang yang beriman ialah yang beriman kepada Allah dan hari akhirat kemudian mereka tidak ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah . Merekalah orang - orang yang benar . "

( Al Hujurat 15 )

Sifat pemilik iman yang benar ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah swt :

إنـما المؤمنون الذين إذا ذكر الله و جلت قلوبهم و إذا تليت عليهم ءاياته زادتهم إيـمانا و على ربهم يتوكلون

Maksudnya : Sesungguhnya orang - orang yang beriman apabila disebut nama Allah, gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat - ayatNya , bertambah keimanan mereka dan kepada Allah jua mereka bertawakkal .

( Al Anfal 2 )

Sabda Rasulullah saw .

ثـلاث من كن فيه وجد بهن حلاوة الإيـمان من كان الله و رسوله أحب إليه مما سواهما وأن يحب المرء لا يحبه إلا لله و أن يكره أن يعود فى الكفر بعد أن أنقذه الله منه كما يكره أن يقذف النار

" Barangsiapa yang ada padanya tiga perkara , ia memperolehi kemanisan iman . Allah dan Rasul terlebih kasih kepadanya daripada yang lainnya. Ia mengasihi seseorang kerana Allah dan Ia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana ia benci dicampakkan kedalam neraka ."

( Bhukhari dan Muslim )

2. Ibadat yang sah

عن أم المؤمنين أم عبدالله عـائشة رضى الله عـنها قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من أحدث فى امرنا هـذا مـا لـيس منه فـهو رد

" Dari Ummul Mu'minin Aisyah (rha) berkata : Rasulullah saw telah bersabda : Barang siapa yang mengada - adakan ( suatu yang baru ) dalam urusan ugama kita sedang ia bukan dari ugama ( tiada sandaran usul ) maka ia tertolak .

( Bhukhari dan Muslim )

Dalam riwayat Muslim ( berasingan )

من عمل عملا ليس عليه امرنـا فهو رد

" Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari urusan ugama kita maka ia tertolak . "

3. Mujahadah

و الذيـن جـاهـدوا فـيـنـا لـنهـديـنهـم ســبـلـنـا

" Dan orang - orang yang bermujahadah di jalan kami nescaya kami tunjuk bagi mereka jalan - jalan kami . "

( Al Ankabut 69 )

قـد أفـلح من زكـاهـا و قـد خـاب من دسـاها

" Sesungguhnya telah beroleh kemenanganlah orang yang menyucikan dirinya dan telah rugilah orang yang mengotorinya "

( Asy Syam 9 - 10)

[1] Rujuk زاد المتـقـيـن Oleh : Doktor Marwan bin Muhammad bin Musthafa Syahin .

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home